Penulis: Intan Suraya binti Noor Arzahan, PhD
Pensyarah Kanan,
Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia
Bayangkan segelas air kosong yang jernih. Tiada bau, tiada warna dan kelihatan bersih . Namun di dalamnya, mungkin tersembunyi molekul bahan kimia yang tidak pernah hilang, yang mampu kekal dalam tubuh manusia bertahun-tahun lamanya. Bahan ini dikenali sebagai PFAS, singkatan kepada per- and polyfluoroalkyl substances iaitu kumpulan bahan sintetik yang kini menjadi kebimbangan kesihatan global. PFAS sering digelar “forever chemicals” kerana ia hampir mustahil untuk terurai. Sekali ia dilepaskan, ia akan terus kekal di dalam udara, tanah, sungai, laut, dan akhirnya, tubuh manusia. PFAS wujud di mana-mana. Antaranya dalam kuali tidak melekat (non-stick pan), pembungkus makanan kalis minyak, fabrik kalis air, kosmetik, ubat gigi, dan juga buih bagi pemadam api. Apa yang menjadikannya bahan berguna dalam industri, menjadikannya juga bahan yang sukar dihapuskan oleh alam sekitar dan manusia.
Walaupun isu PFAS banyak dibincangkan di negara barat, Malaysia turut tidak terkecuali. Menurut laporan CAP-IPEN (2019), penyelidik menemui tahap PFAS yang mengejutkan di beberapa lokasi di negara ini. Dalam satu kajian pada tahun 2012, Sungai Langat yang menjadi sumber air utama bagi hampir 6 juta penduduk Selangor dan Lembah Klang telah dikesan mengandungi PFOA (perfluorooctanoic acid) setinggi 5,940 ppt dan PFOS setinggi 43,500 ppt. Jika hendak dibandingkan, had keselamatan air minuman di Amerika Syarikat, ialah sebanyak 20 ppt. Ini bermakna air di Sungai Langat mencatatkan paras PFAS lebih 2,000 kali ganda lebih tinggi daripada had yang dianggap selamat. Kajian pada tahun 2011 hingga 2017 pula mendapati pencemaran sama dikesan di Selat Johor, Kota Kinabalu, dan beberapa perairan sekitar Malaysia–Filipina. Industri dan aktiviti pelabuhan dikenal pasti antara penyumbang utama kepada pencemaran PFAS ini. Pencemaran ini bukan sekadar menjejaskan ekosistem marin, tetapi juga berisiko memasuki rantai makanan manusia melalui ikan dan makanan laut.
Kajian terhadap rakyat Malaysia menunjukkan kehadiran PFAS bukan lagi suatu andaian. Pada tahun 2008, penyelidik mendapati purata PFOS dalam susu ibu di Malaysia ialah sebanyak 121 ppt, dengan bacaan tertinggi mencatatkan 17 kali ganda melebihi paras keselamatan antarabangsa. Ini merupakan bukti jelas bahawa bahan ini telah berada di dalam sistem biologi kita lebih lama daripada yang disangka. Pendedahan kepada PFAS boleh berlaku melalui minuman, makanan, dan udara, tetapi air merupakan laluan paling utama. Kajian terkini oleh penyelidik tempatan menunjukkan lebih 60% sampel air paip di kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Seremban, dan Klang mengandungi pelbagai jenis PFAS termasuklah PFOA, PFOS (perfluorooctane sulfonate), PFNA (Perfluorononanoic acid) dan PFHxA (Perfluorohexanoic acid).
Memandangkan PFAS bersifat bioakumulatif, ia akan terus berkumpul dalam tubuh manusia dan tidak terurai. Setiap kali seseorang terdedah walau sedikit, bahan ini menambah “stok racun kekal” dalam darah, hati, dan tisu lembut manusia. Kesan kesihatannya kini jelas terbukti seperti mendapat kanser buah pinggang, hati dan testis, gangguan tiroid, kolesterol tinggi, masalah imuniti, dan kelewatan perkembangan kanak-kanak. Kajian juga menunjukkan wanita hamil yang terdedah kepada PFAS berisiko memindahkan bahan kimia itu kepada bayi dalam kandungan melalui plasenta dan susu ibu. Lebih membimbangkan, PFAS juga boleh melemahkan tindak balas imun terhadap vaksin, menjadikan individu lebih mudah dijangkiti penyakit walaupun sudah diberi imunisasi. Dalam jangka panjang, bahan ini boleh menjejaskan fungsi hati, hormon, dan sistem saraf manusia.
Walaubagaimanapun, di tengah-tengah kebimbangan ini, kajian sains mula menemui sinar harapan. Pada tahun 2024, sekumpulan penyelidik Denmark yang menguji ubat cholestyramine iaitu sejenis ubat untuk menurunkan kolesterol telah menjalankan kajian terhadap penduduk bandar Korsør, yang terdedah kepada tahap PFOS tinggi akibat pendedahan buih pemadam api. Hasilnya amat mengejutkan dimana paras PFAS dalam darah peserta kajian berkurang sebanyak 63%, iaitu 20 kali ganda lebih tinggi daripada penyingkiran semula jadi tanpa sebarang rawatan. Namun, penyelidik utama, Dr. Morten Lindhardt, menegaskan bahawa ubat ini tidak sesuai untuk penggunaan jangka panjang kerana kesan sampingan terhadap buah pinggang dan sistem imun masih belum difahami sepenuhnya. Walaupun begitu, penemuan ini memberi petunjuk bahawa rawatan detoksifikasi PFAS mungkin menjadi kenyataan suatu hari nanti terutamanya kepada wanita muda, bagi memutuskan rantaian pemindahan bahan ini kepada generasi seterusnya.
Malaysia sudah melangkah ke arah pengurusan plastik dan bahan kimia melalui Dasar Sisa Marin Kebangsaan (2021–2030) dan Pelan Tindakan Sifar Plastik Sekali Guna (2018–2030). Namun bahan seperti PFAS memerlukan perhatian yang lebih khusus. Laporan CAP-IPEN menggesa kerajaan untuk menilai inventori industri, mengganti busa pemadam api yang mengandungi PFAS, dan melatih pihak berkuasa tempatan dalam pemantauan bahan toksik. Langkah-langkah ini bukan sahaja melindungi alam sekitar, tetapi juga bagi menjaga kesihatan rakyat Malaysia kerana akhirnya, apa yang kita buang di alam sekitar akan kembali semula ke dalam tubuh badan kita. Kita boleh mula dari rumah sendiri. Gunakan penapis air berkualiti, krangkan penggunaan produk kalis minyak dan produk plastik, serta pilih bekas kaca atau keluli tahan karat. Pada peringkat negara pula, kita perlu menyediakan standard keselamatan air minuman, Dimana PFAS harus dimasukkan dalam senarai bahan cemar yang dikawal selia.
Manusia mempunyai pilihan daam setiap tindakan bagi mengelakkan pencemaran. Setiap tindakan kecil kita sama ada untuk tidak menggunakan plastik sekali guna semasa membeli-belah atau memilih air yang ditapis adalah usaha untuk melindungi diri dan generasi akan datang daripada bahan yang tidak pernah hilang, iaitu “forever chemicals”.
Foto kredit-waterdotcom





