Penulis: Dr. Nurhazirah Zainul Azlan1,2, Prof. Madya Dr. Noratikah Othman1,2, Prof. TS Dr. Muhammad Lokman Md. Isa2
1Department of Basic Medical Sciences for Nursing, Kulliyyah of Nursing, International Islamic University Malaysia (IIUM)
2Institute of Planetary Survival for Sustainable Well-being (PLANETIIUM), International Islamic University Malaysia (IIUM)
Taksidermi: definisi, kaedah dan tujuan
Perkataan “taksidermi” berasal daripada dua perkataan Yunani iaitu, “taxis” bermaksud susunan dan “derma” bermaksud kulit. Taksidermi merupakan gabungan antara sains dan seni dalam memelihara haiwan yang telah mati dengan tujuan untuk mengekalkan bentuk dan rupa semula jadi haiwan tersebut. Teknik-teknik taksidermi ini juga melibatkan penyusunan, pengawetan dan pemasangan semula kulit, bulu, badan tiruan dan bahagian tubuh haiwan. Kemudian, haiwan ini akan dipamerkan untuk menjadikannya kelihatan seolah-olah masih hidup di habitat semula jadinya. Umumnya, taksidermi boleh dijalankan ke atas haiwan yang mempunyai kulit, sisik, bulu atau cangkerang. Contoh-contoh haiwan tersebut termasuklah tikus, harimau, burung merak, penyu, ular, buaya dan ikan jerung. Tidak terhad kepada itu, serangga seperti rama-rama, kumbang dan labah-labah juga boleh dijadikan sebagai spesimen taksidermi.
Teknik taksidermi dimulai dengan pembersihan dan pengeluaran organ-organ haiwan yang telah mati tapi di masa yang sama, masih menjaga struktur kulit dan bulu haiwan tersebut. Kulit haiwan akan dirawat dengan bahan kimia pengawet khas untuk memastikan kulit tahan lama dengan menghalang pereputan dan pembusukan. Kemudian, bingkai atau rangka dalaman haiwan akan dibentuk daripada dawai besi halus dan isi badan haiwan akan diganti dan dipadatkan dengan bahan seperti sabut kelapa, kapas atau tanah liat. Proses ini dilakukan untuk mendapatkan dan memelihara bentuk badan haiwan yang asal. Setelah haiwan dipadatkan dengan badan tiruan, kulit haiwan tersebut akan dijahit dengan teliti dan rapi sebelum dipasang mata tiruan yang diperbuat daripada kaca atau plastik. Setelah itu, ia akan dipasang pada kerangka dan dibiarkan kering bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria dan cendawan untuk penyimpanan jangka panjang. Akhir sekali, haiwan tersebut akan dilabel dan dipamerkan dengan memposisikan ia dalam postur semula jadi atau tingkah laku spesifik untuk meningkatkan daya tarikan visual.
Kebiasaannya, kita dapat melihat taksidermi haiwan-haiwan ini dipamerkan di muzium sebagai salah satu usaha untuk mendidik orang awam mengenai kepelbagaian spesies haiwan dan ekosistem semula jadi. Pameran taksidermi di muzium juga seringkali mempamerkan haiwan dalam postur semula jadi dan berlatarbelakangkan habitat asal mereka. Ini dapat memberikan pengalaman visual yang lebih realistik dalam membantu orang awam mendalami haiwan tersebut di dalam habitat asal mereka. Pameran taksidermi di muzium seperti ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada orang awam untuk melihat secara dekat dan lebih jelas mengenai bentuk dan struktur haiwan yang jarang ditemui, dan juga haiwan yang terancam dan telah pupus. Selain itu juga, terdapat segelintir individu yang melakukan kaedah taksidermi terhadap haiwan yang ditangkap melalui pemburuan terkawal ataupun haram sebagai trofi atau koleksi peribadi mereka. Bahkan, ada juga yang menjual haiwan-haiwan yang diawet ini untuk tujuan hiasan. Selain itu, haiwan peliharaan seperti kucing, anjing, arnab dan burung yang telah mati juga boleh diawet melalui proses taksidermi demi mengekalkan kenangan dan memori haiwan peliharaan mereka. Ada juga beranggapan bahawa haiwan peliharaan yang telah diawet ini adalah salah satu cara mereka untuk menghormati dan mengenang haiwan kesayangan mereka.
Apakah kepentingan taksidermi haiwan dalam kelestarian planet?
Kepentingan taksidermi haiwan dalam konteks kelestarian planet merupakan topik yang jarang dibicarakan. Taksidermi haiwan bukan hanya mempunyai nilai-nilai estetik semata-mata sebagai objek pameran atau koleksi peribadi, tetapi juga dapat memainkan peranan penting dalam menjamin kelangsungan dan kelestarian ekosistem global. Selain daripada tujuan pendidikan, spesimen taksidermi di muzium juga memainkan peranan penting dalam penyelidikan saintifik dan pemuliharaan. Melalui spesimen taksidermi di muzium, penyelidik boleh mempelajari lebih lanjut tentang anatomi, tingkah laku, dan ekologi haiwan tersebut tanpa perlu menangkap atau mengganggu haiwan hidup. Malah, penyelidik juga dapat mengkaji ciri-ciri tersebut pada haiwan yang terancam dan telah pupus. Ini amat penting untuk memahami faktor-faktor yang mempengaruhi kelangsungan hidup haiwan-haiwan ini. Dengan itu, kita dapat menghalang spesies haiwan lain daripada pupus dan seterusnya merancang strategi pemuliharaan yang lebih berkesan.
Walaupun taksidermi haiwan dikaitkan dengan pemeliharaan spesimen yang telah mati, ia juga dapat memainkan peranan yang penting dalam program pemuliharaan spesimen yang terancam. Ini kerana spesimen taksidermi haiwan dapat memberikan maklumat yang amat berharga mengenai bahan genetik haiwan tersebut melalui ujian genetik dan pemprofilan DNA. Spesimen taksidermi haiwan juga boleh memberikan maklumat genetik untuk pengecaman spesies haiwan liar dan ekologi molekul dengan menjana jujukan gen spesifik untuk spesies haiwan liar ini. Dengan ini, data-data penting seperti ciri-ciri biologi, evolusi dan sejarah genetik boleh diperolehi. Bukan itu sahaja, ujian-ujian ini juga dapat membantu dan memahami bagaimana haiwan terancam atau telah pupus beradaptasi dengan persekitarannya. Ujian-ujian ini turut berperanan penting dalam mengenal pasti variasi genetik dan mutasi yang mungkin terdapat dalam spesimen taksidermi haiwan, maka ini dapat membantu dalam mengenal pasti gangguan genetik yang berpotensi menjadi penyakit dalam spesies tersebut. Penyelidikan sebegini penting dalam menjamin kelangsungan dan kelestarian planet dengan mengesan risiko kepupusan dalam spesies yang terancam, termasuk faktor seperti adaptasi evolusi, penyebaran penyakit, serta interaksi antara spesies dalam ekosistem. Malah, penyelidikan sebegini turut menyumbang dalam usaha pemuliharaan, pengurusan ekosistem dan program pembiakan haiwan yang lebih efektif demi kesinambungan ekosistem dan kelestarian planet.
Tambahan pula, taksidermi haiwan juga berfungsi sebagai rekod penting dalam sejarah alam. Spesimen taksidermi haiwan yang diperolehi dan dipelihara selama bertahun-tahun memberikan peluang kepada para penyelidik untuk memerhati serta mengkaji perubahan yang dialami oleh haiwan-haiwan ini dari masa ke masa, akibat daripada perubahan iklim, pembangunan bandar, campur tangan manusia dan faktor-faktor lain. Bukan itu sahaja, perbandingan antara spesimen taksidermi haiwan dan populasi haiwan semasa juga dapat membuka ruang untuk memahami impak dan kesan perubahan alam sekitar dan ekosistem terhadap spesies tertentu. Ini termasuk kajian mengenai bagaimana spesies tertentu dapat beradaptasi terhadap perubahan ekosistem seperti degradasi, pencemaran dan fragmentasi habitat akibat daripada tekanan pembangunan dan urbanisasi. Secara tidak langsung, ini dapat membantu dalam mengenal pasti corak kepupusan di kalangan haiwan-haiwan yang terancam dan memperbaiki usaha pemuliharaan dan kelestarian planet.
Akhir sekali, spesimen taksidermi haiwan ini juga dapat menyumbang kepada pendidikan awam. Melalui spesimen taksidermi haiwan ini, kesedaran mengenai pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian planet dapat ditingkatkan di kalangan masyarakat. Spesimen taksidermi haiwan yang terancam dan telah pupus bukan sahaja memberi maklumat berharga tetapi juga mampu menginspirasi masyarakat tentang betapa pentingnya melindungi alam sekitar sebelum terlambat. Pameran ini juga membolehkan masyarakat untuk memahami ekosistem, interaksi antara spesies, serta kesan negatif aktiviti manusia terhadap hidupan liar. Dengan ini, masyarakat akan lebih menghargai kepentingan memelihara alam semula jadi, sejajar dengan pepatah “alam terkembang menjadi guru,” yang menekankan pentingnya belajar dari alam untuk kehidupan yang lebih harmoni dan menjamin kepada kelestarian planet.
Cabaran dan masa depan taksidermi haiwan dalam kelestarian planet
Walaupun taksidermi haiwan memainkan peranan yang penting dalam pendidikan, penyelidikan saintifik dan pemuliharaan biodiversiti, ianya juga berdepan dengan beberapa cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan sumbangannya dalam kelestarian planet dapat dimaksimumkan. Salah satu cabaran utama dalam bidang ini adalah aspek etika dan kelestarian sumber haiwan. Penggunaan haiwan yang telah mati untuk dijadikan spesimen taksidermi sering kali mencetuskan pertikaian mengenai kaedah mendapatkan spesimen haiwan tersebut. Terdapat kebimbangan bahawa spesimen taksidermi haiwan didapati dari hasil pemburuan haram atau pembunuhan haiwan tanpa sebab yang wajar, yang boleh menjerumus kepada eksploitasi haiwan terancam bagi tujuan komersial. Ini akan membawa kepada kesan negatif terhadap usaha pemuliharaan. Tambahan pula, kemerosotan biodiversiti juga menambah tekanan kepada masa depan taksidermi. Jumlah spesimen taksidermi haiwan yang boleh disimpan dan dipelihara semakin berkurangan akibat daripada banyak spesies haiwan yang menghadapi ancaman kepupusan. Oleh itu, ianya penting bagi ahli-ahli taksidermis dan institusi yang terlibat untuk memastikan sumber haiwan yang digunakan bagi tujuan taksidermi adalah dari haiwan yang mati secara semula jadi, kemalangan jalan raya atau hasil sumbangan dari institusi dan program pemuliharaan yang sah.
Selain itu, masa depan taksidermi juga perlu disesuaikan ke arah praktik yang beretika dan teknologi hijau. Ini boleh dicapai dengan penggunaan bahan awet yang mesra alam dan teknik-teknik yang boleh mengurangkan impak terhadap persekitaran demi memastikan bidang taksidermi ini dapat terus berkembang tanpa mencemarkan alam dan menjamin kelestarian planet. Di samping itu juga, penyelidikan terhadap spesimen taksidermi yang berpotensi memberikan maklumat genetik perlu direkodkan dengan teliti tanpa menyembunyikan data untuk memastikan data tersebut dapat dimanfaatkan dalam kajian masa depan. Rekod yang tepat, menyeluruh dan tulus dapat menjamin ketulenan maklumat bahan genetik yang diperolehi. Jadi, melalui penyelidikan yang teratur dan penggunaan spesimen taksidermi haiwan secara beretika, ianya mampu untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam melestarikan biodiversiti serta memajukan pengetahuan saintifik demi kelestarian planet. Oleh itu juga, perlu adanya kerjasama antarabangsa dalam usaha pemuliharaan ekosistem demi menjamin kelestarian planet.
Kesimpulan
Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan kemerosotan biodiversiti, kepentingan taksidermi haiwan dalam menjamin kelangsungan dan kelestarian ekologi planet tidak boleh dipandang ringan. Taksidermi haiwan menawarkan sumbangan yang signifikan dalam usaha-usaha pemuliharaan dan kelestarian planet dengan berfungsi sebagai alat pendidikan, penyelidikan dan juga boleh dianggap sebagai salah satu warisan biologi. Meskipun taksidermi haiwan menghadapi cabaran besar dari segi sumber haiwan, ianya tetap mempunyai potensi besar dalam usaha kelestarian planet. Oleh itu, taksidermi wajar diiktiraf dan dimanfaatkan sebagai salah satu strategi dan kaedah konservasi demi memastikan keseimbangan dan kelestarian planet untuk generasi akan datang.
Rujukan
Péquignot, A. The history of taxidermy: clues for preservation. Collections a Journal for Museum and Archives Professionals. 2006;2(3): 245–255.
Bahuguna, A. & Negi, P. Use of taxidermy samples to generate forensically informative nucleotide sequences of globally threatened species of small cats including the species from India by using 12SrRNA and cytochrome b gene. Biological Forum – An International Journal. 2022;14(1): 861–869.
Bahuguna, A. Forensically informative nucleotide sequencing (FINS) for species and subspecies of genus Prionailurus (Mammalia: Carnivora: Felidae) through mitochondrial genes (12SrRNA and cytochrome b) by using old taxidermy samples. Mitochondrial DNA Part B. 2018;3(2): 615-619.
Kabir, A. & Hawkeswoood, T.J. A review on wildlife taxidermy: preservation for conservation. Calodema. 2020;845:1-8.