Penulis. Prof. Dr. Noraini Talip, Nur Ain Salsabiela Hussain, Siti Jemilah Ismail
Taman Botani Bangi, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM
Kita mungkin pernah dengar tentang pokok ‘Mata Pelanduk’, iaitu spesies tumbuhan yang dikenali dengan nama saintifiknya Ardisia elliptica Thunb. Mata Pelanduk merupakan sebahagian daripada famili Primulaceae yang merangkumi kira-kira 58 genus dan 2,590 spesies. Antara genus yang popular dalam famili ini ialah Ardisia yang merupakan genus yang terbesar dengan kira-kira 450 spesies. Tumbuhan dalam famili ini mudah ditemui di kawasan tropika dan subtropika di seluruh dunia.
Asal usul sebenar mata pelanduk masih lagi menjadi perdebatan, namun secara umumnya banyak laporan mengatakan spesies ini berasal dari kawasan Asia Selatan dan Asia Tenggara. Kawasan taburan asalnya dilaporkan bermula dari India ke tenggara China, Kepulauan Ryuku, Thailand, Indochina, Semenanjung Malaysia, Singapura, Sumatera, Borneo, Filipina hingga ke Papua New Guinea. Terdapat juga yang mengatakan bahawa spesies mata pelanduk ini berasal dari kawasan pantai selatan China, Myanmar, dan Kemboja.
Spesies ini telah diperkenalkan secara meluas ke kawasan pan-tropika di seluruh dunia. Taburannya kini mungkin jauh lebih meluas berbanding apa yang pernah dilaporkan dan senarai negara di mana spesies ini ditemui mungkin masih tidak lengkap. Mata Pelanduk kebiasaannya tumbuh di sepanjang tebing muara yang mengalami pasang surut serta kawasan pantai berpasir atau berlumpur. Spesies ini merupakan tumbuhan renek atau pokok kecil yang boleh mencapai ketinggian sehingga 8 meter tinggi. Daunnya berselang-seli dan berwarna kemerahan. Bunganya pula bersusun di dalam jambak bertangkai berwarna merah jambu yang kelihatan berlilin dan berjuntai. Buahnya berbentuk beri bulat berubah warna daripada merah keunguan menjadi hitam apabila masak. Pokok ini boleh dibiakkan dengan mudah melalui biji benih.
Pokok ini memainkan peranan penting dalam ekosistem sebagai sumber makanan bagi pelbagai serangga dan burung. Daunnya menjadi makanan utama bagi ulat beberapa spesies rama-rama seperti Abisara saturata dan Nacaduba calauria, serta Chalioides sumatrensis (bagworm moth) dan spesies rama-rama lain.
Spesies ini biasanya boleh dikenali melalui susunan daunnya yang berpilin serta corak titik atau garisan gelap yang sering menghiasi permukaan daun. Selain itu spesies ini juga boleh dicamkan melalui ciri kulit batang yang terdapat rekahan kecil beralur. Daun mudanya bewarna kemerahan dan apabila daun menjadi matang, menjadi warna hijau gelap.
Spesies ini mempunyai bunga bewarna merah jambu, yang berbentuk bintang dan warna merah jambu ini menjadi daya tarikan kepada lebah seperti Pearly-banded Bee dan Blue-banded Digger Bee yang membantu dalam proses pendebungaan. Buahnya pula yang kecil dan berwarna gelap menarik perhatian burung yang berperanan dalam penyebaran benih tumbuhan ini ke kawasan baharu. Buah beri yang berubah warna daripada ungu ke hitam inilah yang menjadikan spesies ini unik dan menarik.
Spesies ini merupakan salah satu spesies yang terpilih pada program penanaman pokok pada 21 Januari 2025 di Kuala Nerang, Kedah, Projek 2 Juta Program Penanaman Pokok telah dilancarkan dengan sasaran 2.2 juta pokok untuk ditanam dari tahun 2025 hingga 2030. Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam usaha memelihara kehijauan alam sekitar di negeri Kedah. Pelbagai spesies pokok telah dipilih untuk ditanam dalam projek ini termasuklah mata pelanduk. Pokok ini dipilih untuk ditanam bersama-sama dengan pokok sentu, asam gelugur, nangka, durian, rambutan, rambai hutan dan lain-lain. Pemilihan spesies ini berdasarkan pada pertumbuhannya yang cepat serta buahnya yang menjadi sumber makanan bagi hidupan liar. Projek penanaman 2.2 Juta Pokok ini bukan sekadar usaha untuk meningkatkan jumlah pokok di negeri Kedah tetapi juga bertujuan untuk memulihara spesies-spesies tempatan yang mempunyai nilai ekonomi, nilai ekologi dan budaya yang tinggi. Projek ini diharapkan dapat menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar, peningkatan kepada pemuliharaan kepelbagaian biologi negara dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pememeliharaan khazanah semula jadi.
Pokok Mata Pelanduk memiliki pelbagai kegunaan dalam perubatan tradisional terutamanya bagi merawat diabetes secara tradisional. Daunnya dipercayai mempunyai sifat antidiabetes dan sering dimanfaatkan oleh etnik Melayu di Malaysia dan Indonesia. Selain itu, daunnya direbus untuk dijadikan minuman herba yang dikatakan membantu mengawal kadar gula dalam darah. Kajian yang dilakukan telah mengesahkan bahawa flavonoid yang terdapat dalam pokok ini memiliki sifat antihiperglisemik sekali gus menyokong penggunaannya dalam rawatan diabetes secara tradisional. Kajian telah dilakukan yang membuktikan bahawa flavonoid yang terkandung dalam pokok Mata Pelanduk mempunyai sifat antihiperglisemik dan ini mengukuhkan lagi kegunaannya dalam rawatan diabetes mengikut amalan tradisional. Kulit batang pokok ini dikatakan berkesan untuk merawat kudis. Kulitnya ditumbuk hingga lumat, kemudian dicampur dengan minyak kelapa dan belerang dalam nisbah yang sama sebelum disapukan pada bahagian yang terjejas.
Selain itu, pucuk mudanya boleh digunakan untuk meredakan demam panas. Daun yang diramas dalam air hingga mengeluarkan lendir atau akar yang ditumbuk halus dan dicampur dengan air sebelum ditapis boleh digunakan untuk membasuh kepala setiap hari bagi membantu menurunkan suhu badan.
Akar dan daun pokok ini juga sering dijadikan ramuan dalam rawatan tradisional. Air rebusan akarnya dipercayai dapat melegakan sakit tekak dan dada tetapi perlu diambil dalam jumlah yang terkawal kerana pengambilan berlebihan boleh menyebabkan muntah. Daunnya pula bermanfaat untuk mengurangkan sengal-sengal badan. Daun boleh dilumatkan bersama akarnya sebelum disapukan pada bahagian yang sakit.
Menariknya, buah mata pelanduk boleh dimakan dan mempunyai rasa sedikit kelat. Daun ini boleh dimakan mentah sebagai ulam atau dimasak sebagai sebahagian daripada hidangan. Oleh itu, hampir keseluruhan bahagian pokok ini banyak menyumbang kepada manusia sama ada dalam perubatan tradisional malah sebagai sumber makanan semula jadi.
Salah satu daya tarikan utama Mata Pelanduk ialah keindahan struktur kanopinya. Spesies ini sering digunakan dalam landskap kerana ciri-ciri arkitektur, daun, bunga dan buahnya yang menarik. Daun mudanya yang muncul secara bermusim mempunyai warna kemerahan yang cerah, menambahkan keceriaan pada persekitaran. Bunganya yang berwarna merah jambu dan terkulai, serta buahnya yang berubah warna daripada merah keunguan menjadi hitam apabila masak, menarik perhatian ramai dan sering dijadikan pilihan sebagai tumbuhan hiasan.
Mata Pelanduk sering ditanam sebagai pagar hidup untuk mencipta sempadan yang menarik di taman atau tepi jalan. Pokok ini juga sesuai digunakan sebagai pengisi ruang antara pokok-pokok besar atau ditanam di taman-taman kecil dan kawasan rekreasi. Keupayaannya untuk tumbuh dalam pelbagai jenis persekitaran menjadikannya pilihan yang ideal untuk pelbagai jenis lanskap.
Mata Pelanduk adalah tumbuhan yang mudah dijaga dan sesuai untuk pelbagai jenis persekitaran. Spesies ini boleh tumbuh dengan baik di bawah cahaya separa teduh mahupun cahaya penuh. Mata Pelanduk memerlukan kuantiti air yang sederhana dengan tanah yang sentiasa lembap tetapi tidak terlalu basah untuk mengelakkan akar daripada reput. Mata Pelanduk boleh mencapai ketinggian sehingga 8 meter tinggi jika dijaga dengan baik. Spesies ini juga sangat toleran terhadap pelbagai jenis tanah termasuklah tanah lembap, bersaliran baik dan subur berloam. Oleh itu spesies ini adalah pilihan yang sesuai sebagai tanaman pemula atau perintis untuk sesuatu kawasan.
Mata Pelanduk membuktikan betapa alam semula jadi penuh dengan sumber yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai cara. Keindahannya menghiasi lanskap, manakala kegunaannya dalam perubatan tradisional dan peranannya dalam ekosistem terus menarik minat masyarakat untuk mengenalinya. Ancaman utama seperti perubahan iklim dan pembukaan hutan secara berleluasa untuk pelbagai tujuan mungkin menjejaskan spesies ini dan langkah proaktif perlu diambil untuk memelihara dan melindungi spesies ini. Antaranya ialah seperti menanam lebih banyak pokok Mata Pelanduk melalui projek penghijauan, melakukan kajian saintifik bagi meneroka khasiat perubatannya dan meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingannya.
Masyarakat perlu menghargai dan memanfaatkan sumber semula jadi secara lestari. Mata Pelanduk merupakan salah satu simbol kekayaan alam yang perlu dijaga dan dipelihara. Interaksi antara Mata Pelanduk dengan pelbagai spesies fauna juga menjadikannya bukan sekadar tumbuhan ubatan dan hiasan, malah turut menyokong keseimbangan kepelbagaian biologi di habitatnya. Seharusnya kita bersama-sama memastikan agar spesies seperti ini terus hidup dan berkembang agar alam semula jadi tetap menjadi sumber kehidupan dan inspirasi serta membawa manafaat untuk semua.
Rujukan:
https://www.mybis.gov.my/sp/12092
Kamarudin Mat-Salleh, A. Latif. Tumbuhan Ubatan Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia; 2002.
Christophe Wiart. 2006. Medicinal plants of Asia and the Pacific. Boca Rotan: CRC Press.
Primchanien Moongkarndia, Nuttavut Kosema, Omboon Luanratanab, Suna Jongsomboonkusola, Narongchai Pongpanb. 2004. Antiproliferative activity of Thai medicinal plant extracts on human breast adenocarcinoma cell line. Fitoterapia 75:375–377.
Juriyati Jalil , Ibrahim Jantan , Khozirah Shaari and Iftikhar Ahmad Abdul Rafi. 2004. Bioassay-Guided Isolation of a Potent Platelet-Activating Factor Antagonist Alkenylresorcinol from Ardisia elliptica. Pharmaceutical Biology 42(6): 457-461.