Wawancara bersama Prof. Felix Tongkul Pakar Geologi Universiti Malaysia Sabah
yang tersiar dalam Berita Minggu ( Ahad 14/6/2015)
BH: secara geografi, Gunung Kinabalu dianggap antara kawasan paling selamat sebelum digegarkan dengan gempa bumi pada 5 jun lalu. Apa penjelasan Prof mengenai kejadian ini yang mengejutkan banyak pihak?
Prof Felix: Gempa bumi ini berpunca daripada pelepasan tenaga yang sangat cepat apabila berlaku pergerakan sesar (iaitu retakan yang panjang dan kedalaman boleh mencapai beberapa kilometer(km) dalam)
Jenis sesar yang bergerak di sini adalah sesar turun, di mana satu bahagian permukaan bumi telah turun, mungkin beberapa sentimeter (cm). pelepasan tenaga bermula dari satu titik, yang dikenali sebagai fokus gempa bumi, yang terletak sekitar 10km di bawah permukaan. Titik pada permukaan bumi di atas fokus ini dikenali sebagai pusat gempa bumi. Pusat gempa bumi ini terletak sekitar pergunungan Kinabalu, maka itulah sebabnya kawasan yang paling teruk dilanda gegaran adalah pada Gunung Kinabalu. Kejadian penurunan sebahagian permukaan bumi di sini mungkin dikaitkan dengan proses isostasi, iaitu proses penstabilan yang berterusan selepas sesuatu kawasan terangkat, seperti yang berlaku pada pengangkatan kawasan gunung kinabalu apabila intrusi batuan igneus(granit) terjadi beberapa juta tahun lalu.
BH: Adakah gempa bumi ini ada kaitan dengan kedudukan Lingkaran Api Pasifik kerana Malaysia berada antara Indonesia dan Filipina?
Prof Felix: Gempa bumi ini secara tidak lansung boleh dikaitkan dengan Lingkaran Api Pasifik. Ini adalah kerana Sabah berdekatan dengan Filipina dan Indonesia. Lingkaran Api Pasifik ini adalah jalur di mana tiga plet (plate)bumi utama berinteraksi. Di bahagian barat laut terdapat Plet Eurasia, di mana Sabah terletak, di Sebelah timur ada Plet Filipina-Pasifik dan di sebelah selatan ada Plet India-Australia. Plet Eurasia bergerak sekitar 5 cm setahun ke arah tenggara, sementara Plet Filipina-Pasifik bergerak sekitar 10 cm setahun ke arah barat dan Plet India-Australia bergerak sekitar 7 cm setahun ke arah utara. Pertembungan ketiga-tiga plet ini menyebabkan terkumpul tenaga atau tekanan dalam bumi khususnya di sepanjang lingkaran ini yang akhirnya perlu dilepaskan. Tenaga ini biasanya dilepaskan melalui pergerakan sesar atau letupan volkano. Walaupun sabah terletak jauh dari lingkaran ini, kira-kira 1000km tetapi tekanan yang terkumpul perlu juga dilepaskan melalui sesar-sesar yang ada di sabah. Disebabkan jaraknya yang jauh, kesannya agak berkurangan.
BH: berdasarkan gempa utama dan beberapa gempa susulan, adakah akan mengakibatkan perubahan struktur besar bentuk muka bumi di situ. Prof sendiri mengatakan gempa susulan tidak akan sekuat yang pertama atau lebih rendah tetapi sebenarnya ia membimbangkan penduduk?
Prof Felix: Selepas gempa utama dan gempa susulan, memang dijangka berlaku perubahan pada permukaan bumi, melalui proses penurunan permukaan kerak bumi dan melalui kejadian tanah runtuh di permukaan. Sebahagian besar permukaan dan lereng gunung kinabalu kini terjejas.
BH: Berdasarkan kes gempa sebelum ini, berapa lama gempa bumi susulan ini akan berhenti sepenuhnya?
Prof Felix: Gempa susulan akan terus berlaku sehingga semua tenaga atau stress yang terkumpul dalam bumi dilepaskan. Dijangkakan gempa susulan ini bermagnitud kecil di bawah skala empat akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Walaupun gempa susulan ini bermagnitud kecil, gegaran yang berterusan mampu menyebabkan tanah runtuh dan menamban kerosakan pada bangunan yang sedia retak.
BH: Gempa bumi dilautan hindi yang menjadi punca tsunami pada disember 2004 dikatakan mengakibatkan peralihan kerak bumi. Adakah gempa bumi kali ini juga berkaitan dengan kesan kejadian itu?
Prof Felix: Tidak! Gempa bumi di Ranau tidak ada kaitan dengan gempa bumi Lautan Hindi tahun 2004
BH: Beberapa runtuhan puncak berlaku di Gunung Kinabalu termasuk Donkey Ears. Adakah gempa ini mengakibatkan ketinggian puncak akan berubah dan semkain rendah. Bagaimanapula kesan kepada kawasan bukit rata atau landai?
Prof Felix: Kesan terhadap ketinggian puncak gunung kinabalu belum dapat dipastikan pada masa sekarang sebab belum ada kajian yang telah dilakukan di puncak.
BH: bagaimana pula dengan kawasan yang terjejas atau berisiko terkena tempias seperti Kota Belud, Tuaran, Papar dan Tambunan
Prof Felix: Kesan sekunder gempa bumi ini berkaitan dengan kejadian tanah runtuh yang meluas di sekitar pergunungan Kinabalu. Beberapa tanah runtuh sudah berlaku di bahagian Hulu Sungai Kadamaian, Daerah Kota Belud. Begitu juga di hulu Sungai Mesilou di Kawasan Kundasang. Tanah runtuh ini berpotensi untuk menghalang pergerakan aliran air sungai dan boleh menimbulkan keadaan di mana terbentuknya empangan sementara. Jika empangan sementara ini pecah, banjir lumpur boleh berlaku dan boleh membawa risiko tinggi kepada penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Kadamaian dan Sungai Mesilou.
BH: Beberapa tahun lalu, gempa bumi juga pernah berlaku di Bukit Tinggi, Pahang. Adakah ia juga berkaitan dengan gempa terbaharu di Sabah.
Prof Felix: Gempa bumi di semenanjung tiada kaitan dengan gempa bumi di Sabah. Ini kerana jarak antara lokasi sangat jauh dan juga keadaan geologi (termasuk kehadiran sesar) antara mereka adalah berbeza.
BH: Daripada aspek keselamatan, adakah laluan utama yang digunakan ke puncak selamat untuk digunakan atau pihak Taman Negara perlu melencongkan ke laluan baru?
Prof Felix: Setakat ini, saya difahamkan laluan pendaki yang ada sekarang adalah paling sesuai dan selamat. Memang ada laluan alternatif ke puncak gunung, tetapi ia lebih mencabar dan kurang selamat. Kajian perlu dilakukan sebelum memutuskan laluan mana pada masa akan datang.
BH: Kesan sampingan lain akibat gempa bumi terutamanya di sekitar Kundasang dan Taman Negara.
Susulan kejadian tanah runtuh yang berleluasa, sebahagian sungai telah mengalami perubahan yang agak luar biasa, di mana air sungai telah berubah warna kepada coklat, hijau ke warna hitam. Sebahagian sungai juga menunjukkan buih yang banyak. Air juga bersifat alkali sehingga ukuran PH 10. Fenomena ini dilaporkan menyebabkan ikan mati. Perkara ini berlaku akibat proses pengeluaran pelbagai jenis mineral dalam batuan atau tanah yang runtuh dan terkumpul di ulu sungai. Batuan ultrabasik di sekitar Gunung Kinabaludipercayai menyumbang mineral yang menyebabkan air sungai menjadi alkali. Ketika hujan turn, banyak air terjun yang terbentuk di lereng gunung menyebabkan air alkali di bawah berbuih, sama seperti ‘the tarik’.
Sumber-Berita Harian