Penulis: Dr. Syazwani Basir¹, Prof. Dr. Noraini Talip² & Prof. Madya Dr. Hamidun Bunawan³
¹Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi
²Taman Botani Bangi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi UKM
³Institut Biologi Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi UKM
Tumbuhan Hoya, juga dikenali sebagai tumbuhan lilin, kerana struktur bunganya yang tebal dan berkilat seakan lilin. Tumbuhan ini merupakan salah satu spesies tanaman hiasan yang semakin popular di seluruh dunia, terutamanya di kalangan pencinta tanaman hiasan disebabkan oleh keunikanya. Hoya bukan sahaja menarik dengan keindahan morfologi luaranya, malah terkenal dengan bauan aroma bunga yang harum, manis dan menyegarkan. Tumbuhan daripada keluarga Apocynaceae ini mempunyai lebih daripada 500 spesies, dan setiap satunya mempunyai keunikan tersendiri dari segi bentuk, saiz, warna, dan aromanya yang wangi mengharum. Dengan keunikan tanaman ini, Hoya seringkali mendapat tempat di kalangan penggemar dan pengumpul tanaman hiasan eksotik sejak tahun 1970 dan dijadikan sebagai sebahagian koleksi tumbuhan yang harus dimiliki.
Salah satu sebab utama Hoya menjadi pilihan ramai adalah kerana bentuknya yang unik seperti bintang, tersusun dalam bentuk yang dikenali sebagai ‘umbel’ dan mempunyai morfologi bunga yang unik berdasarkan variasi pada bentuk bahagian korona dan korola bunganya. Sebagai contoh, korona berbentuk tegak seperti pada Hoya darwinii, bentuk runcing pada Hoya multiflora dan bentuk rata pada Hoya carnosa. Bunga Hoya juga terdiri daripada pelbagai warna seperti putih, hijau, ungu, merah, merah jambu, jingga dan kuning cair dengan beberapa spesies juga mempunyai corak yang menarik. Hoya multiflora mempunyai bunga yang berwarna kuning cerah, sementara Hoya australis mempunyai bunga putih yang elegan dengan aroma yang kuat. Hoya carnosa yang terkenal dengan bunga putih dengan bintik merah adalah antara spesies yang paling popular dan sering dijumpai menjadi salah satu koleksi peminat tumbuhan ini. Kombinasi warna dan bentuk bunga ini menjadikannya pilihan yang sangat baik sebagai tanaman hiasan.
Varieti Hoya
Terdapat pelbagai spesies Hoya yang menarik dengan keunikan masing-masing. Hoya kerrii, sebagai contoh, dikenali dengan daun berbentuk hati yang sangat sesuai untuk dijadikan hadiah kepada orang tersayang sebagai simbol cinta dan kasih sayang. Keunikan bentuk Hoya multiflora yang dikenali sebagai ‘shooting star’ menjadikan species ini seringkali dijadikan sebagai cenderamata. Hoya pubicalyx pula mempunyai bunga yang berwarna-warni dengan dihiasi corak yang menarik, menjadikannya pilihan yang popular di kalangan penggemar dan pengumpul tanaman hiasan. Selain itu, tumbuhan ini juga mempunyai saiz bunga yang bervariasi daripada kecik hingga besar, yang menjadikan ianya mudah untuk disimpan dan dapat memaksimakan penggunaan ruang. Kesemua variasi yang ada pada tumbuhan ini, menjadikan Hoya lebih digemari oleh para pengumpul kerana boleh memilih mengikut citarasa dan keperluan ruang masing-masing.
Wangian aroma Hoya
Hoya bukan sahaja cantik dan unik, malah begitu popular dengan aromanya yang sangat wangi dan lembut. Hoya carnosa contohnya sangat popular dengan bauan lembut seakan coklat dan banyak digunakan sebagai tanaman hiasan di kediaman sebagai penyegar semulajadi. Selain itu, Hoya vittelinoides dan Hoya cummingiana dikatakan mempunyai aroma yang unik seakan bauan sitrus. Penemuan sebatian β-osimena (terpenoid) yang ditemui mendominasi pada aroma bunga Hoya cagayanensis dan Hoya mcgregorii sangat berpotensi untuk dieksploitasi dan dikomersialkan dalam pembuatan minyak pati. Pembebasan aroma yang unik daripada bunga Hoya didapati mempunyai potensi yang tinggi untuk dieksploitasi sebagai sumber wangian baharu. Aroma bunga Hoya sering dianggap segar dan manis, yang dapat memberikan suasana yang menyenangkan di dalam rumah. Haruman ini biasanya lebih kuat pada waktu pagi atau selepas hujan, menjadikan pengalaman berada berhampiran tumbuhan ini sangat menyegarkan. Keharuman ini bukan sahaja menyegarkan suasana, tetapi juga membantu menarik pelbagai pendebunga, seperti lebah dan rama-rama, menambah satu lagi elemen hidupan fauna ke ruang tanaman anda.
Manfaat Hoya
Selain menghiasi rumah anda, Hoya bukan sahaja membawa elemen estetik tetapi juga memberikan pelbagai manfaat lain. Beberapa kajian juga menunjukkan Hoya mempunyai nilai ubatan dan telah digunakan dalam perubatan tradisional seperti Hoya australis digunakan dalam merawat luka terbakar, bengkak, sebagai ubat penenang dan sakit perut. Hoya lasiantha digunakan bagi merawat sakit gigi, dan Hoya carnosa digunakan dalam rawatan tradisional merawat bengkak dan penyakit kulit. Selain itu, Hoya juga menunjukkan pelbagai aktiviti farmakologi seperti antikanser, antibakteria, antioksidan dan antiradang yang penah dilaporkan sebelum ini. Selain itu, tumbuhan ini juga berkeupayaan untuk bertindak sebagai pembersih udara semula jadi. Hoya dapat menyerap bahan pencemar yang terdapat dalam udara, menjadikan persekitaran rumah anda lebih sihat. Keberkesanannya dalam meningkatkan kualiti udara menjadikannya salah satu pilihan terbaik sebagai tanaman hiasan dalaman, terutamanya di bilik tidur dan ruang tamu. Selain daripada faedah estetik, ubatan dan alam sekitar, menanam Hoya juga boleh menjadi hobi yang menyeronokkan. Dari segi psikologi, menanam tanaman seperti Hoya juga dapat memberikan kesan positif kepada mental dan emosi. Penyelidikan menunjukkan bahawa menghabiskan masa di sekeliling tanaman boleh mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan mental. Apabila anda menjaga tumbuhan Hoya, ia memberi kepuasan apabila akhirnya dapat melihat bunga mekar di depan mata.
Pembiakan dan penjagaan Hoya
Hoya boleh dibiakkan dengan agak mudah melalui keratan batang untuk menghasilkan tumbuhan baharu, membolehkan pencinta tumbuhan ini memperbanyakkan lagi koleksi mereka atau berkongsi tumbuhan dengan rakan dan keluarga. Selain keindahannya, tumbuhan Hoya juga mempunyai ciri-ciri yang mudah dijaga dan tahan lasak. Penjagaan tanaman ini seakan tanaman orkid yang memerlukan media tanaman yang kering, dan penyiraman yang sederhana. Media tanaman perlu kering bagi mengelakkan akar dari membusuk. Ini menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang mungkin tidak mempunyai banyak masa untuk penjagaan tanaman. Hoya memerlukan cahaya yang sederhana untuk pertumbuhan yang optimum. Pencahayaan yang ideal dapat merangsang pertumbuhan bunga Hoya untuk berkembang dengan lebih baik. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa pendedahan kepada cahaya matahari secara langsung boleh memberi kesan terbakar kepada daun dan membantut pembesaran tumbuhan ini. Suhu yang ideal untuk tumbuhan ini adalah antara 18 hingga 27 °C.
Secara keseluruhannya, tumbuhan Hoya adalah pilihan yang ideal bagi mereka yang ingin menambah koleksi tanaman yang unik, menarik dan keharuman semula jadi pada kawasan rumah dan taman anda. Dengan penyelenggaraan minimum dan semua aspek positif tentang tumbuhan Hoya, ia sememangnya pilihan yang baik untuk para pencinta alam semula jadi.

Rujukan:
Basir, S., Akbar, M. A., Talip, N., Baharum, S. N., & Bunawan, H. (2022). An integrative volatile terpenoid profiling and transcriptomics analysis in Hoya cagayanensis, Hoya lacunosa and Hoya coriacea (Apocynaceae, Marsdenieae). Horticulturae, 8(3),224. https://doi.org/10.3390/horticulturae8030224
Ebajo Jr, V. D., Shen, C. C., & Ragasa, C. Y. (2015). Terpenoids and sterols from Hoya multiflora Blume. Journal of applied pharmaceutical science, 5(4), 033-039. DOI: 10.7324/JAPS.2015.50406
Rahayu. 2011. Hoya sebagai tumbuhan obat. Warta Kebun Raya 11(1): 15-21.
Rumaling, M. K., Fong, S. Y., Rao, P. V., Gisil, J., Sani, M. H. M., & Wan Saudi, W. S. (2024). Pharmacological properties of Hoya (Apocynaceae): a systematic review. Natural Product Research, 1-17.
https://doi.org/10.1080/14786419.2024.2319655
Zachos, E. 2005. Practical uses of various Hoya species. Asklepios 19(4):6-10.




