Penulis: En. Syazuan Abd. Latip¹, En. Khairul Imran Sainan², En. Norhisham Ya’cob³, En. Ezzie Zakuan Mohd Yusop⁴
¹Pensyarah Kanan Pusat Asasi UiTM, Kampus Dengkil, Universiti Teknologi MARA
²Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Kolej Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA
³Pegawai Psikologi Kanan, Unit Kerjaya & Kaunseling, Pusat Asasi UiTM, Kampus Dengkil, Universiti Teknologi MARA
⁴Kaunselor Pelatih, Open University Malaysia (OUM)
Dewasa ini acapkali disajikan di halwa telinga kita serta melalui pembacaan umum berkenaan isu depresi yang kian meruncing di kalangan generasi kini. Maklumat berkaitan isu yang sangat membimbangkan ini dapat diakses menerusi media massa, media elektronik dan terutamanya dari sumber media sosial yang mempamerkan sebuah senario yang sungguh menggerunkan dan semakin hari semakin ‘giat’ meresapi dalam kehidupan generasi di alaf moden kini, terutamanya melibatkan golongan remaja dan belia tidak kira dari apa jua latarbelakang agama dan bangsa. Merujuk kepada petikan dari Bharian Online bertarikh 10 Oktober 2020, berdasarkan kepada tinjauan yang telah dijalankan oleh pihak National Health & Morbidity Survey (NHMS), Institut Kesihatan Awam Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2019 yang lalu, mendapati bahawa hampir setengah juta rakyat di negara ini mengalami simptom tekanan atau depresi. Seiring dengan isu yang sangat membimbangkan ini, menurut kepada penjelasan dari penaung Befrienders Kuala Lumpur, Tan Sri Lee Lam Thye, beliau menjelaskan bahawa sehingga separuh daripada masalah gangguan mental mula dikesan seawal remaja berusia 14 tahun dan tiga per empat daripadanya adalah pada pertengahan usia 20-an.
Merujuk kepada nilai statistik ini, dapat dilihat dengan terang lagi bersuluh bahawa kadar depresi di dalam negara kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan dan berterusan meningkat bermula semenjak dari pandemik virus Covid-19 yang melanda sehingga sekarang. Jika dilihat dan dianalisa dengan teliti, golongan remaja dan belia adalah merupakan kumpulan masyarakat yang paling terkesan dengan isu depresi dan merupakan kelompok yang kritikal untuk dibantu dengan segera. Natijah depresi bukan sahaja mencetuskan implikasi negatif terhadap kehidupan seharian, malahan turut mendatangkan kesan buruk terhadap keutuhan jatidiri seseorang individu sama ada dari perspektif jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.
Persoalan utama yang perlu difikirkan adalah apakah faktor utama yang menyumbang kepada isu depresi ini? dan mengapakah golongan remaja serta belia generasi kini begitu ‘rapuh’ dan terlalu mudah untuk di’serang’ dengan isu ini? Berdasarkan kepada salah sebuah rujukan (tahun 2017) yang telah dinyatakan di laman sesawang https://mypositiveparenting.org melalui tajuk Kemurungan Remaja oleh Dato’ Dr. Andrew Mohanraj selaku Consultant Psychiatrist and Malaysian Medical Health Association Deputy President, didapati bahawa antara asbab dan punca utama kepada kemaslahatan depresi di kalangan generasi kini adalah disebabkan oleh kegagalan mewujudkan jaringan komunikasi dua hala secara efektif.
Komunikasi Berkesan
Lazimnya, berkongsi pandangan, menyatakan rasa serta meluahkan perasaan adalah merupakan asas dalam membina sebuah jaringan komunikasi yang baik di antara sesama insan. Namun sebaliknya, seandainya hal ini tidak berjaya diwujudkan, maka sudah tentu setiap emosi perasaan yang dirasa dan dialami gagal untuk dizahirkan yang akhirnya bertindak sebagai racun yang mencipta lapisan depresi secara berperingkat tanpa disedari. Maka tidak dapat tidak, konsep ‘menjaga tepi kain orang’ adalah merupakan sebuah pendekatan yang wajar untuk diimplementasi di masa sekarang dalam konteks mengambil berat secara positif terhadap golongan remaja dan belia kini secara khususnya.
Meskipun dunia kian berubah dengan begitu pantas seiring kemajuan teknologi yang berkembang pesat dari sehari ke sehari, namun implikasinya turut sama menimpa generasi kini dari aspek perasaan ‘ketinggalan’ ataupun seringkali diungkapkan sebagai FOMO yang merujuk kepada Fear Of Missing Out. Ianya merujuk kepada perasaan iri hati atau persepsi di mana orang lain sedang hidup dalam keseronokan, lebih gembira, hidup dengan lebih baik atau merasai pengalaman yang lebih indah dalam kehidupan. Fenomena ini telah mula dinormalisasi dalam kehidupan kini yang tanpa kita sedari dipengaruhi oleh mekanisma media sosial yang melazimi standard kehidupan masa kini. Hal ini secara sedar atau tidak telah mulai membiak sebagai ‘barah’ di kalangan remaja gara-gara kerana merasakan tidak up to date dan menjadi suatu kemestian untuk memenuhi apa jua yang dikehendaki oleh pihak lain berbanding memahami hakikat sebenar dan sewajibnya didahulukan untuk keperluan asas diri sendiri. Kesan FOMO turut sama mengakibatkan perubahan dalam perilaku seseorang antaranya mengambil risiko yang tidak perlu, komitmen berlebihan agar tidak ketinggalan, sering terganggu kerana kekerapan melihat media sosial dan pengabaian kesihatan. Berdasarkan kepada kajian yang telah dijalankan oleh Syamsul Anwar Sultan Ibrahim et. al. (2022). Fear of Missing Out (FOMO) and its relation with Depression and Anxiety among University Students. Environment-Behaviour Proceedings Journal 7(20), telah menyatakan antaranya bahawa isu FOMO ini akan mengakibatkan kesan depresi yang sangat kritikal dan tidak mustahil boleh menyebabkan gangguan emosi dan mental yang kronik sekiranya tidak dikesan dan dirawat dengan segera. Namun, jika dilihat implikasi FOMO dari sudut pandang yang positif, ianya juga mampu mengubah perilaku seseorang individu untuk ke arah kebaikan, berfikiran positif serta mempunyai perancangan yang baik dalam menyelesaikan tugasan seharian. Hal ini telah dibuktikan melalui sebuah kajian yang telah dijalankan oleh Fajar Nursodiq et.al. (2020). When Fear of Missing Out Becomes a Good Thing. Advances in Social Science, Education and Humanities Research, volume 477.
Hubungan Keluarga
Selain dari itu, faktor penyumbang terhadap isu depresi ini turut sama berkait rapat dengan hubungan kekeluargaan yang tidak mesra dan mempunyai tanggapan bahawa keluarga sebagai ‘orang luar’ dan sebagai sebuah entiti asing. Bermula dari keretakan dalam hubungan kekeluargaan yang sangat halus seperti perselisihan faham yang kecil, akhirnya tanpa disedari membawa kepada implikasi besar melibatkan penceraian, dan penderaan fizikal serta mental yang akhirnya merobohkan keseluruhan institusi kekeluargaan yang merupakan sistem sokongan yang terpaling penting dalam kehidupan seorang remaja secara khususnya. Kesannya, bermulalah episod gangguan emosi dan depresi yang terarah sehingga mempunyai keinginan yang melampau utk membunuh diri sendiri. Nau’zubillahiminzalik. Hal ini turut dinyatakan melalui sebuah dapatan dari kajian yang telah dijalankan oleh Saidatul Assyura Rosman & Kamarul Azmi Jasmi (2022). Punca dan Langkah Mengatasi Depresi dalam Kalangan Remaja. Seminar Falsafah Sains dan Ketamadunan (SFST) yang mendapati bahawa sistem sokongan terpenting yang bertindak sebagai benteng terhadap ‘penularan’ masalah serta gangguan emosi bagi setiap insan tanpa mengira faktor umur adalah bermula dari nukleus keluarga yang bahagia dan saling menghormati serta memberikan sokongan pada setiap waktu apabila diperlukan ketika berhadapan sebarang kesulitan yang timbul. Keluarga terutamanya ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan sentiasa berkomunikasi bagi mengenal pemikiran dan perasaan anak mereka. Apa sahaja penyebab yang dikenalpasti perlu diambil peduli dan jangan sesekali dipandang enteng kerana ianya mungkin dianggap remeh oleh sesetengah ibu bapa, tetapi hakikatnya berkemungkinan adalah sebuah masalah besar bagi seorang anak di peringkat umur sebagai remaja. Pihak keluarga juga perlu menggalakkan anak-anak mereka untuk berkomunikasi dengan individu yang mereka percaya, iaitu ‘ibu bapa kedua’ yang terdiri dari guru sekolah atau kaunselor profesional bagi sama-sama mengatasi masalah yang sedang dihadapi secara berhemah dan berkesan.
Buli Siber
Selain itu, isu depresi pada masa kini juga turut berpunca dari buli siber. Pada dasarnya, hal ini khususnya merujuk kepada penggunaan media sosial atau platform digital untuk menghina, mengugut atau memfitnah mangsa. Tindakan buli siber juga termasuk pencerobohan data peribadi, penggodaman akaun, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, penipuan identiti dan penggunaan imej mangsa tanpa kebenaran. Ianya memberi kesan yang sangat mendalam terhadap emosi, fizikal dan terutamanya mental individu yang terlibat. Sekiranya tidak ditangani dengan segera, bahkan boleh mengundang kepada depresi yang kekal. Sebagai renungan dan iktibar bersama, pada tahun 2024 yang lalu, dua individu telah didakwa di mahkamah berkenaan buli siber dipercayai sehingga meyebabkan kematian seorang pempengaruh TikTok wanita pada 5 Julai lalu. Berdasarkan kepada laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), antara langkah yang dicadangkan bagi menangani penularan buli siber adalah dengan meminimumkan penggunaan media sosial, menutup ruangan komen, mengelak daripada bertindak balas terhadap pembuli, berbincang dengan keluarga atau individu sokongan sekiranya dibuli dan merujuk kepada pihak berkuasa bagi penyelesaian undang-undang melalui saluran yang betul. Buli siber ini perlu dihentikan di semua peringkat lapisan masyarakat melalui kempen kesedaran, pendidikan dan juga bantuan sokongan profesional kerana ianya adalah dikategorikan sebagai salah sebuah ‘buah catur’ yang mencatur percambahan isu depresi di dunia kini secara langsung mahupun tidak langsung.
Dari perspektif yang lain, golongan remaja terutamanya boleh mengalami depresi disebabkan tekanan semasa belajar sama ada di peringkat sekolah mahupun di universiti. Tekanan yang dimaksudkan adalah berkaitan semasa memulakan pembelajaran di sesebuah institusi yang baru, mengenali atau mencari rakan baru, mengejar tempoh akhir penghantaran tugasan, ujian dan peperiksaan akhir. Tekanan yang sedikit semasa belajar adalah perlu kerana ianya boleh membentuk jati diri, mendidik diri menghormati pengurusan masa secara berhemah serta mendorong remaja untuk berdaya merancang bagi menyelesaikan tugasan dengan baik. Walaubagaimanapun, sekiranya berlebihan dan tidak diuruskan dengan betul, ianya sudah pasti menganggu prestasi dan tahap pencapaian akademik sekaligus mendorong kepada gangguan mental dan emosi serta permulaan masalah depresi dalam diri.
Tidak dapat dinafikan, depresi turut disebabkan oleh tekanan dalam pekerjaan yang sebahagian daripada penyebabnya adalah berpunca dari waktu kerja yang terlalu panjang, bebanan kerja yang tidak realistik, konflik antara rakan sekerja serta budaya toksik di tempat kerja. Bagi golongan belia terutamanya yang rata-rata baru ‘setahun jagung’ dalam dunia pekerjaan, sudah semestinya akan lebih terdedah kepada isu depresi di tempat kerja. Kesan atau simptom daripada depresi pekerjaan ini termasuk kebimbangan melampau, penurunan prestasi kerja, kecelaruan minda, tahap kesihatan yang menurun dan kesukaran untuk tidur.
Maka, adakah disebabkan oleh faktor-faktor penyumbang terhadap depresi seperti yang telah dinyatakan membolehkan kita melabelkan generasi kini sebagai ‘jiwa rapuh’, ‘mental cepat koyak’ dan ‘lemah jatidiri’? Pada hakikatnya, urusan kehidupan serta takdir sunnatullah setiap insan di muka bumi ini telah ditentukan oleh sang Maha Pencipta, Allahu Subahanahu Wataa’la sejak bermulanya roh ditiup ke dalam jasad bermula di peringkat Luh Mahfuz. Maka, tanpa sebarang penafian, memahami, mendalami, mendekatkan diri dan mengenali keesaan Yang Maha Agung yakni Allahu Subahanahu Wataa’la melalui kefahaman Islam yang berlandaskan syariat sebagai Addin menjadi sebuah kewajipan yang perlu diterapkan sepenuhnya di dalam setiap aspek kehidupan insan terutamanya sebagai seorang remaja dan belia muslim. Intervensi Islam sebagai Addin adalah merupakan solusi yang terbaik dalam menghadapi isu depresi khususnya dan begitu jual halnya berkenaan apa jua permasalahan yang timbul dalam setiap hari mendatang di dalam kehidupan seorang insan bergelar remaja amnya. Tatkala terbinanya jatidiri akidah muslim yang mengenali ketauhidan yang Maha Esa, nescaya akan berjaya merencatkan apa jua bentuk ‘serangan’ kemurungan serta depresi yang cuba bercambah dalam pemikiran serta diri seseorang individu. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui petikan dari kalam suci Al-Quran, Surah Adz-Zariyat ayat 56; “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu”.
Jika diteroka maksud disebalik dari ayat suci kalamullah ini, jelas menyatakan setiap dari penciptaan insan bahkan begitu juga golongan jin di muka bumi ini telah dilengkapi dengan tujuan serta matlamat yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya yang memenuhi konteks ibadah serta berteraskan tunjang agama Islam sebagai panduan terbaik. Sudah semestinya ini memberikan gambaran yang jelas bahawasanya setiap dari kita perlu merencanakan setiap perancangan yang perlu dilaksanakan secara bersistematik dan dicapai secara realistik bermula dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Tanpa tujuan dan perancangan hidup yang jelas maka, sudah pasti akan mengundang keraguan dan terdetiknya pelbagai persoalan yang tidak munasabah dalam hati sanubari sehingga akhirnya membawa kepada gangguan emosi seperti depresi dalam konteks generasi kini.
Merujuk pula kepada petikan ayat Al-Quran dari Surah Al-Maidah ayat 2; “Dan tolong-menolonglah kalian dalam melaksanakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan”. Maksud disebalik ayat suci ini pula telah dengan lengkap menyatakan akan kewajipan setiap insan di muka bumi ini utk memainkan peranan sebagai seorang khalifah yang kamil untuk sentiasa saling membantu antara sesama insan dalam apa jua perkara kebaikan dan sama sekali meninggalkan hal-hal yang mengundang ke arah dosa dan ditegah dalam agama. Dengan wujudnya ekosistem sokongan yang kukuh dan padu dari setiap golongan masyarakat berdasarkan kepada kemampuan diri dan peranan masing-masing, maka sudah tentu penularan isu depresi ini dapat diatasi secara efektif melalui intipati syariat Islam sebagai penunjuk arah utama dalam kehidupan seharian insan sejagat.
Di akhir kalam, adalah menjadi sebuah tanggungjawab bersama bagi masyarakat madani kini dalam membentuk keteguhan keperibadian dan jatidiri generasi remaja dan belia di zaman ini melalui pendekatan intipati syariat Islam sebagai wadah intervensi dan solusi bagi melahirkan kelompok ummah berkualiti yang dizahirkan menerusi perkongsian ilmiah serta pengisian rohani dua hala yang utuh serta dimuktahirkan dengan ilmu agama yang mampan melalui pelbagai medium perkongsian yang boleh dilaksanakan dimana-mana kini bagi tujuan mendepani depresi bermula dari peringkat rebung supaya dapat diatasi serta ditangani bersama-sama secara kolektif dan lestari. Bak kata pepatah melayu lama, lemah melapis, condong menopang.
Foto – UCLA Health




