Oleh : Ts. Dr. Mohd Shaiful Sajab
Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Kebangsaan Malaysia

Buat masa ini, sebilangan besar plastik yang digunakan secara komersial dihasilkan dari sumber yang tidak dapat diperbaharui. United Nations (UN) melaporkan, berdasarkan arah aliran pengeluaran plastik sehingga menjelang tahun 2050, industri dijangka memerlukan sejumlah 20% dari penggunaan minyak mentah bagi menampung permintaan global. Kegunaan plastik secara umumnya banyak digunakan bagi pembungkusan iaitu merangkumi 40% berbanding kegunaan lain seperti barang keperluan, pembangunan, pertanian, tekstil, automotif dan banyak lagi. Namun dianggarkan 60% plastik tersebut akhirnya berakhir di tempat pembuangan sampah atau persekitaran.
Manakala, laporan yang dihasilkan oleh World Wildlife Fund (WWF) pada 2019 menunjukkan Malaysia antara negara yang tertinggi dalam penggunaan plastik setiap tahun sehingga mencecah 16.78 kg bagi setiap individu. Ia memberi kesan yang besar apabila kadar kitaran semula yang diamalkan oleh rakyat Malaysia masih rendah berbanding sisa yang tehasil saban tahun. Tambahan lagi, laporan The World Bank Group menunjukkan hanya 24% plastik dikitar semula. Ia berdasarkan statistik plastik utama di Malaysia seperti polietilena tereftalat (PET), polietilena berketumpatan tinggi (HDPE), polietilena berketumpatan rendah (LDPE) dan polipropilena (PP). Keadaan yang membimbangkan ini telah mendesak kerajaan merancang ke arah kelestarian yang lebih menyeluruh melalui Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 bagi mengurangkan pencemaran plastik.
Antara penyelesaian segera yang dilaksanakan buat masa ini adalah dengan penggunaan plastik mudah rosot secara tindak balas okso. Ia mampu mempercepatkan kadar pemerosotan plastik berbanding plastik biasa. Namun, penghasilan mikroplastik daripada keluaran sampingan daripada proses pemerosotan plastik mampu menyebabkan ancaman yang lebih besar terhadap alam sekitar jika tidak dikendalikan dengan baik terutamanya kepada hidupan akuatik.
Artikel Berkaitan – Penerokaan Polimer Berasaskan Bio Sebagai Bahan Dalam Teknologi Pembuatan Bahan Tambahan
Pengurusan sisa melalui pemulihan dan rawatan semestinya perlu dilaksanakan sehabis mungkin, namun proses serta bahan suapan perlu dilihat secara terperinci bagi mengelakkan sisa plastik tertiris daripada rantaian proses yang tidak terkawal. Kita perlu kembali semula kepada antara prinsip asas bagi kimia dan kejuruteraan hijau, iaitu ‘pencegahan berbanding merawat’. Keutamaan dalam menghalang terjadinya sisa dalam sesuatu proses mesti diambil perhatian serius berbanding merawat sisa yang terhasil kepada rantaian sesuatu proses. Kelestarian plasik perlu mengambil kira sumber bahan suapan yang boleh diperbaharui tanpa merosakkan alam sekitar, berpotensi untuk dikitar semula secara mekanikal dan organik serta mudah biorosot dalam persekitaraan tanpa penggunaan tenaga yang tinggi.
Bioplastik secara asasnya merupakan plastik sama ada yang terhasil daripada bahan berasaskan organisma hidup, boleh biorosot, atau kedua-duanya. Antara bioplastik yang mempunyai kedua-dua sifat tersebut adalah asid polilaktik (PLA), polihidroksialkanoat (PHA), polibutilena suksinat (PBS), polibutilena adipat tereftalat (PBAT), campuran polimer dari kanji dan selulosa. Oleh sebab itu, penggunaan sisa dari pelbagai sumber kepada bioplastik adalah antara fokus utama dalam penukaran hijau dan kelestarian plastik dalam jangka masa yang panjang. Antara tarikan penghasilan bioplastik melalui suapan yang boleh diperbaharui adalah pemuliharaan persekitaraan, pengurangan sisa yang kurang dimanfaatkan dan berpotensi biorosot dan produk yang lebih selamat.
Antara cadangan utama bagi memastikan kelestarian plastik adalah memastikan kitaran hidup produk berada dalam kitaran tertutup. Elemen 3R, Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula) dan Recycle (Kitar Semula) memain peranan penting dalam memastikan sifar sisa. Kitaran mekanikal masih merupakan kitaran utama bagi memastikan produk boleh digunakan semula. Kadar kitar semula plastik secara mekanikal yang rendah antara sandaran kepada strategi lain yang perlu disokong bagi memastikan tiada ketirisan karbon keluar dalam kitaran tertutup. Tambahan lagi, sifat plastik yang boleh terjejas selepas beberapa kitaran terbatas kepada produk akhir hayat (EOL).
Kebiasaannya, pilihan akhir bagi EOL produk untuk plastik yang boleh biorosot adalah melalui kitaran semula organik secara pencernaan anaerob. Kitaran semula organik mampu menghasilkan blok pembangunan polimer atau pelopor polimer bagi menghasilkan semula kimia atau bahan suapan penghasilan plastik. Melalui kaedah ini, kebergantungan kepada bahan mula daripada sumber utama juga dapat dikurangkan. Selain itu, keluaran sampingan juga boleh digunakan sebagai tenaga dalam industri yang sama serta kompos bagi kitaran sumber biojisim. Walaubagaimanapun, keadaan persekitaran yang baik juga perlu diambil kira dalam proses pemerosotan plastik. Jika tanpa kawalan yang baik dan hanya bergantung kepada persekitaran semula jadi, kadar pemerosotan mungkin lebih perlahan berbanding persekitaran terkawal.
Penggunaan plastik boleh biorosot secara menyeluruh dilihat sebagai peluang kedua kita bagi menutup ruang pencemaran plastik yang tidak berkesudahan. Kita perlu mengambil peluang ini secara agrasif dan menjadikan ia satu-satunya pilihan yang kita ada. Benarlah ungkapan daripada Setiausaha UN, General Ban Ki-Moon, “There is no ‘Plan B’ because we do not have a ‘Planet B.’ We have to work and galvanize our action.”
Bibliografi
Ts. Dr. Mohd Shaiful Sajab adalah pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses dan Ketua Sub-bidang (Bahan Pintar & Mampan) di Pusat Penyelidikan Teknologi Proses Mampan (CESPRO), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau adalah graduan UKM tahun 2009 dengan Ijazah Sarjanamuda dalam bidang Sains Bahan. Kemudian beliau melanjutkan pengajian Sarjana Sains dan Doktor Falsafah dalam bidang yang sama dan menerima ijazah pada tahun 2014. Kini, bidang kepakaran dan tumpuan beliau tertumpu kepada pembangunan bahan mampan dan terfungsi daripada biosumber tempatan untuk pelbagai aplikasi untuk kegunaan industri dan komuniti.
Kredit Foto : Magda Ehlers dari Pexels