Oleh : Dr Hasnun Nita Ismail
Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah
Siput gondang mempunyai taburan yang sangat meluas di negara kita. Asal sahaja kawasan berair tawar dan dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan akuatik sudah menjadi habitat yang paling disukai oleh si siput gondang. Walaupun ianya sudah terkenal sebagai haiwan perosak di kawasan sawah padi tetapi penduduk tempatan masih ada yang menggemari siput ini. Ianya menjadi masakan yang istimewa sama seperti jenis siput-siput yang lain iaitu siput sedut, siput buluh, siput gayam, mentarang, retak seribu dan lain-lain. Taip sahaja kata kunci ‘resepi siput gondang’ di Facebook dan anda akan mendapat semua koleksi resepi dengan hanya di hujung jari. Antara menu yang terdapat adalah siput gondang goreng kunyit, siput gondang masak lemak, siput gondang air asam, siput gondang masak kari, siput gondang paprik dan macam-macam lagi. Ummphh…menyelerakan bukan!

Benar, siput gondang boleh dimakan. Malah penyebaran siput ini ke benua Asia daripada Amerika Selatan adalah sebagai sumber makanan yang berprotein tinggi bagi meningkatkan ekonomi penduduk tempatan. Penduduk Thailand, Filipina, Laos, China, Indonesia dan Cambodia bukan sahaja memakan siput ini tetapi siput gondang diproses untuk dijadikan makanan haiwan ternakan dan cecair baja untuk pertanian. Di Malaysia dan juga Indonesia, siput ini diproses untuk makanan itik dan ayam kampung sebagai sumber protein dan kalsium. Kajian oleh Mulatifah (2018) menunjukkan ternakan itik yang diberikan diet tepung siput gondang menghasilkan telur yang lebih berkualiti. Pengambilan diet itik yang mengandungi 12% tepung siput gondang meningkatkan kadar penghasilan telur dan berat telur juga bertambah jika dibandingkan dengan kajian kontrol (diet tanpa tepung siput gondang). Dipercayai keadaan ini berpunca daripada zat protein yang tinggi di dalam siput gondang dan kandungan kalsium dari cangkerang siput membantu pembentukan cangkerang telur ayam/itik yang kuat.
Sesetengah orang juga mempercayai khasiat perubatan siput gondang untuk mengubati penyakit buasir. Dengan hanya mengambil bahagian tubuh siput yang hitam dan dimasak mengikut resepi yang digemari, dikatakan boleh menyembuhkan penyakit buasir. Ini boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan bagi para petani sekiranya mereka berupaya untuk mengekploitasikan potensi komersial bagi siput gondang ini. Walau, bagaimanapun, dari segi perubatan tiada maklumat saintifik yang boleh mengesahkan kenyataan ini.
Secara biologi, siput gondang memang mempunyai kadar pembiakan yang tinggi di habitat yang berair dan dipenuhi dengan rumpai akuatik. Mereka boleh hidup berasosiasi dengan populasi spesies-spesies tempatan yang lain. Cuma kedominanan populasi siput gondang ini boleh menyebabkan kepupusan spesies-spesies tempatan yang tidak mampu bersaing dengan kadar pembiakan siput gondang yang tinggi dan spektrum diet pemakanan yang meluas. Malahan, populasi siput gondang ini juga menunjukkan sifat kanabalism dengan memakan sesama sendiri apabila makanan semulajadinya tidak cukup menampung keperluan semua individu dalam populasi siput ini.
Di alam semulajadi, asosiasi siput gondang dengan spesies-spesies lain adalah sangat menarik untuk dikaji. Antaranya adalah asosiasi simbiosis antara siput gondang dengan beberapa spesies yang menjadi parasit kepada spesies haiwan yang lain. Parasit dalam erti kata ianya tidak memudaratkan siput gondang tetapi akan memudaratkan haiwan lain atau manusia yang mengambil diet pemakanan mengandungi siput gondang. Antara spesies yang bersimbiosis dengan siput gondang adalah terdiri daripada koloni cacing seperti cacing pipih (trematod), cacing bersegmen (annelid) dan cacing bulat (nematod). Bagaimana siput gondang hidup berasosiasi dengan cacing parasit ini?
ARTIKEL BERKAITAN : PENYERANG HENDAP ANAK PADI
Hasil pembacaan dan kajian penulis, mendapati hampir kebanyakan spesies parasit yang memudaratkan manusia tidak hidup secara bebas di alam semula jadi. Kitar hidup mereka memerlukan dua atau lebih haiwan perumah bagi mendapatkan satu kitaran penuh yang lengkap. Lihatlah parasit Plasmodium yang menyebabkan penyakit Malaria memerlukan nyamuk tiruk (Anopheles) dan manusia sebagai haiwan perumah. Begitu juga cacing pita memerlukan manusia dan haiwan seperti lembu, kerbau, ikan atau khinzir sebagai perumah perantara. Penyakit tidur (“African Sleeping Sickness”) yang begitu endemik di benua Afrika di kalangan puak Bushman adalah disebabkan parasit Trypanosome yang memerlukan manusia dan lalat tsetse sebagai perumah perantara. Maka, kes yang serupa berlaku di mana cacing parasit (nematod, trematod, annelid) memerlukan perumah-perumah daripada kumpulan vertebrat (termasuk manusia) dan siput gondang untuk mendapat kitaran hidup yang lengkap (Rajah 1). Dalam kesemua kes asosiasi ini, kesan mudarat hanya berlaku kepada perumah vertebrata atau manusia dan tiada kemudaratan kepada perumah perantara seperti siput. Ini watak parasit yang sangat antagonistik!

Manusia mendapat infeksi daripada cacing parasit ini samada secara kebetulan iaitu semasa bekerja di lapangan sawah padi, semasa berenang atau mandi di perairan tawar atau langsung mengambil siput dewasa sebagai juadah makanan. Peluang tertinggi mendapat infeksi cacing ini lebih kepada petani di kawasan berair di sawah padi. Petani terdedah kepada peringkat paling infektif iaitu larva serkaria yang mampu menembusi tisu kulit manusia. Apatah lagi apabila mengambil siput dewasa untuk digoreng, digulai atau dikukus. Tubuh badan siput boleh mengandungi peringkat telur, mirasidia, serkaria dan sporosist dari pelbagai cacing nematod, trematod dan annelid (Rajah 2). Kesemua peringkat ini akan meneruskan kitaran hidup di dalam tubuh badan manusia sehingga ke peringkat cacing dewasa. Kebanyakkan penduduk Thailand, China dan Filipina menggemari siput gondang mentah atau yang dimasak separa mentah di mana suhu pemasakan tidak cukup untuk memusnahkan kesemua peringkat hidup parasit ini. Lalu jangkitan parasit ini akan lebih mudah bermula di tubuh badan individu berkenaan.

Apakah implikasinya apabila manusia memakan siput yang terinfeksi dengan cacing parasit ini?
Mari kita bermula dengan jangkitan yang ringan tapi merunsingkan. Apabila larva serkaria menembusi tisu kulit manusia, individu berkenaan mungkin tidak menyedarinya. Walau bagaimanapun kesan penembusan larva boleh menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan. Apabila migrasi larva ini tersekat di mana-mana bahagian kulit, ianya akan mati dan menyebabkan berlakunya tindakbalas allergik. Inilah yang dipanggil dermatitis serkaria yang menyebabkan tisu kulit menjadi sangat sensitif dengan sensasi nyeri, bengkak dan kegatalan melampau. Kadang-kalanya disertai dengan demam dan sakit kepala. Jadi, awas sekiranya anda ingin melakukan aktiviti-aktiviti di sekitar kawasan berair tawar!
Penyakit “Echinostomasis” berpunca daripada jangkitan cacing trematod (fluk darah) dari famili Echinostomatidae. Sumber jangkitan diketahui bermula dengan tabiat memakan siput yang dimasak dengan tidak sempurna. Pesakit akan menunjukkan simptom-simpton jangkitan seperti kesakitan abdomen, diarrhoea, anemik dan eosinofilia. Sekiranya seseorang mengalami jangkitan yang berat dan serius ianya akan membawa kepada kebocoran usus dan kekurangan nutrisi. Echinostoma ilocanum telah didapati menjangkiti manusia di sekitar Malaysia, Indonesia, China dan Cambodia di mana punca utama jangkitan disebabkan pengambilan diet mengandungi siput gondang, Pila scutata yang dimakan secara mentah atau dimasak separa mentah.
Larva cacing nematod, Gnathostoma spinigerum adalah parasit yang biasa ditemui di kalangan kucing dan anjing. Perumah perantara bagi cacing ini adalah terdiri daripada ikan, burung, molusk, reptilia dan amfibia. Manusia dijangkiti terutamanya daripada perumah seperti ikan dan spesies burung yang boleh dimakan. Juga, melalui najis haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Sebaik sahaja memasuki tubuh manusia, larva ini akan bermigrasi di antara tisu-tisu organ dan selalunya akan tertumpu di bahagian usus. Jangkitan di usus akan membawa kepada keradangan dan ketumbuhan sekitar usus yang menyebabkan peningkatan sel darah putih, eosinofil. Sekiranya larva memasuki organ mata dan otak, kesan jangkitan akan menjadi lebih serius. Pomacea canaliculata dan Pila ampullacea adalah antara spesies siput gondang yang merupakan perumah perantara yang paling sesuai bagi G.spinigerum.
Antara jangkitan cacing nematod yang paling endemik diketahui daripada genus Angiostrongylus. Dua spesies utama adalah Angiostrongylus cantonensis yang menyebabkan penyalit ‘eosinophilic meningitis’ di kawasan organ otak dan Angiostrongylus costaricensis yang membawa kepada sindrom gastrointestinal (salur penghazaman). Pertama kali ditemui di negara China dalam organ paru-paru tikus menyebabkan spesies ini juga dikenali sebagai “rat lungworm”. Parasit ini kemudian dikeluarkan melalui najis tikus dan menjangkiti perumah perantara melalui pemakanan yang tercemar dengan najis tikus ini. Perumah perantara bagi cacing ini meliputi diversiti haiwan seperti siput, udang, ketam, katak dan spesies-spesies reptilia. Manusia mendapat jangkitan melalui makanan yang berasaskan perumah perantara yang tidak dimasak dengan sempurna. Kadang-kala jangkitan juga berpunca dari pengambilan sayur-sayuran yang tidak dibasuh dengan bersih dan dicemari dengan larva atau telur cacing berkenaan. Penduduk Asia contohnya memang sangat menggemari sayuran ulaman mentah yang dicicah bersama sambal belacan.
Apabila memasuki sistem penghazaman manusia, telur menetas menjadi larva dan larva boleh menembusi dinding usus dan bermigrasi menggunakan sistem peredaran darah. Sekiranya larva sampai ke organ otak, ia akan tersekat dan berkelompok di situ. Penyekatan migrasi ini lama-kelamaan, akan menyebabkan kematian larva-larva cacing. Lalu, simptom keradangan otak akan timbul hasil tindak balas sistem imun individu. Larva-larva ini juga boleh bermigrasi memasuki organ mata sehingga menyebabkan berlakunya gangguan penglihatan (Rajah 3). Antara simptom-simptom jangkitan melibatkan ketegangan leher, sakit kepala, kerengsaan kulit, muntah-muntah, loya dan demam pada skala yang rendah. Jangkitan parasit ini membawa kepada penyakit “Angiostrongylisis” dengan mengambil sempena kepada nama saintifik parasit berkenaan.

Di negara Thailand, pertama kali kes melibatkan “Angiostrongylisis” direkodkan pada tahun 1955 dan jumlah kes semakin meningkat sehingga ke tahun 1968. Walau bagaimanapun, menjelang abad ke 21, statistik kes “Angiostrongylisis” semakin menurun, tetapi kes-kes baru masih tetap direkodkan berlaku sehingga kini. Kebanyakan penduduk Thailand yang dijangkiti “Angiostrongylisis” adalah terdiri daripada kalangan petani yang biasa mengambil siput gondang sebagai makanan pembuka selera sambil menikmati minuman beralkohol sebelum memulakan aktiviti pertanian. Di negara China pula, kes pertama “Angiostrongylisis” dikesan pada tahun 1978 dengan kemuncak kes jangkitan berlaku di ibu negara Beijing pada tahun 2006 dan di wilayah Dali pada tahun 2008. Siasatan yang dijalankan mengesahkan bahawa punca jangkitan adalah menu hidangan etnik yang mengandungi siput gondang mentah sebagai tarikan utama pelancongan ke wilayah berkenaan. Bagi mengelakkan epidemik ini berterusan, pihak Kerajaan China telah berusaha menyebarkan maklumat kesihatan berkaitan pemakanan siput gondang bagi meningkatkan tahap kesedaran setiap penduduknya yang berbilang etnik.
Justeru itu, berhati-hatilah sekiranya anda ingin menikmati kesedapan siput gondang sebagai juadah makanan. Pastikan semasa mencuci dan membersihkan siput, sarung tangan digunakan untuk mengelakkan jangkitan larva cacing yang mikroskopik. Proses memasak memerlukan suhu pemanasan yang tinggi supaya daging siput betul-betul masak sempurna. Ini untuk memastikan bahawa kesemua larva-larva dan telur cacing dapat dimatikan sepenuhnya. Bagi peminat tegar siput gondang, anda dinasihatkan supaya mengambil tablet ubat cacing setiap enam bulan sekali bagi mengelakkan bahaya yang bakal menanti.
RUJUKAN
Cristina Damborenea, Francisco Brusa & Lisandro Negrete (2017). Symbionts and diseases associated with invasive apple snails. Eds: Joshi, R. C., Cowie, R. H. & Sebastian, L. S. In: Biology and management of invasive apple snails, Philippine Rice Research Institute, Muñoz, Philippines, 406 pp.
Isti Mulatifah (2018). Pengaruh penambahan tepung Keong Mas (Pomacea canaliculata) dalam ransum terhadap performan produksi itik penelur local, Anas domesticus Tesis Sekolah Tinggi Penyuluhan Pertanian, Magelang 65 pp.
Morton, N. J., Britton, P., Palasanthiran, P., Bye, A., Sugo, E., Kesson, A., Ardern-Holmes, S. & Snelling, T. L. (2013). Severe hemorrhagic meningoencephalitis due to Angiostrongylus cantonensis among young children in Sydney, Australia. Clinical Infectious Diseases 57(8): 1158–1161.
Nafiu La Ode & Muhammad Amrullah Pagala (2010). Pemberian Keong Mas Pomacea sp. dalam pakan terhadap penampilan Itik Bali dan Itik Tegal. Agriplus 20(1): 36-41.
Praphathip Eamsobhana (2013). Angiostrongyliasis in Thailand: Epidemiology and laboratory investigations. Hawaii Journal of Medicine & Public Health 72(6): 28-32.
Rafael Toledo & José-Guillermo Estaban (2016). An update on human echinostomiasis. Transactions of The Royal Society of Tropical Medicine and Hygiene 110(1): 37-45.
Shan Lv, Yi Zhang, He-Xiang Liu, Ling Hu, Kun Yang, Peter Steinmann, Zhao Chen, Li-Ying Wang, Jürg Utzinger, Xiao-Nong Zhou (2009). Invasive Snails and an Emerging Infectious Disease: Results from the First National Survey on Angiostrongylus cantonensis in China. PLoS Neglected Tropical Disease 3(2): e368. https://doi.org/10.1371/journal.pntd.0000368.
Sinawat, S., Sanguansak, T., Angkawinijwong, T., Ratanapakorn, T., Intapan, P. M., Sinawat, S. & Yospaiboon, Y. (2008). Ocular angiostrongyliasis: Clinical study of three cases. Eye 22: 1446–1448. https://doi.org/10.1038/eye.2008.135
Kredit Foto : Sciencedirect