Oleh: Hamdan Hj. Abu
BATU BERENDAM, MELAKA 8 Julai 2025: Program Ijazah Sarjana Muda Penerbangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dijalankan di International Aero Traning Academy (IATAC) menggabungkan ijazah akademik dan Lesen Penerbangan Profesional (CPL) merupakan yang pertama dilancarkan di negara ini hasil kerjasama strategik UPNM dan IATAC.
Program tersebut dizahirkan menerusi memorandum persefahaman (MOU) antara UPNM dan IATAC dilancarkan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB. Datuk Seri Ab Rauf Jusoh di IATAC hari ini. Ketua Menteri Melaka berkata, program itu menggabungkan dua tahun pembelajaran akademik dan setahun latihan industri (2U1I) bagi membolehkan penuntut program berkenaan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Penerbangan dan Lesen Profesional Juruterbang (CPL) secara serentak.
Untuk rekod, tempoh pengajian 2u19 adalah jalan mudah untuk menjadi juruterbang profesional berbanding program pihak ketiga antara tiga hingga enam tahun. Buat permulaan, program 2u1i akan memberi peluang kepada 500 penuntut lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma.
Pada majlis pelanacaran hari ini, Leftenan Jeneral (Lt. Jen.) Datuk Arman Rumaizi Ahmad Datuk Arman berkata, “program pembelajaran paling singkat di Malaysia, yang menjimatkan masa dan kos, malah memberi kelebihan luar biasa kepada graduan dan membuka lebih banyak peluang kerjaya.”
Lt. Jen. Datuk Arman menambah, kerjasama strategik itu merupakan teras UPNM selari dengan Pelan Strategik UPNM30 untuk melahirkan graduan yang cemerlang akademik dan memiliki jati diri untuk memimpin dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Terdahulu, pada Mac lalu, Naib Canselor UPNM Lt. Jen. Datuk Arman Rumaizi telah melakukan kunjung hormat ke atas Ketua Menteri Melaka mengenai kerjasama strategik tersebut. Pada kunjungan itu, Datuk Seri Ab Rauf dimaklumkan, Program 2U1I menjadi pemacu kepada pencapaian UPNM30 selari dengan agenda pemerkasaan program akademik berimpak tinggi universiti itu yang menyatupadukan pendidikan akademik dan latihan profesional.
Pada majlis hari ini, IATAC juga mempamerkan beberapa buah pesawat ringan. Pesawat ringan seperti itu (gambar) dilengkapi dengan kokpit dan biasanya dua atau empat tempat duduk untuk pelatih dan pelajar. Pesawat ini direka untuk latihan penerbangan, navigasi, dan kemahiran di udara.
Pertukaran MOU 2U1I itu yang ditandatangani oleh Naib Canselor UPNM Lt. Jen. Datuk Arman Rumaizi dan Ketua Pegawai Eksekutif IATAC, Kapten Kenneth Yap disaksikan oleh Datuk Seri Ab Rauf di hadapan kira-kira 300 hadirin.
Selain itu, UPNM dan IATAC juga membuka reruai dan mempamerkan pelbagai modul dan juga peralatan yang bersangkut paut dengan pengajian penerbangan. Turut dipamerkan ialah peralatan radio komunikasi oleh Malaysian Amateur Radio Transmitter’s Society (MARTS) di mana peralatan radio sangat penting dalam industri penerbangan antaranya untuk berhubung antara juruterbang dan menara kawalan.
Di samping itu, guru dan murid beberapa buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Bandaraya Melaka dan Alor Gajah meluangkan masa melihat pameran pesawat dan menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan pertandingan berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang disusun.
Nota Editor: “2U1I dibaca sebagai dua tahun di universiti, satu tahun latihan industri”











