Penulis: Dr. Musaalbakri Abdul Manan
Pengarah,
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
Pejabat MARDI Negeri Johor
Dalam era moden di mana kesedaran kesihatan di kalangan masyarakat yang semakin meningkat, konsep pemakanan tidak lagi terhad untuk tujuan mengenyangkan perut semata-mata. Makanan kini dilihat sebagai alat pencegahan penyakit, sokongan kesihatan dan pemangkin kesejahteraan menyeluruh. Seiring dengan perubahan ini, makanan dan minuman berasaskan probiotik fungsional muncul sebagai “makanan masa hadapan” yang berpotensi besar dalam meningkatkan kualiti hidup. Probiotik fungsional bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan usus, malah merangkumi aspek imuniti, kesejahteraan holistik, keselamatan makanan, serta inovasi teknologi makanan yang berteraskan sains.
Probiotik merujuk kepada mikroorganisma hidup yang memberikan manfaat kesihatan apabila diambil dalam kuantiti yang mencukupi (Hill et al., 2014). Dalam konteks makanan dan minuman berasaskan probiotik fungsional, probiotik dipilih, diproses dan diformulasikan secara khusus untuk memberikan fungsi kesihatan tertentu. Probiotik telah lama dikaitkan dengan makanan difermentasi (ditapai) dan amalan terapeutik tradisional, yang mencerminkan peranannya sejak dahulu kala dalam menggalakkan kesihatan dan mencegah penyakit. Istilah “probiotik” berasal daripada perkataan Yunani “pro” (untuk) dan “bios” (kehidupan), yang menekankan peranannya dalam meningkatkan kesihatan (Gismondo et al., 1999). Dari perspektif sejarah, makanan yang kaya dengan probiotik seperti yogurt, susu kultur, cheese, kombucha, natto, miso, kefir, kimchi, sauerkraut, tempe, tapai ubi, tapai pulut, budu, belacan, tempoyak, ikan pekasam, kicap, cencaluk, jeruk buah-buahan dan jeruk sayur-sayuran telah lama dihargai kerana manfaat kesihatannya. Peningkatan populariti makanan difermentasi didorong oleh persepsi bahawa makanan ini merupakan pilihan yang menarik bagi individu yang mencari alternatif semula jadi yang lebih baik. Makanan ini membekalkan pelbagai jenis strain bakteria berfaedah kepada pengguna, sekali gus memberikan kesan yang ketara terhadap komposisi dan dinamik mikrobiota usus. Penyelidikan moden telah memperluas pemahaman tentang mekanisme tindakan probiotik, sekali gus membawa kepada pengintegrasiannya dalam amalan perubatan kontemporari.

Antara manfaat utama yang sering dikaitkan dengan produk ini ialah peningkatan kesihatan usus. Usus memainkan peranan penting dalam sistem pencernaan, penyerapan nutrien dan pengawalan mikrobiota badan. Probiotik membantu mengekalkan keseimbangan bakteria baik dalam usus, seterusnya mengurangkan risiko gangguan pencernaan seperti sembelit, cirit-birit dan sindrom penyakit radang usus (inflammatory bowel disease). Selain kesihatan usus, probiotik fungsional juga berperanan dalam memperkukuh sistem imun. Sebahagian besar sel imun manusia terletak di saluran gastrousus. Oleh itu, mikrobiota usus yang sihat mampu menyokong tindak balas imun badan terhadap jangkitan dan penyakit. Pengambilan makanan dan minuman probiotik secara konsisten dapat membantu merangsang penghasilan antibodi, mengurangkan keradangan dan meningkatkan keupayaan tubuh melawan patogen (Mazziotta et al., 2023). Dalam jangka panjang, ini menyumbang kepada pencegahan penyakit dan peningkatan daya tahan badan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan individu dengan sistem imun yang lemah (Ruhul Amin et al., 2025).
Konsep kesejahteraan holistik turut menjadi tunjang kepada pembangunan makanan probiotik fungsional. Kesejahteraan holistik merangkumi keseimbangan fizikal, mental dan emosi. Kajian terkini menunjukkan hubungan rapat antara kesihatan usus dan kesihatan mental, yang sering dirujuk sebagai paksi usus-otak (gut-brain axis) (Clapp et al., 2017). Probiotik tertentu berpotensi mempengaruhi penghasilan neurotransmiter seperti serotonin yang berkait rapat dengan mood dan emosi (Akram et al., 2023). Justeru, pengambilan makanan probiotik bukan sahaja memberi manfaat fizikal, malah berupaya menyokong kesihatan mental dan meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan.
Dalam landskap inovasi makanan masa hadapan, konsep probiotik ketepatan (precision probiotics) semakin mendapat perhatian. Probiotik ketepatan merujuk kepada pembangunan strain atau kultur probiotik khusus yang menghasilkan metabolit atau postbiotik tertentu dengan kesan kesihatan yang lebih tepat dan berfokus. Postbiotik ialah sebatian bioaktif yang dihasilkan semasa proses fermentasi oleh probiotik, seperti asid lemak rantaian pendek dan peptida bioaktif, yang memberikan manfaat kesihatan walaupun tanpa kehadiran mikroorganisma hidup. Pendekatan ini membuka ruang kepada rawatan pemakanan yang lebih disasarkan, selari dengan konsep pemakanan peribadi (personalized nutrition).
Seiring dengan itu, muncul juga konsep “super probiotic” yang dilihat sebagai gabungan antara makanan dan terapi perubatan. Super probiotik merujuk kepada strain atau kultur probiotik yang mempunyai potensi terapeutik, contohnya dalam membantu pengurusan penyakit kronik, gangguan metabolik dan masalah keradangan. Kajian santifik ke atas potensi “super probiotic” sebagai sebahagian daripada intervensi kesihatan berasaskan makanan menunjukkan masa depan yang sangat memberangsangkan, di mana sempadan antara makanan dan ubat menjadi semakin kabur.
Pembangunan makanan dan minuman probiotik fungsional tidak dapat dipisahkan daripada kemajuan teknologi, khususnya dalam bidang fermentasi ketepatan (precision fermentation) (Abdul Manan, 2025). Teknologi ini membolehkan proses pengkulturan kultur probiotik di dalam satu sistem bioreaktor yang moden, canggih dan sofistikated di samping, pengasingan dan penghasilan strain probiotik tertentu secara terkawal dan konsisten. Melalui teknologi fermentasi ketepatan, kualiti, keberkesanan dan kestabilan probiotik dapat dipastikan, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk yang dihasilkan (Siddiqui et al., 2023). Teknologi ini juga menyokong inovasi produk baharu yang lebih selamat dan berkesan.
Aspek keselamatan merupakan elemen kritikal dalam pembangunan produk probiotik fungsional ke arah makanan masa hadapan. Oleh itu, setiap produk probiotik fungsional perlu melalui penilaian keselamatan yang ketat dan menyeluruh. Penilaian ini merangkumi kajian toksikologi dan efikasi, kestabilan kultur probiotik, potensi kesan sampingan serta kesesuaian untuk kumpulan pengguna tertentu (Churin et al., 2026). Langkah ini penting bagi memastikan produk yang berada di pasaran bukan sahaja berkesan, tetapi juga selamat untuk dimakan dalam jangka masa panjang.
Selain keselamatan, pembangunan garis panduan piawai turut memainkan peranan penting dalam industri probiotik. Garis panduan yang selaras dan harmoni diperlukan bagi mengawal selia pemilihan kultur probiotik, proses pengeluaran, pelabelan produk, kajian dan pembuktian saintifik, efikasi dan keberkesanan terhadap sistem imunisasi dan tuntutan kesihatan (Kim et al., 2026). Standardisasi ini membantu melindungi pengguna daripada maklumat mengelirukan serta memastikan integriti maklumat saintifik dalam industri makanan probiotik (Olvera-Rosales et al., 2026). Dengan adanya garis panduan yang jelas, industri dapat berkembang secara mampan dan beretika.
Maklumat pengguna juga merupakan komponen penting dalam ekosistem makanan dan minuman probiotik fungsional. Pengguna yang berinformasi mampu membuat pilihan yang lebih bijak berdasarkan keperluan kesihatan masing-masing. Pelabelan yang telus, penerangan tentang manfaat probiotik dan panduan pengambilan yang jelas dapat memperkasakan pengguna serta meningkatkan tahap kepercayaan terhadap produk (Sanders, 2022). Dalam dunia yang sarat dengan pelbagai pilihan makanan, pendidikan pengguna menjadi kunci kepada penerimaan dan kejayaan makanan masa hadapan.
Makanan dan minuman berasaskan probiotik fungsional benar-benar mencerminkan konsep “makanan masa hadapan”. Ia bukan sahaja menawarkan manfaat kesihatan usus dan imun, malah menyokong kesejahteraan holistik, inovasi saintifik dan keselamatan pengguna. Dengan sokongan teknologi fermentasi ketepatan, pembangunan probiotik ketepatan dan pematuhan kepada garis panduan piawai, industri ini berpotensi besar untuk merevolusikan cara manusia melihat dan menggunakan makanan sebagai alat kesihatan. Pada masa hadapan, makanan bukan sekadar keperluan asas, tetapi menjadi rakan strategik dalam mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan manusia secara menyeluruh.
Rujukan
Abdul Manan, M. (2025). Progress in probiotic science: Prospects of functional probiotic-based foods and beverages. International Journal of Food Science, Volume 25, Article ID 5567567, 34 pages. https://doi.org/10.1155/ijfo/5567567.
Akram, N., Faisal, Z., Irfan, R., Shah, Y.A., Batool, S.A., Zahid, T., Zulfiqar, A., Fatima, A., Jahan, Q., Tariq, H., Saeed, F., Ahmed, A., Asghar, A., Ateeq, H., Afzaal, M., Khan, M.R. (203). Exploring the serotonin-probiotics-gut health axis: A review of current evidence and potential mechanisms. Food Science and Nutrition, 12(2), 694 -706. https://doi.org/10.1002/fsn3.3826.
Amin, M.R., Biswas, A.P., Tasnim, M., Islam, M.N., Azam, M.S. (2025). Probiotics and their applications in functional foods: A health perspective. Applied Food Research, 5(2), 101193. https://doi.org/10.1016/j.afres.2025.101193.
Churin, A.A., Sokolyanskaya, L.O., Lukina, A.P., Karnachuk, O.V. (2026). Current concepts in probiotic safety and efficacy. Nutrients, 18(4), 696. https://doi.org/10.3390/nu18040696.
Clapp, M., Aurora, N., Herrera, L., Bhatia, M., Wilen, E., Wakefield, S. (2017). Gut microbiota’s effect on mental health: The gut-brain axis. Clinics and Practice, 7(4), 987. https://doi.org/10.4081/cp.2017.987.
Gismondo, M.R., Drago, L., Lombardi, A. (1999). Review of probiotics available to modify gastrointestinal flora. Int. J. Antimicrob. Agents 12 (4), 287–292. https://doi.org/ 10.1016/S0924-8579(99)000
Hill, C., Guarner, F., Reid, G., Gibson, G.R., Merenstein, D.J., Pot, B., Morelli, L., Canani, R.B., Flint, H.J., Salminen, S., Calder, P.C., Sanders, M.E. (2014). Expert consensus document. The International Scientific Association for Probiotics and Prebiotics consensus statement on the scope and appropriate use of the term probiotic. Nature Review Gastroenterology Hepatology, 11(8), 506 – 514. https://doi.org/10.1038/nrgastro.2014.66.
Kim, H., Haque, M.A. Razzak, M.A., Jang M.J., Song, S., Ku, S. (2026). Probiotic development strategy centered on stability and regulatory considerations. Comprehensive Reviews in Food Science and Food Safety 25(1), e70320. https://doi.org/10.1111/1541-4337.70320.
Mazziotta, C., Tognon, M., Martini, F., Torreggiani, E., Rotondo, J.C. (2023). Probiotics mechanism of action on immune cells and beneficial effects on human health. Cells, 12(1), 184. https://doi.org/10.3390/cells12010184.
Olvera-Rosales, D.K., Perez-Flores, J.G., Gonzalez-Olivares, L.G., Ramírez-Godínez, J., Monroy-Rodríguez, I., Lopez-Hernandez, R.E., Manzo-Martínez, L., Manzo-Martínez, M.A., Olvera-Rosales, L.B., Perez-Escalante, E. (2026). Regulatory challenges for the international commercialization of fermented functional foods containing probiotics. Fermentation, 12(6), 274. https://doi.org/10.3390/fermentation12060274
Sanders, M.E. (2022). Decoding a probiotic product label. International Scientific Association for Probiotics and Prebiotics (ISAPP). https://isappscience.org/decoding-a-probiotic-product-label/.
Siddiqui, S.A., Erol, Z., Rugji, J. Tasci, F., Kahraman, H.A., Toppi, V., Musa, L., Di Giacinto, G., Bahmid, N.A, Mehdizadeh, M., Castro-Munoz, R. (2023). An overview of fermentation in the food industry looking back from a new perspective. Bioresources and Bioprocessing, 10, 85. https://doi.org/10.1186/s40643-023-00702-y.



