Oleh : Mohd Faizal Aziz
Setahun yang lalu lalu, penulis menonton sebuah program bual bicara televisyen di rangkaian CBC Canada. Program The Hour merupakan sebuah program terkenal di Kanada yang dihoskan oleh salah seorang selebriti iaitu George Stromboulopouos. Dalam program tersebut , beliau telah menemubual Michael Calce. Tidak ramai yang mengenali Michael Calce termasuk penulis, namun apabila pengacara memperkenalkan Michael Calce sebagai Mafiaboy, seorang remaja Montreal yang pernah menggegarkan dunia internet sekitar tahun 2000 dahulu, ia menarik minat saya untuk menonton keseluruhan program tersebut. Apatah lagi pada waktu itu beliau membicarakan sebuah buku yang ditulis oleh Michael Calce a.k.a Mafiaboy yang berjudul Mafia Boy, How I Cracked Internet and Why it’s Still Leaking dengan mengundangnya sebagai tetamu.
The Hour at CBC, Canada
Pada bulan Februari tahun 2000, FBI telah menamakan Mafiaboy sebagai suspek utama yang telah melumpuhkan gergasi perniagaan internet dan enjin carian terkenal pada seperti Yahoo, EBay, CNN dan E-Trade. Enjin carian terkenal, Google masih belum dikenali ramai pada waktu itu. (Google bermula pada tahun 1999) Gergasi internet tersebut perlahan-lahan mengalami gangguan capaian oleh pengguna sebelum lumpuh sepenuhnya beberapa jam akibat serangan penafian perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai Denial of Services, DoS. Serangan beberapa jam tersebut menyebabkan kerugian yang dianggarkan sekitar 18 juta dolar US.
Kejadian yang menggemparkan itu berlaku akibat aktiviti penggodaman sistem rangkaian komputer yang dilakukan oleh seorang remaja berusia 15 tahun dari sebuah bilik di rumah kedua ibu bapanya di Montreal, Kanada. Insiden tersebut telah menarik perhatian Presiden Amerika ketika itu iaitu Bill Clinton. Clinton membuat sidang akhbar tergempar di White House menggesa supaya kejadian jenayah inernet tersebut perlu disiasat dan pesalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan seberapa segera. Selepas sidang akhbar Bill Clinton tersebut, pihak FBI dan RCMP (Royal Canadian Mounted Police) mula menjalankan penyiasatan besar-besaran untuk memberkas ’penjenayah’ yang dianggap merbahaya. Siasatan selama hampir 10 bulan telah menemukan Michael Calce yang pada waktu itu berusia 15 tahun yang sedang menonton TV di rumah rakannya selepas melumpuhkan rangkaian terbesar internet. Dalam buku ini, Mafiaboy menceritakan bagaimana dia dicabar oleh rakan-rakan maya melalui laman perbualan internet Internet Relay Chat (IRC), supaya menceroboh rangkaian yang dimiliki oleh syarikat internet terkenal seperti Yahoo dan Ebay. Terdorong oleh cabaran teman-temannya di internet, Michael Calce atau Mafiaboy mempelajari teknik-teknik tertentu bagaimana untuk melumpuhkan sasaran. Mentor-mentornya pada waktu itu tidak lain dan tidak bukan adalah bahan bacaan dalam internet dan juga beberapa rakan maya yang dikenali di dalam talian. Dia tidak menyedari bahawa beberapa orang pegawai penyiasat FBI sedang mengawasi aktivitinya dalam internet dengan menyamar sebagai salah seorang rakannya.
Pencarian FBI dan RCMP membuahkan hasil apabila Mafiaboy tertangkap akibat kesilapan mendedahkan lokasi dan identitinya kepada FBI di dalam internet. Mafiaboy dikenakan tahanan juvana akibat kesalahan tersebut dan dibebaskan dengan jaminan polis serta beberapa sekatan untuk tidak menggunakan komputer dalam tempoh tertentu. Dalam program The Hour yang juga boleh ditonton melalui laman Youtube, Mafiaboy tampil mendedahkan rahsia dan kekesalannya di sebalik insiden tersebut. Buku setebal 270 muka surat ini merupakan satu kisah benar yang ditulis oleh Michael Calce bersama seorang wartawan Craig Silverman tentang bagaimana dia mula terjebak dengan aktiviti penggodaman.
Bermula dengan kisah bagaimana dia di dedahkan dengan dunia komputer sejak berusia 8 tahun oleh ibubapanya, mula mengenali dunia internet, sifat ingin tahu yang tinggi (curiosity) mengenai program komputer, Internet Relay Chat (IRC) dan juga aktiviti ‘hacking’, segalanya diceritakan satu persatu menurut bahasa penceritaan yang mudah difahami oleh orang awam. Buku ini ditulis untuk bacaan orang awam yang ingin mengetahui realiti sebenar kisah seorang penggodam dan remaja yang sedang mencari-cari hala tuju dalam hidup.
Perkembangan internet banyak mengubah minda para remaja dalam membentuk kaedah berfikir dan melihat kuasa internet sebagai alat untuk melepaskan diri dari masalah seharian yang dihadapi. Di samping itu, aktiviti hacking atau penggodaman ini timbul dari sifat ingin tahu yang meluap-luap yang ada pada diri setiap remaja. Michale Calce yang salah seorang dari remaja tersebut, melepaskan keghairahannya mengenai teknologi maklumat dengan mempelajari teknik-teknik menggodam tanpa dikawal oleh kedua ibubapanya yang berpisah sejak sejak dia masih di peringkat kanak-kanak.
Buku ini lebih merupakan kesinambungan sebuah lagi buku yang ditulis oleh Dan Verton pada tahun 2002 yang berjudul The Hacker Diaries: Confession of Teenage Hackers yang memaparkan profil beberapa remaja yang dianggap mengancam keselamatan internet. Melalui buku ini jugalah, penulis mula mengetahui nama MafiaBoy dan berminat untuk mengetahui kisah selanjutnya mengenai remaja ini yang mula melakukan aktiviti ‘hacking’ sejak berusia 12 tahun. Kemunculan Mafia Boy, How I Cracked Internet and Why it’s Still Leaking, yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2008 melengkapkan lagi koleksi penulis mengenai hackers dan aktiviti-aktiviti mereka yang saya kira merupakan satu kembara pengetahuan dalam dunia teknologi komputer dan internet.
The Hacker Diaries: Confession of Teenage Hackers
Dalam bab kedua terakhir buku terbitan Penguin Book ini, dicatatkan bagaimana untuk melindungi komputer dari diceroboh dengan tajuk ‘ The Mafiaboy Guide to Protecting Yourself Online. Penulis berpendapat bahawa ia merupakan gambaran umum yang penting yang mudah difahami bagi majoriti pengguna komputer yang sering berhadapan dengan masalah gangguan komputer dan internet.
Bab terakhir buku ini memperlihatkan penyesalan Mafiaboy atas apa yang berlaku. Beliau mengambil keputusan untuk menulis sebuah buku menceritakan pengalaman bagi membetulkan kesilapannya sewaktu remaja. Beliau juga menyatakan bahawa Mafiaboy sudah berkubur dan sekarang beliau mahu dikenali sebagai Michale Calce yang bertugas sebagai kolumnis teknologi di sebuah akhbar berbahasa Perancis berjudul Montreal Les Journal de Montreal.
Kebanyakan individu yang mencipta sejarah menempuh pengalaman berbeza dalam kehidupan berbanding orang lain. Pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanan hidup membentuk sikap dan peribadi seseorang. Kebanyakan manusia yang berjaya juga mempunyai kisah-kisah unik di sebalik kejayaan mereka termasuk kesulitan yang berpanjangan sebelum menempah kejayaan. Ada juga yang menempuh sisi gelap sebelum menemui cahaya sebenar yang menerangi jalan dan arah tuju mereka.
Ringkasnya, manusia perlu menempuh pasang surut dalam kehidupan sebelum mengecap erti kejayaan. Pengalaman ini jugalah yang saya kira telah menghasilkan Michael Calce yang kini sudah berubah 100% dari individu yang bergelar Mafiaboy suatu masa dahulu. Buku ini boleh memberi motivasi kepada mereka yang mengambilnya dari sudut yang positif. Selamat membaca!