Penulis: Dr. Kwan Shwu Shyan¹ & Dr. Siti Suriani Othman²
¹Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Pendidikan Teknik
²Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
Menurut Majlis Keselamatan Negara, jenayah siber merujuk kepada jenayah yang menggunakan rangkaian komputer atau peranti perkakasan (hardware) untuk mengganggu mangsa. Perkembangan pesat dalam dunia digital telah meningkatkan kebergantungan kepada teknologi maklumat dan komunikasi. Ini membuka kepada risiko ancaman baharu iaitu jenayah siber.
Di Malaysia, ancaman keselamatan siber di negara ini telah menyaksikan peningkatan yang ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sebanyak 14,490 kes penipuan dalam talian dilaporkan dengan jumlah kerugian melebihi RM581 juta pada separuh tahun pertama 2024. Berbanding tahun 2023, sebanyak 12,000 kes jenayah siber dilaporkan oleh Pusat Tindak Balas Insiden Keselamatan Siber (Cyber999) CyberSecurity Malaysia.
Selain itu, Malaysia juga merupakan antara negara yang direkodkan sebagai negara tertinggi di Asia yang merekodkan kejadian scam berulang. Menurut laporan oleh Asia Scam Report 2024, lebih 2.5 kali jenayah ini berlaku terhadap mangsa yang sama.
Ancaman scammer
Lalu, apakah taktik yang digunakan oleh scammer yang kita perlu tahu supaya tidak ditipu atau ditipu ulang? Antara taktik yang digunakan oleh penipu atau scammer untuk memperdayakan orang ramai adalah semasa menjelang musim perayaan. Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), kegiatan sindiket penipuan menjual pakaian dan kelengkapan hari raya bergerak aktif di media sosial pada masa ini. Berdasarkan statistik, kes jenayah penipuan dalam talian semasa musim perayaan mencatatkan 871 kes dengan nilai kerugian mencecah RM37.2 juta pada tahun lalu. Angka yang tinggi ini mengingatkan kita semua untuk lebih berhati-hati dan jangan mudah percaya dalam apa bentuk urusan sekalipun.
Ini termasuklah menipu pengguna dengan menggunakan pakaian beruniform yang pastinya membuatkan ramai yang rasa takut dan hormat, sekaligus mudah ditipu. Menyamar sebagai pegawai kastam, polis atau pegawai hospital untuk melakukan penipuan andalah antara bentuk penipuan yang pernah kita dengar. Namun selepas taktik ini terbongkar, mereka menukar ke strategi penipuan dalam bentuk maya untuk memerangkap mangsa yang leka. Walaupun kempen dan usaha membanteras kegiatan penipuan dilakukan pelbagai pihak, namun masih ada yang terpedaya. Pelbagai janji diberikan sindiket sehingga menyebabkan kerugian wang yang besar terutamanya mereka yang kurang pengetahuan tentang keselamatan siber.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga berulang kali mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan panggilan atau SMS yang diterima daripada pihak yang tidak dikenali dan mencurigakan. Pihak penguasa dan orang ramai risau dengan taktik baharu yang semakin kompleks yang akan digunakan seiring dengan peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan. Teknologi keselamatan dan ancaman siber sentiasa berkembang dan kita semua perlu terus mengemas kini diri dengan pengetahuan terkini supaya lebih kalis scammer.
Kesedaran
Maka, walaupun banyak program kesedaran yang telah dilaksanakan, masih perlu banyak lagi program kesedaran keselamatan siber dan latihan yang perlu dilaksanakan di semua peringkat untuk melindungi orang ramai daripada serangan siber. Setiap individu sama ada yang bekerja, belajar atau orang awam secara amnya berperanan untuk melindungi data mereka daripada ancaman siber. Ini termasuk tidak berkongsi maklumat sensitif secara tidak wajar dan menggunakan peranti yang selamat. Kita juga perlu melaporkan sebarang kebimbangan mengenai keselamatan siber kepada pihak yang bertanggungjawab.
Di peringkat individu, kita perlu sentiasa mengambil langkah yang proaktif dan berhati-hati apabila mendapat mesej atau WhatsApp daripada orang yang tidak dikenali. Mereka mungkin akan meminta bantuan untuk memindahkan duit ke akaun bank penama lain yang tidak dikenali tetapi dalam bentuk yang tidak kita sedari. Langkah pencegahan yang boleh diambil adalah jangan memberi sebarang maklumbalas terhadap permintaan maklumat sulit atau peribadi melalui mesej teks, e-mel atau panggilan telefon daripada pengguna yang tidak dikenali ini.
Kita juga perlu selalu semak profil penjual jika membeli-belah dalam talian. Pastikan maklumat yang diperlukan ada dipapar pada laman sesawang penjual seperti nama syarikat atau penjual, harga barangan, nombor pendaftaran perniagaan, maklumat untuk dihubungi, keterangan produk, kaedah pembayaran, terma dan syarat serta anggaran masa penghantaran. Semak tanda atau simbol pengesahan keselamatan urusniga pada laman penjual dalam talian. Pembeli juga perlu menyemak pengesahan pesanan sebelum klik setuju dengan pembelian.
Di samping itu, antara amalan terbaik pengendalian akaun media sosial adalah dengan membina kata laluan yang kukuh bagi memastikan ianya sukar untuk digodam. Pastikan keluar atau logout dari akaun media sosial setelah selesai digunakan. Pasang perisian keselamatan seperti antivirus dan menetapkan keselamatan terkini pada telefon mudah alih. Pengguna juga disarankan untuk mengaktifkan ‘Multi-Factor Authentication’ untuk keselamatan yang lebih kuat.
Memandangkan dunia siber itu sendiri amat kompleks, maka pencegahan bagi segala kebobrokan berpunca daripadanya juga adalah kompleks. Maka, komitmen di peringkat individu amat penting dalam memastikan setiap daripada kita tidak ditipu atau membuka ruang untuk ditipu. Dalam hal ini, komitmen yang berterusan kepada pendidikan dan kesedaran keselamatan siber adalah amat penting dan perlu menjadi agenda di semua peringkat.
Ini membawa implikasi bahawa kesedaran mengenai keselamatan siber adalah tanggungjawab kita bersama. Ia bukan hanya agenda kerajaan atau agenda mana mana pihak yang kita rasakan perlu mengurangkan penipuan siber dari semasa ke semasa. Kesedaran dan pengetahuan di peringkat individu menjadi penguat kepada kejayaan sebarang program pencegahan penipuan di peringkat kebangsaan dan global. Tanpa gerakan di peringkat individu, tidak mungkin sebarang program di peringkat yang lebih tinggi akan mencapai sebarang kejayaan. Itulah kita, yang perlu bersama-sama mencegah kegiatan scam agar tidak terus bermaharajalela.
Foto-HindustanTimes