Oleh: Ahmad Amryl Abd Malek
Pengenalan
Pada pertengahan Januari ini (jangkaan 15hb), SpaceX syarikat swasta kepunyaan Elon Musk, akan melancarkan roket Falcon Heavy dengan misi, menghantar sebuah kereta Tesla Roadster berwarna merah untuk mengorbit planet Marikh tersebut untuk selama sebillion tahun!!
Planet Marikh telah menarik perhatian dan mengamit imaginasi manusia sejak zaman berzaman lagi. Pelbagai mitos berkenaan planet ini timbul dari pelbagai tamadun manusia seperti di Mesopotamia, Mesir, Yunani, dan India. Mitos-mitos begini selalu berkisar kepada kisah dewa-dewa kepercayaan tamadun tersebut.

Planet ini juga menjadi sumber inspirasi kepada karya-karya fiksyen sains seperti buku War of the Worlds karya H.G Wells, Out of the Silent Planet karya C.S. Lewis, The Sands of Mars karya Arthur C. Clarke dan yang terkini The Martian karya Andy Weir yang telah diadaptasi kepada layar perak.
Bukan sahaja planet Marikh itu begitu mempersonakan manusia sejagat, malah minat yang tinggi telah memacu penerokaan dan penyelidikan ke atas planet ini dibuat oleh para ahli astronomi dan saintis. Kini planet Marikh merupakan planet yang kedua paling banyak dikaji selepas planet Bumi.
Disebabkan planet Marikh merupakan planet yang paling mudah dicapai dari segi teknologi, maka telah lebih dari 40 misi penerokaan dilakukan oleh beberapa negara besar terutama Amerika Syarikat dan Russia. Selain dari dua kuasa besar itu, terdapat juga misi jelajah dari negara China dan Jepun dan negara-negara Eropah. Negara terkini yang telah berjaya menghantar misi ke planet Marikh adalah India.
Selain dari capaian yang dianggap mudah berbanding planet lain, keasyikan ahli astronomi dan saintis ke atas planet Marikh juga adalah kerana dengan mengkaji pembentukan planet Marikh, maka kita akan dapat mengetahui dengan lebih jelas asal-usul sistem suria.
Planet Marikh juga mungkin merupakan planet yang akan menjadi tempat tinggal manusia pada masa akan datang. Maka kajian yang terperinci perlu dilakukan bagi mengetahui keadaan alam sekitar planet Marikh bagi menentukan kesesuaian manusia untuk hidup di sana kelak.
Sejarah Penerokaan Planet Marikh
Misi penerokaan planet Marikh kebiasaanya di bahagi kepada tiga jenis, iaitu lintas terbang (flyby), pengorbit (orbiter) dan lander/perayau (rover). Semasa permulaan zaman penerokaan planet Marikh teknologi aeroangkasa masih tidak begitu maju dan hanya misi lintas terbang yang boleh dibuat dengan objektif untuk mengambil seberapa banyak gambar yang mungkin.
Setelah teknologi aeroangkasa semakin berkembang, misi pengorbit pula dilakukan bagi meletakkan prob dan satelit disekeliling planet Marikh bagi tujuan kajian dan pemerhatian. Dengan teknologi terkini, misi penjelajahan telah pun berjaya meletakan lander dan juga perayau di atas permukaan planet Marikh bagi kajian fizikal yang lebih rumit dan terperinci.
Percubaan pertama bagi penjelajahan ke planet Marikh dimulakan oleh USSR (kini Russia) pada 10 Oktober 1960 dengan pelancaran Marsnik 1. Namun roket yang membawa prob Marsnik 1 telah gagal ketika 120km dari paras laut dan jatuh kembali ke Bumi. Semenjak itu, sebanyak 21 lagi misi penjelajahan ke planet Marikh telah dilakukan oleh Russia.

Dari 22 misi penjelajahan yang dibuat oleh Russia, 20 misi mengalami pelbagai peringkat kegagalan. Namun begitu, antara misi yang berjaya adalah misi Mars 2 pada tahun 1971 yang berjaya mengorbit planet Marikh sebanyak 362 kitaran, mengambil sebanyak 60 gambar dan data-data mengenai atmosfera dan medan magnetik planet Marikh. Lander dari Mars 2 juga merupakan objek ciptaan manusia yang pertama mendarat di permukaan planet Marikh. Walaubagaimanapun lander ini gagal berfungsi setelah mendarat.
Manakala misi pertama yang berjaya bagi Amerika Syarikat adalah dengan lintas terbang pesawat angkasa Mariner 4 pada 14 dan 15 Julai 1965 yang berjaya mengambil gambar pertama planet Marikh dari misi penerokaan angkasa. Secara keseluruhannya Amerika Syarikat telah melakukan 25 misi penerokaan planet Marikh. Dari jumlah tersebut, 6 misi telah mengalami pelbagai peringkat kegagalan.
Lander pertama yang berjaya mendarat di planet Marikh dan mengembalikan data serta gambar dari permukaan planet Marikh adalah dari misi Viking 1. Viking 1 berlepas dari permukaan Bumi pada 20 Ogos 1975 dan berjaya mengorbit planet Marikh pada 19 Jun 1976. Setelah sebulan mengorbit, pada 20 Julai 1976 lander Viking 1 mendarat di permukaan planet Marikh di kawasan bernama Chryse Planitia dengan jayanya.
Perayau yang pertama di permukaan planet Marikh adalah dari misi Mars Pathfinder yang berlepas dari planet Bumi pada 4 Disember 1996 dan terus mendarat di planet Marikh dikawasan Ares Vallis pada 4 Julai 1997. Misi ini membawa sebuah lander seberat 264kg dan sebuah perayau yang diberi nama Sojourner seberat 10.5kg. Sojourner mula beroperasi di atas permukaan planet Marikh pada 6 Julai 1997.

Sojourner, MER, MSL
#106454
4/11/2008
(sumber: By NASA/JPL-Caltech – http://www.nasa.gov/mission_pages/phoenix/images/family.html (image link), Public Domain, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=4137185)
.
Misi Penerokaan Planet Marikh Yang Masih Aktif
Sehingga kini terdapat 8 misi penerokaan planet Marikh yang masih beroperasi. 5 misi dari Amerika Syarikat, satu dari Agensi Angkasa Eropah (ESA), satu dari kerjasama ESA dengan agensi angkasa Russia (Roscosmos) dan satu dari India.
Misi Mars Odyssey

Misi dari Amerika Syarikat ini dilancarkan pada 7 April 2001 dan telah berjaya mengorbit planet Marikh pada 24 Oktober 2001. Objektif misi ini adalah untuk melakukan analisa terperinci mineralogi dan juga mengukur radiasi. Misi ini adalah untuk mengkaji samada planet Marikh mempunyai persekitaran yang sesuai bagi kehidupan. Pengorbit ini merupakan pengorbit tertua yang masih lagi beroperasi mengelilingi planet Marikh.
Misi Mars Express

Misi daripada ESA ini dilancarkan pada 2 Jun 2003 dan mula mengorbit planet Marikh pada 25 Disember 2003. Misi ini dinamakan “Express” adalah kerana perjalanan masa yang cepat bagi pesawat tiba ke orbit planet Marikh. Ini dapat dilakukan kerana masa pelancaran dibuat ketika planet Marikh dan planet Bumi berada dalam kedudukan yang terdekat sejak 60,000 tahun yang lalu.
Misi Opportunity

Perayau yang diberikan nama “Opportunity” ini telah dilancarkan pada 8 Julai 2003 dan telah berjaya mendarat pada 25 Januari 2004 di kawasan bernama Terra Meridiani. Perayau yang tertua dan masih aktif di planet Marikh ini telah melakukan perjalanan sejauh 45.08 km (sehingga 18 Disember 2017).
Misi Mars Reconnaissance Orbiter

Dilancarkan pada 12 Ogos 2005 dan mula mengorbit planet Marikh pada 10 Mac 2006. Objektif misi ini adalah untuk mengenalpasti iklim planet Marikh dan bagaimana mekanisma perubahan musim di planet Marikh berlaku. Selain itu, misi ini juga digunakan bagi mengenalpasti permukaan planet yang dibentuk oleh air.
Misi Curiosity

Nama sebenar misi ini adalah Mars Science Labratory (MSL) dan dilancarkan pada 26 November 2011. Tujuan utama misi ini adalah untuk mengetahui samada planet Marikh pernah atau sedang mempunyai habitat bagi kehidupan. Punca tenaga bagi perayau ini adalah penjana thermoelektrik radioisotop yang menjana 125 W pada awal misi.
Misi Mars Orbiter (Mangalyaan)

Misi Mars Orbiter atau dalam bahasa Hindi disebut Mangalyaan (pesawat Marikh), dilancarkan pada 5 Novermber 2013 dan telah berjaya mengorbit pada 24 September 2014. Ini merupakan misi pertama daripada India dan ianya menempa sejarah sebagai misi yang berjaya pada cubaan pertama oleh sesebuah negara. Selain itu, misi ini juga merupakan misi yang termurah pernah dilancarkan, iaitu, sebanyak Rupee 4.5 billion atau USD75 juta sahaja.
Misi MAVEN

Misi MAVEN atau nama penuhnya Mars Atmosphere And Volatile Evolution direkabentuk bagi meneroka atmosfera atas dan ionosfera planet Marikh dan interaksinya dengan angin solar. Misi dilancar pada 18 November 2013 dan telah berjaya mengorbit planet Marikh pada 22 September 2014.
Misi ExoMars Trace Gas Orbiter

Misi pengorbit ExoMars Trace Gas merupakan misi kerjasama antara ESA dan Roscosmos bagi meletakkan satu pengorbit dan juga satu lander di permukaan planet Marikh. Misi ini adalah bertujuan untuk mengenalpasti ciri-ciri gas di planet Marikh. Dilancarkan pada 14 Mac 2016, pengorbit telah berjaya memasuki orbit planet Marikh pada 19 Oktober 2016. Manakala lander telah terhempas di permukaan planet Marikh pada 19 Oktober 2016 kerana kesilapan kiraan altitud.
Misi Akan Datang
Pada masa akan datang, terdapat beberapa cadangan penerokaan planet Marikh akan dibuat. Pelbagai negara berkejar antara satu dengan lain bagi menghantar misi penerokaan ke planet Marikh. Kejayaan penerokaan planet Marikh bukan sahaja bukti kemajuan sesebuah negara, tetapi ia juga telah banyak mewujudkan teknologi-teknologi baru di dalam puluhan bidang.
Penglibatan negara India di dalam penerokaan planet Marikh sebagai contoh telah berjaya membuktikan negara tersebut boleh bersaing dengan pemain besar dunia seperti NASA, ESA dan Roscosmos dan dalam masa yang sama telah menempa nama sebagai negara yang boleh meneroka planet Marikh dengan kos yang terendah.
Syarikat swasta seperti SpaceX juga telah mula merancang untuk menghantar misi ke planet Marikh, sudah tentu ini akan memacu penglibatan pihak swasta untuk terlibat sama dalam misi penerokaan planet Marikh yang selama ini dibuat oleh agensi-agensi kerajaan.
Terdapat juga perancangan penerokaan planet Marikh dengan menghantar manusia di dalam misi penerokaan tersebut. Penerokaan tersebut akan membuka era baru kepada manusia dengan “penaklukan” planet lain.
Mungkinkah negara Malaysia pada masa akan datang dapat bersama di dalam penerokaan-penerokaan tersebut? Bersediakah kita?
Sumber :
- https://mars.nasa.gov/#mars_exploration_program/3
- https://www.nationalgeographic.com/science/space/space-exploration/mars-exploration-article/
- https://techcrunch.com/2016/03/25/2020-is-set-to-be-the-biggest-year-yet-for-mars-exploration/
- http://www.planetary.org/multimedia/space-images/charts/the-mars-exploration-family-portrait.html
- http://www.planetary.org/explore/space-topics/space-missions/missions-to-mars.html
- https://nssdc.gsfc.nasa.gov/planetary/chronology_mars.html
- https://www.space.com/13558-historic-mars-missions.html
- https://www.popsci.com/real-cost-nasa-missions#page-3
- https://en.wikipedia.org/wiki/List_of_missions_to_Mars
- https://www.inverse.com/article/32300-40-technologies-nasa-is-inventing-for-future-mars-missions