Penulis: Profesor Dr. Norhayati Luddin1 & Ili Farhana Abd Hamid2
1Dekan dan Pensyarah Prostodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia
2Pembantu Penyelidik, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia
Kehilangan gigi merupakan masalah kesihatan oral yang boleh berlaku akibat kerosakan gigi yang teruk, penyakit gusi (periodontitis) atau kemalangan. Walaupun kehilangan satu atau dua batang gigi mungkin dianggap perkara kecil, ruang kosong yang ditinggalkan boleh menyebabkan gigi bersebelahan berganjak, mengganggu susunan gigitan dan menjejaskan fungsi kunyahan. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini juga boleh mempengaruhi kesihatan tulang rahang, pertuturan dan keyakinan diri.
Salah satu pilihan rawatan untuk menggantikan gigi yang hilang ialah jambatan gigi (dental bridge). Rawatan ini menggunakan gigi palsu yang disokong oleh gigi asli bersebelahan atau implan pergigian untuk mengisi ruang kosong. Selain memulihkan fungsi kunyahan, jambatan gigi juga membantu memperbaiki penampilan senyuman.
Secara umumnya, terdapat empat jenis utama jambatan gigi, iaitu Jambatan Gigi Konvensional (Conventional Bridge), Jambatan Gigi Cantilever (Cantilever Bridge), Jambatan Gigi Maryland (Maryland Bridge) dan Jambatan Gigi Disokong Implan (Implant-Supported Bridge) (Rajah). Setiap jenis mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri bergantung pada kedudukan gigi yang hilang, bilangan gigi yang perlu diganti serta keadaan gigi, gusi dan tulang rahang.

Jambatan Gigi Konvensional merupakan jenis yang paling lazim digunakan. Ia terdiri daripada gigi palsu yang disokong oleh mahkota (crown) pada gigi asli di kedua-dua belah ruang kosong. Kaedah ini memberikan sokongan yang kukuh, tahan terhadap daya kunyahan dan sesuai untuk menggantikan gigi hadapan mahupun geraham. Namun, gigi asli yang bersebelahan perlu dikikis untuk pemasangan mahkota, sekali gus melibatkan pengurangan struktur gigi yang sihat.
Jambatan Gigi Cantilever pula menggunakan satu atau lebih gigi asli pada satu bahagian sahaja sebagai sokongan kepada gigi palsu. Kaedah ini memerlukan penyediaan gigi sokongan yang lebih sedikit berbanding jambatan gigi konvensional. Walau bagaimanapun, sokongan pada satu bahagian sahaja menyebabkan jambatan ini lebih terdedah kepada tekanan dan risiko longgar atau tercabut. Tekanan berlebihan juga boleh merosakkan gigi sokongan. Oleh itu, penggunaannya kurang sesuai untuk gigi geraham yang menerima daya kunyahan tinggi.
Jambatan Gigi Maryland, atau dikenali sebagai jambatan berikatan resin (resin-bonded bridge), menggunakan sayap nipis daripada logam atau seramik yang dilekatkan pada bahagian belakang gigi bersebelahan dengan bahan pelekat khas. Kelebihan utama kaedah ini ialah struktur gigi asli dapat dikekalkan kerana pengikisan gigi adalah minimum. Namun, ikatannya lebih mudah terlepas apabila menerima tekanan kunyahan yang tinggi. Oleh itu, kaedah ini lebih sesuai untuk menggantikan gigi hadapan berbanding gigi belakang. Selain itu, penggunaan sayap logam boleh menyebabkan timbulnya bayang gelap (translucency/greying effect) pada struktur gigi asli di sebelahnya seterusnya mengurangkan kesan estetik yang diinginkan.
Jambatan Gigi Disokong Implan berbeza daripada jenis jambatan gigi yang lain kerana tidak bergantung pada gigi asli sebagai sokongan. Sebaliknya, gigi palsu disokong oleh implan pergigian, iaitu skru titanium yang ditanam ke dalam tulang rahang. Kaedah ini memberikan sokongan yang kukuh dan stabil serta membantu mengekalkan tulang rahang di kawasan kehilangan gigi. Walau bagaimanapun, rawatan ini memerlukan prosedur pembedahan, tempoh penyembuhan yang lebih panjang sehingga beberapa bulan dan kos yang lazimnya lebih tinggi berbanding pilihan jambatan gigi yang lain.
Pemilihan jenis jambatan gigi yang sesuai bergantung pada keadaan kesihatan mulut, keperluan rawatan dan kemampuan pesakit. Oleh itu, pemeriksaan dan penilaian oleh doktor pergigian amat penting sebelum rawatan dilakukan. Dengan memahami kelebihan dan kekurangan setiap pilihan, anda dapat membuat keputusan yang lebih tepat untuk mengembalikan fungsi kunyahan, memperbaiki penampilan senyuman dan meningkatkan kualiti hidup.
Rujukan:
- Ghorbani, P., Atieh, M. A., Elbishari, H., Alsabeeha, N. H. M., & Amir-Rad, F. (2026). Clinical performance of posterior tooth-supported cantilevered prostheses with a follow-up of ≥3 years: A systematic review and meta-analysis. International Journal of Dentistry, 2026, Article 9315051.
- Habibzadeh, S., Khamisi, F., Mosaddad, S. A., Fernandes, G. V. O., & Heboyan, A. (2024). Full-ceramic resin-bonded fixed dental prostheses: A systematic review. Journal of Applied Biomaterials & Functional Materials, 22,
- Hawthan, M., Larsson, C., & Chrcanovic, B. R. (2024). Survival of fixed prosthetic restorations on vital and nonvital teeth: A systematic review. Journal of Prosthodontics, 33(2), 110–122.
- Luddin, N. (2019, Ogos). Tampil menawan dengan jambatan gigi. Dewan Kosmik, (8), 3–6.
- Schimmel, M., Araujo, M., Abou-Ayash, S., Buser, R., Ebenezer, S., Fonseca, M., Heitz-Mayfield, L. J., Holtzman, L. P., Kamnoedboon, P., Levine, R., McKenna, G., Maniewicz, S., Matarazzo, F., Mattheos, N., Papaspyridakos, P., De Souza, A. B., Srinivasan, M., Stilwell, , & Weber, H. P. (2023). Group 4 ITI Consensus Report: Patient benefits following implant treatment in partially and fully edentulous patients. Clinical Oral Implants Research, 34(Suppl. 26), 257–265.
- Zhao, F., Shi, L., Huang, Y., Wang, Y., Yu, M., & Wang, H. (2023). Adjacent tooth migration after maxillary first molar loss in patients with sinus augmentation: A retrospective research. Clinical Implant Dentistry and Related Research, 25(6), 1080–1090.



