Penulis: Siti Nur Rasyidah Md Ramli
Pensyarah, Jabatan Sains Asas
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia
Dalam era modenisasi dan globalisasi, penggunaan bahan pewarna kimia telah menjadi sebahagian dari kehidupan seharian kita. Pewarna kimia digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuk makanan, pakaian, kosmetik dan banyak lagi. Walaupun pewarna ini memberikan warna yang menarik dan seragam, terdapat pelbagai risiko kesihatan yang boleh ditimbulkan oleh penggunaannya yang tidak terkawal.
Pewarna kimia, yang juga dikenali sebagai pewarna sintetik, adalah bahan kimia buatan yang dihasilkan melalui proses sintesis kimia. Bahan-bahan ini sering kali lebih murah dan lebih stabil berbanding pewarna semula jadi, namun banyak di antaranya yang telah dikaitkan dengan masalah kesihatan serius.
Menurut sebuah kajian dalam Journal of Toxicology and Environmental Health, pewarna azo, yang biasa digunakan dalam industri tekstil dan makanan, telah ditemui mempunyai potensi karsinogenik yang boleh merangsang pertumbuhan sel kanser dalam badan manusia (Smith et al., 2018).
Tartrazine (E102) dan Sunset Yellow (E110) adalah pewarna makanan yang sering digunakan, kedua-dua pewarna ini telah dikaitkan dengan pelbagai kesan sampingan, terutama pada kanak-kanak.
Tartrazine adalah pewarna kuning yang digunakan dalam pelbagai produk makanan dan ubat-ubatan. Penelitian menunjukkan bahawa tartrazine dapat meningkatkan hiperaktiviti pada kanak-kanak. Selain itu, sekitar 1 hingga 10 dari sepuluh ribu orang mungkin mengalami kesan sampingan seperti urtikaria (ruam kulit), rinitis,asma, anafilaksis sistemik.
Kesan sampingan ini menunjukkan bahawa walaupun tartrazine memberikan warna yang menarik, ia juga berpotensi menimbulkan masalah kesihatan bagi sesetengah individu.
Sunset Yellow adalah pewarna yang biasa dijumpai dalam makanan seperti jus jeruk, aiskrim dan minuman ringan. Sesetengah individu, penggunaan pewarna ini dapat menyebabkan urtikaria,rinitis,alergi,hiperaktif ,sakit perut, mual dan muntah.
Sunset Yellow juga telah dikaitkan dengan peningkatan hiperaktiviti pada kanak-kanak dan beberapa kajian menunjukkan hubungan antara pengambilan pewarna ini dengan masalah perhatian dan tingkah laku.
Kedua-dua pewarna ini menunjukkan bahawa penggunaan pewarna buatan dalam makanan dapat membawa risiko kesihatan, terutama bagi kanak-kanak. Oleh itu, penting untuk membaca label makanan dan memilih produk yang tidak mengandungi pewarna buatan untuk mengurangi potensi kesan sampingan.
Potensi Karsinogenik
Salah satu bahaya utama pewarna kimia adalah potensi karsinogeniknya. Pewarna azo, yang biasa digunakan dalam industri tekstil dan makanan, telah dikaitkan dengan risiko kanser. Kajian menunjukkan bahawa pewarna ini boleh merangsang pertumbuhan sel kanser dalam tubuh manusia.
Reaksi Alergi
Penggunaan pewarna kimia juga boleh menyebabkan reaksi alergi. Gejala yang mungkin timbul termasuk ruam, gatal-gatal, dan dalam kes yang lebih serius, angioedema serta kesukaran bernafas. Banyak individu tidak menyedari bahawa mereka mungkin alergi terhadap bahan tertentu sehingga mengalami reaksi.
Kesan Jangka Panjang
Bahan pewarna dalam kosmetik dapat diserap melalui kulit dan memasuki aliran darah, berpotensi menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang. Oleh itu, penggunaan pewarna kimia dalam produk kosmetik harus dipantau dengan ketat untuk memastikan keselamatan pengguna.
Kesan Terhadap Alam Sekitar
Masalah lain yang sering tidak diberikan perhatian adalah kesan pewarna kimia terhadap alam sekitar. Bahan-bahan ini boleh mencemari sumber air apabila mereka dibuang tanpa rawatan yang sewajarnya. Sebagai contoh, artikel jurnal yang diterbitkan dalam Environmental Science & Technology menunjukkan bahawa bahan pewarna yang terkumpul di dalam sistem air boleh membahayakan kehidupan akuatik dan boleh berkumpul dalam rantaian makanan, akhirnya menjejaskan kesihatan manusia secara tidak langsung melalui ikan dan makanan laut yang tercemar (Johnson et al., 2019).
Kawalan Penggunaan
Di Malaysia, Akta Makanan 1983 mengawal penggunaan bahan kimia dalam makanan, membenarkan hanya kuantiti tertentu untuk memastikan keselamatan pengguna.
Tindakan Pengurangan Risiko
Untuk mengurangkan risiko berkaitan dengan pewarna kimia, pengguna disarankan untuk:
Memilih Pewarna Alami
Pengguna dinasihatkan beralih kepada pewarna asli dengan menggunakan bahan-bahan alami seperti ubi bit untuk warna merah, kunyit untuk warna kuning, dan klorofil untuk warna hijau. Selain selamat, pewarna alami ni pun tambah nutrisi baik dalam makanan kita.
Membaca Label Makanan
Pengguna perlu mengamalkan memeriksa dan membaca semua label makanan sebelum membeli sebarang produk makanan. Pilih produk yang melabel makanan dengan jelas tidak menggunakan pewarna buatan atau yang menggunakan pewarna dari bahan alami.
Masak Sendiri Makanan di Rumah
Selain itu, memilih untuk memasak makanan sendiri di rumah juga salah satu cara pengguna dapat memastikan sendiri bahan yang digunakan dalam masakan.Pengguna juga boleh memilih bahan-bahan yang segar dan mengelak dari membeli makanan proses yang banyak mengandungi pewarna buatan. Pengguna juga boleh mencuba pelbagai resipi yang menggunakan bahan asli untuk warna dan rasa tanpa perlu menambah pewarna tiruan.
Kesedaran dan Pendidikan
Justeru itu, pengguna perlu sentiasa menambah pengetahuan dan memberi kesedaran kepada ahli keluarga untuk tahu dan faham megenai keburukan pewarna buatan dan kebaikan pewarna asli. Ilmu pemakanan yang sihat ni boleh bantu pengguna membuat pilihan yang lebih bagus.
Menyokong Produk Bebas Pewarna Buatan
Belilah produk dari pengeluar yang komited dengan keselamatan makanan dan tidak menggunakan pewarna buatan.
Dengan mengamalkan langkah-langkah ni, kita boleh mengurangkan penggunaan pewarna buatan dalam diet seharian dan secara tidak langsung, menaikkan tahap kesihatan dan kesejahteraan kita semua.
Pihak berkuasa juga perlu menguatkuasakan peraturan yang lebih ketat mengenai penggunaan dan pembuangan bahan pewarna kimia demi melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.
Kesimpulannya, walaupun pewarna kimia mungkin menawarkan kelebihan dari segi kos dan kestabilan, risiko kesihatan dan alam sekitar yang dikaitkan dengan bahan-bahan ini tidak boleh diabaikan. Masyarakat harus lebih peka terhadap kesan penggunaan bahan ini dan memilih alternatif yang lebih selamat demi kesejahteraan bersama.
Sumber gambar – freepix
Rujukan
- Smith, J., Chen, Q., & Yip, F. (2018). Carcinogenic potential of azo dye compounds in colorants. *Journal of Toxicology and Environmental Health*, 81(14), 535-550.
- Johnson, A., Williams, R., & Smith, D. (2019). Impact of dye pollutants on aquatic environments and human health. *Environmental Science & Technology*, 53(7), 1234-1249.