Penulis: Dr.Nurdianah Harif Fadzilah1 & Dr. Nurulisa Zulkifle2
¹Pegawai Penyelidik,
Bahagian Penyelidikan dan Jaringan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia
²Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Bioperubatan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia
Penemuan bahan baharu yang berupaya membunuh sel kanser sering mendapat perhatian masyarakat. Laporan mengenai ekstrak tumbuhan atau sebatian kimia tertentu yang menunjukkan hasil memberangsangkan dalam kajian makmal mudah menarik minat pembaca, khususnya pesakit kanser dan ahli keluarga yang sentiasa mengharapkan pilihan rawatan yang lebih baik.
Namun, jika sesuatu bahan telah menunjukkan kesan yang baik terhadap sel kanser di makmal, mengapa penemuan tersebut belum tentu dapat diterjemahkan kepada rawatan untuk pesakit? Jawapannya berkait rapat dengan perbezaan antara keadaan eksperimen di makmal dengan keadaan sebenar dalam tubuh manusia. Sesuatu bahan yang berkesan terhadap sel kanser dalam persekitaran terkawal belum tentu memberikan kesan yang sama apabila digunakan pada pesakit.
Keputusan Makmal dan Tafsirannya
Dalam penyelidikan kanser, sel yang dibiakkan di makmal membolehkan penyelidik memahami proses biologi yang terlibat dalam perkembangan penyakit. Melalui kaedah ini, saintis boleh mengkaji bagaimana sel membahagi, mengawal pertumbuhan dan bertindak balas terhadap sesuatu bahan.
Antara ujian yang sering digunakan ialah penilaian daya hidup sel atau cell viability. Sekiranya bacaan daya hidup menurun selepas sesuatu bahan diberikan, keputusan tersebut mungkin menunjukkan bahawa bahan berkenaan mempunyai kesan terhadap sel kanser. Namun, penurunan bacaan ini tidak semestinya bermaksud sel kanser telah mati. Bergantung pada kaedah ujian, bacaan yang lebih rendah mungkin berpunca daripada pertumbuhan sel yang semakin perlahan, pengurangan bilangan sel atau perubahan aktiviti metabolisma. Oleh itu, ujian tambahan diperlukan untuk mengenal pasti kesan sebenar bahan tersebut. Perbezaan ini penting kerana keputusan yang kelihatan hampir sama boleh berlaku melalui mekanisma biologi yang berbeza.
Cabaran menjadi lebih besar apabila penemuan tersebut cuba diterjemahkan kepada keadaan dalam tubuh manusia. Berbeza dengan sel yang dibiakkan dalam bekas kultur, tumor mengandungi pelbagai jenis sel yang saling berinteraksi termasuk sel imun, fibroblas dan sel yang membentuk salur darah. Interaksi dengan tisu sekeliling boleh mempengaruhi pertumbuhan kanser serta tindak balasnya terhadap rawatan.
Keadaan dalam tumor juga tidak seragam. Ada kawasan yang menerima bekalan oksigen dan nutrien mencukupi, manakala kawasan lain mengalami kekurangan oksigen atau hipoksia. Sel kanser boleh menyesuaikan aktiviti gen dan metabolismanya untuk terus hidup dalam keadaan tersebut. Adaptasi ini mampu mengubah kepekaan sel terhadap sesuatu ubat.
Selain itu, bahan yang diuji di makmal biasanya ditambahkan secara langsung kepada sel pada kepekatan tertentu. Dalam tubuh manusia, ubat perlu melalui pelbagai proses sebelum sampai ke tumor. Sebahagiannya mungkin mengalami proses metabolisma atau disingkirkan daripada tubuh, manakala bekalan darah yang tidak sekata dalam tumor boleh menyebabkan pengagihan ubat berbeza antara satu kawasan dengan kawasan lain.
Bahan yang berkesan terhadap sel kanser juga mungkin memberikan kesan kepada sel normal. Oleh itu, keupayaannya menghalang pertumbuhan kanser perlu dinilai bersama-sama risiko ketoksikan terhadap tisu sihat.
Daripada Penemuan kepada Rawatan
Keputusan positif dalam kajian kultur sel merupakan petunjuk awal yang membolehkan sesuatu bahan dikaji dengan lebih lanjut. Penyelidik perlu memastikan keputusan tersebut konsisten, memahami mekanisma tindakannya serta menilai kestabilan dan keselamatan bahan berkenaan.
Salah satu perkembangan dalam penyelidikan kanser ialah penggunaan model kultur sel tiga dimensi seperti sferoid dan organoid. Berbanding kultur sel konvensional yang biasanya tumbuh sebagai lapisan, model ini membolehkan sel berkembang dalam struktur yang lebih kompleks. Organoid yang dihasilkan daripada sampel tumor pesakit, misalnya, boleh digunakan untuk mengkaji ciri biologi kanser dan tindak balas terhadap ubat dalam keadaan yang lebih hampir kepada struktur tumor sebenar.
Walaupun model ini memberikan maklumat tambahan yang penting, ia masih terbatas. Tidak semua organoid mengandungi keseluruhan komponen persekitaran mikro tumor, termasuk sistem imun dan salur darah yang berfungsi seperti dalam tubuh manusia.
Oleh itu, kajian praklinikal turut menggunakan model haiwan yang bersesuaian untuk menilai bagaimana sesuatu bahan bertindak dalam sistem biologi yang lebih kompleks. Kajian ini membantu penyelidik memahami pengagihan bahan dalam tubuh, kemungkinan kesan toksik dan keberkesanannya sebelum ujian klinikal dipertimbangkan. Sekiranya bukti praklinikal mencukupi dan kelulusan berkaitan diperoleh, calon ubat boleh diteruskan kepada kajian klinikal. Pada peringkat ini, keselamatan, dos yang sesuai dan keberkesanan rawatan dinilai dalam kalangan manusia.
Keseluruhan proses tersebut boleh mengambil masa bertahun-tahun. Banyak bahan yang menunjukkan keputusan memberangsangkan dalam kajian awal akhirnya tidak berjaya diteruskan kerana keberkesanannya tidak mencukupi atau risiko kesan sampingan terlalu tinggi.

Memahami Potensi Bahan Antikanser
Kefahaman tentang proses penyelidikan ini penting apabila masyarakat membaca laporan mengenai tumbuhan atau bahan semula jadi yang menunjukkan potensi antikanser. Beberapa ubat antikanser yang digunakan dalam perubatan moden berasal daripada sebatian tumbuhan atau derivatifnya, termasuk paclitaxel, vincristine, etoposide dan irinotecan. Namun, penemuan sebatian aktif daripada tumbuhan tidak bermaksud pengambilan tumbuhan tersebut secara terus akan menghasilkan kesan rawatan yang sama.
Ekstrak tumbuhan lazimnya mengandungi pelbagai sebatian, dan kandungan bahan aktifnya boleh berbeza mengikut sumber serta kaedah penyediaan. Sesuatu bahan yang berkesan pada kepekatan tertentu di makmal belum tentu dapat mencapai kepekatan yang sama dalam tubuh apabila dimakan atau diminum. Hal ini tidak bermaksud bahan semula jadi tidak mempunyai manfaat kesihatan. Sesetengah suplemen mungkin bermanfaat dalam keadaan tertentu, misalnya untuk mengatasi kekurangan nutrien. Namun, manfaat tersebut tidak semestinya menunjukkan bahawa sesuatu suplemen berkesan sebagai rawatan kanser. Pengambilannya juga perlu mengambil kira kemungkinan kesan sampingan dan interaksi dengan ubat lain.
Oleh itu, masyarakat perlu memahami tahap penyelidikan di sebalik sesuatu penemuan. Kajian kultur sel, kajian praklinikal dan kajian klinikal masing-masing memberikan tahap bukti yang berbeza. Keputusan positif dalam kajian awal menunjukkan potensi yang boleh diteroka dengan lebih lanjut, tetapi belum membuktikan keberkesanannya sebagai rawatan kepada pesakit kanser.
Pada masa yang sama, penyelidikan asas tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan sama ada ia berjaya menghasilkan ubat. Kajian mengenai fungsi gen, protein dan proses molekul telah banyak membantu penyelidik memahami bagaimana kanser berkembang dan mengapa sesetengah sel menjadi kurang peka terhadap rawatan. Ada penemuan yang akhirnya menyumbang kepada pembangunan rawatan baharu, manakala sebahagian lagi membantu penyelidik mengenal pasti pendekatan yang kurang berkesan.
Apabila sesuatu bahan dilaporkan mampu membunuh sel kanser di makmal, masyarakat perlu melihatnya sebagai penemuan awal yang masih memerlukan pembuktian lanjut. Keputusan tersebut mungkin membuka peluang kepada pembangunan ubat baharu, tetapi belum bermaksud bahan itu selamat atau berkesan untuk merawat pesakit. Memahami perbezaan ini penting supaya harapan terhadap kemajuan penyelidikan kanser dibina berdasarkan bukti saintifik yang sebenar.
Biodata Penulis
Dr. Nurulisa Zulkifle ialah Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Jabatan Sains Bioperubatan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang biologi molekul kanser, interaksi protein-protein dan teknologi omik, khususnya dalam penyelidikan kanser hati. Penyelidikan beliau memberi tumpuan kepada fungsi dan kawalatur protein, mekanisme molekul serta laluan isyarat yang terlibat dalam perkembangan kanser. Beliau mengaplikasikan teknologi pengubahsuaian ekspresi gen dan analisis bioinformatik untuk memahami mekanisme penyakit serta mengenal pasti sasaran molekul yang berpotensi dalam penyelidikan kanser.
Dr. Nurdianah Harif Fadzilah ialah Pegawai Penyelidik di Bahagian Penyelidikan dan Jaringan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia. Beliau mempunyai kepakaran dalam biologi sel, bahan semula jadi dan penyelidikan kanser. Penyelidikan beliau memberi tumpuan kepada potensi biologi sebatian semula jadi, khususnya kesannya terhadap sel kanser pada peringkat molekul. Antara bidang kajian beliau termasuk kesan ekstrak debunga lebah kelulut terhadap kerosakan DNA dan perubahan epigenetik dalam sel kanser kolorektal. Beliau turut terlibat dalam penyelidikan berkaitan aktiviti antikanser dan penilaian kesan bahan semula jadi terhadap sel kanser.



