Penulis: Sarena Mohd. Shariff1 & Syazuani Mohd. Shariff (PhD)2
1Guru Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), SMK Sultan Abdul Jalil, Kluang, Johor
2Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Biologi, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah
Perubahan iklim merupakan antara cabaran global terbesar yang sedang dihadapi dunia pada abad ke-21. Fenomena ini merujuk kepada perubahan jangka panjang terhadap corak cuaca dan suhu purata bumi yang dipengaruhi oleh faktor semula jadi dan juga aktiviti manusia. Pembakaran bahan api fosil, penebangan hutan secara berlebihan dan pelepasan gas rumah hijau telah mempercepatkan pemanasan global, sekali gus mengubah keseimbangan sistem iklim dunia. Kesan perubahan ini semakin jelas kelihatan melalui peningkatan suhu, cuaca yang tidak menentu, hujan lebat dan banjir yang lebih kerap, serta tempoh kemarau yang berpanjangan .
Kesan perubahan iklim bukan sahaja melibatkan alam sekitar, malah turut mempengaruhi kesihatan, keselamatan, ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat. Golongan yang mempunyai tahap kerentanan lebih tinggi, termasuk orang kelainan upaya (OKU), sering berdepan cabaran yang lebih besar apabila berlaku perubahan persekitaran atau bencana berkaitan iklim. Golongan ini merangkumi individu yang mempunyai ketidakupayaan fizikal, sensori, intelektual dan psikososial. Setiap kategori ketidakupayaan mempunyai keperluan yang berbeza, menjadikan kesan perubahan iklim terhadap mereka lebih kompleks. Perubahan kecil pada suhu, kualiti udara atau keadaan cuaca boleh memberi implikasi yang besar terhadap keupayaan mereka untuk menjalani kehidupan secara berdikari. Malangnya, ia masih kurang diberi perhatian dalam perancangan adaptasi perubahan iklim.
Salah satu kesan yang semakin dirasai ialah peningkatan suhu persekitaran. Gelombang haba yang lebih kerap dan suhu yang semakin tinggi menjejaskan kesihatan fizikal, khususnya bagi individu yang mempunyai masalah mobiliti dan penyakit kronik. Mereka terdedah kepada ketidakselesaan yang berpanjangan dan lebih mudah mengalami komplikasi akibat tekanan haba, sekali gus menjejaskan keupayaan mereka untuk menjalani aktiviti harian. Tambahan lagi, situasi hujan lebat yang boleh membawa kepada kejadian banjir , turut meningkat risiko keselamatan kepada golongan OKU. Laluan yang dinaiki air, licin atau rosak boleh menghalang penggunaan kerusi roda dan alat bantuan mobiliti, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan.
Bencana alam juga boleh mengganggu rutin harian yang amat penting bagi sesetengah individu OKU, khususnya mereka yang mempunyai ketidakupayaan intelektual atau psikososial. Perubahan secara mendadak terhadap persekitaran, tempat tinggal atau jadual harian boleh mencetuskan keresahan, tekanan emosi dan perubahan tingkah laku. Keadaan ini menjadi lebih mencabar sekiranya sokongan daripada keluarga, penjaga atau komuniti turut terjejas akibat bencana yang berlaku. Selain itu, kualiti udara juga turut akan terjejas ekoran perubahan iklim. Episod jerebu dan pencemaran udara semakin kerap berlaku dan ini boleh memberi kesan serius kepada individu yang menghidap asma, penyakit paru-paru atau mempunyai sistem imun yang lemah. Dalam keadaan sedemikian, mereka terpaksa mengehadkan aktiviti luar bagi mengurangkan risiko kesihatan. Walaupun langkah ini penting, ia secara tidak langsung mengurangkan peluang untuk bersosial dan menjalankan aktiviti fizikal yang bertindak sebagai terapi yang menyumbang kepada kesejahteraan hidup.
Tahap kerentanan golongan OKU sebenarnya bukan hanya dipengaruhi oleh faktor ketidakupayaan, tetapi juga oleh kekuatan sistem sokongan di sekeliling mereka. Justeru, keluarga memainkan peranan utama dalam memastikan keperluan asas, penjagaan kesihatan dan sokongan emosi dapat diteruskan ketika berlakunya cuaca ekstrem atau bencana. Perancangan awal seperti penyediaan pelan kecemasan keluarga, penyimpanan ubat-ubatan, dokumen penting dan peralatan bantuan dapat membantu mengurangkan risiko semasa situasi kecemasan. Sikap prihatin daripada jiran, sukarelawan dan organisasi masyarakat dapat memastikan mereka tidak terpinggir semasa bencana berlaku. Bantuan untuk proses pemindahan, penyampaian maklumat yang mudah difahami serta penyediaan pusat perlindungan yang mesra OKU merupakan antara langkah yang boleh meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Pada masa yang sama, pendekatan yang lebih inklusif perlu diterapkan dalam dasar berkaitan perubahan iklim. Perancangan bandar, pengurusan bencana, sistem kesihatan awam dan pembangunan infrastruktur hendaklah mengambil kira keperluan golongan OKU. Sistem amaran awal yang mudah diakses, aplikasi cuaca yang mesra pengguna serta penyampaian maklumat dalam pelbagai format seperti audio, visual dan bahasa isyarat dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan. Walau bagaimanapun, keberkesanan teknologi bergantung kepada tahap akses, latihan dan sokongan yang diterima oleh pengguna.
Dalam usaha membina masyarakat yang lebih berdaya tahan, suara golongan OKU tidak boleh diketepikan. Mereka perlu diberikan ruang untuk terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan perubahan iklim, sama ada dalam perancangan dasar, pengurusan bencana mahupun pembangunan komuniti. Penglibatan ini membolehkan pengalaman sebenar mereka dijadikan asas kepada penyelesaian yang lebih praktikal dan berkesan. Di samping itu, pendidikan dan kesedaran awam perlu diperkukuhkan supaya masyarakat memahami bahawa perubahan iklim bukan sahaja isu alam sekitar, tetapi juga isu keadilan sosial.
Perubahan iklim bukan sekadar mengubah landskap alam sekitar, malah turut menguji keupayaan masyarakat untuk melindungi golongan rentan. Oleh itu, usaha menangani perubahan iklim perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat. Apabila dasar, teknologi, keluarga dan komuniti bergerak seiring dalam menyediakan persekitaran yang inklusif, masyarakat bukan sahaja menjadi lebih bersedia menghadapi perubahan iklim, malah lebih adil, berdaya tahan dan lestari untuk generasi akan datang.





