Oleh : Mohd Faizal Aziz
Secara umum pertumbuhan ekonomi suatu bandaraya besar dunia dilihat dengan munculnya bangunan-bangunan pencakar langit. Selain itu, ia juga menjadi simbol ukuran pertumbuhan sosial, budaya serta kemegahan negara terbabit. Ada yang berpendapat perkembangan struktur mega dan menjulang tinggi adalah disebabkan oleh masalah ruang yang timbul hasil daripada kepesatan pembangunan dan kepadatan penduduk di sesuatu tempat.
Sains dan teknologi juga berperanan secara meluas dalam melahirkan bangunan-bangunan pencakar langit dengan pelbagai senibina yang unik dan menarik. Menurut sejarah penciptaan struktur mega bermula pada tahun 1777 selepas penemuan bijih besi. Rekaan pertama pada waktu itu ialah jambatan besi ’Ironbridge’ yang dibina di Coalbrookdale merentasi Sungai Severn Shropshire England oleh Abraham Darby. Evolusi binaan bangunan tinggi bertingkat pula bermula selepas Perang Dunia II selepas ciptaan lif oleh Elisha Graves Otis pada tahun 1852. Perkembangan pantas teknologi binaan ini diteruskan pula oleh revolusi senibina moden menggantikan senibina klasik Inggeris sebelum perang dunia pertama. Klasifikasi struktur moden dan klasik ini dapat dikenalpasti dengan melihat senibina dan penerapan sains & teknologi dalam binaannya.
Perkembangan awal bangunan-bangunan tinggi merupakan hasil imaginasi arkitek-arkitek zaman ’Chicago School’ seperti Home Insurance Building di Chicago, Illnois yang diilihamkan oleh Barron Jenney. Bangunan setinggi 10 tingkat itu terkenal sebagai bangunan pertama tertinggi di dunia. Tokoh yang paling menonjol dan digelar ’Bapa Pembangunan Pencakar Langit’ pula ialah Louise Henry Sullivan dengan rekabentuk dan binaan ’Carson Pirie Scott’ di Chicago pada tahun 1904. Beliau terkenal dengan rekaan yang menampilkan teknologi baru iaitu gabungan antara teknologi rangka keluli ke dalam seni binaan bangunan klasik.
Pada awal tahun 1900-an bermula era baru pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit yang berpindah dari Pusat Bandar Chicago ke New York. Beberapa bangunan pencakar langit tersohor yang dibina antaranya ialah ’Metropolitan Life Tower dan Chrysler Building’. Ketika terjadinya perang dunia kedua (1940-1950), era pembinaan bangunan tinggi bersaiz mega terhenti. Perang selain merencat ekonomi dunia pada waktu itu turut mengubah penampilan dan rekabentuk bangunan baru yang dibina. Fizikal bangunan zaman itu lebih ringkas dan hampir kebanyakannya berbentuk kubus yang diselimuti kaca sebagai struktur luarannya. Kebanyakan negara yang baru mencapai kemerdekaan membina bangunan dalam bentuk yang hampir sama. Rekebentuk sedemikian sering dilabelkan sebagai rekabentuk antarabangsa dengan ungkapan yang terkenal ’less is more’. Gaya senibina berbentuk ringkas ini menjadi panduan dalam pembinaan bangunan-bangunan lain dan bertahan sehingga penghujung awal tahun 1980-an. Rekabentuk seperti ini tidak mendapat tempat di bandar-bandar sekitar Eropah yang memiliki sejarah gemilang dalam seni dan gaya dalam senibinanya.
Pada akhir 1970-an telah mula berlaku anjakan paradigma di kalangan arkitek mengenai rekebantuk bangunan. Mereka mula mencuba idea baru yang bertentangan dengan rekabentuk sebelumnya. Bangunan-bangunan baru tidak lagi sekadar berbentuk kubus kaca, tetapi sudah mulai berbentuk yang bernilai estetika. Perubahan tersebut diistiharkan secara simbolik dengan meruntuhkan bangunan ‘Pruitt-Igoe Housing’, St. Lousie hasil rekacipta Minoru Yamasaki pada tahun 1972. Minoru Yamasaki juga merupakan arkitek yang mengilhamkan World Trade Centre, WTC setinggi 417 meter di New York yang musnah dalam peristiwa 11 september 2001.
Selepas munculnya ideologi baru tentang teori binaan bangunan, gaya senibina moden ini menonjol pada awal 1980-an dan berterusan sehingga kini. Dalam tempoh itu muncul bangunan tinggi yang lebih moden serta tokoh-tokoh arkitek yang terkenal di sebalik ciptaan tersebut. Antara yang terkenal ialah Philips Johnson dengan rekaan bangunan syarikat telekomunikasi AT&T di New York dan William Pederson dengan bangunan ’Wacker Drive’ yang terletak di tebing Sungai Chicago. Di kawasan ini juga telah dibina ’Chicago Skycrapper’ setinggi 78 tingkat pada tahun 2003 milik jutawan Amerika Donald Trump hasil ilham arkitek Adrian Smith.
Kemampuan sains dan teknologi serta daya imaginasi manusia telah merancakkan lagi perkembangan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia. Bangunan yang dimaksudkan ialh Burj Al-Arab Dubai yang dibina di Emiriah Arab Bersatu, Dubai dengan ketinggian 705 meter. Sehingga kini Burj Dubai akan menjadi struktur tertinggi buatan manusia dalam sejarah. Bangunan kedua tertinggi di dunia terletak di Taipei Taiwan. Ia dikenali dengan Taipei 101. Dalam banyak aspek, bangunan ini merupakan salah satu pencakar langit tercanggih di dunia yang pernah dibina oleh manusia. Bangunan ini memiliki kemudahan fiber optik dan hubungan internet satelit yang dapat mencapai kelajuan satu gigabait persaat. Syarikat Jepun terkenal Toshiba telah menyediakan dua lift terpantas di dunia dengan halaju dengan keupayaan membawa pengunjung ke tingkat 89 dalam masa kurang dari 40 saat. Sebuah pemberat berjusim 800 tan dipasang pada tingkat 88 untuk menstabilkan bangunan ini terhadap sebarang gangguan yang timbul dari gempa bumi, taufan dan geseran angin.
Kita juga berbangga kerana memiliki salah satu struktur bangunan ketiga tertinggi di dunia iaitu Menara Berkembar Petronas di KLCC. Menara ini dibina di tengah pusat Bandaraya Kuala Lumpur di atas keluasan tapak 40 hektar. Ia disiapkan pada tahun 1996 dan rekabentuknya diilhamkan oleh arkitek terkenal Cesar Pelli yang berasal dari Argentina dan menetap di Amerika.
Peranan sains dan teknologi senibina memungkinkan manusia mencipta dan mengilhamkan pelbagai rekabentuk bangunan yang canggih dan mempunyai pelbagai nilai estetika dan tujuan akhir hasil rekacipta. Gabungan senibina,teknologi, kreativiti dan inovasi menggunakan pengetahuan sains dan teknikal dapat membantu manusia menyelesaikan masalah demi kepentingan masyarakat dan negara tanpa mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
Rencana ini tersiar di sisipan Utusan Malaysia, Estidotmy April 2008