Penulis: Azhari Bin Shamsudeen
Pegawai Penyelidik Kanan,
Pusat Penyelidikan Automotif,
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia
Pada masa kini pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia semakin berkembang secara beransur-ansur, didorong oleh ketidaktentuan pasaran bahan api mentah (gasoline, diesel) global, dasar kerajaan dan trend global ke arah pengangkutan lestari. Walau bagaimanapun, negara menghadapi cabaran besar dalam mencapai penggunaan EV secara meluas. Selain itu, peralihan industri automotif Malaysia daripada kenderaan enjin pembakaran dalam (ICE) kepada EV kini memasuki era pertumbuhan yang matang. Sektor ini terus berkembang dan disokong oleh kerajaan dengan kerjasama erat dalam teknologi automotif terutamanya dari China, serta penambahan infrastruktur pengecasan awam yang berterusan. Malaysia kini berada di kedudukan pertengahan di kalangan negara-negara ASEAN dari segi kadar penerimaan EV. Secara kumulatif, jumlah pendaftaran EV bagi kategori penumpang mencecah sebanyak 94,165 unit dari tahun 2018 sehingga Mei 2026. Namun, jumlah fizikal EV yang aktif bergerak di atas jalan raya dianggarkan sebanyak 25,000 unit sahaja pada akhir tahun 2025. Perbezaan ini menunjukkan jurang penjejakan antara pendaftaran kumulatif berbanding EV aktif semasa di jalan raya, di samping kenderaan komersial EV dan pelupusan jangka panjang.
Setiap tahun pendaftaran EV semakin meningkat bermula dari tahun 2022 mencatatkan 3,017 unit dan terus meningkat pada tahun 2025 sebanyak 44,813 unit. Memasuki tahun 2026 (Januari hingga April), pasaran EV terus mengekalkan momentum pertumbuhannya yang kukuh mencecah sebanyak 20,485 unit. Pada bulan April 2026 sahaja, pendaftaran EV mencatatkan 5,894 unit. Berdasarkan perkembangan ini, pendaftaran EV di Malaysia berpotensi mencecah sehingga 80,000 unit menjelang akhir tahun 2026.

Stesen Pengecasan EV Seluruh Malaysia
Dengan pertambahan EV, semestinya kemudahan pengecasan awam yang komprehensif perlu ditingkatkan bagi mengatasi kerisauan jarak pemanduan di kalangan pengguna. Di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021–2030, Malaysia meletakkan sasaran kebangsaan untuk membina 10,000 unit pengecasan awam menjelang akhir tahun 2025. Namun, pelaksanaannya menghadapi kekangan dari segi kelulusan, kos pemasangan yang tinggi serta had keupayaan grid kuasa setempat yang menyebabkan sasaran tersebut tidak dapat dicapai sepenuhnya. Namun begitu, pengecasan awam telah berkembang secara berfasa, daripada 2,214 unit pada Mac 2024 meningkat kepada 2,585 unit pada Jun 2024, 3,354 unit pada Oktober 2024, dan mencapai 5,360 unit pada November 2025. Sehingga tahun 2025 terdapat 10 operator yang menawarkan pengecasan EV melibatkan sistem pengecas pantas DC dan pengecas AC di seluruh negeri.

Selain daripada itu, infrastruktur pengecasan EV di Malaysia juga masih mengalami ketidakseimbangan yang ketara iaitu hanya tertumpu di kawasan pembangunan pesat seperti di Lembah Klang, Selangor mencatatkan 1,276 dan Kuala Lumpur dengan 1,192 unit pengecasan sehingga hujung 2025. Manakala Negeri Pulau Pinang pula adalah 393 unit, mendahului negeri Perak (162) dan Kedah (97). Bagi mengatasi isu ini, kerajaan negeri Selangor menetapkan sasaran penyediaan 500 lokasi pengecasan baharu menjelang pertengahan tahun 2027. Dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga, tempoh kelulusan pelesenan Sistem Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCS) dipendekkan daripada 60 hari kepada 30 hari, dan kelulusan di lapangan mengambil masa dua minggu. Sementara itu, Garis Panduan EVCS 2025 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga juga memperketatkan piawaian keselamatan bagi mengurangkan risiko kebakaran dan kejutan elektrik.

Jenis Model dan Segmen Kenderaan EV di Malaysia
Pasaran kenderaan elektrik di Malaysia boleh dibahagi kepada tiga segmen persepsi pengguna yang utama: (i) peneraju inovasi (seperti Tesla), (ii) pengganggu nilai (jenama dari China seperti BYD dan Chery), dan (iii) identiti nasional (Proton dan Perodua). Dominasi pasaran kini dipelopori secara agresif oleh jenama nasional yang menawarkan kelebihan dari segi harga mampu milik serta keupayaan rantaian nilai tempatan. Proton menerusi sub-jenama elektriknya, e.MAS, mendahului pasaran EV Malaysia dengan jurang yang sangat ketara pada awal tahun 2026. Penguasaan ini diterajui oleh model hatchback segmen-B, Proton e.MAS 5, yang merekodkan pendaftaran sebanyak 1,772 unit pada April 2026, membawa kepada jumlah pendaftaran tahun-ke-tarikh (YTD) sebanyak 8,473 unit. Berikut adalah carta bagi kedudukan 10 teratas pasaran EV di Malaysia, dengan Proton e.Mas 5 mendominasi pasaran.

Kesimpulan dan Implikasi Strategik
Secara keseluruhannya, pasaran EV di Malaysia mempunyai potensi yang besar tetapi memerlukan usaha dan perhatian terhadap dasar, infrastruktur dan penglibatan semua pihak untuk mengatasi halangan sedia ada dan sejajar dengan matlamat kelestarian global. Walau bagaimanapun, kelestarian ekosistem ini bergantung kepada penyediaan rangkaian pengecasan awam yang lebih merata. Selain daripada itu, kos yang tinggi dan kemampuan pembeli yang terhad merupakan halangan utama kepada penggunaan EV. Dengan had grid tenaga negara didominasi oleh arang batu merumitkan pelaksaan EV, dengan unjuran menunjukkan kekurangan bekalan elektrik menjelang tahun 2032. Sehubungan itu, peralihan kepada tenaga boleh baharu ke dalam infrastruktur pengecasan EV adalah sangat penting, seperti sel bahan api regeneratif dan stesen berkuasa solar, kini semakin mendapat perhatian. Selaras dengan itu, inisiatif kerajaan melalui dasar-dasar seperti Dasar Automotif Negara (NAP 2014), Dasar Tenaga Negara (DTN 2022–2040), dan Rangka Tindakan Mobiliti Karbon Rendah dapat menggalakkan penggunaan EV serta menyelaraskannya dengan matlamat karbon sifar bersih negara menjelang tahun 2050 agar negara terus menerajui masa depan mobiliti bersih yang selamat, progresif dan lestari.
Rujukan
Muzir, N.A.Q., Mojumder, M.R.H., 2022. Hasanuzzaman, M., Selvaraj, J. Challenges of Electric Vehicles and Their Prospects in Malaysia: A Comprehensive Review, Sustainability (Switzerland).
Songkin, M., Hj Jaafar, M.Y., 2023. Electric Vehicle Readiness in Sabah: Overview of Market Forecast and Adoption Challenges, 6th International Conference on Energy Conservation and Efficiency, ICECE 2023.
Tan, J.D., Tee, W.H., Kang, C.C., Sobhan Bhuiyan, M.A., 2025. Electric vehicle in Malaysia: Power source challenges, infrastructure gaps and international benchmarking, Energy Conversion and Management.
Umair, M., Hidayat, N.M., Ali, N.H.N., Abdullah, 2024. E. Review of Malaysia’s Current State and Future in Electric Vehicles, Journal of Sustainable Development of Energy, Water and Environment Systems, 2024.
Zhu, X., Lamsali, H., 2024. Bibliometric review on factors influencing consumers’ intention to purchase electric vehicles, Cogent Business and Management, 2024.



