Oleh: Munirah Binti Abd Rahman & Khatijah Binti Omar
Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari UMT
Pengenalan
Sains dan teknologi merupakan bidang utama dalam kemajuan negara. Kelestarian bidang ini sangat perlu bagi menjadikan Malaysia setanding dengan negara-negara maju dan membangun yang lain. Bidang Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) di negara kita perlu diceburi oleh majoriti pelajar (60%) berbanding bidang-bidang Sains Sosial (40%) agar lebih banyak kajian, pembangunan dan inovasi dapat terhasil. Namun begitu, dewasa ini, para pelajar terutama di sekolah menengah dilihat kurang berminat untuk menceburi bidang STEM. Mereka lebih cenderung untuk menceburi bidang Sains Sosial bermula di tingkatan empat sewaktu pemilihan aliran kelas. Justeru itu, Rakan Elit Murid Intelek Terengganu (REMiT) tampil berperanan dalam membantu memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kepentingan serta peluang kerjaya dalam bidang STEM.
Rakan Elit Murid Intelek Terengganu (REMiT) merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan dalam bidang Pendidikan di Terengganu yang ditubuhkan pada tahun 2017. REMiT berperanan dalam membantu para pelajar dalam memberikan motivasi, pendedahan kerjaya serta menyediakan ‘Mentor’ kepada para pelajar mengikuti bidang pengajian masing-masing. REMiT mempunyai 4 objektif utama penubuhan. Objektif penubuhan REMiT yang pertama ialah bagi memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar melalui slot motivasi dan pendedahan kerjaya. Kedua, memberi pendedahan kepada para pelajar dalam aspek kepimpinan, berkarisma, mempunyai visi serta beretika dalam memimpin negara pada masa akan datang. Ketiga, memberi panduan kepada para pelajar cemerlang berkaitan universiti-universiti tersohor dunia seperti ‘Ivy Leagues, Oxford dan Cambridge’ dan yang keempat, menerapkan budaya ‘Give Back’ dalam diri pelajar.
Tuan Haji Hamzah Bin Kammapu merupakan Presiden REMiT. Ahli-ahli REMiT yang lain terdiri daripada golongan-golongan professional seperti pensyarah,doktor, jurutera, akauntan dan peguam yang sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat menggunakan konsep ‘Give Back’. Selain itu, program-program yang telah dijalankan oleh REMiT juga hasil kolaborasi bersama organisasi seperti Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Yayasan Terengganu (YT), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), PETRONAS, Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dan Persatuan Alumni Universiti-universiti Texas (PAUT).
Pemilihan para pelajar REMiT.
Para pelajar yang terpilih menjadi pelajar REMiT adalah berdasarkan data daripada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Pelajar-pelajar yang terpilih ini merupakan pelajar elit yang mempunyai keputusan akademik terbaik di peringkat Negeri Terengganu. Sehingga kini, REMiT sudah melalui tiga kohot pengambilan pelajar. Ambilan pertama ialah pelajar SPM tahun 2018, ambilan kedua ialah pelajar SPM tahun 2019 dan ambilan ketiga merupakan pelajar SPM tahun 2020. Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) akan terus berkolaborasi bersama REMiT demi memastikan kelestarian program. Bagi pelajar REMiT ambilan pertama, mereka telah menyambung pengajian peringkat ijazah di universiti-universiti dalam negara serta luar negara seperti di Amerika Syarikat dan Mesir dalam pelbagai bidang.
Program-program yang dijalankan oleh REMiT.
Program-program yang telah dijalankan oleh pihak REMiT adalah seperti program motivasi, pendedahan kerjaya, lawatan kerjaya serta bengkel meghadapai temuduga biasiswa dan pengajian.
Bagi program motivasi, pelajar REMiT akan mendapat suntikan semangat daripada golongan-golongan professional. Bukan hanya suntikan semangat bagi aspek kecemerlangan dalam peperiksaan SPM, malah para pelajar juga akan terus diberikan motivasi walaupun mereka telah berada di universiti samada dalam mahupun luar negara dengan program-program yang dijalankan samada secara fizikal mahupun secara dalam talian. Ahli jawatankuasa REMiT yang berada di Malaysia mahupun di luar negara seperti di Amerika akan sentiasa bersama pelajar sehingga mereka berjaya menamatkan pengajian mereka.
Program pendedahan kerjaya serta lawatan kerjaya pula dijalankan bagi memberi pendedahan kerjaya terutama dalam bidang STEM kepada para pelajar. Selain itu, program ini juga dapat menarik minat pelajar untuk menyambung pengajian dalam bidang STEM bagi peringkat ijazah dan pasca siswazah. Antara lawatan kerjaya yang telah dijalankan oleh pihak REMiT ialah lawatan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Para pelajar dapat melihat sendiri tugas kerjaya seorang doktor. Selain itu, para pelajar juga dapat berinteraksi sendiri dengan doktor-doktor pakar di hospital tersebut. Lawatan kerjaya juga dibuat di Bilik Kawalan ‘Downstream & Upstream Plant’ di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) bagi pelajar yang ingin menyambung pengaian bidang kejuruteraan. Bukan itu sahaja, para pelajar juga turut dibawa ke makmal-makmal di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk diberi pendedahan berkaitan skop bidang kerjaya sebagai penyelidik dan saintis. Bagi pelajar REMiT yang ingin menceburi bidang undang-undang, lawatan kerjaya di Mahkamah juga turut diadakan. Para pelajar dapat berinteraksi sendiri dengan peguam-peguam di Mahkamah.
REMiT juga turut membantu pelajar dalam membuat persediaan dalam meghadapi temuduga dengan mengadakan bengkel-bengkel persediaan menghadapi temuduga biasiswa dan pengajian. Panel-panel yang juga dikalangan ahli jawatankuasa REMiT akan berkongsi tips menghadapi temuduga samada temuduga untuk mendapatkan biasiswa mahupun temuduga untuk menyambung pengajian dalam bidang-bidang tertentu.
Kesimpulan.
Peranan REMiT dalam memberi pendedahan bidang STEM kepada para pelajar telah memberi impak positif kerana hampir 85% pelajar REMiT telah menyambung pengajian dalam bidang STEM. Usaha ini tidak akan berhasil tanpa kerjasama daripada semua pihak yang terlibat sepanjang program diadakan.