Penulis: Dr. Mohd Azri Abd Jalil 1,2, Ahmad Syakir Ramli2, Dr Abdul Alif Abd Hamid1, Professor Ts Dr Muhammad Lokman Md Isa2
1Kulliyyah of Nursing, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
2Institute of Planetary Survival for Sustainable Well-being (PLANETIIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Pembangunan pesat di Malaysia telah meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengukuhkan kedudukan negara. Namun, pembangunan yang agresif sering mengorbankan kelestarian alam sekitar. Para penggerak ekonomi seolah-olah mengabaikan nilai alam sekitar yang penting kepada kehidupan di muka bumi ini. Menyedari keperluan mendesak untuk melahirkan generasi yang celik dan cinta alam sekitar, satu inisiatif melalui pembangunan program menggunakan Modul Play-VO telah diperkenalkan. Modul ini bersifat komprehensif, terkini, dan mengintegrasikan nilai sukarelawan serta kesedaran alam sekitar. Selain itu, ia turut merangkumi elemen penting seperti komunikasi dan kolaborasi yang perlu ada dalam diri setiap pelajar zaman kini. Program “youth planetism” ini telah menjadi program perintis di SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan, Pahang dan mendapat sambutan positif daripada pelajar serta pihak sekolah. Ini membuktikan potensinya sebagai mekanisme perubahan yang berimpak tinggi.
Program Youth Planetism menyokong matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya dalam memastikan pendidikan yang berkualiti, menyeluruh, dan saksama dapat diperkasakan. Program ini berjaya membangunkan keupayaan kognitif pelajar secara holistik melalui pendedahan kepada pelbagai input dan latihan praktikal. Fokus program ini disandarkan kepada tahap tertinggi dalam teori Taksonomi Bloom, dengan matlamat melahirkan pelajar yang mampu menganalisis, menilai, dan mencipta, selaras dengan keperluan kemenjadian pelajar abad ke-21. Di peringkat awal program, pelajar menjalani aktiviti ice-breaking untuk memecahkan kekangan komunikasi dan membawa mereka keluar dari zon selesa. Aktiviti ini dirancang khas untuk mempersiapkan mental dan fizikal pelajar agar mereka dapat memberi komitmen sepenuhnya sepanjang program berlangsung. Seterusnya, pelajar diberi pendedahan tentang perbezaan antara sukarelawan dan kerja sukarela melalui modul satu dan modul dua yang disampaikan oleh penceramah. Dalam modul ini, pelajar mempelajari konsep asas sukarelawan, termasuk faedah, cabaran, kemahiran, syarat-syarat, hak, dan tanggungjawab seorang sukarelawan. Selain itu, pelajar juga diperkenalkan kepada teori kerja sukarela secara umum, merangkumi definisi, tujuan, dan matlamatnya. Pendedahan ini bertujuan memberikan input awal sekaligus membina kesedaran sosial dalam diri pelajar.
Program Youth Planetism turut berjalan selari dengan elemen 6C dalam pembelajaran abad ke 21, iaitu pemikiran kreatif (creative thinking), pemikiran kritikal (critical thinking), komunikasi (communication), kolaborasi (collaboration), karakter (character), dan kewarganegaraan (citizenship). Modul Play-VO telah dicipta, diadaptasi, dan disesuaikan dengan keperluan pembelajaran masa kini, di mana susunan aktiviti dalam modul memastikan pelajar terlibat secara proaktif untuk mencapai matlamat pembelajaran. Para pelajar telah didedahkan kepada aktiviti berasaskan pembelajaran aktif dan pendekatan belajar sambil bermain. Aktiviti ini disertakan dengan informasi baru yang sesuai dengan tahap kognitif belia. Konsep pembelajaran ini sejajar dengan teori “Meaningful Learning” oleh Ausubel, yang menyatakan bahawa pembelajaran bermakna berlaku apabila informasi baru dihubungkan dengan pengetahuan yang sedia ada dalam struktur kognitif pelajar. Proses ini memudahkan pelajar menyerap pembelajaran dengan lebih berkesan semasa beraktiviti, sambil melibatkan fungsi intelektual dan emosional mereka. Akhirnya, melalui program ini, pelajar secara tidak langsung belajar untuk berfikir secara kritikal, berkomunikasi dengan berkesan, dan bertindak secara aktif sepanjang pelaksanaan aktiviti.
Kerja sukarelawan dan usaha menjaga kelestarian planet merupakan aspek yang berkait rapat dengan keperluan fisiologi manusia. Pendedahan mengenai sukarelawan dan kepentingan menjaga kelestarian alam kepada belia dapat meningkatkan pemahaman mereka tentang keperluan asas manusia yang mempengaruhi motivasi dalam kehidupan. Memahami dan memenuhi keperluan fisiologi ini adalah penting untuk pertumbuhan peribadi dan pencapaian potensi sepenuhnya. Teori Maslow menggariskan lima peringkat keperluan manusia yang perlu dipenuhi, iaitu: Keperluan Fisiologi (keperluan asas), Keperluan Keselamatan, Keperluan Sosial, Keperluan Penghargaan, dan Realisasi Kendiri (Self-Actualization). Melalui pemahaman dan pemenuhan keperluan-keperluan ini, individu belia dapat didorong untuk mencapai peringkat tertinggi dalam hierarki keperluan fisiologi. Seterusnya membantu mereka mencapai potensi tertinggi untuk membangunkan diri dan negara. Oleh itu, program Youth Planetism dirancang khusus untuk belia dengan tujuan memupuk kesedaran awal mengenai pentingnya menjaga keperluan fisiologi manusia, serta memelihara dan menyayangi alam sekitar untuk mengelakkan kerosakan yang lebih serius. Sebagai bukti, apabila program ini dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, di akhir program, pelajar menunjukkan kesedaran tinggi mengenai pentingnya menjaga alam sekitar dan mengajak masyarakat untuk bekerjasama dalam usaha memulihkan dan memelihara alam sekitar yang ada semasa refleksi dijalankan.
Akhirnya, objektif utama program Youth Planetism berasaskan modul Play-VO, yang menggabungkan elemen sukarelawan dan kesedaran mendalam terhadap alam sekitar mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja aktif dalam menyumbang kepada masyarakat, tetapi juga berdedikasi dalam melestarikan alam sekitar. Seperti pepatah mengatakan, “melentur buluh biarlah dari rebungnya,” program ini bertujuan untuk membekalkan belia dengan pengetahuan, kemahiran, dan semangat holistik yang diperlukan untuk mencegah kerosakan alam sekitar sebelum ia berlaku dengan membawa satu pendekatan yang lestari dan memberi kesan jangka masa yang panjang. Melalui program ini, belia tidak hanya diajar untuk menjaga alam sekitar dengan bijak, tetapi juga digerakkan untuk berkolaborasi dengan komuniti setempat dan mengamalkan nilai sukarelawan yang memberi impak positif kepada pemuliharaan alam. Impaknya, belia dapat mengamalkan nilai sukarelawan yang mahir berkomunikasi secara berkesan dan mempunyai pengetahuan yang mendalam. Akhirnya, dapat mengubah gaya hidup masyarakat menjadi lebih lestari tanpa membebankan ekosistem serta menjadi agen perubahan dalam masyarakat untuk memastikan kelestarian alam sekitar terjamin untuk generasi akan datang.
Gambar-gambar sepanjang program berlansung