Penulis: Dr. Fitri Fareez Ramli1, Dr Izzat Zulhilmi Abd Rahman2
1Pensyarah Perubatan, Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
2Pensyarah Perubatan, Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Setiap kali menjelang Syawal, ramai antara kita bersungguh-sungguh membuat pelbagai persiapan seperti menghias rumah, membeli baju baharu, merancang perjalanan balik kampung, dan menyediakan juadah istimewa untuk keluarga tercinta dan para tetamu. Namun, di sebalik senyuman manis dan foto-foto indah dalam media sosial, wujud satu fenomena yang jarang dibincangkan iaitu stres musim perayaan yang juga dikenali sebagai holiday stress. Istilah ini merupakan satu istilah yang merujuk kepada keadaan stres akut yang terjadi sewaktu bercuti. Percutian yang dimaksudkan di sini tidak hanya terbatas kepada percutian bagi tujuan pelancongan, bahkan merangkumi percutian bagi meraikan sesuatu perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.
Respon tubuh ketika stres
Secara fisiologi, stres dapat memberi kesan langsung kepada sistem tubuh dengan mengaktifkan beberapa bahagian otak yang mengakibatkan peningkatan hormon stres seperti adrenalin dan kortisol. Adrenalin dapat meningkatkan degupan jantung, tekanan darah, dan kadar pernafasan. Perubahan tersebut biasanya berlaku pada stres akut untuk mepersiapkan tubuh badan bagi menghadapi tekanan yang dihadapi. Peningkatan hormon kortisol pula penting untuk meningkatkan kadar glukosa darah bagi membolehkan otot menggunakan glukosa sebagai sumber tenaga dalam situasi lawan atau lari (fight-or-flight response). Stres juga dapat meningkatkan ketegangan otot. Perubahan fisiologi ini merupakan satu refleks tubuh untuk melindungi tubuh daripada kecederaan dan kesakitan. Walupun respons stres pada awalnya penting, stres yang berterusan dapat memberikan kesan buruk terhadap tubuh seperti pegal-pegal badan, sakit kepala, keletihan, gangguan tidur, tekanan darah tinggi, dan banyak lagi.
Faktor-faktor yang menyebabkan stres
Antara penyumbang utama stres perayaan atau percutian adalah tekanan kewangan. Sewaktu musim perayaan, kos untuk membeli baju baharu, menyediakan juadah istimewa, menghias rumah, memberi duit raya, dan menampung kos perjalanan pulang ke kampung boleh memberi tekanan besar, terutamanya bagi mereka yang sedang bergelut dengan masalah kewangan. Pada waktu percutian pula, perbelanjaan yang banyak bagi kos perjalanan, penginapan, makan, membeli belah, dan kemasukan ke tempat-tempat yang dilawati juga dapat memberikan impak kewangan yang besar bagi sesetengah individu.
Selain itu, konflik keluarga juga boleh mencetuskan tekanan emosi. Suasana kekeluargaan yang sepatutnya membawa keharmonian boleh berubah menjadi tegang jika terdapat isu lampau yang belum diselesaikan atau isu baru yang timbul sewaktu pertemuan. Bagi sesetengah individu, menjadi tuan rumah dan keperluan untuk memberikan layanan kepada tetamu yang ramai secara berterusan juga boleh menyebabkan keletihan fizikal dan mental. Pada waktu percutian, konflik antara individu juga boleh terjadi kerana pelbagai faktor seperti tiada kesefahaman untuk tempat yang ingin dilawati dan masalah waktu dan kebersihan.
Tambahan pula, ramai individu secara tanpa sedar mempunyai harapan yang tidak realistik yakni cuba menjadikan setiap aspek Hari Raya ‘sempurna’, meskipun terdapat keterbatasan dari segi waktu dan bajet. Keadaan yang sama boleh terjadi sewaktu percutian dalam usaha untuk mendapatkan percutian yang ideal. Keinginan untuk memuaskan hati semua orang dan harapan-harapan tersebut boleh membawa kepada tekanan atau stres yang berlebihan dan akhirnya menjejaskan kesihatan mental.
Ada juga yang berasa sunyi dan terasing semasa Hari Raya kerana terpaksa beraya di perantauan atau baru sahaja kehilangan insan tersayang. Kenangan lama sewaktu menyambut perayaan, seperti makanan kegemaran arwah ibu tersayang atau suasana hari raya di rumah, boleh menimbulkan perasaan sebak dan rindu. Kesepian dan rasa kehilangan seperti ini boleh mencetuskan tekanan dan menjejaskan emosi jika tidak ditangani dengan baik.
Cara-cara mengatasi atau mengawal stress
Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan stres sewaktu perayaan atau percutian adalah dengan menggunakan teknik mindfulness. Dalam teknik ini, pemikiran tentang masa lampau atau masa depan difokuskan kepada masa kini. Walaupun terdapat pelbagai teknik meditasi formal yang boleh dilakukan, teknik yang tidak formal seperti perubahan pola fikir boleh membantu untuk mengurangkan stres. Penerimaan tentang perasaan yang dialami adalah penting walaupun perasaan yang dirasai tidak selari dengan mood raya atau mood percutian. Kita sering kali berfikir bahawa perayaan atau cuti yang panjang seharusnya membawa mood ceria kepada semua orang. Persepsi seperti ini perlu dibincangkan kerana sesetengah individu mungkin mempunyai mood berbeza kerana pelbagai faktor yang lain.
Selain itu, seseorang juga boleh mempersiap diri untuk menerima ketidaksempurnaan yang mungkin terjadi. Setiap orang mempunyai pemikiran tentang raya atau percutian yang ideal. Pemikiran ini boleh terbentuk daripada pengalaman yang dilalui sebelum ini. Sebagai contoh, tradisi berkumpul bagi semua ahli keluarga pada hari raya pertama di rumah mungkin menjadi harapan bagi sesetengah individu sewaktu datangnya syawal. Walau bagaimanapun, situasi ideal tersebut mungkin sahaja tidak dapat terpenuhi kerana pelbagai faktor yang mungkin tidak dapat dikawal seperti tuntutan pekerjaan, giliran beraya, dan keadaan kesihatan. Dari aspek percutian pula, contoh yang mungkin dialami oleh sesetengah individu adalah harapan untuk melakukan semua aktiviti yang telah dirancang walaupun terdapat kekangan masa dan kewangan. Mengurangkan harapan tersebut dapat membantu seseorang untuk mengawal stres yang berlebihan.
Bercakap mengenai penglibatan diri dalam aktiviti, seseorang individu perlu menerima keterbatasan diri dalam melakukan aktiviti rutin sewaktu berhari raya atau bercuti. Sebagai contoh, berkunjung ke beberapa rumah dalam satu hari mungkin membebankan bagi sesetangah individu. Cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan bebanan tersebut adalah dengan berkunjung ke rumah-rumah dalam beberapa hari berbanding daripada melakukannya dalam satu hari. Jika waktu tidak mengizinkan, berikan keutamaan kepada rumah-rumah yang penting untuk dilawati. Sewaktu percutian pula, ada kalanya anda mungkin berasa tidak mempunyai mood atau kudrat untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang. Dalam situasi tersebut, berbincang dan memaklumkan kepada rakan atau keluarga tentang keadaan anda mungkin dapat membantu.
Walaupun penjagaan kesihatan mental diri adalah penting, kita juga harus mencuba untuk bersabar dan cuba untuk berfikir dari perspektif orang lain. Stres biasanya terjadi pada kebanyakan orang sewaktu perayaan atau percutian, dan pemikiran tentang perkara tersebut mungkin dapat membantu kita untuk menerima situasi yang dialami dengan lebih tenang. Cara pemikiran tersebut dan toleransi yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu untuk mengurangkan stres.
Musim perayaan juga dapat mengundang hiba bagi seseorang yang baru sahaja kehilangan orang yang tersayang. Perasaan tersebut adalah wajar bagi situasi yang berlaku dan perlu diproses dengan baik. Menangis adalah salah satu cara yang berupaya untuk membantu seseorang memproses perasaan sedih. Meluahkan perasaan tersebut kepada orang-orang yang rapat seperti ahli keluarga dan sahabat juga boleh membantu untuk mengurangkan tekanan yang dirasakan. Mengimbau kembali kenangan indah dan jasa yang telah dicurahkan oleh orang-orang yang telah pergi sewaktu berinteraksi dengan orang-orang yang terdekat juga dapat membantu.
Perasaan ini juga boleh terjadi sebelum atau sewaktu percutian untuk healing daripada situasi tertekan yang dialami. Dalam situasi ini, memaklumkan keberadaan anda dan kekal berhubung dengan orang-orang yang rapat adalah sangat digalakkan. Ia dapat membantu anda dalam merawat kesihatan mental.
Pertemuan dengan keluarga, sanak-saudara, dan sahabat handai sewaktu lebaran sering kali digunakan sebagai satu medium untuk memohon kemaafan atas kekhilafan lalu dan mengeratkan silaturahim. Walau bagaimanapun, persengketan lama mungkin kembali atau perselisihan baharu mungkin terjadi pada saat pertemuan apabila topik hangat menjadi bahan dalam perbualan. Antara cara yang boleh dilakukan adalah mengelakkan diri daripada terlibat dalam perbincangan topik tersebut, menarik nafas panjang untuk beberapa kali (teknik pernafasan), atau beredar seketika daripada ruang di mana perbincangan tersebut berlangsung.
Selain itu, mendapatkan tidur yang cukup (antara 7–9 jam) juga penting untuk kesihatan fizikal dan mental. Tidur yang berkualiti adalah penting sebelum memulakan perjalanan jauh untuk pulang ke desa halaman atau ke destinasi percutian. Ini dapat membantu seseorang untuk memberikan tumpuan sepenuhnya jika memandu dan mengurangkan risiko microsleep. Selain itu, jadual yang padat sewaktu hari lebaran atau percutian juga dapat menyebabkan keletihan badan pada malam hari. Tidur yang cukup dapat merawat tubuh untuk kembali segar pada keesokan harinya. Kestabilan emosi juga bergantung kepada tidur yang cukup, membolehkan seseorang untuk menikmati hari raya atau percutian dengan perasaan yang lebih baik.
Juadah hari raya seperti ketupat, rendang, dodol dan kuih raya sememangnya menjadi pilihan ramai untuk merayakan hari yang mulia. Kita juga mungkin sahaja mahu mencuba pelbagai makanan enak sewaktu percutian. Walaupun harus dinikmati, pengambilan makanan secara bersederhana amatlah digalakkan. Antara tips yang boleh diamalkan adalah tidak makan terlalu cepat, menggunakan pinggan yang lebih kecil, dan menambah makanan sihat seperti buah dan sayur dalam menu anda. Pengambilan makanan dan minuman yang mempunyai kalori yang tinggi secara berlebihan boleh memberikan kesan yang buruk terhadap tubuh badan seperti peningkatan berat badan, kadar gula dan kolesterol dalam badan. Kekal aktif dengan mengamalkan senaman rutin juga dapat membantu untuk mengekalkan kesihatan fizikal sekali gus mengurangkan stress anda.
Kesimpulan
Stres pada musim perayaan atau percutian merupakan satu keadaan yang lazim dialami. Kefahaman tentang mengapa ia terjadi dan cara-cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan stres dapat membantu seseorang untuk mendapatkan hari raya atau percutian yang lebih positif dan bermakna.
[ARTIKEL LAIN PENULIS – Gangguan Tidur dan Kemurungan]
[ARTIKEL LAIN PENULIS – Hidrokuion; Ubat atau Racun?]
[ARTIKEL LAIN PENULIS -‘ Ditindih Hantu’ atau Kelumpuhan sewaktu Tidur?
[ARTIKEL LAIN PENULIS – Bahaya Guna Ubat Terlarang atasi Masalah Mati Pucuk]