Artikel ke-15 kerjasama antara MajalahSains dan Young Scientists Network (YSN)-Akademi Sains Malaysia (ASM)
____________________________________
Oleh: P.M. Ir. Dr. Rosdiadee Nordin, Ahli YSN-ASM
Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia
Konflik dunia bermula apabila manusia sering bertelagah merebut sumber semulajadi yang terhad di bumi ini, hingga melupakan kesan bukan sahaja kepada manusia, malahan kepada hidupan disekeliling kita dan membantutkan tamadun sesebuah negara. Sains juga kadangkala disalaherti untuk tujuan buruk. Sebagai contoh pembangunan senjata menggunakan teknologi nuklear, dan pada masa yang sama tenaga nuklear sebenarnya dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga elektrik. Kecerdasan buatan digembar-gembur membawa mudarat di dalam filem sains fiksyen, walhal usaha pembangunan tertumpu kepada memperbaiki kehidupan manusia. Kesedaran yang rendah menyebabkan dasar dan polisi tidak mengambil kira aspek sains, seperti yang berlaku di Amerika Syarikat pada hari ini di mana kesan rumah hijau dianggap sebagai ‘tahyul’ dan ‘konspirasi’ oleh pihak-pihak tertentu.
Ini menimbulkan kerisauan di kalangan komuniti saintis sedunia tentang kesan pada generasi akan datang jika keamanan dan kelestarian tidak menjadi dokongan dalam aktiviti penyelidikan komuniti sains. Menyedari hakikat ini, World Science Forum (WSF), diasaskan oleh UNESCO dan The Hungarian Academy of Sciences dengan tujuh organisasi antarabangsa lain berkaitan sains, seperti Royal Scientific Society Jordan, selaku tuan rumah dan International Council for Science (ICSU), di mana Akademi Sains Malaysia merupakan salah satu organisasi bersekutu di bawah ICSU, telah bersetuju untuk menganjurkan forum ini di Jordan.

Jordan dipilih oleh kerana negara ini terletak di benua Asia yang mengalami pelbagai konflik; melibatkan ketidakstabilan politik, kekurangan sumber semulajadi, lebihan populasi dan juga wabak disebabkan oleh kemasukkan pelarian perang. Jordan memerlukan sains untuk menyelesaikan masalah ini. Ini merupakan kali pertama WSF membuat penampilan di benua Asia dan tema forum pada tahun ini ialah ‘Sains untuk Keamanan’.
Forum dihadiri sekitar 3,900 delegasi serata dunia yang datang daripada pelbagai latar belakang seperti saintis, pembuat dasar, pemenanga Anugerah Nobel dan tokoh industri.
Hari Pertama – Sains untuk Keamanan
Hari pertama WSF 2017 menyaksikan ucaputama daripada Prof. Dr. Michio Kaku, seorang ahli fizik teori yang terkenal dengan ramalan sains & teknologi akan datang melalui penulisan dan penampilan di media massa.
Menurut Michio, sains membantu merapatkan jurang pemahaman sesama manusia. Hukum sains bukan hak individu mahupun mana-mana negara; sains bersifat universal untuk semua. Internet di hujung jari mampu meluaskan ilmu seseorang, dan daripada ilmu tersebut, ia mempromosi keamanan dan sebagai senjata untuk menegakkan mereka tertindas. Negara miskin melonjak bangun dengan sains; mereka tidak perlu untuk menghubungkan rangkaian telekomunikasi di antara bandar melalui kabel oleh kerana kemajuan teknologi membenarkan sambungan rangkaian melalui antena gelombang mikro untuk komunikasi jarak jauh.
Prof Michio Kaku menyatakan kebuluran, ketidakadilan & kekurangan merupakan enjin peperangan. Namun, sains mampu menangani perang jika manusia manfaatkan teknologi tersebut. Lebih mudah untuk memulakan perang dengan mereka yang kita tidak kenali. Dengan perkembangan Internet yang wujud dalam pelbagai bentuk di era Internet Pelbagai Benda (Internet of Things; IoT), manusia lebih mudah untuk memahami sesama mereka, lantas menerima perbezaan budaya melalui toleransi. Di akhir ucapan, Michio menyimpulkan bahawa masa hadapan milik mereka yang bijak pandai dan sentiasa ingin tahu.

Seterusnya diikuti oleh ucapan Duli Yang Teramat Mulia, Puteri Sumaya bint El Hassan, Pengerusi World Science Forum merangkap Presiden, Royal Scientific Society Jordan.
“Perjumpaan kita di lokasi paling rendah di Bumi ini merupakan perjumpaan penting untuk masa hadapan kita, di mana keamanan perlu dibina melalui sains, inovasi dan keterangkuman. Baginda percaya sains dan ilmu digunakan untuk mewujudkan peluang, memperbaiki kehidupan dan yang penting sekali, membuka hati dan minda”.
Berikut merupakan ucapan daripada beberapa organisasi antarabangsa yang mempunyai peranan besar dalam memajukan sains & teknologi:
“Sudah tiba masanya untuk pelbagai disiplin sains berkerjasama dan bersatu, termasuk sains sosial. Sains merupakan kuasa besar untuk pembangunan lestari, mendorong keamanan dan menyelesaikan pelbagai masalah dunia”, ucapan daripada Irina Bokova, Ketua Pengarah, UNESCO.
“Dua minggu lepas menyaksikan lonjakkan terbesar dalam sejarah sains, apabila dua badan utama dunia, iaitu sains sosial dan sains asasi bersetuju untuk bergabung, di mana lebih 90% daripada ahli bersetuju untuk gabungan tersebut. Ini membenarkan saintis serata dunia melakukan aktiviti penyelidikan dengan lebih fokus untuk menyelesaikan permasalahan dunia”, Gordon McBean, Presiden, International Council for Science (ICSU). Gabungan ini juga telah di utarakan oleh Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak di dalam artikel terdahulu beliau, bertajuk ‘STEM: Mana Akarnya?‘.
Forum ini dilancarkan dengan ucaptama daripada Duli Yang Teramat Mulia, Putera El Hassan Bin Talal. Baginda juga merupakan pengerusi, Higher Council for Science and Technology of Jordan dan pengasas Royal Scientific Society of Jordan.
“Penggerak utama pembangunan sesuatu tamadun ialah sains. Mempersoalkan sains ibarat mempersoalkan keperluan tamadun”.
Menurut baginda, masalah Muslim pada masa kini bukan pada penerimaan sains, tetapi penerimaan kepada kemodenan. Baginda bertitah bahawa kemodenan perlu dikecapi oleh semua manusia secara saksama. Mereka di Yemen, Rohingya dan Somalia sepastinya tidak menghargai kemodenan oleh kerana pergolakan yang mereka alami kini. Baginda berkongsi kerisauan beliau pada tahun 1990-an, dimana komputer bakal mengambil alih tugas manusia. Ternyata kerisauan baginda berasas, oleh kerana dron dan peranti canggih sudah boleh diaturcara pada beribu kilometer jauh untuk membunuh manusia di rantau Arab pada hari ini.
Satu analogi menarik yang digunakan baginda ialah bilangan penerbitan manuskrip penyelidikan daripada seluruh benua Arab (13,444) masih tidak mampu untuk mengatasi penerbitan daripada Harvard University (15,455). Baginda menekankan bahawa keutamaan, sumber kewangan dan kemampuan setiap organisasi ataupun benua masih lagi berbeza. Konflik serantau pula semakin mengeruhkan keadaan. Untuk mengatasi masalah ini, inisiatif melibatkan usahasama pelbagai negara Arab dan rentas benua sedang dilaksanakan. Di penghujung ucapan, baginda menyeru kepada penyelidik seluruh dunia dengan melontarkan cabaran untuk menyuntikkan unsur kemanusiaan di dalam nombor, persamaan dan rajah-rajah daripada ujikaji makmal.
Sessi petang menyaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau sebagai ahli panel untuk sessi forum berkaitan kesepaduan melalui pendidikan sains. Beliau berkongsi kajian Malaysia Outlook yang dilakukan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM), di mana salah satu dapatan utama ialah topik sains disampaikan dengan kaedah tradisional, lantas menyebabkan pudarnya minat dikalangan pelajar sekolah. Untuk mengatasi masalah ini, pendekatan dalam pendidikan sains melalui kaedah Inquiry-Based Science Education (IBSE) sedang dilaksanakan.

Hari Kedua – Teknologi: Perang atau Keamanan?
Hari kedua dimulakan dengan sessi bertajuk kecerdasan buatan dalam menyelesaikan krisis dunia. Teknologi kecerdasan buatan bukanlah sesuatu yang baharu; bermula daripada mesin Turing yang diperkenalkan pada 1936 diikuti kemunculan Deep Blue yang menewaskan Kasparov pada 1997 dalam pertandingan catur dan hari ini kemunculan DeepMind oleh Google untuk aplikasi permainan dan kesihatan.
Sweitze Roffel daripada Elsevier menyuarakan kekecewaan beliau dengan salah anggap umum kepada teknologi kecerdasan buatan yang dimanipulasikan dalam filem sains fiksyen dan media massa. Salah satu salah anggap umum ialah bagaimana ianya boleh mengubah seseorang manusia kepada manusia luar biasa. Kecerdasan buatan hanya ditugaskan dan dilatih untuk mahir kepada tugasan tertentu pada sesuatu masa sahaja.
“Kita tidak boleh urus atau mengawal selia sesuatu perkara yang kita masih lagi tidak fahami”
Beliau menyimpulkan bahawa teknologi kecerdasan buatan bukan sesuatu yang menakutkan, apa berlaku sekarang terlalu digembar-gembur (overhype) dan yang penting sekali, kecerdasan buatan ialah teknologi yang bakal membantu kehidupan harian manusia, bukan mengganti tugasan manusia.
Sessi petang mengetengahkan isu berkaitan hijrah bijak pandai (brain drain). Salah seorang ahli panel ialah Prof. Dr. Cheong Sok Ching daripada Cancer Research Malaysia, ahli kehormat Young Scientists Network (YSN) dan juga Pengerusi Bersama TWAS Young Affiliate Network (TYAN). Cheong Sok Ching banyak terlibat dengan beberapa projek penyelidikan berprestij antarbangsa bersama institusi ternama seluruh dunia di dalam bidang kanser kepala dan leher. Oktober baru ini, beliau telah dinobatkan sebagai Top Research Scientists Malaysia (TRSM) daripada ASM.
Daripada pengalaman beliau, dana penyelidikan dengan kitar hayat singkat dan tugasan pentadbiran menyebabkan keseronokkan kepada penyelidikan pudar. Ini bukan sahaja menyumbang kepada hijrah bijak pandai, malahan secara halus mematikan sesuatu topik penyelidikan dan mengurangkan bilangan pakar bidang di sesuatu negara untuk tempoh panjang. Peluang kerjaya terhad selepas tamat PhD mendorong saintis untuk berhijrah ke negara lebih maju dengan tawaran kerjaya lebih menarik. Selain daripada itu, sistem sokongan untuk memulakan kerjaya selepas tamat PhD masih tidak wujud lagi.

Hijrah bijak pandai juga berlaku di negara maju. Menurut Sierd Cloetingh, President European Cooperation in Science & Technology (COST), terdapat beberapa pemenang hadiah nobel yang berhijrah daripada Eropah ke Amerika Syarikat semenjak dua dekad lepas. Cabaran kepada Eropah ialah bagaimana untuk mewujudkan peluang dan tawaran penyelidikan yang menarik di benua sendiri.
Namun, Jozef Ritzen, felo UN University-MERIT Maastricht (Belanda) menyatakan bahawa hijrah bijak pandai akan sentiasa meningkat oleh kerana faktor ketidakstabilan politik dan jaringan sesama penyelidik di seluruh dunia yang semakin meluas. Antara punca-punca lain yang dibahaskan oleh ahli-ahli panel ialah kurangnya sokongan intelektual, tawaran gaji tidak setimpal, prospek kerjaya tidak jelas, birokrasi dan diskriminasi yang masih wujud di beberapa negara membangun.
Sessi ditamatkan dengan mengakui bahawa hijrah bijak pandai merupakan cabaran utama, namun mustahil untuk menghentikan hijrah bijak pandai oleh kerana persaingan dalam membangunkan sains pada hari ini dilihat daripada sudut global; bukan setempat lagi.
Hari Ketiga – Peranan Saintis Muda Mencapai Diplomasi
Sessi utama pada hari ketiga ialah perbincangan mengenai peranan saintis muda dalam mencapai keamanan dunia. Kerisauan kepada kerjaya saintis muda timbul oleh kerana mereka merupakan golongan yang masih tidak kukuh dari sokongan untuk membangun kerjaya. Rangkaian pada peringkat global perlu dicapai supaya komuniti saintis dapat memahami perbezaan budaya pada negara asal saintis muda.
Menurut Abier Amarin, Pengarah CRDF Global- MENA di Jordan, antara cabaran yang perlu dihadapi oleh saintis muda adalah capaian kepada dana penyelidikan yang terhad, ketidakseimbangan jantina, pergolakan di rantau menyebabkan tiada capaian kepada teknologi dan ilmu saintifik terkini, birokrasi yang membantut kemajuan penyelidikan dan tiadanya interaksi dengan dunia luar, lantas menyebabkan berlakunya penghijrahan bijak pandai.
Daripada perbincangan, ekosistem kemahiran saintis muda boleh dikelaskan kepada beberapa perkara; seperti komunikasi sains, proaktif dalam mewujudkan peluang kepada diri sendiri, keserakanan, daya tahan, memanfaatkan sumber sedia ada dan membina kapasiti diri.
Delegasi begitu tersentuh dengan gambar yang dikongsikan oleh Prof Dr. Yusuf Baran daripada Abdullah Gul University. Gambar menunjukkan seorang pencuci yang begitu kusyuk menatapi poster saintifik di sebuah persidangan, tanpa menghiraukan keadaan sekeliling beliau. Imej tersebut mengingatkan komuniti saintis untuk memudahkan penyampaian ilmu melalui komunikasi sains berkesan.
Pengasingan daripada komuniti antarabangsa boleh di atasi melalui sains rentas sempadan dalam mempromosi diplomasi. Dua panelis daripada Cyprus, Simge Davulcu dan Myrtani Pieri berkongsi perjalanan mereka dalam mengatasi sempadan politik dengan memanfaatkan sumber negara mereka. Dua identiti utama Cyprus, buah citrus dan bunga dimanfaat untuk pemprosesan minyak wangi dalam meningkatkan pemahamam STEM di salah satu pekan yang terasing di Cyprus, iaitu Nicosia. Kenalan antarabangsa melalui Global Young Academy (GYA) digunakan dalam membantu melaksanakan aktiviti STEM berdasarkan perkongsian pengalaman saintis benua lain.
Ola El Zein, daripada World Association of Young Scientists, Arab Region (WAYS) berkongsi pengalaman beliau menaikkan kerjaya selepas mengalami beberapa siri kegagalan dan bagaimana tekanan politik dan ketidakstabilan di benua Arab membantut gandingan penyelidikan rentas benua.
Forum untuk saintis muda disimpulkan dengan pesanan, sebagai saintis, banyakkan penggunaan dakwat dan kertas bagi mengurangkan bilangan peluru dan senjata yang memusnahkan hidup manusia.

Hari Keempat – Melonjak Kitar Inovasi
“Tiada kekurangan bijak pandai dalam dunia ini”, menurut Omar Yaghi daripada University of Berkeley dan penerima Stars of Science Jordan dalam bidang kimia. Ini mendorong beliau untuk memulakan globalisasi sains melalui Berkeley Global Science Institute (BGSI). Sebuah makmal daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), dikenali sebagai Foundry of Reticular Materials for Sustainability (FORMS) merupakan antara 17 makmal di seluruh dunia yang terlibat di dalam inisiatif IBGSI untuk menglobalkan sains.

Daripada pengalaman beliau, sumber kewangan bukan masalah utama – asalkan wujud keserakanan dalam penyelidikan. Sains sentiasa berubah mengikut peredaran masa – lantas ianya mengubah persamaan, kaedah penyelidikan, ilmu malahan mencabar teori sedia ada. Melalui konsep pementoran, beliau berkongsi bagaimana menyelesaikan masalah kekurangan dana di King Fahd University of Petroleum and Minerals, Arab Saudi dengan melakukan perubahan pada kaedah penyelidikan berdasarkan sumber sedia ada di universiti tersebut. Salah satu prinsip pementoran beliau ialah ‘buat bagi jadi’ (make it happen).
Omar Yaghi menamatkan sessi dengan menyatakan bahawa terdapat banyak minda ‘lapar’ di luar sana, dan mereka sanggup bekerja keras, asalkan diberi peluang dan harapan melalui globalisasi sains.
Saintis Sebagai Duta Diplomasi
Saya amat berterima kasih kepada penaja, InterAcademy Partnership (IAP) di atas peluang untuk mewakili YSN untuk forum tahun ini. Peluang digunakan dengan berkenalan dengan penyelidik di dalam bidang telekomunikasi dan pelbagai disiplin lain, menjejak semula mantan pelajar PhD yang kini bertugas di Jadara University dan juga memahami budaya penyelidikan daripada pelbagai negara. Kami diberi peluang untuk melawat University of Jordan untuk potensi penyelidikan dengan institusi penyelidikan dan pengajian tinggi di Malaysia. Kami disambut oleh Presiden University of Jordan, Prof. Dr. Zaid Baqain sewaktu lawatan di sana.

Perkongsian amalan terbaik dan usaha murni di luar makmal yang dilakukan oleh saintis-saintis di seluruh dunia dalam mempromosi sains kepada umum begitu menyentuh hati saya. Antara usaha-usaha yang dilakukan adalah melalui komunikasi sains kepada umum, sukarelawan dalam mendidik anak-anak pelarian perang, pementoran rentas sempadan politik dan usaha sekumpulan saintis yang menggunakan semula peralatan penyelidikan daripada negara maju kepada negara dunia ketiga.
Apa yang mengkagumkan saya ialah bagaimana Jordan mampu membangun di tengah padang pasir dengan sumber semulajadi yang begitu terhad dan pergolakan politik di negara-negara jiran. Saya juga terinspirasi dengan peranan kerabat diraja Jordan dalam membangunkan sains dan teknologi di Jordan. Puteri Sumaya, selaku pengerusi Royal Science Society di Jordan begitu aktif dalam membangunkan institusi pendidikan, tawaran dana penyelidikan dan mewujudkan gandingan penyelidikan antarabangsa dengan negara-negara luar.
Segala pengalaman dan ilmu yang diperolehi daripada forum ini amat berguna dalam memperbaiki kualiti penyelidikan saya, meningkatkan keterampilan dan keterlibatan saya dalam beberapa organisasi di luar seperti MajalahSains dan Young Scientists Network (YSN) yang mempunyai peranan dalam mempromosi sains untuk keamanan Malaysia.
