23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Saturday, January 31, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Antara Salji, Ural dan Ilmu: Sebuah Catatan Pengalaman Penyelidikan Akademik dari Minden ke Atyrau

Antara Salji, Ural dan Ilmu: Sebuah Catatan Pengalaman Penyelidikan Akademik dari Minden ke Atyrau

Editor by Editor
30/01/2026
in Alam Semulajadi, Berita & Peristiwa, Kimia, Luar Negara
0 0
0

Oleh: Mohammad Anwar Mohamed Iqbal1, Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim1, Mohammad Bisyrul Hafi Othman1, Temirkhanova Gulden Yerlanovna2, Dauren Moldabayev3

1Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia, Minden 11800 Pulau Pinang, Malaysia

2Atyrau Oil and Gas University named after Safi Utebaev, Atyrau Kazakhstan

3Director, Regional Physics and Mathematics School “Sarayshyq”, Atyrau, Kazakhstan

 

Kami merupakan pensyarah dan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang yang telah diberi peluang ke Atyrau Oil and Gas University named after Safi Utebaev, Atyrau, barat Kazakhstan sebagai sebagai penyelidik pelawat selama sebulan.

Program penyelidikan antarabangsa ini mendapat penajaan di bawah peruntukan Republican Budget of the Republic of Kazakhstan. Program ini merupakan satu inisiatif strategik kerajaan Kazakhstan untuk memupuk kerjasama penyelidikan rentas negara, memperkukuh jaringan akademik global, serta meningkatkan imej dan kedudukan universiti-universiti tempatan pada peringkat antarabangsa. Jemputan ini tidak hanya sekadar lawatan rasmi, namun ia merupakan sebuah kembara ilmu yang menggabungkan kepakaran sains dan teknologi, budaya dan nilai kemanusiaan dalam konteks pendidikan tinggi global.

Melalui pogram ini, kami menyedari bahawa pendidikan tinggi bukan sekadar isu-isu mengejar penarafan dan penerbitan, tetapi berkait rapat dengan tradisi keilmuanmembina kepercayaan, saling memahami dan berkongsi nilai sejagat, walaupun dipisahkan oleh ribuan kilometer, bahasa yang berbeza serta iklim yang berbeza.

Atyrau: Bandar Minyak di Persimpangan Benua

Atyrau sering dirujuk sebagai “ibu kota minyak Kazakhstan”, namun gambaran ini hanya menceritakan sebahagian kecil tentang bandar tersebut. Terletak di muara Sungai Ural yang mengalir ke Laut Kaspia, atau ‘Jaik’ menurut sebutan penduduk tempatan, Atyrau berdiri di atas satu garis halus yang memisahkan, namun pada masa yang sama menyatukan, benua Eropah dan benua Asia.1-3 Kewujudan dua benua ini di Atyrau, bukan sahaja pada peta dan koordinat geografi, tetapi juga melalui lapisan sejarah, budaya dan peradaban yang telah berjalin sejak berabad lamanya.

Sungai Ural yang panjangnya melebihi 2,400 km yang hulunya bermula dari Pergunugan Ural di Rusia, mengalir tenang merentasi bandar ini Atyrau.4 Dahulu, Atyrau hanyalah sebuah penempatan yang bergantung kepada perikanan dan perdagangan, hidup selari dengan rentak alam dan sungai yang menjadi nadi kehidupan. Namun sejarah mengambil arah yang berbeza apabila minyak ditemui pada tahun 1899 di kawasan Dossor, kira-kira 120 kilometer dari Atyrau.1 Penemuan ini mengubah wajah bandar tersebut secara mendadak, membawa masuk gelombang industri, tenaga kerja dan pembangunan berskala besar.

Hari ini, Atyrau muncul sebagai sebuah bandar industri strategik yang menjadi tunjang kepada sektor tenaga Kazakhstan. Kompleks penapisan minyak, industri petrokimia, pemprosesan logam, pembinaan serta limbungan pembaikan kapal berdiri megah di sekitar bandar ini, menandakan peralihan daripada ekonomi tradisional kepada sebuah pusat industri moden. Namun di sebalik kesibukan mesin dan pertumbuhan industri, Atyrau tetap mengekalkan keunikannya sebagai sebuah bandar yang berdiri di persimpangan benua, yang sungainya, sejarahnya dan industrinya terus mengalir seiring, membentuk identiti yang tidak mudah dipudarkan.

Rajah 1: Kedudukan bandar Atyrau, Kazakhstan di bahagian barat negara tersebut, berhampiran Laut Kaspia dan di muara Sungai Ural, yang menjadi sempadan semula jadi di antara Eropah dan Asia.

Atyrau Oil and Gas University: Pusat Ilmu Industri Tenaga

Aktiviti akademik kumpulan kami berpusat di Atyrau Oil and Gas University (AOGU) yang dinamakan sempena nama Safi Utebayev, sebuah universiti awam yang berkait rapat dengan industri tenaga Kazakhstan. Kebanyakan universiti di Kazakhstan dikaitkan dengan nama seseorang tokoh. Bagi AOGU ia dinamakan Safi Utebayev iaitu seorang jurutera yang berasal dari Atyrau yang telah berjasa kepada penemuan banyak medan minyak utama di Kazakhstan. Ditubuhkan pada tahun 1978, universiti ini bukan sekadar institusi pengajian tinggi, tetapi sebuah ruang pembentukan insan yang menjadi tunjang kepada pembangunan sektor minyak, gas dan petrokimia negara tersebut.5 Di sinilah ilmu, teknologi dan keperluan industri bertemu dalam satu ekosistem pendidikan yang pragmatik dan berorientasikan masa hadapan.

Melangkah masuk ke kampus AOGU, kami dapat merasakan dengan jelas hubungan rapat antara bilik kuliah dan realiti industri. Program-program akademik yang ditawarkan mencerminkan pendekatan tersebut yang merangkumi 16 program ijazah sarjana muda, 12 program siswazah, 2 program kedoktoran (PhD) serta 5 program MBA. Setiap program dirangka dengan penekanan yang kuat terhadap keperluan sebenar industri, khususnya dalam sektor minyak, gas dan petrokimia, meliputi aspek teknikal, pembangunan teknologi serta perkhidmatan sokongan industri tenaga.5

Pendekatan ini menjadikan AOGU sebuah universiti yang tidak terpisah daripada dunia sebenar. Teori tidak berdiri sendiri, sebaliknya sentiasa diikat dengan aplikasi, latihan dan penyelesaian masalah industri. Bagi kami, pengalaman berada di AOGU memberikan gambaran jelas bagaimana sebuah universiti boleh berfungsi sebagai jambatan antara ilmu dan industri, melahirkan graduan dan penyelidik yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga bersedia menyumbang secara langsung kepada pembangunan sektor tenaga moden.

Perkongsian Ilmu dan Kerjasama Penyelidikan

Sepanjang program di AOGU, perjalanan akademik kami berkembang mengikut kepakaran masing-masing. Kami ditempatkan di dua jabatan utama. Prof. Dr. Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim bernaung di Oil and Gas Faculty, manakala Prof. Madya Dr. Mohammad Anwar Mohamed Iqbal dan Dr. Bisyrul Hafi Othman di Institute of Petrochemical Engineering and Ecology named after N.K. Nadirov. Pembahagian ini membuka ruang interaksi yang lebih mendalam dan bermakna, selari dengan keperluan disiplin serta konteks industri setempat.

Hari-hari kami diisi dengan siri syarahan akademik, seminar penyelidikan dan perbincangan ilmiah yang berlangsung dalam suasana terbuka dan saling menghormati. Sesi-sesi ini bukan sekadar penyampaian pengetahuan sehala, tetapi dialog dua hala yang mempertemukan pengalaman, persoalan dan cabaran sebenar dalam dunia penyelidikan. Dalam pertemuan bersama pelajar siswazah dan ahli akademik tempatan, kami turut berkongsi landskap pendidikan tinggi di Malaysia serta ekosistem penyelidikan di Universiti Sains Malaysia, sebagai satu usaha membina jambatan kefahaman antara dua budaya akademik yang berbeza latar tetapi berkongsi aspirasi yang sama.

Dalam syarahannya, Prof. Dr. Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim membincangkan topik “Chemists’ Contributions in the Upstream Oil and Gas Industry”, yang mengajak para peserta melihat peranan penting ahli kimia yang sering dilupakan peranannya dalam industri huluan tenaga. Perbincangan merangkumi pencirian bahan, analisis bendalir resebor, kawalan kakisan, rawatan bahan cemar serta pembangunan bahan kimia khas, kesemuanya memperlihatkan bagaimana sains kimia menyokong keputusan kejuruteraan dan kelangsungan operasi industri huluan minyak dan gas.

Prof. Madya Dr. Mohammad Anwar Mohamed Iqbal pula mengetengahkan topik “Nanomaterials for Environmental Remediation”, dengan menumpukan kepada potensi bahan nano sebagai penyelesaian teknologi bagi cabaran alam sekitar dalam industri tenaga. Melalui perbincangan tentang penggunaan bahan nano sebagai fotopemangkin untuk degradasi bahan pencemar organik serta sebagai bahan penjerap berkeupayaan tinggi bagi penyingkiran logam berat daripada sampel minyak mentah. Selain iti, melalui syarahan ini mengaitkan inovasi sains bahan dengan keperluan kelestarian. Pendekatan ini mencerminkan perubahan paradigma industri tenaga moden yang semakin menitikberatkan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Sementara itu, Dr. Bisyrul Hafi Othman membawakan syarahan bertajuk “Advancing Polymeric Materials: From Molecular Design to Functional Applications”, yang mengajak para peserta menyelami dunia kejuruteraan molekul sebagai asas kepada pembangunan bahan polimer berprestasi tinggi. Melalui contoh poliimida dielektrik rendah bagi peranti elektronik, membran poliimida tersulfonat untuk sistem pertukaran ion dan tenaga, serta hidrogel kitosan dwiresponsif untuk aplikasi pintar dan lestari, beliau memperlihatkan bagaimana pengubahsuaian terancang pada struktur molekul dapat diterjemahkan kepada prestasi dan fungsi bahan yang nyata. Penekanan terhadap hubungan struktur–sifat dan strategi sintesis terkawal menegaskan peranan kimia polimer asas sebagai pemacu inovasi industri moden.

Sebagai pelengkap kepada pengalaman bilik kuliah dan seminar, kami turut dibawa melawat Polygon, sebuah kompleks latihan dan penyelidikan seluas empat hektar yang menempatkan makmal moden, tapak latihan industri serta kemudahan ujian teknologi inovatif. Fasiliti ini merangkumi pelbagai bidang, termasuk kejuruteraan keselamatan, pengeluaran dan pemprosesan minyak, petrokimia, automasi, bekalan kuasa, pembinaan dan penyelenggaraan industri. Lawatan ini memberikan gambaran yang jelas dan nyata tentang bagaimana teori yang dibincangkan di dalam bilik kuliah diterjemahkan secara langsung ke dalam latihan industri sebenar, satu penghubung penting antara ilmu, kemahiran dan realiti pekerjaan.

Rajah 2: Paparan visual aktiviti akademik sepanjang lawatan ke Atyrau Oil and Gas University (AOGU), merangkumi pemandangan pintu masuk kampus yang diselubungi salji, sesi syarahan dan perbincangan penyelidikan bersama ahli akademik dan pelajar, serta penyampaian sijil penghargaan sebagai simbol kerjasama akademik antara Malaysia dan Kazakhstan. Gambar-gambar ini mencerminkan suasana pembelajaran, pertukaran ilmu dan hubungan profesional yang terjalin sepanjang program penyelidik pelawat di Atyrau.

Program Outreach: Memperkukuh Kolaborasi Pendidikan STEM Kazakhstan–Malaysia

Selain aktiviti akademik di universiti, pengalaman kami di Atyrau turut diperkaya melalui pelaksanaan sebuah program outreach di Regional Physics and Mathematics School “Sarayshyq”, Atyrau, Kazakhstan. Program ini bukan sekadar satu aktiviti sokongan, tetapi satu ruang pertemuan antara dua sistem pendidikan yang berbeza silibus namun mempunyai misi yang sama, memperkasa sains sebagai asas pembinaan masa depan. Ia mencerminkan komitmen bersama Kazakhstan dan Malaysia dalam memperkukuh pendidikan STEM, menggalakkan pertukaran akademik serta memupuk penglibatan komuniti di peringkat sekolah.

Kerjasama rentas sempadan ini membuka peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi dengan dunia di luar bilik darjah mereka, sambil menyemai perspektif global dalam pembelajaran sains. Kehadiran kami sebagai ahli akademik dari Malaysia bukan sahaja membawa ilmu, tetapi juga memperlihatkan bahawa sains ialah bahasa sejagat yang mampu merentasi sempadan negara, budaya dan sistem pendidikan.

Program ini melibatkan pelajar berumur 14 hingga 17 tahun, dengan tumpuan kepada peranan sains, khususnya kimia dalam kehidupan seharian. Melalui program bertajuk “Exploring Density and Liquid Motion Using a Lava Lamp Model and Introduction to Polymers”, pendekatan pembelajaran berasaskan eksperimen ringkas dan interaktif digunakan untuk menjadikan konsep saintifik lebih dekat dengan pengalaman harian pelajar. Eksperimen mudah yang dijalankan bukan sekadar demonstrasi, tetapi menjadi alat untuk mencetuskan persoalan, perbincangan dan pemikiran kritikal.

Sepanjang pelaksanaan program, kami dapat merasai keghairahan para pelajar yang ditunjukkan melalui soalan-soalan spontan, pemerhatian yang teliti serta keterujaan ketika menyaksikan fenomena sains berlaku di hadapan mata mereka. Sikap hormat terhadap guru dan minat yang mendalam terhadap pembelajaran, walaupun dengan kemudahan yang terhad, memberi satu peringatan yang bermakna kepada kami bahawa semangat ingin tahu adalah asas sebenar pendidikan. Dalam kesederhanaan ruang dan peralatan, kami menyaksikan potensi besar generasi muda yang bakal mewarisi dunia sains dan teknologi masa hadapan.

Rajah 3: Suasana pelaksanaan program outreach di Regional Physics and Mathematics School “Sarayshyq”, Atyrau, Kazakhstan, yang memperlihatkan penglibatan aktif pelajar dalam sesi pembelajaran interaktif berasaskan eksperimen dan perbincangan. Aktiviti ini mencerminkan pendekatan pendidikan STEM yang menekankan penerokaan konsep saintifik, pemikiran kritikal serta interaksi dua hala antara fasilitator dan pelajar dalam suasana bilik darjah yang dinamik.

Hospitaliti Kazakh: Tetamu Sebagai Amanah

Keperibadian masyarakat Kazakh dalam meraikan tetamu menjadi antara pengalaman paling manis dan menyentuh perasaan sepanjang keberadaan kami di Atyrau. Bagi budaya Kazakh, tetamu dianggap sebagai “utusan Tuhan”, iaitu satu amanah yang perlu disambut dengan penuh hormat, keikhlasan dan kemurahan hati. Kepercayaan ini tidak sekadar terungkap melalui kata-kata atau adat, tetapi dizahirkan secara nyata dalam setiap pertemuan, sapaan dan layanan seharian, tanpa mengira latar belakang atau asal-usul seseorang.

Sejak hari pertama ketibaan, kami disambut dengan kehangatan yang sukar dilupakan. Para hos tempatan bukan sahaja menyambut kami sebagai tetamu, tetapi seolah-olah menerima kami sebagai sebahagian daripada komuniti mereka. Kami diperkenalkan dengan beshbarmak, hidangan tradisional kebangsaan Kazakhstan yang berasaskan daging kuda. Bagi mereka,  beshbarmak lebih daripada sekadar sajian makanan, ia adalah simbol kebersamaan, perkongsian dan identiti budaya masyarakat Kazakh. Hidangan ini dinikmati secara bersama-sama, dalam suasana yang sederhana namun penuh makna, mencerminkan nilai kekeluargaan dan penghormatan terhadap tetamu yang sangat dijunjung tinggi dalam kehidupan mereka.

Memandangkan Atyrau jarang menerima pengunjung asing berbanding dengan bandar-bandar besar lain seperti Almaty atau Astana, kehadiran kami sering menarik perhatian masyarakat setempat, khususnya ketika berada di kawasan awam. Contohnya di masjid, kemesraan para jemaah amat terasa. Kami disapa dengan senyuman yang ikhlas, ditegur dengan penuh adab, malah diajak berbual walaupun wujud batasan bahasa. Dalam banyak keadaan, telefon pintar menjadi jambatan komunikasi; aplikasi Google Translate digunakan secara spontan, kata demi kata, ayat demi ayat, agar perbualan dapat diteruskan, bukan sekadar untuk memahami, tetapi untuk saling mengenali.

Antara perkaran yang paling mengharukan adalah keberanian kanak-kanak dan remaja setempat yang berusaha berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Dengan rasa ingin tahu yang tulus, mereka bertanya tentang asal-usul kami, bidang kerja, dan kehidupan di Malaysia. Apabila perkataan gagal diluahkan, mereka akan tersenyum, menaip di skrin telefon, lalu menunjukkan terjemahan dengan wajah yang penuh bangga. Detik-detik kecil ini mengingatkan kami bahawa keterbatasan bahasa bukan penghalang kepada hubungan, sebaliknya ruang yang membuka peluang kepada pembelajaran, empati dan keakraban yang jujur.

Warga Kazakh tidak pernah teragak-agak untuk menyapa, berbual dan menghulurkan jemputan, sama ada untuk menjamu selera atau sekadar berkongsi cerita kehidupan harian. Antara pengalaman yang paling bermakna ialah apabila kami dibawa memancing di Sungai Ural yang beku, satu aktiviti yang tampak sederhana, namun sarat dengan ketenangan dan nilai persahabatan. Di tebing sungai yang mengalir tenang itu, kami benar-benar menyedari bahawa hospitaliti bukan sekadar layanan fizikal, tetapi satu bentuk hubungan kemanusiaan yang lahir daripada keikhlasan hubungan yang mampu merentasi bahasa, budaya, teknologi dan generasi.

Rajah 4: Detik-detik kebersamaan sepanjang lawatan akademik di Atyrau, yang merakam sisi kemanusiaan di sebalik aktiviti penyelidikan daripada jamuan sederhana bersama rakan tempatan, pertemuan dan senyuman di tengah cuaca dingin, hinggalah pengalaman memancing di sungai yang membeku. Momen-momen ini mencerminkan keakraban, persahabatan dan hubungan insani yang terjalin merentasi budaya, bahasa dan latar geografi, menjadikan perjalanan ini bukan sekadar akademik, tetapi juga sebuah pengalaman kehidupan yang bermakna.

Secara keseluruhannya, perjalanan akademik ke Atyrau ini meninggalkan kesan yang jauh melangkaui pencapaian formal kerjasama penyelidikan antara Malaysia dan Kazakhstan. Ia membuka ruang perkongsian ilmu yang tulus dan bermakna, merentasi disiplin, budaya serta sempadan geografi, sekali gus memperlihatkan wajah sebenar pendidikan tinggi sebagai suatu pengalaman kemanusiaan. Melalui sesi syarahan, perbincangan penyelidikan, lawatan ke fasiliti industri dan program outreach bersama komuniti setempat, kami menyaksikan bagaimana ilmu sains dan kejuruteraan mampu berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan manusia dengan industri, serta pembangunan dengan kelestarian alam.

Atyrau, dengan latar industrinya yang kukuh dan masyarakatnya yang sederhana namun penuh kehangatan, tampil sebagai sebuah kota ilmu di persimpangan benua. Di sinilah kami belajar bahawa universiti bukan sekadar tempat menyampaikan pengetahuan, tetapi ruang untuk membina kepercayaan, empati dan kefahaman bersama. Perjalanan ini mengingatkan kami bahawa masa depan pendidikan dan penyelidikan tidak boleh berdiri secara terasing, sebaliknya perlu dibina melalui kerjasama global yang berteraskan keikhlasan, saling menghormati dan tanggungjawab bersama terhadap dunia yang kita warisi.

Senarai rujukan

  1. China, H. The Untold Stories of Atyrau: Where Kazakh History Meets Global Energy Crossroads, Atyrau history. History China. https://historychina.github.io/kazakhstan-history/atyrau-history/. (diakses pada Disember 30, 2025).
  2.  Britannica Editors. “Atyrau.” Encyclopedia Britannica, September 18, 2013. https://www.britannica.com/place/Atyrau-Kazakhstan. (diakses pada Disember 30, 2025).
  3.  Atyrau city, Kazakhstan facts, history, photos. https://aboutkazakhstan.com/atyrau-city. (diakses pada Disember 30, 2025).
  4. Britannica Editors. “Ural River.” Encyclopedia Britannica, April 29, 2024. https://www.britannica.com/place/Ural-River. (diakses pada Disember 30, 2025).
  5. Atyrau Oil and Gas University. Academic Programmes. https://aogu.edu.kz/en/ (diakses pada Disember 30, 2025).

Biodata Ringkas Penulis

Prof. Dr. Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim, seorang profesor dalam bidang sains bahan yang berpengalaman luas dalam penyelidikan dan pembangunan berkaitan industri minyak dan gas, khususnya di peringkat huluan (upstream).

Prof. Madya Dr. Mohammad Anwar Mohamed Iqbal, pakar dalam bidang kimia bahan dan bahan nano, dengan fokus kepada pembangunan bahan termaju untuk pemulihan alam sekitar dan rawatan pencemaran industri termasuk minyak.

Dr. Bisyrul Hafi Othman, pensyarah kanan dalam bidang kejuruteraan polimer yang aktif dalam penyelidikan reka bentuk molekul polimer dan aplikasi bahan berfungsi untuk industri moden.

Dr. Temirkhanova Gulden Yerlanovna merupakan seorang pensyarah kanan di Institute of Petrochemical Engineering and Ecology named after N.K. Nadirov, Atyrau Oil and Gas University named after Safi Utebaev, Atyrau Kazakhstan.

Dauren Moldabayev merupakah Pengarah Regional Physics and Mathematics School “Sarayshyq”, Atyrau, Kazakhstan.

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Atyrau KazakhstanAtyrau Oil and Gas UniversityKazakhstanMohamad Nasir Mohamad IbrahimMohammad Anwar Mohamed IqbalMohammad Bisyrul Hafi OthmanpenyelidikanPusat Pengajian Sains KimiaRegional Physics and Mathematics SchoolUniversiti Sains MalaysiaUSM
ShareTweetShare
Previous Post

Mengubah Ahli Kimia Tradisional Menjadi Wira Penyelamat Bumi

Next Post

Mengapa Gigi Berubah Warna? Sains di Sebalik Perubahan Warna Gigi dan Cara Menguruskannya

Editor

Editor

Related Posts

Khasiat Quercetin daripada Pokok Sambung Nyawa Melawan Malaria
Berita & Peristiwa

Khasiat Quercetin daripada Pokok Sambung Nyawa Melawan Malaria

22 hours ago
Mengapa Gigi Berubah Warna? Sains di Sebalik Perubahan Warna Gigi dan Cara Menguruskannya
Berita & Peristiwa

Mengapa Gigi Berubah Warna? Sains di Sebalik Perubahan Warna Gigi dan Cara Menguruskannya

22 hours ago
Mengubah Ahli Kimia Tradisional Menjadi Wira Penyelamat Bumi
Alam Semulajadi

Mengubah Ahli Kimia Tradisional Menjadi Wira Penyelamat Bumi

2 days ago
Peranan Bakau Sebagai ‘Hentian dan Rehat’ Untuk Burung Pengembara
Alam Semulajadi

Peranan Bakau Sebagai ‘Hentian dan Rehat’ Untuk Burung Pengembara

4 days ago
Next Post
Mengapa Gigi Berubah Warna? Sains di Sebalik Perubahan Warna Gigi dan Cara Menguruskannya

Mengapa Gigi Berubah Warna? Sains di Sebalik Perubahan Warna Gigi dan Cara Menguruskannya

Kategori Produk

  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In