Laporan: En. Mohd Syahir Anwar Bin Hamzah
Pengajar, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
PARIT RAJA, 14 Jun – Kursus Kokurikulum Berkredit, Pengurusan Acara dan Majlis Seksyen 2, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menganjurkan program STEM Genius: Discover Science Through Art & Fun bertempat di Sekolah Kebangsaan Bukit Kuari, Parit Raja baru-baru ini. Program ini yang mendapat kerjasama erat Yayasan Mr. DIY, Sekretariat Rukun Negara UTHM, Sierra Engineering Resources, Asraf Life Resources, Srinobu Dynamics Resources, Genesys Eco Resources serta MAKERSPACE@UTHM, telah menyasarkan penyertaan sekitar 85 orang pelajar yang terdiri daripada Tahun 4 hingga Tahun 6.
Program yang dijalankan ini adalah sebagai usaha memupuk minat awal terhadap bidang STEM selaras dengan matlamat SDG 4 – Kualiti Pendidikan. Terdapat 4 aktiviti utama yang menjadi sandaran kepada kejayaan program ini iaitu STEM Explorace, bengkel interaktif, demonstrasi robotik, mural STEM dan menghias sudut bacaan sehenti. Pengarah program, Saudara Muhamad Alif Zainuddin, menyatakan bahawa pendekatan yang digunakan dalam aktiviti STEM Explorace adalah berasaskan silibus sekolah rendah dan direka untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif serta menyelesaikan masalah secara saintifik.
“Kami telah menerapkan unsur sains dan matematik dalam bentuk permainan dan seni agar pelajar tak rasa seperti belajar dalam kelas, tetapi dalam dunia yang menyeronokkan. Pengalaman membuat kereta dan jambatan daripada bahan kitar semula ternyata mencetus keterujaan yang luar biasa dalam kalangan pelajar,” jelasnya.
Bengkel interaktif yang dijalankan telah menggabungkan elemen seni kayu dan sains, menggunakan STEM kit khas yang disumbangkan oleh Yayasan MR D.I.Y. Dalam bengkel ini, para pelajar diberi peluang untuk membina model menggunakan bahan kayu sambil meneroka konsep fizik seperti projectile motion sambil dibimbing oleh para fasilitator. Pendekatan “hands-on” ini membolehkan peserta memahami secara praktikal bagaimana sudut dan daya mempengaruhi trajektori objek. Selain itu, program turut dimeriahkan dengan demonstrasi robotik kereta kawalan menggunakan sistem Arduino, yang memperkenalkan peserta kepada asas pengaturcaraan, elektronik dan automasi. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi, tetapi juga menanamkan nilai kreativiti dan kerjasama dalam menyelesaikan masalah.
Selain bengkel interaktif dan demonstrasi robotik, program ini turut diserikan dengan aktiviti melukis dan mewarna mural bertemakan STEM. Aktiviti ini bertujuan untuk mendorong pelajar melihat sains dan matematik dari sudut yang lebih kreatif, sekaligus menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan tidak membosankan. Mural yang dihasilkan bersama oleh sukarelawan UTHM ini membawa elemen visual yang memberi impak jangka panjang kepada suasana pembelajaran sekolah. Sebagai usaha memperkasa literasi dalam kalangan pelajar, pihak UTHM turut berjaya mengumpulkan lebih daripada 100 buah buku untuk menghiasi sudut bacaan sehenti yang dibangunkan sekitar dinding mural. Inisiatif ini diharap dapat menjadi satu tarikan berterusan untuk pelajar mendekati ilmu dalam suasana yang kondusif dan mesra komuniti.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Nadirul Hasraf Mat Nayan, Ketua Jabatan Perancangan Strategik, Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko UTHM, yang turut meluahkan rasa bangga terhadap komitmen dan inisiatif mahasiswa dalam menjayakan program berimpak komuniti ini. Turut hadir ialah Tn. Haji Nawawi Suib, Guru Besar SK Bukit Kuari, yang menyambut baik usaha murni ini dalam memperkasakan pendidikan STEM di peringkat akar umbi. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan luar bandar, agar manfaatnya dapat dirasai lebih ramai pelajar. UTHM komited untuk terus menjadi pemangkin dalam memperkukuh jalinan universiti-komuniti ke arah pembangunan pendidikan yang inklusif dan mampan.
Catatan–Penulis merupakan pengajar di Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia yang telah berpengalaman selama 3 tahun mengajar kursus Asas Kewartawanan, Pengurusan Acara dan Majlis, Debat serta Pengucapan Awam. Beliau juga sedang menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah Kejuruteraan Teknologi di institusi yang sama dalam fokus bidang kejuruteraan bahan bioperubatan.
Pautan Gambar Sekitar Pelaksanaan Program