Oleh : Dr Marlia Mohd Hanafiah

Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Nota : [Berikut merupakan ringkasan jurnal Nan Hamiza Syazira Megat Mohamad, Nur Izzah Hamna Abd. Aziz & Marlia Mohd Hanafiah berjudul “Salvinia molesta dan Pistia stratiotes sebagai Agen Fitoremediasi dalam Rawatan Air Sisa Kumbahan” yang diterbitkan dalam Jurnal Sains Malaysiana 47(8), 1625-1634 pada tahun 2018.
Air sisa hasil daripada aktiviti manusia seperti domestik, perindustrian, pertanian dan penternakan yang mengandungi bahan pencemar dan tidak dirawat boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Akumulasi logam berat dan bahan pencemar memberi impak negatif kepada ekosistem akuatik dan menjejaskan sumber bekalan air bersih. Keperluan pengurusan dan rawatan air sisa adalah penting bagi menangani krisis kekurangan bekalan air bersih, isu pencemaran sumber air, kos rawatan air yang semakin meningkat serta mematuhi peraturan pelepasan air sisa yang telah ditetapkan. Bagi mengatasi masalah ini, kaedah fitoremediasi merupakan salah satu alternatif dalam merawat air sisa dengan menyingkirkan logam berat serta memerangkap nutrien dan mikroorganisma berbahaya yang terhasil daripada aktiviti perindustrian mahupun domestik.
Fitoremediasi merupakan satu kaedah rawatan yang menggunakan tumbuhan untuk tujuan degradasi, pengekstrakan atau penyingkiran bahan pencemar dalam tanah dan air. Kelebihan menggunakan kaedah fitoremediasi adalah rawatan ini mesra alam dan menjimatkan. Rawatan fitoremediasi menggunakan tumbuhan akuatik berupaya daripada segi biologinya untuk menyerap logam berat dan nutrien yang terdapat dalam air sisa serta memperbaiki tahap kualiti air.

Salvinia molesta dan Pistia stratiotes merupakan tumbuhan akuatik yang mempunyai kadar pertumbuhan yang cepat dan berkemampuan dalam mengakumulasi logam berat dan menyerap nutrien menjadikan ia sesuai digunakan untuk merawat air sisa melalui kaedah fitoremediasi. Kajian telah dijalankan untuk menentukan kadar pengurangan jumlah pepejal terampai dan ammoniakal nitrogen di dalam air kumbahan melalui kaedah fitoremediasi dengan menilai kualiti air sisa kumbahan yang diambil untuk sebelum dan selepas rawatan dijalankan. Hasil kajian menunjukkan kedua-dua tumbuhan akuatik berkesan dalam menyingkirkan 95% jumlah pepejal terampai dan juga 92% ammoniakal nitrogen dalam sampel air sisa kumbuhan pada hari terakhir rawatan. Kesimpulannya, rawatan fitoremediasi merupakan salah satu alternatif berkos rendah dan mesra alam dalam rawatan air sisa. Namun, pemilihan tumbuhan yang tepat juga penting bagi memastikan keberkesanan rawatan fitoremediasi tersebut. Penuaian secara berkala perlu dilakukan apabila tumbuhan tersebut mereput untuk mengelakkan nutrien dilepaskan semula ke dalam jasad air. Oleh itu, jasad air perlu dipelihara untuk mengelakkan berlakunya pencemaran yang memerlukan rawatan air.
Kredit Foto : Jurnal Sains Malaysiana