Penulis: Dr. Zulkhairi Azizi Bin Zainal Abidin
Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar,
Universiti Putra Malaysia
Insiden anak gajah yang mati dilanggar lori di Lebuhraya Belum-Temenggor sememangnya menyentuh hati. Rata-rata perkongsian berita insiden tersebut di media sosial menerima maklumbalas yang sangat tinggi, dengan majoriti pengguna media sosial menonjolkan perasaan sedih dan hiba atas apa yang berlaku. Tidak kurang sebilangan besar yang menuntut tindakan segera dibuat oleh kerajaan. Susulan insiden ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah menyatakan kesungguhan kerajaan dalam mengatasi masalah tersebut, manakala Kementerian Pengangkutan Malaysia pula telah memberi persetujuan secara dasar untuk mewujudkan satu mekanisma pendanaan untuk inisiatif keselamatan jalanraya.
Tapi ramai juga yang mungkin tidak sedar, selain dari insiden gajah, terdapat juga insiden tapir, kera, biawak, ular, musang, harimau, dan babi hutan yang turut mati dilanggar kenderaan. Jabatan PERHILITAN telah merekodkan sebanyak 2,444 kes kemalangan dengan hidupan liar berlaku antara tahun 2012 dan 2017 (Kasmuri et al., 2020). Kajian lepas di sekitar Tasik Kenyir dan Merapoh pula menemukan sebanyak 305 hidupan liar telah mati dilanggar kenderaan, dengan 24 spesis terlibat (Hui et al., 2021). Lebih dahsyat, data ini diperolehi antara bulan Mei dan Oktober 2017 sahaja. Jelaslah bahawa kemalangan dengan hidupan liar tidak mengenal mangsa. Ia adalah satu insiden kehilangan biodiversiti dengan implikasi yang sangat besar.
Peranan Kerajaan
Adalah tidak adil untuk menyatakan yang pihak kerajaan tidak melaksanakan apa-apa inisiatif dalam memastikan kelangsungan spesis dan kelestarian biodiversiti. Untuk rekod, kerajaan telah membangunkan tiga jejantas hidupan liar (wildlife viaduct/crossing) di Lebuhraya Aring-Kuala Berang, Lebihraya Lipis-Gua Musang, dan Lebuhraya Gerik-Jeli (Lim et al., 2022). Pihak berwajib juga telah menyediakan papan tanda amaran kawasan lintasan hidupan liar di kawasan-kawasan panas lintasan hidupan liar, serta membangunkan pagar yang menghalang hidupan liar masuk ke kawasan jalanraya. Usaha ini, sungguhpun masih terhad, menunjukkan perhatian yang diberikan oleh pihak berwajib dalam mengatasi masalah kemalangan dengan hidupan liar ini.
Satu aspek yang tidak boleh dipandang ringan dalam kejadian ini adalah halaju pemanduan. Halaju pemanduan banyak diperdebatkan dalam mana-mana kejadian kemalangan di jalanraya. Memandu laju akan mengehadkan masa untuk individu memberi tindak balas, mengurangkan kebarangkalian untuk membuat respon sepatutnya bagi mengelak perlanggaran (Ismail, Nursya Mimie Ayuny Baharom et al., 2024). Bahkan, penetapan halaju di jalanraya kerap dijadikan sebagai mekanisme utama dalam mengurus kemalangan di jalanraya. Sayangnya, hal ini kurang dibincangkan dalam konteks kemalangan dengan hidupan liar.
Halaju pemanduan adalah satu bentuk tabiat dan kebiasaan. Kekerapan seseorang itu memandu boleh menyebabkan mereka kekal dengan satu corak dan halaju pemanduan tertentu. Sungguhpun demikian, tabiat ini tetap boleh dibentuk atau diubah. Terdapat tiga kajian psikologi semasa yang boleh membantu kita memahami dimensi psikologi dalam kejadian kemalangan jalan raya dengan hidupan liar, sekaligus membangunkan inisiatif khusus dalam membentuk tabiat pemanduan positif dan lebih selamat dalam menangani masalah kemalangan dengan hidupan liar.
ARTIKEL LAIN DARI PENULIS – Normal Baharu dalam Menjaga Alam Sekitar
ARTIKEL LAIN DARI PENULIS – Konflik Manusia-manusia di dalam Konflii Manusia-Haiwan
Kajian pertama merujuk kepada tinjauan dalam kalangan pemandu di daerah Hulu Langat, Selangor (n=390). Analisis data kajian tersebut menunjukkan responden mempunyai tahap kefahaman yang sederhana tentang papan tanda amaran hidupan liar melintas dan tindakan yang perlu dibuat di kawasan lintasan hidupan liar. Berdasarkan teori Pengetahuan-Sikap-Perilaku, kefahaman dan pengetahuan seseorang boleh mempengaruhi sikap individu, seterusnya membantu pembentukan tingkah laku mereka. Hasil kajian ini memberi gambaran pemandu yang kurang faham maksud papan tanda amaran hidupan liar melintas berkemungkinan tidak akan tahu halaju yang sewajarnya di kawasan titik panas berlakunya kemalangan dengan hidupan liar.
Dalam kajian yang berasingan dijalankan secara atas talian dalam kalangan pemandu di negara ini (n=245), analisis mendapati bahawa kecenderungan individu untuk memperlahankan kenderaan di kawasan dengan papan tanda amaran hidupan liar melintas adalah amat dipengaruhi oleh sikap terhadap pemanduan selamat dan kepercayaan terhadap kemampuan memandu. Kajian yang dijalankan berdasarkan Teori Perilaku Terancang ini mendapati, individu yang mempunyai sikap positif terhadap pemanduan selamat akan memperlahankan kenderaan dikawasan dengan papan tanda amaran hidupan liar melintas. Walaubagaimanapun, individu yang mempunyai keyakinan dengan kemampuan mereka memandu didapati cenderung untuk tidak memperlahankan kenderaan, sungguhpun berada di kawasan lintasan hidupan liar. Dari perspektif pembentukan tabiat, tahap keyakinan memandu yang tinggi boleh menyebabkan individu percaya bahawa mereka sudah sedia memandu secara selamat, sungguhpun melebihi halaju yang dibenarkan.
Dapatan Kajian
Menariknya, satu tinjauan awal kajian personaliti bersama sejumlah 105 pemandu di daerah Chenor, Pahang mendapati, kencenderungan menurunkan halaju pemanduan di lokasi dengan papan amaran hidupan liar melintas adalah dipengaruhi oleh personaliti individu. Individu berpersonaliti altrusitik – mementingkan makhluk lain dan bukan kepentingan diri sendiri, mempunyai kecenderungan untuk memandu dengan lebih perlahan di kawasan lintasan hidupan liar. Dalam erti kata lain, jika seseorang pemandu itu berpegang kepada nilai yang mementingkan hidupan liar (dan alam sekitar), terdapat potensi individu tersebut akan memperlahankan kelajuan memandu apabila melihat papan tanda amaran hidupan liar melintas. Hasil kajian ini memberi harapan cerah dalam usaha menangani masalah kemalangan dengan hidupan liar. Walaubagaimanapun, kajian tersebut turut menemukan bahawa pemandu berpersonaliti agresif boleh bertindak sebaliknya.
Secara keseluruhannya, hasil dapatan dari tiga kajian ini memberi gambaran bahawa kejadian kemalangan dengan hidupan liar tetap sukar untuk dibendung jika fokus pengurusan hanya diberi kepada pembangunan infrastruktur dan penambahbaikan fizikal di sepanjang jalan. Usaha untuk mengawal halaju pemanduan juga wajar diberi penekanan. Secara khususnya, kaedah pengurusan yang lebih tegas dan berfokus kepada aspek pemanduan seperti pemasangan kamera perangkap halaju wajar dibuat di kawasan lintasan hidupan liar. Manakala Kurikulum Pendidikan Pemandu boleh ditambahbaik dengan memberi penekanan yang lebih banyak dan meluas tentang situasi hidupan liar di jalanraya.
Kejadian kemalangan dengan hidupan liar adalah bukti kelompongan kelestarian dalam pembangunan negara. Ia memerlukan pengurusan habitat semulajadi dan pembangunan fizikal yang seimbang. Pada masa yang sama, kejadian ini juga menjadi cerminan sikap kita semua sebagai sebuah masyarakat. Kita boleh bersedih dengan kejadian tersebut. Akan tetapi sejauh mana kesedihan itu dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan untuk memandu dengan lebih berhemah dan mengikut peraturan adalah bergantung sepenuhnya kepada diri kita sendiri. Hidupan liar bukanlah sekadar korban kepada tabiat dan kebiasaan kita.
Kredit foto-Imej janaan AI
Rujukan:
Hui, T. C. Y., Slade, E. M., & Chong, J. L. (2021). Roadkills in Northern Peninsular Malaysia. Frontiers in Environmental Science, 9(October), 1–14. https://doi.org/10.3389/fenvs.2021.637462
Ismail, Nursya Mimie Ayuny Baharom, M. Z., Manap, Z. A., Hassan, M. H. A., Karjanto, J., & Jawi, Z. M. (2024). Malaysian driver’s response during obstacle avoidance task using driving simulation study: A preliminary study. Journal of the Society of Automotive Engineers Malaysia, 1–16.
Kasmuri, N., Nazar, N., & Mohd Yazid, A. Z. (2020). Human and animals conflicts: A case study of wildlife roadkill in Malaysia. Environment-Behaviour Proceedings Journal, 5(13), 315–322. https://doi.org/10.21834/e-bpj.v5i13.2093
Lim, E. A. ., Puan, C. L., Hiew, M. W. H., Mohd Sanusi, M., Magintan, D., & Yawah, D. (2022). Conservation of Malayan Tapir (Tapirus indicus): A joint effort among Southeast Asian countries (E. A. . Lim, C. L. Puan, M. W. . Hiew, M. Mohd Sanusi, D. Magintan, & D. Yawah (eds.)). National Library of Malaysia.