Penulis: Dr. Hasnah Nawang & Dr. Rosaida Rosly
Pensyarah
Fakulti Sains Komputer dan Matematik,
Universiti Malaysia Terengganu
Suatu ketika dahulu, fikiran kita ibarat pengembara yang tidak kenal penat lelah. Ia meneroka persoalan, menyoal tanpa henti, dan bermain dengan data seolah-olah setiap angka itu menyimpan rahsia yang menunggu untuk dibongkar. Setiap masalah adalah cabaran, setiap kesilapan adalah petunjuk, dan setiap output yang ditemui memberikan kepuasan yang sukar digambarkan. Namun kini, dunia telah berubah. Dengan kehadiran teknologi yang semakin canggih, khususnya kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (machine learning), banyak proses yang dahulu memerlukan masa panjang kini dapat diselesaikan dalam sekelip mata. Hanya dengan satu arahan, jawapan yang diperlukan dapat dijana serta-merta dan dihidangkan dalam bentuk yang siap digunakan. Justeru, timbul satu persoalan yang perlu direnung secara mendalam: apabila proses berfikir semakin banyak diserahkan kepada mesin, adakah kita sedang mempermudah cara kehidupan, atau secara perlahan merehatkan keupayaan berfikir kita sendiri?
Dari Penerokaan kepada Pergantungan
Sebelum kewujudan AI, proses bekerja dengan data menuntut kesabaran dan ketelitian. Kita menyusun data, menelusuri setiap angka, menganalisis hubungan, lalu mencari pola yang tersembunyi di celah kekusutan maklumat. Ada kalanya kita tersesat di persimpangan tafsiran, meraba dalam ketidakpastian sebelum akhirnya menemukan arah yang lebih bermakna. Proses ini mungkin memakan masa, namun di situlah terbina kefahaman yang asli yang terdiri daripada hasil usaha, kegagalan, dan refleksi yang berulang. Kajian menunjukkan bahawa kemahiran berfikir aras tinggi berkembang melalui latihan berulang dalam membuat keputusan berasaskan data serta refleksi terhadap kesilapan (Rathod, Ami. (2025).
Namun dengan kehadiran AI, laluan yang berliku itu semakin jarang dilalui. Jalan pintas terbentang luas di skrin komputer; jawapan dijana serta-merta, analisis dirangkum, dan cadangan dioptimumkan dalam sekelip mata. Kemudahan ini bukanlah suatu kesalahan. Kita tidak dapat menafikan AI berupaya menjadi pemudah cara yang bukan sahaja berkesan, malahan menjimatkan masa, mempercepatkan analisis, dan membuka ruang kepada manusia untuk fokus kepada tugasan yang lebih utama. Namun, apabila kemudahan ini menjadi kebiasaan, perubahan halus mula berlaku dalam cara kita berfikir. Kita tidak lagi tekun meneroka dan menyingkap lapisan makna, sebaliknya, kita semakin selesa untuk menerima jawapan yang tersedia. Dalam dunia yang serba pantas ini, kemudahan sering disalah tafsir sebagai kefahaman. Kita lebih selesa menerima jawapan yang lengkap dan meyakinkan, lalu menganggap bahawa kita telah menguasai sesuatu ilmu. Hakikatnya, kita mungkin hanya memahami permukaan sahaja tanpa benar-benar menguasai proses di sebaliknya.
Fenomena ini menjadi lebih kritikal dalam konteks akademik dan penyelidikan. Ilmu bukan sekadar mengetahui jawapan, tetapi proses untuk memahami bagaimana jawapan itu dibina. Kajian oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) menegaskan bahawa pemikiran kritikal dan kreatif merupakan kemahiran teras dalam menghadapi dunia yang kompleks dan berasaskan inovasi. Tanpa kemahiran ini, individu sukar menilai maklumat, membuat keputusan, dan menyelesaikan masalah secara berkesan. Lebih membimbangkan, laporan OECD turut menunjukkan bahawa sistem pendidikan formal tidak semestinya menjamin perkembangan pemikiran kritikal jika pembelajaran terlalu bergantung kepada penyampaian maklumat tanpa penerokaan mendalam (Vincent-Lancrin et al., 2019).
Dalam konteks ini, AI boleh diibaratkan sebagai serampang dua mata. Tidak dapat dinafikan bahawa AI membantu mempercepatkan proses pembelajaran, namun pada masa yang sama ia berpotensi mengurangkan kedalaman pemikiran jika digunakan secara pasif tanpa membuat refleksi. Ini membawa kepada satu hakikat penting di mana AI tidak melemahkan keupayaan berfikir manusia secara langsung, tetapi cara kita menggunakannya menentukan sama ada ia menjadi pemangkin atau penghalang kepada perkembangan intelek. Untuk mengatakan bahawa AI membawa kepada ketandusan pemikiran adalah kesimpulan yang terlalu mudah. Teknologi ini bukan musuh kepada intelek manusia, tetapi alat yang perlu digunakan dengan bijaksana. Penyelidikan dalam bidang pendidikan STEM menunjukkan bahawa AI seperti chatbot boleh berfungsi sebagai sebagai alat yang merangsang refleksi dan meningkatkan kreativiti (Antonio et al., 2023). Justeru, AI tidak seharusnya menggantikan pemikiran manusia, sebaliknya membantu mengoptimumkan cara kita berfikir.
Peranan Institusi dan Kerangka Global

Dalam era AI, institusi pengajian tinggi perlu mengalami anjakan paradigma daripada sekadar pusat penyampaian ilmu kepada ruang pembinaan daya fikir yang matang.Menurut OECD, institusi pendidikan perlu memberi penekanan kepada kreativiti dan pemikiran kritikal sebagai kemahiran abad ke-21 yang tidak mudah digantikan oleh automasi. Para pelajar bukan sahaja perlu menguasai teori, tetapi juga mampu menilai, menghubungkait, dan mengaplikasikan ilmu dalam konteks sebenar. Peranan pensyarah pula semakin penting sebagai fasilitator di dalam membimbing mahasiswa menapis maklumat, membina hujah, dan menghasilkan idea bernilai. Bagi memastikan evolusi teknologi ini kekal berpaksikan kemanusiaan, Prinsip AI OECD menyediakan kerangka global untuk pembangunan AI yang
- AI Berpusatkan Manusia dan Pedagogi: AI harus digunakan untuk memperkukuh pemikiran manusia, analisis kritikal, dan kreativiti, bukannya sebagai pengganti intelek.
- Perlindungan Data dan Privasi: Pemprofilan emosi dan kitar semula data bilik darjah untuk latihan AI komersial harus dihentikan
- Menyokong Guru: AI berperanan mengurangkan beban pentadbiran, sekaligus memberi ruang kepada guru untuk fokus kepada pengajaran dan pembelajaran.
- Ekuiti dan Inklusi: Memastikan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang, mempunyai akses kepada AI dan infrastruktur yang diperlukan.
- Kurikulum Masa Hadapan: Memperkenalkan literasi AI sebagai kecekapan teras untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran teknikal dan etika dalam dunia yang dipacu AI.
Membina Cara Penggunaan AI yang Betul
Bagi memastikan AI benar-benar menjadi pemangkin kepada insan yang kreatif dan produktif, penggunaannya perlu berlandaskan disiplin intelektual. Pertama, AI harus digunakan untuk memperhalusi soalan, bukan sekadar mencari jawapan. Pemikiran kritikal bermula dengan keupayaan bertanya soalan yang tepat dan bermakna. Kedua, keseimbangan antara analisis mesin dan tafsiran manusia perlu dipelihara. AI mungkin mampu mengenal pasti pola, tetapi manusia yang memberi makna, menilai konteks, dan memahami implikasi. Ketiga, sikap skeptikal yang sihat perlu dibina. Tidak semua output daripada AI adalah tepat atau sesuai dalam semua konteks. Keupayaan menilai, mempersoal, dan membandingkan maklumat menjadi semakin penting dalam era digital. Akhirnya, AI wajar dilihat sebagai rakan dialog, bukan sekadar alat pemberi jawapan. Melalui interaksi yang aktif dengan bertanya, mencabar dan memperhalusi idea daripada AI, teknologi ini boleh menjadi medium yang merangsang pemikiran reflektif.

Akhir kata, hargailah kebolehan otak kita sebagai anugerah yang luar biasa. Otak yang mampu berfikir, mencipta, dan membayangkan sesuatu yang belum wujud. Sedangkan teknologi yang hadir cuma sebagai pelengkap untuk memperluas keupayaan ini, namun ia tidak mampu menggantikan keunikan dalam memahami makna dan membina kebijaksanaan. Dalam dunia yang semakin dipacu oleh automasi, keupayaan untuk berfikir secara kreatif dan mendalam harus terus dipelihara. Kerana pada akhirnya, bukan mesin yang menentukan arah masa depan kita, tetapi cara kita memilih untuk menggunakannya. Dan mungkin, di tengah segala kemudahan yang ditawarkan hari ini, kita perlu sesekali kembali kepada diri yang lama, yang tidak takut untuk meneroka, berani untuk tersesat, dan teruja menemukan makna dan kejayaan dalam setiap kesilapan. Kerana teknologi ini belum tentu kekal menjadi sandaran sepanjang masa; dan jangan sampai kita terleka, lalu kehilangan keupayaan berfikir sendiri akibat terlalu terbiasa menanti jawapan yang segera.
Kredit foto utama-curiousmatrix
Rujukan
- Antonio, M., Vasconcelos, R., & Dos Santos, R. P. (2023). Enhancing STEM Learning with ChatGPT and Bing Chat as Objects-to-Think-With: A Case Study. https://doi.org/https://doi.org/10.29333/ejmste/13313
- OECD (2026), OECD Digital Education Outlook 2026: Exploring Effective Uses of Generative AI in Education, OECD Publishing, Paris, https://doi.org/10.1787/062a7394-en.
- Rathod, Ami. (2025). Developing Higher Order Thinking Skills. International Journal For Multidisciplinary Research. 7. 10.36948
- Vincent-Lancrin, S., González-Sancho, C., Bouckaert, M., de Luca, F., Fernández-Barrerra, M., Jacotin, G., Urgel, J., & Vidal, Q. (2019). Fostering Students’ Creativity and Critical Thinking. OECD. https://doi.org/10.1787/62212c37-en
Biodata Penulis:

Dr. Hasnah Nawang merupakan seorang pensyarah Sains Komputer di Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Malaysia Terengganu. Bidang tumpuan utama beliau adalah kepintaran buatan, pembelajaran mesin, pengelasan data, serta kejuruteraan perisian.
Dr. Rosaida Rosly ialah Pensyarah Sains Komputer di Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Malaysia Terengganu. Fokus utama penyelidikan beliau adalah pembelajaran mendalam dan pengelasan hibrid dalam aplikasi perlombongan data serta kepintaran buatan.




