Penulis: Nur Faizah Binti Alwis Kamal 1, Norhidayah Binti Johan1, Dr. Haslina Binti Abdul Hamid1
1Program Dietetik, Pusat Pengajian Kesihatan Komuniti (ReaCH), Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pengenalan
Para ibu, adakah anda tahu bilakah masa emas tumbesaran anak anda? Masa emas tumbesaran anak-anak adalah dalam tempoh dua tahun pertama atau 1000 hari pertama kehidupan dan ianya adalah fasa yang paling kritikal untuk perkembangan mental dan fizikal anak. Pada usia ini, anak-anak memerlukan nutrisi yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan otak, sistem imun badan, dan pembentukan tulang serta otot. Selepas enam bulan pertama kehidupan, susu ibu sahaja tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan pemakanan mereka. Pengenalan makanan pelengkap yang sesuai dan berkhasiat menjadi langkah penting dalam memastikan anak-anak membesar dengan sihat dan mencapai potensi penuh mereka. Sebaliknya, jika anak-anak tidak diberikan makanan pelengkap yang berkhasiat, tumbesaran anak-anak boleh terganggu dan menyebabkan masalah malnutrisi seperti kurang berat badan, bantut dan susut (badan terlalu kurus untuk ketinggian mereka). Berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022: Kesihatan Ibu dan Anak, status malnutrisi semakin meningkat dari tahun 2019 hingga 2022. Masalah bantut mencatatkan peratusan tertinggi dalam kanak-kanak yang berumur bawah 5 tahun iaitu sebanyak 21.2% diikuti dengan kekurangan berat badan (15.3%) dan susut (11.0%). Malnutrisi bukan sahaja memberi kesan kepada pertumbuhan fizikal kanak-kanak, tetapi juga meningkatkan risiko penyakit dan jangkitan, melambatkan perkembangan mental, serta menjejaskan prestasi akademik dan keupayaan intelektual mereka pada masa hadapan. Oleh itu, pemakanan yang seimbang sejak awal kehidupan amat penting. Pengenalan makanan pelengkap yang berkhasiat seawal usia enam bulan memainkan peranan utama dalam memastikan tumbesaran anak yang sihat, sekali gus mengurangkan risiko malnutrisi.
Apa itu Makanan Pelengkap?
Pemberian makanan pelengkap merupakan proses memperkenalkan makanan pepejal atau cecair selain daripada susu ibu bagi memenuhi keperluan pertumbuhan anak. World Health Organisation (WHO) 2019 mengesyorkan agar bayi mula menerima makanan pelengkap pada usia 6 bulan sebagai tambahan kepada susu ibunya. Hal ini kerana, ketika umur anak mencecah 6 bulan, keperluan tenaga dan mikronutrien bagi bayi meningkat bersamaan dengan keperluan individu dewasa. Pada peringkat usia ini, pemakanan yang bergantung sepenuhnya kepada susu ibu dan susu formula sahaja tidak dapat memenuhi keperluan pertumbuhan anak. Terdapat beberapa ciri yang ditunjukkan oleh anak sekiranya mereka telah bersedia untuk diberikan makanan pelengkap:
- Bayi mencecah umur 6 bulan
- Bayi mampu untuk duduk dengan pertolongan dan mempunyai kekuatan untuk mengawal bahagian kepala
- Memasukkan permainan atau objek ke dalam mulut
- Memasukkan tangan atau menggigit tangan ke dalam mulut
- Bayi kelihatan leka atau berminat ketika melihat individu lain sedang makan
- Bayi menunjukkan isyarat kelaparan antara tempoh pemberian susu seterusnya atau selepas diberikan jumlah saiz susu yang lebih banyak daripada kebiasaan
Makanan pelengkap tidak digalakkan untuk dimulakan sebelum umur 4 bulan atau sebelum memenuhi ciri-ciri tersebut. Ini kerana sistem penghadaman dan sistem saraf bayi masih belum matang sepenuhnya untuk mencerna makanan selain daripada susu ibu atau susu formula. Namun begitu, kelewatan dalam memperkenalkan makanan pelengkap selepas usia enam bulan juga tidak digalakkan. Penangguhan ini boleh meningkatkan risiko bantut, susut, dan kekurangan berat badan, dan juga boleh menyebabkan bayi berisiko kekurangan zat penting untuk pertumbuhan optimum.
‘Picky Eater’ dan Kepentingan Tekstur Makanan
‘Picky eater’ atau ‘fussy eater’ adalah terma yang sering digunakan kepada kanak-kanak berumur 2-6 tahun yang menunjukkan kecenderungan “memilih makanan”. Kebiasaan ini sering berlaku apabila kanak-kanak tidak dapat menerima makanan yang mempunyai pelbagai tekstur dalam satu hidangan, terutamanya makanan yang yang disifatkan sebagai kompleks bagi mereka. Pada peringkat perkembangan ini, kanak-kanak mula membuat penilaian sendiri terhadap makanan yang diambil, termasuk menolak makanan tertentu yang dirasakan boleh membahayakan diri mereka. Penolakan terhadap tekstur makanan yang kompleks sering berlaku kerana pengalaman tidak selesa selepas makan seperti tempoh kunyahan makanan yang berlebihan, rasa tidak selesa apabila makanan menyentuh dinding mulut, refleks muntah, atau tercekik. Hal ini berpunca daripada ketidakmatangan fungsi mulut dan koordinasi menelan yang masih berkembang dalam kalangan kanak-kanak. Sekiranya tabiat ‘picky eating’ berlanjutan, hal ini secara tidak langsung akan menghadkan pengambilan makananan kanak-kanak dan seterusnya meningkatkan risiko malnutrisi. Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk memperkenalkan makanan pelengkap dengan kepelbagaian tekstur sejak awal, seiring dengan perkembangan kemahiran mengunyah bayi. Pada usia 4-6 bulan, bayi mampu untuk menggerakan mulut dan lidah untuk proses menelan yang dimana memudahkan mereka untuk menerima makanan separa cecair seperti puri. Selepas itu, gigi bayi juga akan mula tumbuh seawal umur 7-9 bulan. Bayi akan mula untuk mengunyah dan lebih tertarik kepada tekstur puri yang lebih pekat. Peralihan daripada tekstur makanan cecair kepada makanan pepejal mengambil masa sehingga umur 2 tahun. Kebolehan kanak-kanak untuk mengunyah tekstur makanan yang puri, likat dan pepejal akan bertambah seiring dengan kematangan fungsi mulut. Sebagai contoh, kekuatan gigitan kanak-kanak akan semakin meningkat pada umur 3-17 tahun. Ini membolehkan mereka untuk menerima tekstur makanan yang lebih keras. Justeru, kepelbagaian tekstur dalam diet harian kanak-kanak bukan sahaja membantu membentuk tabiat makan yang sihat tetapi juga mengurangkan risiko mereka menjadi ‘picky eater’ pada usia seterusnya.
Panduan memperkenalkan Makanan Pelengkap
0-6 Bulan
Susu ibu adalah makanan yang terbaik untuk bayi kerana ia mengandungi semua nutrien yang diperlukan bagi tumbesaran dan perkembangan bayi. Bayi tidak perlu diberikan air, susu tambahan, atau makanan lain kerana susu ibu itu sahaja sudah mencukupi untuk memenuhi keperluan nutrisi dalam badan mereka. Bayi perlu disusukan mengikut kehendaknya tanpa ada had masa atau kekerapan bagi memastikan bayi mendapat manfaat sepenuhnya daripada penyusuan susu ibu. Para ibu sangat digalakkan untuk meneruskan pemberian susu ibu kepada bayi sehingga berusia 2 tahun. Makanan pelengkap boleh diberikan kepada bayi apabila usia telah mencecah 6 bulan dan perkara yang perlu dititikberatkan ketika menyediakan makanan pelengkap adalah tekstur dan jumlah makanan.
6-8 Bulan
Penyusuan susu ibu masih perlu diteruskan sebagai sumber utama nutrisi dan pada masa yang sama, makanan pelengkap mula diperkenalkan. Pada peringkat ini, pemberian makanan pelengkap perlu dimulakan dalam jumlah yang kecil iaitu sekitar ¼ hingga ½ sudu teh setiap kali makan untuk membiasakan bayi dengan rasa dan tekstur makanan baharu. Para ibu boleh memberikan makanan yang dikisar halus untuk tempoh seminggu yang pertama, kemudian tekstur makanan boleh diubah secara berperingkat kepada makanan yang dipuri, dilenyek atau separa pejal bergantung kepada penerimaan bayi. Jika para ibu ingin menambah sayur-sayuran berdaun ke dalam bubur bayi, para ibu perlulah mencelur dan mengisarnya terlebih dahulu dan elakkan daripada menambah garam, gula atau perisa tiruan dalam makanan bayi untuk membiasakan bayi dengan rasa semula jadi makanan. Kekerapan hidangan makanan yang disarankan untuk bayi dalam fasa ini adalah 2 hingga 3 kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam dengan 1 hingga 2 kali kekerapan snek sehari iaitu pada minum pagi dan minum petang. Contoh snek yang boleh diberikan setiap hari iaitu pada waktu minum pagi dan minum petang anak adalah seperti ¾ sudu makan (15 g) buah pisang yang dilenyek, dan jangan lupa untuk teruskan memberi susu ibu kepada anak.
9-11 Bulan
Para ibu boleh mula memberikan bayi makanan yang dicincang atau dipotong kecil dan dimasak sehingga lembut. Makanan jejari seperti biskut bayi, potongan lobak merah yang direbus dan potongan buah-buahan yang lembut juga boleh diberi kepada bayi ketika ini. Para ibu perlulah memberikan bayi makanan dengan tekstur yang bersesuaian untuk mengelak bayi daripada tercekik makanan. Kekerapan hidangan makanan yang disarankan untuk bayi dalam fasa ini adalah 3 hingga 4 kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam dengan 1 hingga 2 kali kekerapan snek sehari iaitu pada minum pagi dan minum petang. Contoh snek yang boleh diberikan setiap hari adalah seperti 2 ½ sudu makan (25 g) buah betik yang dipotong pada waktu minum pagi dan 2 sudu makan (25 g) buah mangga yang dipotong pada waktu minum petang anak. Para ibu juga diingatkan untuk meneruskan pemberian susu ibu di fasa ini.
1-2 Tahun
Anak-anak sudah boleh mula menikmati makanan keluarga yang lembut dan tidak pedas. Pemilihan makanan yang sesuai amat penting bagi memastikan si kecil dapat mengunyah dengan mudah serta menerima tekstur dan rasa baru dengan selesa. Makanan pedas tidak digalakkan untuk diberikan kepada anak kecil kerana ia boleh menimbulkan rasa panas di mulut, menyebabkan ketidakselesaan, dan seterusnya membuatkan mereka menolak makanan baharu. Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk memperkenalkan makanan keluarga secara berperingkat, dengan menyesuaikan tekstur dan rasa agar anak lebih mudah menerimanya. Pendekatan ini membantu membina tabiat makan yang baik dan meningkatkan keterbukaan anak terhadap pelbagai jenis makanan.
Para ibu juga boleh memberikan makanan yang berkuah atau bersup seperti sup ayam atau sup sayur. Makanan jenis ini bukan sahaja mudah dimakan tetapi juga membekalkan nutrisi penting untuk pertumbuhan anak. Walaupun pada fasa ini anak-anak sudah boleh menikmati makanan keluarga, ibu bapa perlu memastikan mereka mendapat sumber protein yang mencukupi, seperti ayam atau ikan tanpa tulang. Sebagai langkah tambahan, elakkan pemberian minuman yang rendah nutrisi seperti teh, kopi, dan minuman ringan manis, kerana ia tidak menyumbang kepada keperluan pemakanan anak dan boleh mengganggu selera makan mereka terhadap makanan yang lebih berkhasiat. Kekerapan hidangan makanan yang disarankan untuk anak-anak dalam fasa ini adalah 4 hingga 5 kali sehari dengan 1 hingga 2 kali kekerapan snek sehari iaitu pada minum pagi dan minum petang. Contoh snek yang boleh diberikan setiap hari adalah seperti 1 pisang goreng (30 g) pada waktu minum pagi anak dan ¼ buah mangga (50 g) atau 2 sudu makan (40 g) taufufa pada waktu minum petang anak. Para ibu boleh merujuk Jadual 1 untuk mendapatkan sedikit idea dalam membuat perancangan menu untuk si manja.
Selain itu, sumber serat dan air yang mencukupi juga mestilah diberikan untuk mengelakkan sembelit dalam kalangan anak-anak. Dengan pemilihan makanan yang tepat, anak-anak dapat menikmati hidangan yang sihat, sekali gus menyokong tumbesaran mereka secara optimum.
Pemakanan awal yang seimbang memainkan peranan penting dalam menyokong tumbesaran dan perkembangan si manja, terutama dalam 1000 hari pertama kehidupan. Memperkenalkan makanan pelengkap dengan tekstur yang sesuai pada waktu yang tepat bukan sahaja membantu anak menerima pelbagai jenis makanan tetapi juga mengurangkan risiko malnutrisi dan picky eating. Dengan pendekatan yang betul dan pemakanan yang seimbang, ibu bapa dapat membantu anak membesar dengan sihat, aktif, dan bersedia untuk menghadapi fasa perkembangan seterusnya dengan lebih baik.
Foto-The Independent
Rujukan:
Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, & Jabatan Kebajikan Masyarakat
Malaysia. (n.d.). Garis panduan perancangan menu di pusat jagaan. Kementerian Kesihatan Malaysia.
Chow, C. Y., Skouw, S., Bech, A. C., Olsen, A., & Bredie, W. (2024). A review on children’s oral texture perception and preferences in foods. Critical Reviews in Food Science and Nutrition, 64(12), 3861-3879. Taylor & Francis Online.https://doi.org/10.1080/10408398.2022.2136619
Institut Kesihatan Umum (IKU). (2023). Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi
(NHMS) 2022: Kesihatan Ibu dan Anak [Laporan Teknikal]. Institut Kesihatan Umum
(IKU). https://iku.gov.my/images/nhms-2022/4b.-infografik-nhms-mch_malay_19.05.2023.pdf?_t=1684481335
Kementerian Kesihatan Malaysia. (2023). Garis panduan diet Malaysia untuk kanak-kanak dan remaja (Edisi ke-2). Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan mengenai Makanan dan Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Khan, T., Freeman, R., & Duet, A. (2023, March). Louder Than Words: Pediatric Speech Disorders Skyrocket Throughout Pandemic [Research Brief]. Komodo Health.
World Health Organization: WHO. (2019, December 20). Complementary feeding.
https://www.who.int/health-topics/complementary-feeding#tab=tab_2