Penulis: Hamdan Hj. Abu
(yang meninjau kehadiran spesies asing invasif jenis udang kara air tawar di Muar, Johor)
Spesies asing invasif (IAS) merupakan salah satu ancaman atau kesan negatif yang serius kepada biodiversiti, fungsi ekosistem, alam sekitar, habitat asal, sosioekonomi malah mengancam kesihatan manusia. Hidupan IAS atau invasive alien species meliputi tumbuh-tumbuhan tertentu, haiwan, ikan, udang, krustasea dan kerangan atau mikroorganisma yang tersebar di luar daripada kawasan semulajadinya sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kehadiran IAS di kawasan baharu juga boleh mengancam penternak, petani, nelayan dan pekebun dari aspek kesihatan dan juga pendapatan.
Jika populasi IAS tersebar dan membiak secara meluas ia juga boleh menyebabkan gangguan rantaian makanan di dalam sesebuah negara. IAS boleh memberi impak negatif kepada tanam-tanaman, hidupan malah boleh merebakkan penyakit kepada manusia. Rencana ini hanya membicarkan IAS akautik yang boleh menyebabkan ancaman dan kepupusan hidupan air asal seperti pelbagai ikan dan udang air tawar. Antara spesies IAS ini ialah udang kara atau lobster air tawar, ikan baung ekor merah Amazon, ikan baung ekor merah Mekong, ikan hantu hitam manakala siput gondang banyak memusnahkan tanaman padi.
Para penyelidik mengatakan terdapat kira-kira 143 jenis IAS mengikut sektor tertentu. Antaranya IAS tumbuh-tumbuhan (57), IAS haiwan dan bawaan haiwan (55) serta AIS akuatik (31). Sebanyak 64 IAS dikesan berada di negara ini meliputi IAS tumbuh-tumbuhan (17), IAS haiwan dan penyakit bawaan haiwan (19) serta IAS akuatik (28).
(Untuk pengetahuan bersama antara IAS pertanian yang merebak di Malaysia termasuklah Hawar Bulir Bakteria (Bacterial Panicle Blight), Ulat Ratus (Fall Armyworm), Kumbang Merah Palma (Red Palm Weevil), Rumpai Miang Mexico, Papaya Ringspot Virus dan Papaya Dieback).
Beberapa tahun lalu, penduduk di daerah Muar dan Kluang, Johor gempar apabila mereka menemui sejenis udang seakan-akan lobster tetapi saisnya lebih kecil dalam kawasan berair di daerah itu. Hidupan itu dikenali sebagai udang kara air tawar atau dikenali juga sebagai lobster air tawar (LAT) yang berasal dari Australia dan Papua New Guinea. Nama saintifik haiwan krustasea air tawar ini ialah Cherax Quadricarinatus. Nama lain spesies ini ialah udang cakar merah Australia atau lebih dikenali juga sebagai “red claw”.
Ternakan Akuatik
Spesies udang kara air tawar ini cepat membiak serta membesar dan boleh dimakan. Ia tergolong sebagai haiwan Omnivor yang memakan apa sahaja seperti tumbuh-tumbuhan, sayur dan daging. LAT memakan ikan, udang termasuk spesiesnya sendiri dan segala hidupan di air. Pada peringkat awal, LAT yang diimpot ke negara ini hanya dijadikan ternakan akuatik peliharaan di dalam akuarium.Kemudiannya dibiakkan dan diternak di kolam-kolam simen, kanvas atau tanah untuk tujuan komersial.
Udang itu yang telah dimasak dihidangkan di beberapa restoran mewah atau restoran di hotel lima bintang sangat tinggi harganya hingga mececah ratusan ringgit sekilogram. Harga udang mentah pula boleh meningkat sehingga ratus ringgit sekilogram bergantung pada jenis dan sais terutama LAT sepit merah yang sangat popular di kalangan penggemarnya. Spesies udang ini mempunyai kandungan kolestrol yang rendah.
Penternakan LAT secara komersial dikesan pertama kali di Johor pada tahun 2003 dan kemudiannya ke Selangor dan kini kemungkinan telah membiak ke seluruh negara. LAT, sejenis hidupan akuatik yang lasak dan mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran air tawar. Pakar-pakar bimbang andainya spesies ini terlepas atau sengaja dilepaskan di mana-mana kawasan berair kerana ia boleh mengancam habitat semula jadi.
Kehadiran IAS seperti LAT merupakan ancaman kedua terbesar terhadap kepelbagaian biodiversiti kerana boleh menghapuskan habitat asal di samping boleh menganggu rantaian makanan. Pemulihannya mungkin sukar serta menelan belanja yang tinggi di samping kerugian dari aspek ekonomi kepada industri mahupun mereka yang terlibat dalam bidang penternakan hidupan air.
Udang ini yang agak tahan lasak, hidup di mana-mana sahaja dan kitaran pembiakannya mudah serta kadar pertumbuhan yang cepat kerana jarang ditimpa penyakit. Ia menghambil masa kira-kira lima hingga tujuh bulan untuk mencapai tahap dewasa. LAT mampu membesar antara 240 sentimeter (cm) hingga 420 cm panjang dan kitaran hidupnya antara enam hingga tujuh tahun. Udang betina mampu bertelur antara 300 sehingga 800 biji malah ada yang bertelur sehingga 1,500 biji pada satu-satu masa bergantung pada saisnya. Seekor LAT bersais matang mempunyai berat kira-kira 250 gram atau lebih jika bersais lebih besar dan hidup antara lima hingga tujuh tahun serta bertelur tiga kali setahun.
Udang ini mempunyai cengkerang untuk melindungi kepalanya dan mempunyai sejenis deria panjang seperti “sesungut” yang berfungsi sebagai pengesan dan penghidu. Ia juga memakan spesiesnya sendiri terutama anak-anak udang yang baharu menetas.
Menjejaskan Persekitaran Akuatik
Prospektus Pelan Tindakan Nasional Mengenai Invasive Alien Spesies 2021 – 2025 yang diterbitkan Jabatan Pertanian Malaysia menyatakan, LAT atau udang cakar merah boleh menjejaskan persekitaran akuatik melalui perubahan dalam habitat semula jadi, sebagai pemangsa langsung, menjadi pesaing pada kehidupan asal serta boleh merebakkan penyakit. Jabatan Perikanan Malaysia menyenaraikan tidak kurang daripada 10 jenis IAS air tawar (lihat jadual 1) yang telah membiak di seluruh negara secara ternakan atau hidup liar.
Namun, sama ada secara langsung atau kerana kecuaian manusia telah menyebabkan spesies tersebut terlepas dan hidup bebas di kawasan berair seperti yang ditemui pertama kali di Parit Air Hitam, Muar dan Kluang, Johor. Beberapa tahun lalu juga, pemancing di Johor menemui ikan pemangsa dikenali dengan nama “ikan pemakan bumi” atau earth eater (geophagus steindachneri) yang memakan ikan-ikan kecil, udang, serangga dan larva.
Tinjauan rambang penulis baru-baru ini menemui LAT hidup di beberapa kawasan berair di Mukim Parit Ayer Hitam kira-kira 28 kilometer ke Muar. Ia mudah ditangkap sama ada menggunakan pancing, bubu payong atau tangguk yang diletakkan apa saja umpan atau menggunakan jala.
Imam Masjid Nurul Imam, Parit Haji Anuar Mukim Parit Ayer Hitam, Muar, Encik Mat Nasoha Hj. Ahmad berkata,
“penduduk kampung tak sedar pun bila udang kara itu membiak. Pemancing dan penjala ikan jumpa sejak beberapa tahun lalu. Mereka tangkap untuk makanan sendiri”.
Katanya lagi, LAT ditemui di kawasan berair seperti parit-parit dan saliran di Mukim Air Hitam, Muar dan sekitarnya. Penduduk, ada yang menjualnya dengan harga kira-kira RM45.00 sekilogram tetapi selalunya peraih atau orang tengah membeli dengan harga lebih murah.
Bagaimanapun, kata Mat Nasoha, tidak semua penduduk menyedari tentang ancaman udang kara air tawar itu terhadap kehidupan air yang lain. Beliau juga memberitahu, penduduk hairan kerana ikan-ikan air tawar seperti haruan, keli, sepat dan lain-lain di dlam parit sekitar kampung semakin sukar ditemui.
Pengerusi Kelab Alam Sekitar Seri Sempadan Muar, Johor, Encik Abdul Rashid Md Jal ketika dihubungi penulis menjelaskan, ahli kelab mengadakan aktiviti menangkap LAT secara berkala dengan pelajar sekolah, universiti dan penduduk kampung sejak 2021.
Kadang-kala aktiviti menangkap LAT dilakukan bersama para penyelidik universiti, sukarelawan dan anggota pertubuhan bukan kerajaan bertujuan untuk mengurangkan pembiakan udang invasif tersebut. Namun, ia semakin membiak dan merebak ke kawasan lain di Johor seperti Batu Pahat dan Kota Tinggi.
Katanya, spesies tersebut sudah membiak di kebanyakan kawasan parit di Mukim Air Hitam yang dipercayai sejak 2006 selepas banjir besar di Johor. “Kemungkinan terlepas daripada kolam penternak atau dilepaskan oleh individu yang tidak bertanggungjawab”, ujarnya.
Abdul Rashid mengajak sesiapa jua datang ke Mukim Air Hitam untuk menangkap udang itu untuk makanan sendiri di samping menjayakan matlamat untuk mengurangkannya.
Pemancing, Encik Rosli Hassan, 66 tahun berkata, beliau pernah mendengar mengenai LAT tetapi tidak menyangka ia telah membiak dengan banyak di beberapa tempat. “Jika boleh mengancam hidupan asal, sesuatu perlu dilakukan untuk mengawalnya. Jangan kita ada udang kara tapi ikan-ikan sungai pupus pula”, katanya.
Beliau yang ditemui di Parit Air Hitam, Muar ketika sedang memancing memberitahu, kira-kira 20 ekor LAT yang ditangkap akan dipelihara dalam akuarium di rumahnya sebagai hobi. Ia juga boleh dijadikan bahan pendidikan kepada anak cucu beliau untuk menerangkan spesies IAS seperti itu yang mengancam habitat asal.
Membasmi LAT
Bagaimana IAS seperti LAT ini boleh dibasmi? Disebabkan bukan satu spesies IAS sahaja yang telah membiak di negara ini, membasminya bukan satu kerja yang mudah. Jika ingin membasminya perlu dilakukan secara bersama dan berterusan melibatkan agensi kerajaan, swasta dan juga masyarakat setempat. Sudah tentu kosnya juga bukan murah.
Penyelidik Pelawat Unit Penyelidikan Pengurusan dan Pemuliharaan Alam Sekitar (eNCOre), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Encik Mohd Ilham Norhakim Lokman menjelaskan “kemunculan spesies pendatang dalam sungai di negara kita saban hari semakin membimbangkan. Antara bahaya yang menanti adalah spesies tersebut akan menjadi dominan, sekaligus mampu merosakkan ekosistem dan biodiversiti asal hidupan spesies tempatan”.
Beliau yang melibatkan diri bersama beberapa orang penyelidik eNCOre dan Kelab Alam Sekitar Seri Sempadan Muar – Johor mengenai hidupan air terkejut dengan penemuan IAS di Muar, Johor itu. Kata Mohd Ilham, kajian yang dilakukannya di sebatang parit kecil di Mukim Air Hitam mendapati antara 30 – 40 ekor LAT memasuki 10 bubu yang dipasang dan diangkat pada selingan masa 30 minit pada jarak kira-kira 18 meter antara setiap bubu.
Mohd Ilham, 37 tahun yang juga penyelidik Lchthyology telah melibatkan diri dalam kajian IAS sejak 2017 di seluruh negara. Komitmen beliau dalam kajian IAS mendorongnya menulis dua buah buku secara bersama dengan penyelidik sepasukan berjudul, “Fishers Of North Selangor Peat Swam Forest” dan “ Fishers at Tasik Bera, Pahang” dengan kerjasama enam buah institut pengajian tinggi negara.
(Lchthyology ialah cabang pengajian zoologi yang menumpukan kajian mengenai ikan dan hidupan air termasuk ikan bertulang, Osteichthyes; ikan rawan, Chondrichthyes dan ikan tanpa rahang seperti Agnatha).
Beliau melahirkan kebimbangan kerana spesies asing itu telah membiak dengan pantas di kebanyakan tempat dan boleh mengakibatkan kerosakan biodiversiti yang sangat teruk.
Ditanya apakah langkah berkesan untuk membasmi spesies lobster air tawar itu, Mohd Ilham berkata, “hanya menangkap sebanyak yang mungkin kerana belum ada kaedah saintifk untuk membasminya”.
Disebabkan harga LAT yang tinggi di pasaran dan permintaan yang banyak, dikhuatiri penternakannya menjadi tidak terkawal dan spesies itu dilepaskan secara bebas. Hal demikian jika terus dibiarkan akan menyebabkan masalah yang lebih sukar sedangkan spesies asing yang sedia ada pun tidak dapat dibasmi.
Untuk membendong ancaman IAS secara bersepadu, perlu ada undang-undang khusus bukan sahaja untuk mengawal dan mencegah, bahkan rangka kerja mewujudkan kesedaran awam secara berterusan dan gerakerja berkala untuk memeriksa dan membasminya. Sudah tentu ia melibatkan pelbagai peringkat kementerian, agensi, institut pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti itu sendiri.
Sementara itu, usaha penulis sehingga tarikh rencana ini ditulis untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Pengarah Perikanan Negeri Johor masih belum menerima maklum balas.
Oleh itu, sehubungan perkara ini, penulis mencadangkan, aktiviti membasminya perlu dilakukan sentiasa bagi memelihara ekosistem setempat. Melalui program-program santai seperti pertandingan memancing LAT boleh dilaksankan dari masa ke semasa melibatkan penduduk di kawasan terlibat serta penyertaan daripada pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan sebagainya sebagai satu kegiatan membasminya.
Pada masa sama agensi yang berkaitan juga perlu menjalankan penguatkuasaan untuk memeriksa kolam-kolam komersial yang menternak apa jua IAS. Dikhuatiri beberapa kolam yang tidak mendaftar dengan agensi berkaitan mungkin menjadi penyebab kepada spesies berkenaan membiak secar liar di kawasan berair.
Program kesedaran seperti itu juga diyakini dapat memberi pendedahan dan mendidik orang ramai mengekalkan kelastrian alam sekitar dan mengelak daripada melepaskan spesies asing serta tidak mencemar alam sekitar. Orang ramai juga akan mendapat maklumat mengenai bahaya yang dibawa oleh pelbagai IAS pada biodiversiti alam sekitar dan juga kehidupan manusia serta ekonomi. Oleh itu, jangan sama sekali melepaskan apa jua IAS bahaya itu di sekeliling kita.
Beberapa Perkara Mengenai Lobster Air Tawar Berdasarkan Pemerhatian Penulis:
- Hidup di kawsan air tawar di mana-mana sahaja dan memakan apa saja.
- Mudah ditangkap menggunakan apa jua umpan lebih-lebih lagi yang berbau kuat (udang ini mempunyai deria pengesan dan penghidu)
- Habitatnya hidup berpasangan. Penulis mendapati, LAT kebanyakannya memasuki bubu secara berpasangan seperti dua ekor, empat atau enam ekor.
- Di atas tanah, bergerak secara mengundur.
- Mampu memanjat kolam yang berpermukaan kasar untuk mencari kawasan yang lebih sesuai.
- Mampu bergerak jauh walau tiada air. Penulis mendapati ia mampu hidup dan bergerak beberapa jam di atas tanah untuk mencari kawasan berair.
- LAT yang ditangkap ada yang kehilangan sepit. Mungkin kerana bergaduh sesama sendiri atau diserang pemangsa.
- Jika dibela dalam kolam atau akurium, tidak memerlukan pengepam oksigen jika pH air dikawal.
Gambar-gambar liputan penulis













