Oleh : Yasmin Yusuf
Apakah itu GMO?
Makanan yang di ubah suai secara genetik atau juga dipanggil sebagai Genetically Modified Organism (GMO) dimana organisma seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan atau mikroorganisma telah melalui proses pengubahsuaian bahan genetik iaitu DNA melalui proses kejuruteraan genetik. Ia juga dipanggil sebagai Bioteknologi moden atau gen teknologi. Menurut National Library of Medicine, kejuruteraan genetik bermaksud makanan yang telah dimasukkan kod genetik melalui proses pindahan gen asing daripada tumbuh-tumbuhan atau haiwan lain. Tujuan GMO diperkenalkan adalah untuk memberi manfaat kepada manusia sebagai contoh meningkatkan kualiti, nutrisi, rasa, kelazatan atau daya tarikan pada sesuatu makanan, meningkatkan hasil tanaman, mengurangkan proses kematangan tumbuhan, menghalang penyakit atau serangga, dan meningkatkan pertahanan tumbuhan semasa kemarau atau banjir.

Makanan berasaskan GMO mula diperkenalkan pada tahun 1990. Pada masa kini USA merupakan pengeluar terbesar produk GMO seperti soya, canola, buah betik, jagung dan sebagainya. Namun terdapat lebih kurang 60 buah negara telah mengambil pendekatan untuk menyekat pengeluaran produk GMO seperti Australia, Jepun dan kesemua negara Kesatuan Eropah. Hal ini menunjukkan bahawa penghasilan produk GMO masih belum dapat meyakinkan masyarakat dunia mengenai kebaikannya walaupun banyak kajian yang mendakwa bahawa produk GMO memberi banyak manfaat. Walaubagaimanapun, dari suatu sudut yang lain banyak perkara yang belum pasti mengenai GMO dan ianya telah menimbulkan banyak pertikaian dalam kalangan masyarakat mahupun ahli akademik sejak ia mula diperkenalkan. Salah satu usaha yang dilakukan oleh pengeluar produk GMO adalah untuk menghasilkan tanaman yang mempunyai rintangan terhadap ancaman serangga. Menurut World Health Organization, salah satu kaedah yang paling banyak dilakukan oleh Saintis adalah menghasilkan tanaman yang mempunyai rintangan terhadap serangga seperti bakteria Bacillus thuringiensis (Bt) melalui proses genetik. Tanaman yang telah melalui pengubahsuaian gen Bt dikatakan mampu menghalang pembiakan serangga perosak. Oleh yang demikian, mengurangkan kebergantungan terhadap racun perosak.
Kebaikan GMO
Disaat ramai yang mempersoalkan tentang tujuan penghasilan produk makanan GMO, tanpa kita sedari makanan berasaskan GMO sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah sosio-ekonomi yang melanda masyarat dunia antaranya adalah kebuluran yang berlaku di negara mundur di Asia Tenggara seperti Filipina dan Vietnam manakala di benua Afrika dimana kebanyakan rakyat di negara berkenaan ramai yang menghadapi kekurangan vitamin A dalam diet seharian. Mereka bergantung sepenuhnya kepada beras yang menjadi makanan asas utama masyarat sedangkan beras tidak mempunyai mikronutrien dan zat yang mencukupi untuk tumbesaran seseorang. Kekurangan vitamin A boleh menyebabkan buta. Dikatakan sekurang-kurangnya 500,000 kanak-kanak di dunia mengalami buta setiap tahun akibat kekurangan vitamin A. malnutrisi juga akan membantutkan tumbesaran kanak-kanak sehingga mudah diserang penyakit berjangkit. Oleh itu, terhasillah projek Golden Rice iaitu sejenis beras yang mengandungi B-kerotin, yang biasanya dijumpai pada lobak merah yang telah dicipta melalui proses kejuruteraan genetik untuk menangani isu ini. Pada tahun 2012, dengan memperkenalkan Golden Rice dalam diet harian, dikatakan seramai 2.7 juta kanak-kanak telah berjaya diselamatkan. Ini merupakan salah satu projek Bioteknologi yang berjaya setakat ini. Selain itu, pada tahun 1940, negara Hawaii telah mengalami jangkitan pada virus pada pokok betik yang dikenali sebagai Papaya Ringspot Virus (PRSV) yang dikatakan telah memusnahkan hampir keseluruhan hasil tanaman sehingga menjejaskan pendapatan industri tanaman betik yang merupakan sumber ekonomi utama negara Hawaii. Walaubagaimanapun bencana ini telah diselamatkan oleh Gonsalves iaitu Saintis dari Hawaii Cornell Universiti yang telah menghasilkan betik yang diubahsuai secara genetik yang mempunyai daya ketahanan terhadap virus berkenaan.

Adakah Makanan berasaskan GMO selamat?
Alergik
Di Malaysia, kesedaran masyarat tentang kesan makanan yang berasaskan GMO masih lagi belum meluas sedangkan di negara luar terdapat banyak aktivis mahupun persatuan yang menentang pengeluaran produk GMO kerana kebimbangannya terhadap kesan jangka panjang pada manusia. Menurut persatuan anti-GMO iaitu Center for Food Safety, mereka menganggap produk GMO merupakan cabaran pengeluaran yang paling tidak terkawal pada abad ke-21 dan dikatakan bahawa makanan yang telah diubah suai ini dikaitkan dengan kesan toksik dan mendatangkan alergik kepada manusia. Menurut laporan Center for Disease Control (CDC), tahap alergik pada kanak-kanak terhadap makanan semakin meningkat dari 3.4 peratus kepada 5.1 peratus semenjak satu dekad yang lalu. Walaupun tiada bukti kukuh menunjukkan ia mempunyai kaitan dengan GMO, namun tidak mustahil terdapat kebarangkalian untuk ia berlaku.
Rintangan terhadap antibiotik
Selain itu, menurut kajian yang dilakukan oleh Universiti Lowa State menunjukkan apabila sesuatu tanaman telah melalui proses ubahsuai gen dalam usaha untuk membunuh kuman atau serangga perosak, ia akan menurunkan tahap keberkesanan terhadap antibiotik. Hal ini kerana proses perpindahan gen yang berlaku dari makanan GM kepada sel yang berada dalam badan menyebabkan bakteria yang sedia ada di dalam usus akan mengalami perubahan seterusnya mengalami rintangan terhadap antibiotik. Justeru, ia akan menjadi imun terhadap antibiotik yang tidak akan memberi kesan apabila diambil. Walaupun peratusannya kecil, namun kesannya sangat besar dan berbahaya andai ia berlaku.
Karsinogenik
Menurut satu laporan yang telah diterbitkan oleh Reuters, terdapat kajian yang telah dilakukan pada tahun 2012 oleh sekumpulan Saintis dari Perancis mendapati bahawa tikus yang telah diberikan jagung GM yang mempunyai rintangan terhadap racun perosak Roundup telah mengalami tumor dan kerosakan organ. Mereka mendapati 50% tikus jantan telah mati manakala 70% tikus betina telah mati pada peringkat pra-matang berbanding hanya 30% tikus jantan yang mati dan 20% tikus betina yang mati pada eksperimen yang dikawal. Berita ini pada awalnya menimbulkan petikaian yang besar dalam masyarat yang melahirkan kegusaran mereka terhadap makanan GM yang berpotensi menjadi karsinogenik. Namun, kajian ini ditarik balik serta merta oleh Saintis lain kerana didapati analisis itu tidak tepat dan tidak boleh diterima pakai. Mereka menyanggah dakwaaan itu dengan mengatakan bahawa tikus yang diuji kaji itu berkemungkinan telah diberi jagung GM yang dijangkiti kulat sehingga menyebabkan berlaku ketidakstabilan hormon, atau kemungkinan strain tikus yang dipilih adalah dari jenis yang mudah dijangkiti tumor yang akhirnya membawa kepada kematian.

Tahukah anda bahawa soya GM Roundoup menghasilkan pengeluaran kira-kira 80% pada peringkat global dan Malaysia adalah antara yang mengimport tegar kacang soya GM dari negara USA. Soya GM Roundup ini mempunyai rintangan pada racun glyphosate. Menurut kajian, bahawa kacang soya GM yang diberi sebagai makanan ternakan boleh membawa kesan negatif kepada pertumbuhan haiwan, kematangan sistem pembiakan dan mempengaruhi jumlah bilangan anak. Kajian ini dikukuhkan lagi apabila Agensi Antarabangsa Kajian Kanser iaitu International Agency for Research on Cancer yang merupakan sebuah Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengklasifikasikan glyphosate mempunyai potensi sebagai bahan karsinogenik.
Debat mengenai label pada GMO
Di Negara Malaysia masih ramai di antara masyarat yang masih belum menyedari kewujudan makanan GM. Hal ini kerana tiada label khusus yang dikeluarkan oleh pihak berwajib sehingga mendatangkan kekeliruan pada pengguna apakah produk yang dibeli adalah yang telah melalui proses pengubahsuain ataupun organik. Namun terdapat sesetengah pasaraya seperti Aeon telah mengasingkan produk yang berasaskan organik pada rak yang berlainan. Masyarakat yang mempunyai kesedaran untuk memakan makanan yang natural tanpa melalui apa apa proses akan memilih untuk membeli produk organik meskipun harganya lebih mahal. Salah satu isu yang menjadi perbualan hangat ahli akedemik dan masyarat awam adalah berkenaan label pada makanan GMO. Hingga ke hari ini masih belum ada label khusus yang dikeluarkan oleh pengeluar makanan produk GMO untuk membezakannya dengan produk tanpa GMO. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati pada sesetengah pihak yang merasakan mereka mempunyai hak untuk mengetahui sesuatu produk itu melalui proses GM atau tidak agar mereka berasa tidak tertipu. Menurut badan National Bioengineered Food Disclosure Standard (NBFDS), bermula pada tahun 2020 semua makanan yang melalui proses kejuruteraan genetik yang melebihi 5% perlu meletakkan label meskipun banyak badan yang mendakwa bahawa makanan GM tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada manusia, haiwan dan persekitaran seperti U.S. National Academy of Sciences, United Nations Food and Agriculture Organization dan World Health Organization. Walau begitu, kenyataan yang dinyatakan adalah terlalu general tanpa disokong oleh mana-mana kajian spesifik. Oleh itu, sehingga kini wujud perdebatan dari kelompok masyarakat anti-GMO yang masih ragu-ragu dengan keberkesanan produk GM.
Rujukan :
https://www.who.int/foodsafety/areas_work/food-technology/faq-genetically-modified-food/en/
https://www.livescience.com/40895-gmo-facts.html
http://news.trust.org//item/?map=french-study-finds-tumours-in-rats-fed-gm-corn
http://www.goldenrice.org/
Kredit Foto : Vox