Penulis : Profesor Madya Dr Nazri Mustaffa
Pakar Perunding Perubatan Gastroenterologi dan Hepatologi, Jabatan Perubatan Penyakit Dalam,
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
Penyakit Radang Usus, atau Inflammatory Bowel Disease (IBD), merangkumi dua keadaan utama iaitu kolitis ulseratif (Ulcerative Colitis – UC) dan penyakit Crohn (Crohn’s Disease – CD). Kedua-dua penyakit ini melibatkan keradangan kronik pada salur penghadaman akibat tindakan sistem imun badan tidak terkawal yang menyerang tisu pada sistem gastrousus. Walaupun berbeza dari segi corak kerosakan dan kawasan sistem gastrousus yang terlibat, kedua-dua keadaan ini melibatkan keradangan berpanjangan dan boleh membawa kepada komplikasi serius jika tidak dirawat.
Di Malaysia, kesedaran tentang IBD masih rendah berbanding negara Barat. Namun, kajian menunjukkan yang bilangan kes IBD baharu di negara ini dilaporkan semakin meningkat sejak dua dekad yang lepas. Terkini, anggaran bilangan kes baharu di Malaysia setiap tahun adalah 7 orang bagi setiap 1 juta penduduk; jika dianggarkan jumlah keseluruhan penduduk di Malaysia adalah 35 juta orang maka pada tahun ini sahaja terdapat pertambahan 245 pesakit IBD baharu. Peningkatan ini telah dikaitkan dengan perubahan gaya hidup dan corak pemakanan moden, berlatarbelakangkan faktor genetik dan juga persekitaran. Ini menjadikan IBD satu isu kesihatan yang semakin penting untuk difahami dan ditangani memandangkan bilangan kes akan bertambah, selari dengan pembangunan negara yang makin pesat.

Punca dan Mekanisme Penyakit
IBD berlaku apabila sistem imun aktif yang tidak terkawal menyerang organ gastrousus serta bahagian badan yang lain. Mekanisme sebenar belum difahami sepenuhnya, namun beberapa faktor utama dikenal pasti. Dari segi faktor genetik, seseorang yang mempunyai sejarah keluarga IBD mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit ini. Ketidakseimbangan sistem imun juga memainkan peranan dalam IBD. Tindak balas sistem imun secara berlebihan, contohnya terhadap bakteria lazim yang hadir dalam usus boleh menyebabkan dinding usus radang secara berterusan. Kehadiran organisma-organisma tertentu dalam sistem penghadaman, dikenali sebagai mikrobiota usus (gut microbiota) juga telah dihubungkaitkan dengan IBD. Perubahan atau gangguan flora usus memainkan peranan penting dalam mencetuskan keradangan. Faktor persekitaran dan gaya hidup, contohnya pemakanan yang mempunyai kandungan lemak tinggi, makanan yang telah diproses secara berlebihan (ultra-processed food), tabiat merokok, penggunaan antibiotik atau tekanan hidup semuanya telah disabitkan sebagai pencetus IBD. Gabungan antara faktor-faktor ini akan menyebabkan keradangan berterusan yang boleh membawa kepada perubahan struktur dan fungsi usus.
Kesan dan Komplikasi Penyakit
IBD yang tidak dirawat akan membawa kepada keradangan sistem gastrousus yang progresif serta mengakibatkan komplikasi jangka panjang. Keradangan melampau pada sistem gastrousus juga boleh melibatkan sistem badan yang lain terutamanya pada sendi dan otot, dikenali sebagai artritis dan artralgia. Keradangan ini juga akan menyebabkan pesakit mengalami demam. Gangguan usus dalam kes UC dan CD akan menyebabkan seseorang mengalami gejala kesakitan perut serta kerap membuang air besar. Namun, bagi penyakit UC contohnya, ulser pada usus besar boleh menyebabkan pendarahan; pesakit sering mengadu bahawa najis mereka bercampur dengan darah. Kes UC yang lebih serius boleh membawa kepada kegagalan fungsi usus besar (toxic megacolon) yang memerlukan pembedahan kecemasan jika pesakit semakin tenat. Keradangan usus besar yang berpanjangan juga akan meningkatkan risiko kanser usus. Bagi penyakit CD pula, ia boleh terjadi pada mana-mana bahagian sistem penghadaman bermula dari mulut hingga ke penghujung usus besar. Keradangan boleh berlaku di beberapa lokasi berbeza pada masa yang sama sepanjang saluran penghadaman, contohnya di bahagian usus kecil serta besar. Radang dan luka ulser berpanjangan akan mengakibatkan parut pada lapisan dinding sistem penghadaman, menyebabkan saluran menyempit (stricture). Keradangan ini juga boleh menembusi dinding usus sehinggakan ia bercantum dengan organ lain, situasi yang dikenali sebagai fistula. Radang berterusan pada penghujung usus besar juga boleh mengganggu tisu dan otot di sekeliling saluran najis menyebabkan rekahan kulit (perianal fissure), jangkitan kuman bernanah juga mudah terjadi (perianal abscess).
Seperti dinyatakan, keradangan berterusan bukan sahaja melibatkan sistem gastrousus; ia juga boleh menyebabkan masalah kesihatan sistemik seperti hilang selera makan dan penurunan berat badan, kekurangan sel darah merah, osteoporosis dan keletihan melampau. Apa yang dirisaukan, pesakit IBD sering mengetepikan simptom penyakit dan menangguhkan pemeriksaan atas banyak alasan sehinggalah situasi semakin kritikal. Pada masa yang sama, pesakit yang berjumpa dengan doktor sering dilabel sebagai mempunyai penyakit gastrik atau cirit-birit disebabkan keracunan makanan dan hanya disyaki mempunyai IBD selepas mengalami gejala yang berpanjangan.
Kaedah dan Ujian Pengesahan
Untuk masa ini tidak ada ujian khusus untuk pengesahan IBD. Berdasarkan aduan pesakit yang disyaki menghidap penyakit ini, pemeriksaan fizikal akan dilakukan terlebih dahulu. Tahap kesihatan keseluruhan, demam atau tidak, muka dan tangan yang pucat, sakit-sakit pada sendi atau bahagian perut adalah antara perkara yang diperiksa. Namun, pengesanan IBD memerlukan kombinasi beberapa jenis ujian bagi memastikan tiada punca lain yang menyebabkan gejala radang usus contohnya penyakit TB. Lazimnya, ujian darah akan dilakukan untuk menilai tahap sel darah merah serta keradangan. Ujian darah untuk kehadiran TB juga boleh dilakukan. Selain dari itu, ujian najis seperti faecal calprotectin berguna untuk mengukur tahap radang usus; ujian ini sering digunakan untuk membezakan IBD dgn sindrom usus rengsa (Irritable Bowel Syndrome – IBS).
Namun, untuk mengesahkan IBD seseorang pesakit perlu menjalani pemeriksaan endoskopi gastrousus. Gastroskopi dilakukan untuk memeriksa sistem gastrousus dari mulut, esofagus, perut sehingga permulaan usus kecil; kolonoskopi pula bertujuan untuk menilai penghujung usus kecil, keseluruhan usus besar sehinggalah ke salur najis. Dalam kes-kes tertentu yang memerlukan pemeriksaan usus kecil secara khusus, endoskopi kapsul atau enteroskopi boleh dilakukan. Endoskopi adalah kaedah utama untuk melihat keadaan permukaan dalam saluran gastrousus, pada masa yang sama sampel tisu boleh diambil untuk pemeriksaan histologi bagi menentukan jenis dan tahap keradangan.
Penggunaan pengimejan radiologi juga penting untuk membantu dalam pengesahan penyakit serta komplikasi IBD. Untuk permulaan, pemeriksaan X-ray abdomen boleh digunakan. Selain dari ini, pemeriksaan ultrabunyi usus (Intestinal Ultrasound), CT-scan atau MRI abdomen serta MR enterografi adalah antara kaedah radiologi lain yang sering digunakan untuk melihat dan menilai tahap kerosakan usus. Sebagai contoh, usus yang radang akan membengkak, menyebabkan penebalan serta peningkatan pengaliran darah pada dinding usus yang kemudiannya boleh dirakam serta dinilai. Kehadiran stricture, fistula dan abscess juga boleh dipastikan melalui kaedah-kaedah radiologi ini.
Rawatan
IBD memerlukan rawatan perubatan khusus kerana ia melibatkan sistem imun yang terlalu aktif. Rawatan bertujuan untuk mengurangkan keradangan, mengekalkan kesembuhan, dan mencegah komplikasi. Secara amnya, ubat yang digunakan adalah untuk mengurangkan radang usus. Sebagai contoh, ubat berasaskan 5-aminosalicylate berguna untuk penyakit UC. Namun, keradangan yang lebih tinggi memerlukan ubat-ubatan yang lebih efektif. Ubat steroid sering digunakan, namun penggunaan jangka panjang tidak digalakkan kerana dikhuatiri berlakunya komplikasi ubatan steroid. Selain dari ini ubatan immunomodulator juga boleh diberikan untuk mengurangkan aktiviti sistem imun berlebihan.
Walau bagaimanapun, hakikatnya ubat-ubat ini kurang berkesan dalam kalangan pesakit IBD yang mempunyai penyakit yang lebih agresif. Pada masa ini, terdapat banyak pilihan selain rawatan farmaseutikal konvensional bagi IBD. Ubatan biologik yang berasaskan antibodi, atau ubatan molekul kecil boleh digunakan untuk merawat kes IBD yang lebih teruk.
Pada masa yang sama, pembedahan masih lagi diperlukan untuk keadaan tertentu. Kes-kes kecemasan yang memerlukan tindakan rawatan yang pantas, atau pesakit yang menunjukkan kegagalan rawatan perubatan adalah antara contoh-contoh situasi yang memerlukan pembedahan. Kehadiran stricture, fistula atau abscess juga mungkin perlu dibedah.
Walaupun bukan rawatan utama, perubahan gaya hidup boleh membantu memperbaiki kualiti hidup. Mengamalkan pemakanan diet yang seimbang, berhenti merokok, pengurusan stres serta pemantauan kesihatan secara berkala adalah antara perkara-perkara penting yang boleh dilakukan. Penglibatan pakar gastroenterologi, pakar bedah, pakar pemakanan serta pakar psikologi atau kaunselor sangat membantu untuk melancarkan keberkesanan rawatan.
Penyakit Radang Usus atau IBD merupakan keadaan kronik yang memerlukan perhatian, pemantauan, dan rawatan berterusan. IBD, yang merangkumi kolitis ulseratif (UC) serta penyakit Crohn (CD) membawa risiko kerosakan sistem gastrousus jangka panjang jika tidak dikawal.
Kesedaran masyarakat perlu ditingkatkan agar pesakit lebih awal mendapatkan rawatan, seterusnya mencegah komplikasi, meningkatkan kualiti hidup, dan mengelakkan kerosakan usus kekal. Pendekatan multidisiplin melibatkan pakar gastroenterologi, pakar pemakanan, dan sokongan psikososial adalah penting untuk pengurusan rawatan yang berkesan.




