Oleh: Connie Johnny¹, Dr. Nor Aini binti Jamil²
¹Pelajar Sarjana Pemakanan Klinikal, Universiti Kebangsaan Malaysia
²Pensyarah kanan, Program Dietetik dan Pusat Kajian Kesihatan Komuniti, Fakulti Sains Kesihatan UKM
Vitamin D, juga dikenali sebagai ‘vitamin sinar matahari’ adalah penting untuk kesihatan. Oleh kerana kulit boleh menghasilkan vitamin D apabila terdedah kepada cahaya matahari, ia kelihatan seperti sumber tenaga yang tidak berkesudahan. Tetapi persoalannya ialah, bolehkah kita mempunyai terlalu banyak nutrien ini yang kelihatan agak mudah untuk diperolehi? Interaksi kompleks antara sinar matahari, kulit, dan penghasilan vitamin D menimbulkan rasa ingin tahu terhadap biologi, kesihatan, dan keseimbangan penting yang diperlukan untuk kesihatan badan.
Umum mengetahui bahawa vitamin D penting untuk mengekalkan kesihatan tulang dengan membantu penyerapan kalsium. Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, vitamin D turut dikaitkan dengan pelbagai fungsi badan yang lain. Sebagai contoh, vitamin D menyokong agar sistem imun badan berfungsi dengan baik dan mengurangkan keradangan sel. Oleh itu, setiap individu perlu memastikan mereka mempunyai vitamin D yang mencukupi.
Vitamin D3 (cholecalciferol) terhasil apabila sinar ultraviolet B (UVB) daripada cahaya matahari bertindak balas dengan 7-dehydrocholesterol, iaitu sejenis molekul yang terdapat dalam kulit kita. Prekursor ini akan ditukarkan kepada pra-vitamin D3 dan vitamin D3 yang seterusnya akan ditukarkan di dalam hati dan buah pinggang, kepada bentuk aktif vitamin D, yang boleh digunakan oleh badan.
Faktor yang mempengaruhi penghasilan vitamin D
Apabila difikirkan idea untuk memperolehi aras vitamin D yang berlebihan semata-mata daripada cahaya matahari mungkin kelihatan tidak masuk akal. Walau bagaimanapun, seperti banyak aspek kehidupan yang lain, realitinya adalah lebih rumit. Tubuh mempunyai mekanismenya sendiri untuk mengelak daripada berlakunya ketoksikan vitamin D iaitu dengan menukarkan pra-vitamin D3 dan vitamin D3 yang berlebihan kepada metabolit yang tidak aktif apabila terdedah kepada cahaya matahari dalam jangka masa yang lama.
Walau bagaimanapun, proses penghasilan vitamin D daripada cahaya matahari bukanlah mudah kerana banyak faktor yang mempengaruhinya. Jenis kulit memainkan peranan penting dalam naratif ini. Individu dengan warna kulit yang lebih gelap mempunyai tahap melanin yang lebih tinggi, iaitu pigmen yang bertanggungjawab memberi warna kepada kulit. Melanin berfungsi sebagai perisai semula jadi terhadap sinar UVB. Walau bagaimanapun, perlindungan semulajadi ini juga menghalang penghasilan vitamin D. Akibatnya, individu yang mempunyai kulit yang lebih gelap memerlukan pendedahan kepada cahaya matahari yang lebih lama untuk menghasilkan jumlah vitamin D yang sama seperti individu yang mempunyai kulit yang lebih cerah.
Lokasi geografi juga menambahkan lagi kerumitan kepada keadaan. Individu yang tinggal di kawasan dengan latitud yang tinggi menerima sinar UVB yang kurang dalam sehari, terutamanya semasa musim sejuk. Sudut pancaran matahari adalah berbeza mengikut latitud dan musim memberi kesan kepada kekuatan sinar UVB yang diterima. Oleh itu, individu yang tinggal di kawasan latitud yang tinggi menghadapi kesukaran untuk memperoleh vitamin D yang mencukupi daripada pendedahan kepada cahaya matahari semata-mata. Mereka perlu mendapatkan sumber vitamin D daripada makanan seperti ikan laut dalam seperti salmon dan tuna serta kuning telur. Terdapat juga makanan yang diperkaya dengan vitamin D iaitu seperti bijirin sarapan pagi, marjerin dan susu. Akhir sekali, vitamin D juga boleh diperolehi daripada pengambilan suplemen yang mengandungi D.
Pentingnya keseimbangan: faedah dan risiko pendedahan sinar matahari
Masa terbaik untuk sintesis vitamin D pada kulit adalah apabila sinar matahari paling kuat dalam sehari, iaitu sekitar tengah hari. Namun, walaupun berada di bawah sinar matahari sepanjang hari, tidak semestinya kulit akan menghasilkan lebih banyak vitamin D. Secara keseluruhannya, tubuh manusia hanya boleh menghasilkan sejumlah vitamin D, dan apabila berada pada paras yang optimum, pendedahan berterusan kepada sinar matahari tidak akan menghasilkan vitamin D tambahan.
Apakah potensi risiko yang berkaitan dengan ketoksikan vitamin D? Walaupun risiko ketoksikan vitamin D tidak berlaku akibat pendedahan kepada cahaya matahari yang berpanjangan, hal ini boleh berlaku jika sumber vitamin D diperolehi daripada suplemen yang mengandungi vitamin D dalam dos yang tinggi. Tubuh manusia mempunyai sistem kawal selia sendiri untuk mengawal jumlah vitamin D yang dihasilkan daripada cahaya matahari, tetapi ia tidak berfungsi dengan cara yang sama melalui pengambilan suplemen. Jika terlalu banyak suplemen vitamin D diambil, keadaan ini boleh meningkatkan jumlah kalsium dalam darah, yang dipanggil hiperkalsemia. Ini boleh merosakkan buah pinggang, masalah jantung dan masalah serius yang lain.
Perlindungan kulit dan penggunaan alat pelindung cahaya matahari
Penggunaan alat pelindung cahaya matahari dalam konteks penghasilan vitamin D telah menjadi topik perdebatan dalam kalangan masyarakat. Memang tidak dinafikan, alat pelindung cahaya matahari penting untuk melindungi kulit daripada sinar UV yang berbahaya, tetapi beberapa kebimbangan turut dibangkitkan mengenai implikasinya terhadap sintesis vitamin D. Konsensus umum dalam kalangan pakar menyarankan supaya menggunakan pelindung matahari selepas mendedahkan kulit kepada sinar matahari dalam masa yang singkat bagi membolehkan sintesis vitamin D untuk bermula pada kulit sebelum langkah perlindungan dilaksanakan.
Sinar matahari bukan sahaja memainkan peranan dalam penghasilan vitamin D, tetapi turut mempunyai kesan positif terhadap mood, kualiti tidur dan kesihatan tubuh secara menyeluruh. Sebagai contoh, perasaan “rasa baik” selepas pendedahan kepada sinar matahari dikaitkan dengan pengeluaran hormon serotonin yang menyumbang kepada perasaan gembira dan relaks. Oleh sebab itu, pendedahan sinar matahari bukan hanya untuk penghasilan vitamin D, tetapi juga memberi kesan holistik terhadap kesihatan mental dan emosi.
Peranan pakar penjagaan kesihatan dan petua praktikal untuk pendedahan cahaya matahari
Para pakar kesihatan memainkan peranan penting untuk menyebarkan informasi kepada masyarakat umum tentang kepentingan mencapai keseimbangan di antara pendedahan sinar matahari dan langkah perlindungan. Umur, status kesihatan dan lokasi geografi merupakan antara faktor yang perlu dipertimbangkan semasa memberi nasihat dan cadangan.
Pakar mengesyorkan untuk meluangkan sedikit masa di bawah sinar matahari pada waktu tengah hari dan faktor seperti jenis kulit dan lokasi perlu dipertimbangkan. Pemakaian krim pelindung matahari dengan faktor perlindungan matahari (SPF) yang mencukupi turut disarankan untuk memastikan perlindungan kulit daripada sinar UV yang berlebihan. Perkara utama yang harus dipertimbangkan adalah tempoh pendedahan sinar matahari dengan mengambil kira ciri-ciri individu dan faktor persekitaran.
Kesimpulannya, walaupun seseorang individu tidak mengalami ketoksikan vitamin D melalui pendedahan kepada cahaya matahari yang berpanjangan, faktor risiko lain berkaitan kesihatan kulit perlu dipertimbangkan. Selain itu, penting bagi setiap lapisan masyarakat untuk memahami pelbagai faktor yang mempengaruhi penghasilan vitamin D di kulit. Akhir sekali, sinar matahari ibarat kawan atau lawan—pendekatan yang diambil sangat penting kerana boleh memberikan kesan terhadap kesihatan dan kesejahteraan secara keseluruhan.
Sumber foto- Irish Cancer Society