Penulis: En. Syazuan Abd. Latip¹ & Dr. Siti Aisyah Zawawi²
“Terima kasih kerana sudi hadir ke sini dan semoga dapat sama-sama membantu para pelajar kami di sini.” Ungkapan ini disampaikan oleh Tuan Murabbi, Ustaz Mohammad Ibrahim (lebih dikenali sebagai Ustaz Mad China) semasa menerima kunjungan dari Unit Fizik Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, kampus Dengkil. Kunjungan ini turut melibatkan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Green Leaf Consultancy Sdn. Bhd. (GLC) sebagai rakan strategik dan rakan industri Pusat Asasi UiTM, dan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program University Social Responsibility (USR) yang pertama di Maahad Tahfiz Mandarin (MTM) Pulau Ketam.
Program USR yang telah dilaksanakan ini adalah bertujuan untuk mendekatkan pelajar Maahad Tahfiz dengan dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dengan menekankan hubungan antara kedua-dua disiplin ilmu. Pengintegrasian ilmu tahfiz dengan STEM adalah satu langkah yang signifikan kerana ia menyatukan dua bidang yang berbeza—ilmu agama dan sains—dalam usaha melahirkan generasi ilmuwan tahfiz yang seimbang dari segi pengetahuan duniawi dan ukhrawi.
Dalam konteks ini, STEM tidak hanya merujuk kepada pengetahuan teori semata-mata tetapi juga aplikasi praktikal dan teknologi yang relevan dalam kehidupan seharian. Dengan melihat bidang Fizik sebagai salah satu contoh, konsep-konsep seperti tenaga, gerakan, dan daya dapat dikaitkan dengan ajaran Al-Quran yang banyak menekankan hubungan manusia dengan alam semesta. Hal ini memberi peluang kepada para pelajar untuk memahami hubungan antara prinsip-prinsip ilmiah dan ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh tentang kebesaran ciptaan Yang Maha Esa.
Antara pengisian progam USR adalah melibatkan forum ilmiah yang dijalankan menampilkan tiga panelis utama yang terdiri dari En. Syazuan Abd. Latip (Pensyarah Kanan, Unit Fizik, Pusat Asasi UiTM), En. Khairul Nizam Ismail (Ketua Deposit Negeri, Cawangan BSN Selangor) dan En. Redza Abd. Malek (Ketua Pegawai Eksekutif, Green Leaf Consultancy Sdn. Bhd.). Forum ini memberi fokus kepada kepentingan mengintegrasi ilmu tahfiz dengan ilmu STEM, bermula dari peringkat pendidikan asas hingga ke dunia pekerjaan. Panelis menyatakan bahawa keperluan untuk melatih para pelajar tahfiz dalam bidang STEM adalah penting kerana ia memberi mereka keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam dunia nyata. Keberadaan ilmu STEM dalam dunia kerjaya profesional kini memberi peluang yang lebih luas kepada graduan tahfiz untuk menyumbang dalam bidang teknologi, kejuruteraan, dan sains, di samping mengekalkan penghayatan nilai-nilai Islam.

Program ini juga turut memberi peluang kepada pelajar untuk mengendalikan kit pengajaran fizik, yang mengandungi peralatan saintifik seperti alat pengukur dan pelbagai instrumen sains. Aktiviti ini memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai aplikasi praktikal dalam bidang fizik, yang merupakan cabang utama dalam STEM. Di samping itu, pelajar berpeluang mengadakan eksperimen sains dan memerhati fenomena fizik seperti perubahan tenaga dan hukum gerakan secara amali. Pengetahuan teori fizik dalam kurikulum STEM harus diimbangi dengan aplikasi praktikal agar pelajar dapat memahami konsep-konsep yang lebih mendalam. Keberkesanan pendekatan ini terbukti apabila pelajar menunjukkan minat yang tinggi dan berinteraksi dengan penuh semangat semasa sesi latihan, menunjukkan kefahaman yang lebih mendalam terhadap subjek tersebut. Penglibatan aktif pihak industri, seperti BSN dan GLC Sdn. Bhd., turut memberi dorongan kepada para pelajar untuk terus mengejar pengetahuan dalam bidang STEM.

Melalui inisiatif ini, diharapkan para pelajar tahfiz dapat menguasai dua bidang ilmu secara serentak yang terdiri dari ilmu agama yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah, serta ilmu dunia seperti sains dan teknologi. Ini adalah usaha untuk membentuk generasi ilmuwan yang bukan hanya terhad kepada pengajian agama, tetapi juga berdaya saing dalam dunia profesional yang kini memerlukan kemahiran STEM. Justeru, pendidikan yang mengintegrasikan kedua-dua bidang ini berpotensi untuk melahirkan individu yang tidak hanya mahir dalam bidang agama tetapi juga mampu memberikan sumbangan besar kepada pembangunan masyarakat melalui pengetahuan dalam sains dan teknologi. Lebih penting lagi, pendekatan ini membantu pelajar untuk memiliki perspektif yang lebih luas dan kritikal, serta menanamkan nilai-nilai etika dan integriti yang kukuh dalam diri mereka.
Pihak industri juga memainkan peranan penting dalam menyokong program ini. BSN dan GLC Sdn. Bhd. turut menyatakan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dengan Pusat Asasi UiTM dalam projek pendidikan tahfiz berteraskan STEM pada masa depan. Kolaborasi ini menunjukkan bahawa sektor industri semakin menyedari betapa pentingnya pendidikan STEM dalam memastikan daya saing dan kemajuan masyarakat. Kerjasama ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan lebih mendalam tentang peluang kerjaya dalam bidang STEM, serta peranan penting yang dimainkan oleh sains dan teknologi dalam dunia yang semakin moden dan global.

Program USR ini adalah langkah penting dalam usaha memperkasa pendidikan alaf ke-21 di Malaysia kini dengan menyatukan ilmu tahfiz dan STEM. Kolaborasi antara sektor akademik, industri, dan masyarakat telah membuka ruang kepada para pelajar tahfiz untuk menyedari potensi bidang STEM yang luas dan relevan dengan kehidupan mereka. Kejayaan pelaksanaan program ini membuktikan bahawa pendekatan pendidikan yang holistik dan seimbang antara sains, teknologi, dan agama bukan sahaja relevan, tetapi juga memberikan impak yang besar dalam pembangunan masyarakat dan kemajuan negara.
Dengan peningkatan kesedaran dan penerimaan terhadap pendidikan STEM dalam kalangan pelajar tahfiz, diharapkan lebih banyak program serupa dapat dianjurkan pada masa akan datang. Program seperti ini akan memberi manfaat kepada generasi muda, sekaligus memastikan negara terus maju dalam bidang sains dan teknologi, tanpa mengabaikan penghayatan nilai-nilai moral dan rohani.




