Friday, November 13, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Senyuman di Era Media Sosial: Adakah Trend Remaja Mengancam Kesihatan Mulut?

Senyuman di Era Media Sosial: Adakah Trend Remaja Mengancam Kesihatan Mulut?

Editor by Editor
13/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Oleh: Dr. Noraida Binti Mamat @ Mohd Yusuff
Pakar Pergigian Pediatrik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia,
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia

Senyuman dalam Dunia Digital

Media sosial kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian remaja. Selain menjadi ruang untuk berkomunikasi dan berhibur, platform ini turut menjadi tempat mereka mendapatkan maklumat tentang kesihatan, penampilan dan gaya hidup. Kandungan berkaitan pergigian daripada petua mendapatkan gigi lebih putih dan pengalaman memakai pendakap gigi sehinggalah ulasan produk penjagaan mulut boleh ditemui dengan mudah. Penyelidikan menunjukkan bahawa media sosial semakin memainkan peranan dalam penyebaran maklumat kesihatan mulut kepada remaja.[1]

Namun, apabila sesuatu kandungan mendapat perhatian ramai, adakah itu bermakna maklumat tersebut tepat dan selamat untuk diamalkan? Perkongsian pengalaman, promosi produk dan maklumat berasaskan sains boleh muncul dalam ruang yang sama. Kajian terhadap kandungan pergigian di media sosial menunjukkan bahawa kualiti maklumat yang tersedia boleh berbeza-beza.[2] Keadaan ini menimbulkan persoalan penting: sejauh manakah remaja dapat membezakan antara sesuatu yang sedang tular dengan maklumat kesihatan yang boleh dipercayai?

Trend Estetik: Apabila Penampilan Menjadi Keutamaan

Dalam dunia media sosial yang sangat visual, penampilan sering menjadi sebahagian daripada cara seseorang menampilkan dirinya. Foto swafoto, video pendek dan kandungan transformasi memberikan perhatian khusus kepada wajah dan senyuman. Dalam persekitaran sebegini, kandungan yang memaparkan gigi lebih putih, tersusun atau berubah selepas sesuatu prosedur estetik boleh mencetuskan minat terhadap penampilan gigi.

Trend ini dapat dilihat melalui kandungan mengenai pemutihan gigi, pendakap gigi, clear aligners, transformasi senyuman, veneer dan pelbagai dental hacks. Di media sosial, prosedur estetik seperti ini sering dipersembahkan melalui gambar atau video sebelum dan selepas yang memberi tumpuan kepada hasil visual.

Namun, gambaran senyuman di media sosial tidak seharusnya menjadi ukuran tentang bagaimana gigi seseorang “sepatutnya” kelihatan. Warna, bentuk dan susunan gigi secara semula jadi boleh berbeza antara individu. Penampilan juga hanyalah satu aspek kesihatan mulut. Keinginan mengubah penampilan gigi tidak seharusnya menyebabkan kesihatan gigi dan gusi diketepikan.

Begitu juga, video transformasi, testimoni atau jumlah tanda suka tidak membuktikan bahawa sesuatu petua, produk atau prosedur sesuai untuk semua orang. Sorotan sistematik terhadap kandungan ortodontik di media sosial mendapati banyak kandungan yang dinilai mempunyai kekurangan dari segi kualiti, ketelitian saintifik dan sokongan sumber yang boleh dipercayai.[2]

Oleh itu, apabila trend estetik pergigian muncul di media sosial, persoalan yang lebih berguna bukan sama ada senyuman seseorang kelihatan seperti senyuman yang sedang popular, tetapi “Adakah pilihan ini sesuai dan baik untuk kesihatan mulut saya?”

Trend Makanan dan Minuman: Tular, tetapi Bagaimana dengan Gigi?

Minuman manis, minuman tenaga, pencuci mulut dan makanan yang menarik secara visual mudah mendapat perhatian di media sosial. Bagi remaja, kandungan sebegini boleh mencetuskan keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu atau sedang tular. Dari sudut pergigian pula, kandungan gula dan corak pengambilannya perlu diberi perhatian.

Bakteria dalam plak menggunakan gula daripada makanan dan minuman lalu menghasilkan asid. Pendedahan berulang kepada asid ini boleh menyebabkan kehilangan mineral daripada struktur gigi dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan karies.[3]

Hubungan antara media sosial dengan pemakanan juga lebih luas daripada sekadar perkongsian gambar makanan. Persekitaran digital digunakan untuk memasarkan pelbagai makanan dan minuman. WHO telah memberi perhatian kepada pendedahan kanak-kanak dan remaja kepada pemasaran digital produk yang boleh menjejaskan kesihatan, termasuk makanan yang tinggi kandungan gula.[4]

Ini tidak bermakna semua makanan yang tular perlu dielakkan. Sebaliknya, memahami kesannya terhadap kesihatan membolehkan remaja membuat pilihan secara lebih sedar dan tidak semata-mata mengikut apa yang sedang popular.

 Trend Penjagaan dan Rawatan: Membezakan Fakta dengan Maklumat Mengelirukan

Video pengalaman memakai pendakap gigi, perkongsian mengenai clear aligners, ulasan produk dan petua penjagaan gigi menjadikan maklumat pergigian semakin mudah dicapai. Keadaan ini boleh memberikan manfaat kerana remaja berpeluang mengenali sesuatu prosedur dan menyediakan soalan sebelum mendapatkan nasihat profesional.

Namun, pengalaman seseorang tidak semestinya merupakan nasihat kesihatan yang sesuai untuk semua orang. Keadaan gigi dan mulut berbeza antara individu, khususnya apabila melibatkan diagnosis atau rawatan.

Dalam konteks ini, kemunculan pendakap gigi palsu, veneer gigi palsu dan rawatan pergigian yang dilakukan oleh individu tidak bertauliah perlu diberi perhatian. Rawatan tanpa penilaian klinikal yang betul dan pemantauan profesional boleh meningkatkan risiko masalah pada gigi dan gusi, termasuk kerosakan pada struktur gigi, keradangan gusi atau perubahan kedudukan gigi yang tidak terkawal. Selain itu, masalah yang timbul mungkin tidak dikenal pasti atau ditangani dengan sewajarnya apabila rawatan dilakukan tanpa pengawasan profesional pergigian. Kandungan media sosial yang hanya memaparkan hasil akhir pula mungkin tidak memberikan gambaran lengkap tentang risiko tersebut.

Begitu juga dengan produk penjagaan mulut. Sebelum menerima sesuatu dakwaan, pengguna boleh bertanya: Apakah fungsi produk tersebut? Apakah bukti yang menyokong dakwaannya? Siapakah yang memberikan maklumat itu? Adakah individu tersebut mempunyai kelayakan yang berkaitan? Adakah kandungan tersebut mempunyai unsur promosi?

Pada masa yang sama, terdapat amalan penjagaan mulut yang mempunyai asas bukti yang kukuh. Sebagai contoh, sorotan Cochrane menyokong penggunaan ubat gigi berfluorida dalam pencegahan karies.[5]  Prinsipnya mudah: nilai sesuatu produk atau rawatan berdasarkan bukti dan sumbernya, bukan popularitinya.

 Trend Tingkah Laku: Apabila Sesuatu Kelihatan Normal

Media sosial juga boleh mempengaruhi persepsi tentang sesuatu tingkah laku. Vape merupakan salah satu contoh yang relevan. WHO menyatakan bahawa pemasaran digital produk tidak sihat kepada golongan muda turut merangkumi produk seperti rokok elektronik.[4]

Namun, pendedahan kepada sesuatu kandungan tidak bermaksud setiap remaja yang melihatnya akan melakukan tingkah laku yang sama. Pilihan remaja turut dipengaruhi oleh keluarga, rakan sebaya, pengetahuan, pengalaman dan persekitaran mereka.

Apa yang penting ialah keupayaan untuk bertanya: Siapakah yang menghasilkan kandungan tersebut? Adakah terdapat kepentingan komersial? Adakah risiko kesihatan turut diterangkan? Sesuatu yang sering dilihat dalam talian mungkin kelihatan biasa, tetapi biasa tidak semestinya bermaksud selamat.

Media Sosial Bukan Semestinya Musuh

Melihat media sosial semata-mata sebagai ancaman juga tidak memberikan gambaran yang lengkap. Platform yang sama boleh menjadi medium pendidikan kesihatan yang mudah dicapai oleh remaja. Video pendek, infografik dan kandungan interaktif boleh digunakan untuk menerangkan penjagaan kebersihan mulut, kepentingan fluorida dan kesan pengambilan gula yang kerap.

Sorotan kajian yang diterbitkan pada tahun 2025 mengenai media sosial dan kesihatan mulut remaja mengenal pasti 17 kajian. Penemuan yang dihimpunkan menunjukkan bahawa media sosial mempunyai potensi untuk menyokong literasi dan tingkah laku kesihatan mulut dalam kalangan remaja, walaupun penyelidikan lanjut masih diperlukan.[1]

Justeru, persoalan sebenar bukan sama ada media sosial itu “baik” atau “buruk”, tetapi apakah kualiti maklumat yang disampaikan dan bagaimana remaja menilainya.

 Literasi Kesihatan Digital: Popular atau Boleh Dipercayai?

Dalam dunia yang dipenuhi maklumat, remaja bukan sahaja perlu mengetahui cara menjaga gigi, tetapi juga cara menilai maklumat kesihatan. Di sinilah pentingnya literasi kesihatan digital.

Sebelum mempercayai sesuatu kandungan, beberapa soalan mudah boleh ditanyakan: Siapakah yang menghasilkan maklumat tersebut? Apakah bukti yang diberikan? Adakah sumbernya boleh diperiksa? Adakah individu yang memberikan nasihat mempunyai kelayakan yang berkaitan? Adakah kandungan itu bertujuan mendidik atau mempromosikan sesuatu?

Remaja juga perlu memahami batas maklumat dalam talian. Kandungan pendidikan boleh membantu seseorang memahami sesuatu isu, tetapi tidak menggantikan pemeriksaan klinikal apabila diagnosis atau rawatan diperlukan.

Literasi kesihatan digital bukan bermaksud menolak semua maklumat di media sosial. Sebaliknya, ia membantu remaja menjadi pengguna yang lebih kritis: lihat kandungannya, periksa sumbernya dan nilai dakwaannya. Utamakan maklumat daripada sumber yang berautoriti seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, institusi kesihatan dan pergigian yang diiktiraf, organisasi kesihatan antarabangsa, jurnal saintifik serta profesional pergigian yang berkelayakan. Jika sesuatu maklumat melibatkan diagnosis atau rawatan, dapatkan pengesahan daripada profesional pergigian yang sesuai.

Senyuman Sihat dalam Era Media Sosial

Jadi, adakah trend media sosial benar-benar mengancam kesihatan mulut remaja? Jawapannya tidak semudah “ya” atau “tidak”. Media sosial boleh mempengaruhi maklumat dan persepsi, tetapi platform yang sama juga boleh digunakan untuk pendidikan kesihatan.

Cabaran sebenarnya ialah membantu remaja membuat keputusan berdasarkan bukti dan bukan semata-mata populariti. Senyuman yang sihat tidak ditentukan oleh apa yang sedang tular, jumlah tanda suka atau gambaran “sempurna” di skrin. Ia dibina melalui pengetahuan yang tepat, amalan penjagaan yang baik dan keputusan kesihatan yang berasaskan bukti.

Dalam era media sosial, kemahiran yang penting bukan sekadar mengetahui apa yang sedang menjadi trend, tetapi mengetahui apa yang benar-benar baik untuk kesihatan.

Rujukan

[1] Murugeshappa D, Dahlan R, Perez A, Gow G, Amin M. (2025). Social media use and adolescent oral health: A scoping review. Digital Health.

[2] Gutierrez-Pérez E, Zamora-Martínez N, Tarazona-Álvarez B, García-Sanz V, Paredes-Gallardo V. (2024). Is the quality of the orthodontic information in social media platforms reliable?: A systematic review. Journal of the American Dental Association, 155(10), 845–857.

[3] World Health Organization. Sugars and dental caries. World Health Organization.

[4] World Health Organization Regional Office for Europe. Monitoring and restricting digital marketing of unhealthy products to children and adolescents. World Health Organization.

[5] Walsh T, Worthington HV, Glenny AM, Marinho VCC, Jeroncic A. (2019). Fluoride toothpastes of different concentrations for preventing dental caries. Cochrane Database of Systematic Reviews, 3, CD007868.

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: HPSUMkesihatan mulutNoraida Binti Mamatpenjagaan gigipenjagaan mulutPusat Pengajian Sains Pergigian Hospital Pakar USMtrend cantik di media sosialtrend remaja media sosial
Previous Post

Ramalan Risiko Kemalangan Berasaskan Data Pergerakan Kenderaan Individu

Next Post

Memahami Konsep Ujian Saringan Kanser: Ketepatan, Salah Faham, dan Rasional Saintifik

Editor

Editor

Related Posts

Kecederaan Tangan dalam Sukan Boling dan Pencegahannya
Berita & Peristiwa

Kecederaan Tangan dalam Sukan Boling dan Pencegahannya

50 minutes ago
Vaksin Kayap: Mampukah Menjadi Perisai Baharu Menentang Demensia?
Berita & Peristiwa

Vaksin Kayap: Mampukah Menjadi Perisai Baharu Menentang Demensia?

54 minutes ago
Memahami Konsep Ujian Saringan Kanser: Ketepatan, Salah Faham, dan Rasional Saintifik
Berita & Peristiwa

Memahami Konsep Ujian Saringan Kanser: Ketepatan, Salah Faham, dan Rasional Saintifik

57 minutes ago
Ramalan Risiko Kemalangan Berasaskan Data Pergerakan Kenderaan Individu
Berita & Peristiwa

Ramalan Risiko Kemalangan Berasaskan Data Pergerakan Kenderaan Individu

1 day ago
Next Post
Memahami Konsep Ujian Saringan Kanser: Ketepatan, Salah Faham, dan Rasional Saintifik

Memahami Konsep Ujian Saringan Kanser: Ketepatan, Salah Faham, dan Rasional Saintifik

Kategori Produk

  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In