Penulis: Asiah Bt. Ab.Rahim
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal/ Pengarah Program Literasi STEM Komuniti
UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi
BUKIT BESI, 13 MEI 2026 – Dalam usaha menyahut cabaran melahirkan generasi celik teknologi, UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi telah menganjurkan Program Literasi STEM Komuniti yang berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besi hari ini.
Program yang penuh pengisian ini merupakan hasil kolaborasi strategik bersama Yayasan MR. D.I.Y., yang turut menyaksikan sumbangan sebanyak 400 unit STEM Kit bagi merangsang minat murid sekolah rendah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Kehadiran teknologi seperti pencetakan 3D (3D Printing) dan eksplorasi sains menggunakan mikroskop telah berjaya memukau lebih ratusan pelajar yang hadir. Melalui aktiviti “hands-on” ini, pelajar bukan sahaja belajar teori, malah dapat melihat sendiri bagaimana sains berfungsi dalam kehidupan sebenar.
Sumbangan 400 kit STEM oleh Yayasan MR. D.I.Y. menjadi pemangkin utama dalam memastikan setiap pelajar mendapat peluang yang saksama untuk meneroka eksperimen sains secara interaktif, sekali gus menghilangkan persepsi bahawa subjek STEM adalah sukar untuk dikuasai.
Program ini tidak hanya tertumpu kepada pelajar semata-mata. Menyedari peranan ibu bapa sebagai pendorong utama kejayaan anak-anak, satu ceramah keibubapaan khas telah disampaikan oleh Kaunselor UiTMCT Kampus Bukit Besi. Slot ini bertujuan memberi panduan kepada ibu bapa dalam mendepani cabaran mendidik anak-anak di era digital.
Selain itu, aspek kebajikan penduduk setempat turut diberi perhatian melalui kaunter Pemeriksaan Kesihatan Asas yang dikendalikan oleh Unit Kesihatan UiTMCT Kampus Bukit Besi. Inisiatif ini membolehkan komuniti mendapatkan saringan kesihatan secara percuma, merangkumi pemeriksaan tekanan darah dan tahap gula dalam darah.
Satu kelainan dalam program kali ini adalah penekanan terhadap kelestarian alam sekitar. Kehadiran beberapa booth pameran telah menarik perhatian pengunjung, antaranya:
- Kesedaran Kompos: Demonstrasi menukarkan sisa dapur menjadi baja kompos bagi mengurangkan pembuangan sampah.
- Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu: Memberi pendedahan mengenai kepentingan melindungi khazanah laut negara.
- Geng Plastik Ija (GPI): Kempen kesedaran mengenai bahaya penggunaan plastik sekali guna terhadap ekosistem.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan UiTMCT Kampus Bukit Besi dalam memastikan kepakaran menara gading dapat dikongsi bersama komuniti luar bandar. Menurut wakil penganjur, program ini diharapkan bukan sahaja meningkatkan minat STEM dalam kalangan pelajar, tetapi juga membina kesedaran sosial dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda dan komuniti Bukit Besi.
Program berakhir sekitar jam 2.00 petang dengan menyaksikan maklum balas yang amat positif daripada penduduk setempat, membuktikan bahawa literasi STEM adalah elemen penting dalam pembangunan modal insan yang inklusif.








