Penulis: Dr. Thaigarajan Parumasivam
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Sains Farmasi, USM
Laporan kes tuberkulosis (tibi) yang melibatkan pelajar sekolah di Malaysia kebelakangan ini wajar diberi perhatian serius. Walaupun mungkin dilihat sebagai kes terpencil, hal ini sebenarnya memberi isyarat penting bahawa penyakit berjangkit seperti tibi masih aktif dalam masyarakat dan boleh berlaku dalam persekitaran yang kita anggap selamat.
Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia mencatat sebanyak 26781 kes pada tahun 2023, 25391 kes pada tahun 2022 dan dijangka meningkat ke 26000-27000 pada tahun 2026. Angka ini menunjukkan bahawa tibi masih berada pada tahap membimbangkan dan belum dapat dihapuskan sepenuhnya. Maka, tibi bukan sekadar isu kesihatan individu, tetapi satu cabaran kesihatan awam yang memerlukan perhatian berterusan.
Bagaimana Tibi Merebak Dalam Persekitaran Sekolah
Tibi disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara. Apabila seseorang yang dijangkiti tibi batuk, bersin atau bercakap, bakteria ini boleh dilepaskan ke udara dalam bentuk titisan halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Individu lain yang berada berhampiran boleh menghidu bakteria ini dan berisiko dijangkiti, terutamanya dalam ruang tertutup atau sesak seperti bilik darjah.

Dalam persekitaran sekolah, khususnya bilik darjah yang tertutup dan padat, pelajar dan guru berkongsi ruang udara yang sama untuk tempoh masa yang panjang setiap hari. Keadaan ini meningkatkan risiko penyebaran, terutamanya jika terdapat individu yang tidak disedari dijangkiti.
Berbeza dengan penyakit berjangkit lain yang menunjukkan simptom dengan cepat, tibi boleh berkembang secara perlahan. Ini menjadikannya lebih sukar dikesan pada peringkat awal dan memberi ruang kepada penularan secara senyap.
Jangan Abaikan Simptom Awal
Salah satu cabaran utama tibi ialah simptomnya sering dianggap biasa pada peringkat awal. Ramai menyangka ia sekadar batuk biasa atau keletihan akibat aktiviti harian. Namun, terdapat beberapa tanda penting yang perlu diberi perhatian. Antara simptom utama tibi ialah batuk yang berpanjangan kebiasaanya melebihi dua minggu, demam berulang, peluh malam yang berlebihan, penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas, hilang selera makan dan keletihan berpanjangan.
Dalam sesetengah kes, pesakit mungkin mengalami kahak berdarah atau sakit dada apabila batuk. Kanak-kanak pula kadangkala menunjukkan simptom yang lebih tidak spesifik seperti cepat letih, kurang aktif atau sukar menumpukan perhatian di sekolah. Apa yang membimbangkan ialah simptom ini boleh muncul secara perlahan dan tidak terlalu ketara. Oleh sebab itu, ramai mendapatkan pemeriksaan apabila keadaan menjadi lebih serius.

Cabaran Besar: Jangkitan Tibi Sentiasa Tidak Jelas
Salah satu sebab tibi masih menjadi cabaran ialah kewujudan keadaan yang dikenali sebagai tibi laten. Dalam keadaan ini, individu membawa bakteria dalam badan tetapi tidak menunjukkan simptom dan tidak menyedari mereka dijangkiti. KKM menganggarkan sebahagian besar populasi mungkin terdedah kepada jangkitan laten tibi tanpa disedari. Walaupun tibi laten tidak menunjukkan simptom dan tidak boleh menjangkiti orang lain pada tahap ini, bakteria masih berada dalam badannya dan boleh menjadi aktif apabila sistem imun seseorang menjadi lemah.
Apabila tibi menjadi aktif, barulah simptom seperti batuk berpanjangan, demam, penurunan berat badan dan peluh malam muncul. Pada ketika ini, individu tersebut boleh menjangkiti orang lain. Dalam konteks sekolah, kelewatan mengenal pasti simptom ini boleh menyebabkan lebih ramai individu terdedah sebelum tindakan diambil.
Mengapa Tindakan Awal Sangat Penting
Pendekatan dalam menangani tibi perlu beralih daripada reaktif kepada pencegahan. Selalunya, tindakan hanya diambil selepas kes disahkan. Namun, dalam kes tibi, penularan mungkin telah berlaku sebelum diagnosis dibuat.
KKM telah pun menekankan kepentingan pengesanan awal, saringan kontak rapat, serta rawatan lengkap bagi setiap kes. Pesakit yang menjalani rawatan dengan baik mempunyai kadar pemulihan yang tinggi dan risiko penularan dapat dikurangkan dengan ketara. Ini menunjukkan bahawa tibi bukan penyakit yang tidak boleh dikawal, tetapi ia memerlukan tindakan yang konsisten dan berdisiplin.
Selain pengesanan awal, faktor persekitaran memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko penularan. Pengudaraan yang baik dalam bilik darjah dapat membantu mengurangkan kepekatan bakteria di udara. Dalam masa yang sama, amalan mudah seperti menutup mulut ketika batuk dan bersin, serta memakai pelitup muka apabila bergejala, boleh memberi kesan yang signifikan. Pengalaman global semasa pandemik Coronavirus Disease 2019 (COVID-19) telah menunjukkan bahawa langkah-langkah asas ini berkesan dalam mengawal penyebaran penyakit bawaan udara. Prinsip yang sama juga relevan dalam konteks tibi.
Mengurangkan Stigma, Meningkatkan Rawatan
Satu aspek penting yang sering terlepas pandang ialah stigma terhadap pesakit tibi. Persepsi negatif boleh menyebabkan individu enggan mendapatkan pemeriksaan atau rawatan awal. KKM sangat menekankan bahawa tibi adalah penyakit yang boleh dirawat sepenuhnya. Dengan rawatan antibiotik yang lengkap selama tempoh yang ditetapkan, pesakit boleh pulih dan kembali menjalani kehidupan normal.
Dalam konteks sekolah, sokongan daripada guru, rakan sebaya dan ibu bapa amat penting untuk memastikan individu yang dijangkiti mendapat rawatan tanpa rasa takut atau terasing. Menangani tibi memerlukan kerjasama semua pihak. Sekolah perlu peka terhadap kesihatan pelajar, ibu bapa perlu memantau simptom anak-anak, dan masyarakat perlu menyokong usaha kesihatan awam tanpa prejudis.
Pendidikan kesihatan juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mencegah penularan tibi. Apabila pelajar diberi pendedahan tentang bagaimana tibi merebak, simptom awal yang perlu diperhatikan serta langkah pencegahan yang boleh diamalkan, mereka akan menjadi lebih peka terhadap kesihatan diri dan lebih berdisiplin dalam mengamalkan langkah perlindungan seperti menutup mulut ketika batuk atau bersin.
Kes tibi di sekolah bukanlah sesuatu yang perlu mencetuskan panik, tetapi ia adalah satu isyarat untuk kita bertindak lebih awal dan lebih bijak. Data KKM jelas menunjukkan bahawa tibi masih wujud dalam masyarakat dan risiko penularan masih kekal. Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk pengajaran dan pembelajaran. Untuk memastikan ia kekal demikian, kita perlu melihat kesihatan sebagai sebahagian daripada keselamatan sendiri. Jika terdapat tanda-tanda awal tibi, pemeriksaan perlu dilakukan tanpa berlengah. Tindakan awal bukan sahaja melindungi individu, tetapi juga seluruh komuniti sekolah. Dalam menghadapi tibi, pendekatan terbaik bukanlah menunggu sehingga masalah menjadi besar, tetapi bertindak sebelum ia berlaku.
Foto utama-Janaan AI
Rujukan
- PMCare, Tuberculosis in Malaysia: Incidence, Prevalence and Strategies to End TB, 29/03/2024.




