Penulis: Ir. Dr. Mohamad Riduwan Bin Ramli
Pensyarah dan Penyelidik, Program Kejuruteraan Polimer, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral,
Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia
Apabila kita menyebut tentang plastik, gambaran pertama yang sering terlintas di fikiran ialah botol air mineral, beg plastik, atau bekas makanan pakai buang. Tidak kurang juga yang terus mengaitkannya dengan pencemaran alam sekitar. Namun, adakah plastik atau polimer sekadar bahan murah yang menyusahkan alam sekitar? Atau sebenarnya ia merupakan antara bahan terpenting yang membentuk dunia moden hari ini?
Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu melihat plastik atau polimer daripada sudut yang lebih luas bukan sekadar sebagai sisa, tetapi sebagai bahan asas kepada kemajuan teknologi dan kehidupan seharian manusia.
Plastik dan Polimer: Satu Bahan, Dua Istilah
Dari sudut sains bahan, plastik dan polimer merujuk kepada bahan yang sama. Polimer ialah istilah saintifik bagi bahan yang terdiri daripada rantaian molekul panjang, manakala plastik ialah istilah umum yang digunakan oleh masyarakat untuk polimer yang dibentuk menjadi barangan harian. Ringkasnya, hampir semua plastik ialah polimer, tetapi tidak semua polimer boleh dianggap sebagai plastik biasa.
Kekeliruan inilah yang sering menyebabkan polimer dipandang remeh. Hakikatnya, dunia moden yang kita nikmati hari ini tidak mungkin wujud tanpa bahan polimer.

Polimer dalam Kehidupan Seharian Manusia
Cuba bayangkan kehidupan seharian kita tanpa polimer. Telefon pintar, komputer riba, peralatan elektrik, kenderaan, pakaian sukan, peralatan perubatan, pembungkusan makanan, malah sistem paip air di rumah semuanya bergantung kepada polimer. Tanpa bahan ini, kebanyakan teknologi moden akan menjadi terlalu berat, terlalu mahal, atau langsung tidak praktikal untuk digunakan.
Inilah sebabnya polimer dianggap sebagai bahan strategik dalam pembangunan masyarakat moden. Ia bukan sahaja memudahkan kehidupan, malah menjadikan teknologi lebih mampu milik dan boleh diakses oleh orang ramai.
Untuk memahami kepentingan polimer dengan lebih jelas, kita boleh mengelaskannya kepada tiga kategori utama berdasarkan penggunaannya iaitu, polimer komoditi, polimer kejuruteraan, dan polimer khusus.
Polimer komoditi ialah polimer yang paling dekat dengan kehidupan harian. Ia digunakan secara besar-besaran untuk menghasilkan barangan keperluan asas seperti botol minuman, beg plastik, bekas makanan, dan pembungkus. Polimer jenis ini murah, ringan, dan mudah diproses. Disebabkan jumlah penggunaannya yang sangat besar, polimer komoditi sering menjadi tumpuan dalam isu pencemaran alam sekitar. Namun, kebanyakan polimer jenis ini sebenarnya boleh dikitar semula jika diurus dengan betul.
Polimer kejuruteraan pula memainkan peranan penting dalam sektor industri. Ia digunakan dalam aplikasi yang memerlukan ketahanan mekanikal, terma, dan kimia yang tinggi. Contohnya termasuk komponen automotif, struktur pesawat, tayar kenderaan, bahan epoksi dalam pembungkusan elektronik, serta gentian berprestasi tinggi. Tanpa polimer kejuruteraan, banyak teknologi moden akan menjadi terlalu berat, mahal, atau kurang efisien.
Polimer khusus merupakan polimer berprestasi tinggi yang direka khas untuk kegunaan tertentu sahaja. Ia digunakan dalam bidang aeroangkasa, perubatan, elektronik berprestasi tinggi, dan pertahanan. Polimer seperti poliimida, poli-eter-eter-keton (PEEK), polisulfon, dan Kevlar® mampu berfungsi dalam keadaan ekstrem seperti suhu yang sangat tinggi atau rendah, beban kitaran berulang, dan persekitaran yang agresif. Walaupun mahal, polimer jenis ini kritikal dalam memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan teknologi moden.

Mengapa Polimer begitu Istimewa?
Keistimewaan utama polimer terletak pada struktur kimianya yang fleksibel. Polimer terdiri daripada rantaian molekul organik yang boleh direka dan diformulasi mengikut keperluan. Melalui kawalan struktur molekul, jurutera bahan boleh menghasilkan polimer yang keras atau lembut, tahan haba atau mudah lebur, fleksibel atau sangat kuat.
Berbanding bahan seperti logam dan seramik yang sukar diubah sifatnya, polimer menawarkan kebebasan reka bentuk yang jauh lebih besar. Inilah sebabnya polimer sering menjadi pilihan utama dalam pembangunan teknologi baharu. Bermula daripada peranti elektronik yang semakin kecil, kenderaan yang lebih ringan, hinggalah peralatan perubatan yang lebih selamat dan mesra pesakit.
Industri elektronik, aeroangkasa, automotif, dan perubatan sangat bergantung kepada polimer. Dalam pembungkusan elektronik, contohnya, bahan polimer digunakan untuk melindungi cip daripada kelembapan, haba, dan tekanan mekanikal. Dalam bidang perubatan pula, polimer digunakan untuk menghasilkan peralatan pakai buang yang steril, implan, dan sistem penghantaran ubat.
Tanpa polimer, kemajuan teknologi akan menjadi sangat perlahan dan mahal. Polimer membolehkan inovasi berlaku dengan lebih pantas kerana ia mudah diubah suai dan dihasilkan dalam skala besar.
Isu Kitar Semula dan Tanggungjawab Masyarakat
Walaupun polimer sangat penting, isu alam sekitar tidak boleh dipandang ringan. Kebanyakan masalah pencemaran berpunca daripada polimer komoditi yang digunakan secara tidak terkawal dan dibuang tanpa pengurusan yang baik. Untuk itu, kefahaman masyarakat terhadap kitar semula plastik adalah amat penting.
Secara umum, plastik komoditi dikelaskan kepada tujuh kategori kitar semula seperti polietilena tereftalat (PET), polietilena berketumpatan tinggi (HDPE), polivinil klorida (PVC), polietilena berketumpatan rendah (LDPE), polipropilena (PP), polistirena (PS), dan kategori lain yang biasanya ditandakan dengan simbol segitiga bernombor.

Antara yang paling biasa ialah PET untuk botol minuman, HDPE untuk botol susu dan sabun, PVC untuk paip dan penebat elektrik, LDPE untuk beg plastik, PP untuk bekas makanan dan straw, serta PS atau polistirena yang sering menimbulkan kontroversi. Setiap kategori ini mempunyai sifat tersendiri dan kaedah kitar semula yang berbeza.
Kefahaman masyarakat terhadap simbol dan kategori ini sangat penting. Tanpa pengasingan yang betul, bahan yang sepatutnya boleh dikitar semula akhirnya tetap menjadi sisa.
Tidak dapat dinafikan bahawa polimer, khususnya polimer komoditi, menyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar. Namun, persoalannya ialah; adakah masalah ini berpunca daripada bahan itu sendiri, atau daripada cara kita menggunakannya?
Sebahagian besar masalah alam sekitar berpunca daripada penggunaan tidak terkawal, sikap pakai buang, dan pengurusan sisa yang lemah. Polimer kejuruteraan dan polimer khusus jarang menjadi punca pencemaran besar kerana penggunaannya lebih terkawal dan bernilai tinggi. Sebaliknya, plastik murah yang digunakan sekali sahaja tanpa kesedaran kitar semula menjadi beban kepada alam sekitar.
Membina dunia moden secara bertanggungjawab
Kesimpulannya, plastik atau polimer bukanlah bahan yang “tidak penting”. Sebaliknya, ia merupakan teras kepada pembentukan dunia moden. Cabaran sebenar bukan terletak pada kewujudan polimer, tetapi pada cara kita menggunakannya, mengurusnya, dan mendidik masyarakat tentang peranannya.
Dengan kesedaran, inovasi, dan pengurusan yang bertanggungjawab, polimer boleh terus menyumbang kepada kemajuan teknologi tanpa mengorbankan kelestarian alam sekitar. Dunia moden dibina oleh polimer dan masa depannya bergantung kepada bagaimana kita menggunakannya hari ini.
Kredit foto utama-Bruker
Biodata Penulis:
Ir. Dr. Mohamad Riduwan Ramli ialah pensyarah Kejuruteraan Polimer di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau merupakan jurutera profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dalam bidang Kejuruteraan Proses. Bidang kepakaran beliau tertumpu kepada kejuruteraan polimer, khususnya pembangunan bahan polimer untuk aplikasi pembungkusan elektronik. Sebelum menyertai USM, beliau berkhidmat sebagai jurutera bahan dan proses di Western Digital, Batu Kawan, sebuah syarikat multinasional dalam industri semikonduktor. Pengalaman industri tersebut memberi pendedahan luas kepada penggunaan bahan polimer dalam teknologi elektronik moden. Selain aktif dalam penyelidikan dan pengajaran, beliau juga berminat dalam penulisan popular sains bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan bahan dan teknologi dalam kehidupan seharian.





