Penulis: Prof. Dr. Noraini Talip & Mohammad Zahid Bin Mohamad
Taman Botani Bangi, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM
‘Air mata pengantin’ mendapat namanya yang puitis kerana keindahannya sebagai pokok menjalar yang sentiasa berbunga sepanjang tahun, mekar berbentuk seakan-akan seperti hati (love), dengan gugusan bunga yang lebat seperti titisan air mata yang mengalir, terkenal dengan bunga-bunganya yang kecil dan menawan serta kemampuannya untuk tumbuh di pelbagai jenis tanah. Keindahan bunganya sering dikaitkan dengan simbolik seorang pengantin wanita yang meluahkan rasa hati, sama ada dalam kegembiraan mahupun kesedihan di hari perkahwinan, menjadikan tumbuhan ini bukan sekadar unik sebagai hiasan taman, tetapi juga lambang emosi dan makna yang mendalam.

Antigonon leptopus Hook. & Arn. ialah nama botani spesies ini daripada famili Polygonaceae yang merupakan liana atau pemanjat berkayu, pokok saka malar hijau yang invasif, berasal dari Mexico dan kini tersebar di pelbagai negara tropika dan subtropika, ke Asia Tenggara termasuk Malaysia sehingga ke India. Spesies ini mempunyai beberapa nama tempatan dan nama vernakular iaitu bunga jantung merah, bunga pengantin dan coratilla (Amerika). Merupakan spesies tumbuhan pemanjat yang hidup sepanjang tahun dengan kitaran silih berganti antara fasa berbunga, berbuah dan vegetatif. Bunganya mempamerkan ciri diantesis, dioesi temporal dan xenogami fakultatif, sekali gus menunjukkan pergantungan penuh kepada agen pendebungaan. Bunganya juga bersifat cepat merambat. Terdapat dua varieti yang paling popular ialah varieti bunga merah jambu dan varieti bunga putih.

Agen atau vektor pendebungaan bagi spesies ini bersifat rambang dan tidak khusus, banyak jenis serangga datang kepada bunganya, termasuklah Anthophiles lidah pendek. Antara serangga lain yang mengunjungi air mata pengantin ialah lebah, kelulut, tebuan, lalat, rama-rama, kupu-kupu dan thrips, dengan lebah menjadi agen pendebunga yang paling berjaya.

Ciri Morfologi
Pokok liana atau pemanjat yang boleh mencapai kepanjangan sehingga lebih daripada 10 meter, bergantung kepada keadaan persekitarannya. Batangnya walaupun berkayu tetapi bersifat melentur, berwarna hijau kecoklatan, dan mempunyai trikom atau bulu halus, daunnya berbentuk jantung segi tiga hingga ovat, berukuran 6–8 cm dengan tekstur yang agak kasar. Bentuk daunnya juga seakan-akan bentuk hati atau tombak, dengan tepi daun yang beroambak, serta terdapat tendril atau sulur paut untuk memanjat. dengan sulur yang mencapai panjang antara 8–15 m pada hujung rasem pembungaan. Sulurnya bertangkai langsing, manakala bunganya kecil dan berkelompok, dengan warna yang pelbagai daripada merah jambu hingga putih, dan kelopak bunga berbentuk bulat yang menyerupai air mata.

Habitat dan Keperluan Persekitaran
Spesies ini gemar tumbuh di kawasan yang menerima cahaya matahari penuh, namun masih boleh tumbuh di kawasan yang sedikit teduh. Hidup lebih subur pada tanah yang kaya dengan bahan organik, mempunyai saliran yang baik, dan mempunyai pH yang agak neutral hingga sedikit berasid. Memerlukan penyiraman yang sederhana, tetapi air berlebihan harus dielakkan kerana boleh menyebabkan akar reput. Walaupun pokok ini tahan terhadap cuaca panas dan kering, namun tetap memerlukan kelembapan yang tinggi sesuai untuk pertumbuhan yang optimum. Namun, sekiranya tidak dikawal, spesies ini mampu tumbuh dengan pantas menutupi tumbuhan lain serta merebak melampaui kawasan asalnya. Setelah membiak, tumbuhan ini sukar dimusnahkan kerana mempunyai akar umbi yang banyak dan berupaya membiak secara vegetatif. Buahnya pula bersifat apung, membolehkan penyebaran biji benih berlaku dengan mudah melalui air.

Pembiakan dan Penjagaan
Pembiakan bagi spesies ini boleh dilakukan melalui dua cara iaitu melalui semaian biji benih dan juga pembiakan vegetatif melalui keratan batang. Pembiakan melalui keratan batang lebih cepat dan lebih mudah kerana keratan batang muda biasanya akan mengeluarkan akar dalam beberapa minggu jika diletakkan di tanah yang lembap. Pemangkasan juga sangat penting untuk mengekalkan bentuk pokok, menggalakkan pertumbuhan dan membuang bahagian pokok yang mati atau rosak. Melalui penjagaan yang betul, A. leptopus boleh berkembang subur, memberikan keindahan landskap yang berpanjangan. Gabungan dua jenis pembiakan ini merupakan adaptasi penting yang menyokong kelangsungan hidup air mata pengantin.
Simbolisme dan Penggunaan dalam Budaya
Bunga air mata pengantin digunakan dalam perkahwinan sebagai simbol cinta di kebanyakan negara di Asia Tenggara, selari dengan bunga-bunganya yang dianggap seperti air mata kebahagiaan yang jatuh semasa hari istimewa tersebut. Bunga juga digunakan dalam hiasan majlis perkahwinan, terutamanya untuk bunga hiasan meja atau bunga dalam jambangan.

Perubatan Tradisional dan Nilai Etnoperubatan
Selain daripada terkenal dengan keindahan daun dan bunganya, spesies ini juga mempunyai potensi ubatan. Bahagian akar dan daun, digunakan dalam perubatan tradisional oleh masyarakat tempatan di Malaysia kerana dikatakan mempunyai sifat anti-radang dan digunakan untuk merawat masalah kulit serta gangguan pencernaan seperti sakit perut dan gangguan usus. Namun, penggunaan pokok ini dalam perubatan moden masih terhad, dan kajian yang lebih terperinci diperlukan untuk mengesahkan keberkesanannya. Di samping itu, walaupun digunakan dalam rawatan tradisional, kesan sampingan dan dos yang betul perlu diambil kira.
Kajian juga menunjukkan spesies ini mempunyai kegunaan perubatan. Berdasarkan kajian terdahulu spesies ini mempunyai potensi biologi yang penting kerana mempunyai radikal bebas dan bertindak sebagai agen antikanser. A. leptopus mempunyai potensi sebagai sumber untuk pembangunan ubat antikanser pada masa hadapan. Kajian kandungan fitokimia dan aktiviti farmakologi tumbuhan ini menunjukkan kehadiran pelbagai fitokimia utama seperti alkaloid, sebatian fenolik, saponin, triterpenoid dan glikosida, selain sebatian khusus termasuk trihidroksi benzaldehid, asid ferulik, quercetin-3-rhamnoside, antrakuinon, β-sitosterol dan kaempferol-3-glucoside.
Berdasarkan kajian, nilai etnoperubatan spesies ini ialah, boleh digunakan untuk merawat sakit, batuk, diabetes, gangguan dermatologi, selesema dan masalah gastrousus. Pelbagai bahagian tumbuhan telah dikaji dan menunjukkan bioaktiviti seperti antimikrob, antioksidan, hepatoprotektif, analgesik, anti-radang, sitotoksik serta antidiabetik. Selain itu, nano zarah yang disintesis menggunakan ekstrak A. leptopus turut memperlihatkan potensi antimikrob, antioksidan dan sitotoksik.
Kajian lain pula menunjukkan kehadiran komponen fitokimia dan sifat biologi rumpai. Saringan fitokimia ekstrak daun dengan methanol memperlihatkan kehadiran saponin, sebatian fenolik, tanin, flavonoid, alkaloid, minyak tetap dan asid amino. Sehubungan itu, 12 komponen fitokimia telah dianalisis dan dicirikan oleh GC-MS. Aktiviti antibakteria dinilai terhadap ikan dan patogen klinikal. Patogen ikan, Providencia vermicola (MTCC 5578) dan Aeromonas hydrophila (MTCC 646) lebih sensitif terhadap ekstrak daun metanol berbanding patogen klinikal. Maklumat berguna yang diperolehi daripada fitokimia daun akan membuka laluan kepada aplikasi untuk merawat penyakit ikan dan untuk kegunaan dalam bidang farmaseutikal. Ekstrak daun juga mempamerkan potensi aktiviti anti-trombin dan anti-diabetes.
Nilai Pemakanan
Ubi dan bunganya dimakan sebagai makanan di beberapa bahagian dunia. Bahagian udara, termasuk bunga, digunakan dalam penyediaan teh yang digunakan sebagai ubat sejuk. Kajian menunjukkan kualiti makanan berfungsi menghalang peroksidasi lipid (LPO) sebanyak 89% dan enzim siklooksigenase, COX-1 dan COX-2 masing-masing sebanyak 50.4% dan 72.5%, pada 250 μg/ml. Walaupun spesies ini adakalanya hanya seperti tumbuhan yang tumbuh liar tetapi sebenarnya adalah tumbuhan saka dengan ubi yang boleh dimakan sama dengan saiznya seperti telur yang bersaiz kecil. Di Thailand, daunnya digoreng bersalut tepung dan bunga dihidangkan bersama mee selain diletakkan dalam telur dadar. Teh panas yang disediakan daripada bahagian udara tumbuhan ini, digunakan untuk rawatan batuk dan sakit tekak di Jamaica dan dianggap sebagai salah satu tumbuhan ubatan yang penting dalam perubatan rakyat negara tersebut.
Tumbuhan Hiasan Landskap dan Rekaan Taman
Spesies airmata pengantin sangat sesuai sebagai tanaman landskap kerana mempunyai pelbagai nilai estetik dan praktikal, dan kerana nilai tersebut spesies ini sesuai dijadikan:
- Penutup dinding dan pagar kerana boleh merambat dengan cepat, sangat sesuai untuk menutupi dinding kosong atau pagar yang tidak menarik.
- Tanaman merambat yang cantik dengan bunganya yang mempunyai warna yang menarik dan keindahannya menjadi spesies ini salah satu pilihan utama untuk pokok pemanjat pada pegola dan gerbang.
- Penyeri taman yang memberi warna yang menarik pada kebun atau taman, terutamanya dengan bunga merah jambu dan putih yang menonjol.
- Tanaman tutup bumi yang bertujuan menutupi tanah yang lapang sebagai penutup tanah, membantu mengurangkan pertumbuhan rumpai.

Penyakit dan Serangga Perosak
Spesies ini juga boleh diserang oleh pelbagai jenis penyakit dan serangga perosak. Beberapa serangga perosak yang biasa ditemui adalah kutu daun dan kutu putih, yang boleh melemahkan pokok jika dibiarkan tanpa kawalan. Selain itu, pokok ini juga terdedah kepada penyakit reput akar, terutamanya apabila pengairan secara berlebihan berlaku. Pencegahan dan kawalan boleh dilakukan dengan memangkas bahagian yang terjejas dan menggunakan semburan organik untuk mengawal serangan perosak. Mengawal kelembapan tanah adalah kunci utama untuk mencegah reput akar.
Kajian Lanjutan
Kajian lanjut diperlukan untuk memahami potensi spesies ini sepenuhnya. Kajian fitokimia tentang kandungan bioaktif yang boleh memberikan manfaat kesihatan, seperti sebatian flavonoid dan alkaloid, perlu dilakukan. Penyelidikan lanjut mengenai teknik pembiakan dan pengurusan pertumbuhannya pula akan membantu dalam pengeluaran tanaman ini secara komersial, meningkatkan kualiti dan hasilnya untuk industri holtikultur dan landskap.
Pokok air mata pengantin bukan sahaja merupakan pilihan popular dalam landskap negara-negara tropika dan subtropika, tetapi juga membawa simbol yang mendalam dalam budaya tempatan. Dengan bunga yang cantik, sifat merambat yang cepat, dan kemudahan penjagaan, menjadikannya pilihan utama bagi taman-taman yang ingin menambah elemen warna dan estetika. Selain daripada nilai estetikanya, pokok ini juga mempunyai potensi dalam perubatan tradisional, dan kajian lebih lanjut masih diperlukan untuk membuktikan manfaat perubatannya secara ilmiah. Oleh itu potensi spesies ini sebagai sumber etnoperubatan dan sumber baharu untuk pembangunan agen farmaseutikal sewajarnya diambil serius. Spesies tumbuhan ini juga disarankan diperkenalkan secara sistematik ke dalam industri hortikultur di kawasan tropika dan dipantau dengan teliti bagi mengelakkan penyebarannya secara tidak terkawal.
Rujukan
Abrol, D.P. 2003. Antigonon leptopus. Bee World 84(2):86–87. https://doi.org/10.1080/0005772X.2003.11099580
Aluri, J., Soloman, R., Kanaka, V.R., Victor, P. & Appala, N.S. 2001. Floral ecology, breeding system and pollination in Antigonon leptopus L. (Polygonaceae). Plant Science Biology 16(2):159-164.
Balasubramani, G., Ramkumar, R. & Krishnaveni, N. 2015. Structural characterization, antioxidant and anticancer properties of gold nanoparticles synthesized from leaf extract (decoction) of Antigonon leptopus Hook. & Arn. Journal of Trace Elements in Medicine and Biology 30: 83-89.
Burke, J.M. & DiTommaso, A. 2017. Corallita (Antigonon Leptopus): Intentional Introduction of A Plant With Documented Invasive Capability. Invasive Plant Science and Management. Cambridge: Cambridge University Press.
Govindasamy, B., Paramasivam, D., Rajamani, S., Rajendiran, R. & Pachiappan, P. 2014. Antigonon leptopus: a potent biological source for extermination of fish bacterial pathogens Providencia and Aeromonas. Natural Product Research 29 (10) https://doi.org/10.1080/14786419.2014.957696
Mulabagal, V., Ruby, L., Alexander, L., David, L., DeWitt, M. & Nair, G. 2008. Functional food components of Antigonon leptopus tea. Food Chemistry 106 (2): 487-492.
Prashith, K. & Raghavendra, H.L. 2018. Medicinal uses, phytochemistry and pharmacological activities of Antigonon leptopus Hook. and Arn. (Polygonaceae): A Review. Journal of Chemical and Pharmaceutical Research 10(2):103-110.




