Penulis: Choong Yee Heng¹, Nur Farah Ezza Binti Mohammad Iskandar¹, Zahara Binti Abdul Manaf¹
¹Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Akhir-akhir ini cuka epal atau Apple Cider Vinegar (ACV) telah menjadi semakin popular sebagai minuman kesihatan. Cuka epal semakin mendapat perhatian, terutamanya dalam kalangan pengamal kesihatan holistik dan pempengaruh media sosial. Banyak perkongsian di media sosial mengatakan bahawa ia berpotensi membantu dalam proses pencernaan, menurunkan paras gula dalam darah, dan membantu menurunkan berat badan. Walaupun terdapat ramai pengguna yang yakin dengan manfaatnya, namun pakar kesihatan kekal skeptikal dengan keberkesanan seperti yang didakwa. Cara penggunaan cuka epal yang dikongsikan oleh pempengaruh dalam media sosial adalah dengan mencampurkan 4 hingga 5 sudu cuka epal ke dalam cawan atau botol, kemudian dicampur dengan air. Bagi mereka yang kurang menyukai rasa masam, boleh tambah dengan satu sudu makan madu. Mereka juga menyarankan agar cuka epal ini diambil sebelum waktu makan utama untuk mendapat kesan yang lebih cepat. Persoalannya adalah, adakah benar cuka berkesan untuk menurunkan berat badan seperti yang dikongsikan dalam sosial media, atau hanya sekadar satu lagi tren amalan kesihatan yang berasaskan testimoni tanpa bukti saintifik? Artikel ini mengupas bukti kajian saintifik mengenai keberkesanan amalan minum cuka terhadap penurunan berat badan.
Bagaimana cuka epal dihasilkan?
Cuka epal dihasilkan daripada epal yang telah menjalani dua proses penapaian. Pertama, jus epal diekstrak daripada epal yang dihancurkan kemudian bakteria dan yis ditambah untuk memecahkan gula epal menjadi alkohol yang dikenali sebagai etanol. Seterusnya, alkohol ini melalui proses penapaian sekali lagi untuk menjadi cuka iaitu asid asetik (ibu cuka) oleh bakteria aerobik. Produk akhir daripada proses ini ialah cuka epal, yang kaya dengan asid asetik dan sering digunakan untuk tujuan masakan dan kesihatan.
Adakah cuka epal membantu penurunan berat badan menurut pengguna?
Menurut perkongsian di media sosial oleh pempengaruh dan pengguna cuka epal yang tegar, antara manfaat utama pengambilan cuka epal setiap hari adalah membantu penurunan berat badan. Mereka mendakwa bahawa kandungan asid asetik dalam cuka epal dapat mengurangkan selera makan. Pempengaruh di TikTok yang berasal dari Kanada dan dikenali sebagai Dr. Janine Bowring, turut mendakwa bahawa cuka epal mampu membakar lemak badan. Beliau membuat dakwaan tersebut dengan merujuk kepada kajian saintifik yang dibaca olehnya, yang melaporkan bahawa pengambilan cuka epal dapat menurunkan berat badan, indeks jisim tubuh, ukuran pinggang, serta lemak viseral.
Bukti kajian saintifik peranan cuka dalam penurunan berat badan
Keberkesanan cuka epal dalam penurunan berat badan masih diragui dan tidak mempunyai bukti yang konklusif. Pada masa ini, tiada kajian terkini yang secara khusus membuktikan keberkesanan cuka epal dalam penurunan berat badan serta mekanisme yang terlibat.
Pada tahun 2020, Launholt dan rakan-rakan telah meneliti berkenaan cuka epal. Mereka mendapati hanya 13 kajian melibatkan manusia dan 12 kajian melibatkan haiwan dimasukkan dalam analisis. Kesimpulan daripadanya adalah cuka epal mungkin mempunyai kesan kesihatan yang bermanfaat. Walau bagaimanapun, bukti saintifik kesan kesihatan cuka epal masih dianggap tidak memadai disebabkan kekurangan kajian berkualiti tinggi. Oleh itu, kajian klinikal berskala besar dan berjangka panjang diperlukan sebelum kesimpulan muktamad dapat dilakukan.
Setakat ini, penggunaan cuka epal tidak selaras dengan garis panduan pengurusan obesiti seperti Clinical Practice Guideline Malaysia 2023 dan Garis Panduan Pengurusan Berat Badan yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat pada tahun 2022.
Apakah risiko atau kesan negatif penggunaan cuka epal?
Pengambilan cuka epal mempunyai risikonya tersendiri atau kesan negatif seperti yang dinyatakan dalam beberapa kajian saintifik. Menurut kajian oleh Anderson dan rakan-rakan di Amerika Syarikat pada tahun 2020, pendedahan gigi kepada asid secara berulang yang disebabkan oleh pengambilan cuka boleh menghakis enamel gigi secara perlahan-lahan dan seterusnya meningkatkan risiko kerosakan gigi. Tambahan pula, menurut National Institute of Dental and Craniofacial Research, penghakisan pada enamel gigi mungkin tidak disedari pada peringkat awal kerana tiada tanda yang ketara. Namun, apabila penghakisan semakin teruk, gejala seperti rasa sakit pada gigi atau peningkatan kadar sensitiviti gigi apabila terdedah kepada suhu panas dan sejuk mungkin berlaku. Malahan, satu laporan kes oleh Gambon di Belanda pada tahun 2012 juga menunjukkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mengalami hakisan gigi yang kritikal akibat pengambilan segelas cuka epal secara harian untuk menurunkan berat badan.
Pada tahun 2020, Chang dan rakan-rakan melaporkan bahawa minuman berasaskan cuka boleh dianggap sebagai agen yang bersifat menghakis. Pengambilan secara berterusan boleh menyebabkan luka terbakar akibat asid dan kerosakan pada permukaan bahagian atas saluran penghadaman, yang akhirnya boleh membawa kepada ulser esofagus. Selain itu, kajian oleh Gomes dan Dantas pada tahun 2024 melaporkan asid menurunkan kadar pH kandungan perut, yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Menurut kajian Launholt dan rakan-rakan pada tahun 2020 mengatakan kajian saintifik yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan tentang saranan dos pengambilan cuka epal yang selamat. Oleh itu, lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk membuktikan kesan kesihatan yang lebih jelas. Tambahan pula, para penyelidik ini juga menyarankan perlu berhati-hati apabila mengambil cuka epal kerana pengambilan cuka epal dalam melebihi 4 sudu besar setiap hari boleh menyebabkan membuang air besar, sendawa atau perut kembung yang lebih kerap.
Kajian-kajian ini menunjukkan bahawa walaupun cuka epal sering dikaitkan dengan manfaat untuk kesihatan, penggunaannya secara berlebihan atau tanpa kawalan boleh membawa kepada kesan negatif yang serius terhadap kesihatan gigi dan usus.
Cara penurunan berat badan yang berkesan dan selamat
Kunci utama untuk penurunan berat badan menurut Clinical Practice Guideline Malaysia 2023 dan Garis Panduan Pengurusan Berat Badan yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat pada tahun 2022 adalah melalui defisit kalori, iaitu pengambilan tenaga lebih rendah berbanding tenaga yang digunakan, digabungkan dengan peningkatan aktiviti fizikal. Pendekatan ini terbukti secara saintifik sebagai kaedah berkesan dan selamat untuk penurunan berat badan. Walau bagaimanapun, pemilihan strategi mesti disesuaikan dengan gaya hidup individu, status kesihatan dan jenis diet yang paling sesuai diikuti oleh individu tersebut.
Berikut adalah strategi penurunan berat badan yang disarankan dalam garis panduan yang digunapakai oleh ahli profesional kesihatan di seluruh dunia:
- Kawalan saiz hidangan
- Model Pinggan Sihat (Suku-suku separuh)
- Diet DASH (Dietary Approaches to Stop Hypertension)
- Diet Mediterranean
- Puasa berselang
- Penggantian makanan (meal replacement)
Kesimpulan dan cadangan
Cuka epal tidak disarankan sebagai kaedah penurunan berat badan kerana tiada bukti saintifik yang kukuh mengenai keberkesanannya. Penggunaannya juga berpotensi membawa risiko kesihatan, termasuk hakisan enamel gigi dan masalah usus.
Sebaliknya, cuka epal selamat digunakan jika digunakan sebagai bahan masakan, seperti dalam penyediaan salad. Untuk penurunan berat badan yang selamat dan berkesan, adalah disarankan untuk mengamalkan pendekatan yang berasaskan bukti saintifik dan mengelakkan penggunaan bahan atau kaedah ekstrem yang mungkin membahayakan kesihatan. Selain itu, nasihat daripada pegawai dietetik bertauliah boleh memastikan pelan pemakanan yang sesuai dengan keperluan dan gaya hidup individu.
Rujukan
Anderson, S., Gonzalez, L.A., Jasbi, P. & Johnston, C.S. 2020. Evidence That Daily Vinegar Ingestion May Contribute to Erosive Tooth Wear in Adults. Journal of Medicinal Food.
Chang, J., Han, S.E., Paik, S.S. & Kim, Y.J. 2020. Corrosive Esophageal Injury due to a Commercial Vinegar Beverage in an Adolescent. Clinical Endoscopy 53(3): 366–369.
Gambon, D.L. 2012. Ongezond afslanken. Erosie door appelazijn. Nederlands Tijdschrift voor Tandheelkunde, hlm. 589–591.
Gomes, D.C. & Dantas, R.O. 2014. ACIDIC AND NEUTRAL LIQUID INGESTION IN PATIENTS WITH GASTROESOPHAGEAL REFLUX DISEASE. Arquivos de Gastroenterologia 51: 217–220.
Hadi, A., Pourmasoumi, M., Najafgholizadeh, A., Clark, C.C.T. & Esmaillzadeh, A. 2021. The effect of apple cider vinegar on lipid profiles and glycemic parameters: a systematic review and meta-analysis of randomized clinical trials. BMC Complementary Medicine and Therapies 21(1).
Kondo, T., Kishi, M., Fushimi, T., Ugajin, S. & Kaga, T. 2009. Vinegar Intake Reduces Body Weight, Body Fat Mass, and Serum Triglyceride Levels in Obese Japanese Subjects. Bioscience, Biotechnology, and Biochemistry 73(8): 1837–1843.
Launholt, T.L., Kristiansen, C.B. & Hjorth, P. 2020. Safety and side effects of apple vinegar intake and its effect on metabolic parameters and body weight: a systematic review. European Journal of Nutrition 59(6): 2273–2289.
Ministry of Health Malaysia. 2023. Clinical Practice Guidelines on Management of Obesity . Edisi ke-2. Malaysia Health Technology Assessment Section (MaHTAS):
Morgan-Bathke, M., Raynor, H.A., Baxter, S.D., Halliday, T.M., Lynch, A., Malik, N., Garay, J.L. & Rozga, M. 2022. Medical Nutrition Therapy Interventions Provided by Dietitians for Adult Overweight and Obesity Management: An Academy of Nutrition and Dietetics Evidence-Based Practice Guideline. Journal of the Academy of Nutrition and Dietetics 123(3).
Tehrani, S.D., Keshani, M., Rouhani, M.H., Moallem, S.A., Bagherniya, M. & Sahebkar, A. 2023. The effects of apple cider vinegar on cardiometabolic risk factors: A systematic review and meta-analysis of clinical trials. Current Medicinal Chemistry.