Oleh: Dr Muhamad Rafiqi Hehsan
Pensyarah Perubatan Pelatih (Anaesthesiology)
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Pandemik COVID-19 di dalam negara kita sehingga ke hari ini masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Peratusan pesakit COVID-19 yang ada masih belum menunjukkan penurunan dengan jumlah keseluruhan kes di Malaysia sudah melebihi angka satu juta orang, dan kadar kematian yang sudah melebihi 10,000 kematian. Tahap kematian yang semakin naik saban hari turut merisaukan pelbagai pihak. Apatah lagi jika kematian datang secara tiba-tiba tanpa ada tanda-tanda awal, yang diistilahkan sebagai brought in death (BID). Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada perkara ini dan berat badan berlebihan atau obesiti tidak terkecuali, boleh meningkatkan risiko kematian jika dijangkiti COVID-19.
Berat badan berlebihan dan obesiti didefinisikan sebagai pengumpulan lemak yang tidak normal atau berlebihan yang menimbulkan risiko kepada kesihatan. Menurut WHO, kegemukan dikelaskan kepada tiga kumpulan berdasarkan badan indeks jisim (BMI). Indeks jisim badan (BMI) lebih daripada 25 dianggap berat badan berlebihan, dan lebih dari 30 mengalami kegemukan. Kelas 1 kegemukan adalah individu yang mempunyai BMI 30-34.9, kelas 2 kegemukan bagi BMI 35-39.9 dan kelas 3 kegemukan bagi BMI melebihi 40. Kajian menunjukkan obesiti akan meningkatkan risiko penyakit kronik termasuk penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan strok, diabetes, darah tinggi, gangguan muskuloskeletal termasuk osteoartritis. Obesiti juga dikaitkan dengan beberapa barah atau ketumbuhan, termasuk endometrium, payudara, ovari, prostat, hati, pundi hempedu, buah pinggang dan usus besar. Risiko penyakit tidak berjangkit juga meningkat walaupun seseorang hanya mempunyai berat badan berlebihan dan bertambah serius apabila indeks jisim badan (BMI) naik. Diagnosis awal pesakit adalah sangat penting untuk merawat keadaan pesakit dan mengurangkan kematian.
Pandemik COVID-19 telah menimbulkan kebimbangan serius dan implikasi kesihatan awam di seluruh dunia. Tidak ada rawatan tepat dan berkesan untuk virus COVID-19 setakat ini, dan kadar morbiditi dan kematian meningkat dari hari ke hari di seluruh dunia. COVID-19 menunjukkan spektrum gejala yang luas, bahkan ada beberapa pesakit pulih tanpa komplikasi. Walau bagaimanapun, kebanyakan pesakit COVID-19 yang serius perlu dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU), terpaksa tinggal di hospital dalam tempoh yang lama, bahkan boleh membawa kepada kematian dan komplikasi jangka masa panjang. Pesakit warga tua lebih mudah dijangkiti COVID-19 kerana mereka mempunyai banyak penyakit kronik yang lain. Sebilangan besar kajian melaporkan bahawa orang tua, pesakit diabetes, strok, penyakit buah pinggang yang kronik (CKD), pesakit asma dan COPD dikaitkan dengan prognosis yang teruk. Obesiti atau kegemukan juga tidak terkecuali, terutamanya kelas 3 kegemukan. Kesemua ini dikaitkan dengan peningkatan kadar kematian dalam kalangan pesakit COVID-19.
Kajian epidemiologi terbaru menunjukkan kegemukan atau obesiti dikaitkan dengan risiko meningkatnya kadar kematian bagi pesakit yang didiagnos dengan COVID-19, tetapi mekanisma bagi kematian ini masih belum jelas. Beberapa kajian melaporkan perubahan dalam beberapa parameter makmal seperti bilangan limfosit, C-Reactive Protein (CRP), interleukin-6 (IL-6), dan Erythrocyte Sedimentation Rate (ESR) pada pesakit COVID-19, tetapi data tersebut tidak mencukupi untuk menunjukkan hubungan perubahan ini dengan tahap kematian. Kajian prospektif dan rektrospektif yang dijalankan juga menyatakan bahawa, jumlah kemasukan kes COVID-19 ke hospital dan bantuan pernafasan mekanikal lebih tinggi kepada pesakit yang obes. Hal ini juga dikaitkan dengan peningkatan kadar kematian bagi pesakit COVID-19 tersebut. Tambahan lagi, kegemukan juga dikaitkan dengan pengurangan (downregulation) keradangan laluan (inflammatory pathway), yang membawa kepada peningkatan ekspresi keradangan molekul, termasuk interleukin-6 (IL-6). Peningkatan IL-6 ini turut dikatakan sebagai peramal (predictor) utama kematian di hospital.
Beberapa mekanisma biologi telah melaporkan perkaitan antara kegemukan dan peningkatan risiko kematian. Kajian menunjukkan bahawa lemak ektopik dan virus COVID-19 bertanggungjawab untuk regulasi proinflamasi, angiotensin II (ATII), dan prothrombotik. Pesakit COVID-19 dengan kegemukan atau obesiti juga menunjukkan penurunan tahap keradangan adipokin, adiponektin, yang membawa kepada peningkatan kadar ATII. Selain itu coronavirus mengurangkan aktiviti ACE2 inhibitor, yang membawa kepada peningkatan kadar ATII. Tahap ATII yang lebih tinggi ini mungkin menyumbang kepada perkembangan kecederaan paru-paru dalam kalangan pesakit COVID-19, dengan mencetuskan sistem oksidase NADH / NADPH dan mendorong kontraksi serta vasokonstriksi kepada salur darah. Tambahan pula, peningkatan ekspresi keradangan molekul meningkatkan pengeluaran cytokines, tumor faktor nekrosis alpha (TNF-α) dan IL-6, yang dikaitkan dengan kerosakan alveolar atau sel paru-paru serta meningkatkan kadar kematian.
Beberapa kajian kohort berdasarkan populasi melaporkan bahawa kegemukan dikaitkan dengan peningkatan komorbiditi seperti diabetes, darah tinggi, dan penyakit jantung. Walau bagaimanapun, kadar kematian dalam kalangan pesakit dengan obesiti meningkat secara berkadar dengan BMI. Tambahan pula, kegemukan menjadikan keadaan pesakit COVID-19 lebih teruk jika pesakit mendapat jangkitan terbaru dengan inflamasi yang meningkat. Hiperaktivasi laluan keradangan juga bertambah serta meningkatkan tahap sitokin, adiponektin, dan leptin sehingga menyebabkan tindak balas makro dan mikro-vaskular. Obesiti juga dikaitkan dengan gangguan fungsi paru-paru, melibatkan perubahan mekanik rintangan pernafasan serta penurunan pertukaran gas antara oksigen dan karbon dioksida.
Oleh yang demikian, pihak kakitangan kesihatan harus memberikan fokus yang lebih utama kepada pesakit COVID-19 dengan obesiti kerana golongan ini berisiko tinggi, berbanding dengan pesakit yang lain. Prognosis bagi pesakit obesiti ini juga lebih teruk dengan peningkatan kadar kematian. Banyak penyebab kelebihan berat badan dan obesiti dapat dicegah dan dapat diatasi. Walaupun terdapat banyak faktor lain, penyebab utama kegemukan adalah ketidakseimbangan kalori yang dimakan dan kalori yang dikeluarkan. Oleh kerana diet global telah berubah dalam beberapa dekad kebelakangan ini, terdapat peningkatan dalam penggunaan makanan padat tenaga yang tinggi lemak dan bebas gula. Terdapat juga penurunan dalam aktiviti fizikal kerana perubahan banyak jenis pekerjaan, lebih banyak akses ke pengangkutan dan peningkatan urbanisasi. Kesemua penurunan aktiviti fizikal ini akan mengurangkan kadar kalori yang dikeluarkan dan menyebabkan ketidakseimbangan kalori dalam badan.
Selain itu, antara kaedah pengurangan risiko berat badan berlebihan dan obesiti termasuk mengurangkan jumlah kalori yang diambil daripada lemak dan gula, meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, bijirin, dan melakukan aktiviti fizikal secara berkala seperti 60 minit sehari untuk kanak-kanak dan 150 minit seminggu untuk orang dewasa. Pada bayi pula, kajian menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu secara eksklusif sejak lahir hingga usia 6 bulan mengurangkan risiko bayi menjadi berlebihan berat badan atau obesiti. Keluarga dan masyarakat juga tidak ketinggalan dalam menggerakkan usaha ini. Amalan gaya hidup sihat sangat membantu bagi mengurangkan risiko morbiditi dan kematian, terutamanya bagi pesakit COVID-19. Semoga usaha-usaha ini mampu menambah baik aspek penjagaan kesihatan bukan sahaja kepada pesakit COVID-19, malahan juga dapat melahirkan anggota masyarakat yang sihat.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada seorang mukmin yang lemah, dan dalam masing-masing keduanya itu terdapat kebaikan. Bersungguh-sungguhlah terhadap sesuatu yang bermanfaat bagimu dan jangan lemah semangat”.
(HR Ibnu Majah No: 4158)