Penulis : Dr. Nor Aidaniza Abdul Muttlib1, Dr. Rabihah Alawi1 Dr. Karina Mundiratri2
1Pakar Pergigian Prostodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia
2Pakar Pergigian Prostodontik, Fakulti Perubatan Pergigian, Universitas Airlangga, Surabaya Indonesia
Kehilangan gigi bukan sahaja menjejaskan penampilan, malah boleh mengganggu fungsi harian seperti mengunyah, bercakap dan tersenyum dengan yakin. Walaupun terdapat pelbagai pilihan rawatan pergigian moden, gigi palsu boleh tanggal (gigi palsu) masih menjadi salah satu kaedah paling cepat, popular dan mampu milik untuk menggantikan gigi yang hilang.
Apakah Gigi Palsu?
Gigi palsu ialah alat prostesis pergigian yang direka untuk menggantikan gigi yang hilang dan boleh dikeluarkan serta dipasang semula oleh pemakai. Ia dibuat khas mengikut bentuk dan saiz mulut setiap individu bagi memastikan keselesaan dan fungsi yang optimum.
Gigi palsu moden diperbuat daripada bahan yang ringan, tahan lama dan mempunyai rupa yang menyerupai gigi serta gusi semula jadi. Antara bahan yang sering digunakan adalah akrilik dan besi Krom Kobalt.
Siapa yang Memerlukan Gigi Palsu?
Gigi palsu sesuai untuk:
i-Individu yang kehilangan beberapa batang gigi.
ii-Pesakit yang kehilangan semua gigi pada rahang atas atau bawah.
iii-Warga emas yang mengalami kehilangan gigi akibat penyakit gusi atau penuaan.
iv-Pesakit yang tidak sesuai menjalani rawatan implan pergigian atas faktor kesihatan atau kos.
v-Pesakit yang memerlukan pengantian sementara sebelum sesuai menerima rawatan penggantian gigi yang lain.
Jenis-Jenis Gigi Palsu Boleh Tanggal
A- Gigi Palsu Separa
Digunakan apabila masih terdapat beberapa gigi semula jadi yang sihat. Gigi palsu ini disokong oleh gigi yang masih ada dan biasanya mempunyai cangkuk logam atau bahan fleksibel untuk meningkatkan kestabilan.
Kelebihan:
i-Menggantikan beberapa gigi yang hilang.
ii-Menghalang gigi bersebelahan daripada bergerak ke ruang kosong.
iii-Tidak melibatkan pemotongan gigi bersebelahan.
iv-Kos lebih rendah berbanding jambatan gigi atau implan.


B- Gigi Palsu Penuh
Digunakan apabila semua gigi pada satu atau kedua-dua rahang telah hilang.
Kelebihan:
i-Mengembalikan fungsi pengunyahan dan pertuturan.
ii-Meningkatkan penampilan wajah.
iii-Membantu menyokong bibir dan pipi yang kehilangan sokongan akibat kehilangan gigi.
iv-Memperbaiki fungsi pertuturan
Bagaimana Gigi Palsu Dihasilkan?
Penghasilan gigi palsu memerlukan pesakit datang beberapa kali ke klinik. Proses pembuatan gigi palsu memerlukan langkah-langkah berikut:
- Pemeriksaan kesihatan mulut oleh doktor gigi.
- Pengambilan acuan atau imbasan digital rahang.
- Penentuan hubungan gigitan antara rahang atas dan bawah.
- Percubaan susunan gigi sebelum pembuatan akhir.
- Pemasangan dan pelarasan untuk memastikan keselesaan.
Setiap gigi palsu dihasilkan secara individu bagi memenuhi keperluan anatomi dan fungsi pesakit.

Kelebihan Gigi Palsu
Gigi palsu merupakan salah satu pilihan rawatan yang popular untuk menggantikan gigi yang hilang kerana kosnya yang lebih berpatutan berbanding rawatan implan pergigian. Oleh sebab proses pembuatannya lebih ringkas dan tidak melibatkan prosedur pembedahan, ia menjadi pilihan yang sesuai bagi ramai pesakit, terutamanya warga emas atau individu yang mempunyai masalah kesihatan tertentu yang menghalang mereka daripada menjalani pembedahan.
Selain itu, gigi palsu mampu menggantikan beberapa batang gigi atau keseluruhan gigi dalam satu rahang pada masa yang sama. Keupayaan ini menjadikannya penyelesaian yang praktikal bagi pesakit yang kehilangan banyak gigi, sekali gus membantu memulihkan fungsi rongga mulut dengan lebih cepat. Dengan penggantian gigi yang hilang, ruang kosong dalam mulut dapat ditutup dan kestabilan kedudukan gigi yang masih tinggal dapat dikekalkan.
Dari aspek estetik, gigi palsu turut memainkan peranan penting dalam memperbaiki penampilan wajah dan senyuman. Kehilangan gigi boleh menyebabkan bibir dan pipi kehilangan sokongan, seterusnya menjadikan wajah kelihatan cengkung dan lebih tua. Penggunaan gigi palsu yang direka mengikut bentuk wajah dan susunan gigi yang sesuai boleh membantu mengembalikan sokongan kepada tisu muka, menghasilkan senyuman yang lebih semula jadi serta meningkatkan keyakinan diri pesakit.
Di samping itu, gigi palsu membantu meningkatkan keupayaan mengunyah dan bercakap. Kehadiran gigi gantian membolehkan makanan dikunyah dengan lebih berkesan, sekali gus membantu proses pencernaan dan pemakanan yang lebih baik. Ia juga membantu memperjelaskan sebutan bagi sesetengah perkataan yang mungkin terjejas akibat kehilangan gigi. Dengan fungsi pengunyahan, pertuturan dan penampilan yang dipulihkan, gigi palsu dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan pesakit secara keseluruhan.
Cabaran Pemakaian Gigi Palsu
Seperti alat prostesis lain, tempoh penyesuaian diperlukan.
Antara masalah yang mungkin dialami pada peringkat awal ialah:
i-Ketidakselesaan ringan.
ii-Penghasilan air liur yang lebih banyak.
iii-Kesukaran menyebut sesetengah perkataan.
iv-Rasa longgar ketika makan.
Kebanyakan masalah ini akan berkurangan selepas beberapa minggu apabila pesakit sudah menyesuaikan diri.
Penjagaan Gigi Palsu
Penjagaan gigi palsu yang baik sangat penting bagi memastikan ia kekal bersih, selesa dipakai dan tahan lama. Gigi palsu hendaklah dibilas dan dibersihkan selepas setiap kali makan bagi menyingkirkan sisa makanan dan plak yang boleh terkumpul pada permukaannya. Penggunaan berus khas gigi palsu atau berus berbulu lembut adalah disyorkan untuk mengelakkan kerosakan pada bahan gigi palsu.
Selain itu, gigi palsu perlu diberus setiap hari menggunakan pencuci khas atau sabun lembut bagi memastikan kebersihannya terpelihara. Penggunaan ubat gigi biasa tidak digalakkan kerana kandungan bahan pelelasnya boleh menyebabkan permukaan gigi palsu menjadi kasar dan mudah memerangkap kotoran serta bakteria.
Apabila tidak digunakan, gigi palsu perlu direndam dalam air bersih atau larutan pembersih khas. Langkah ini penting untuk mengekalkan kelembapan bahan dentur kerana gigi palsu yang dibiarkan kering berisiko berubah bentuk dan menjadi kurang selesa apabila dipakai semula.
Walaupun memakai gigi palsu, kebersihan rongga mulut tetap perlu dijaga. Gusi, lidah dan lelangit hendaklah dibersihkan setiap hari untuk mengurangkan risiko jangkitan kulat, mencegah bau mulut serta mengekalkan kesihatan tisu mulut. Amalan ini juga dapat meningkatkan keselesaan pemakaian gigi palsu dalam jangka panjang.
Di samping itu, pemakai gigi palsu disarankan menjalani pemeriksaan pergigian secara berkala, sekurang-kurangnya sekali setahun. Pemeriksaan ini membolehkan doktor gigi menilai keadaan gigi palsu dan tisu mulut serta melakukan pelarasan jika perlu. Rawatan segera perlu diperoleh sekiranya gigi palsu terasa longgar, menyebabkan luka pada gusi atau mengalami keretakan dan kerosakan.
Bagi memastikan gigi palsu kekal dalam keadaan baik, beberapa perkara perlu dielakkan, seperti mencuci dentur menggunakan air panas atau air mendidih, tidur dengan gigi palsu tanpa nasihat doktor gigi, membaiki dentur sendiri menggunakan gam atau pelekat, serta mengabaikan pemeriksaan susulan walaupun gigi palsu masih boleh digunakan. Dengan penjagaan yang betul, gigi palsu dapat berfungsi dengan lebih baik dan memberikan keselesaan yang optimum kepada pemakainya.
Masa Depan Gigi Palsu
Kemajuan teknologi digital seperti imbasan intraoral, reka bentuk CAD/CAM dan pencetakan 3D membolehkan gigi palsu dihasilkan dengan lebih tepat, selesa dan estetik. Teknologi ini membantu meningkatkan pengalaman pesakit serta mengurangkan tempoh rawatan.
Gigi palsu merupakan pilihan rawatan yang praktikal, berkesan dan mampu milik untuk menggantikan gigi yang hilang. Walaupun memerlukan sedikit masa untuk penyesuaian, penggunaan dan penjagaan yang betul dapat membantu pemakai menikmati fungsi pengunyahan yang lebih baik, pertuturan yang jelas dan keyakinan untuk tersenyum semula.




