Oleh: Dr Noorzamzarina binti Sulaiman
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan
Kejadian tanah runtuh merupakan fenomena yang sering berlaku di negara kita sejak tahun 1990-an lagi. Menurut Rundell (2002), tanah runtuh ditakrifkan sebagai runtuhan tanah dan batuan yang besar ke bawah kaki gunung atau cerun yang curam. Namun terdapat juga kes-kes tertentu yang berlaku tanah runtuh di kawasan bercerun landai. Menurut The American Heritage (2000) pula mentafsirkan tanah runtuh sebagai gelongsoran ke bawah jisim separuh kering tanah atau batuan.
Tanah runtuh boleh berlaku akibat daripada beberapa faktor iaitu antaranya ialah faktor semula jadi, faktor aktiviti manusia dan faktor masa. Antara faktor semula jadi termasuklah faktor graviti, luluhawa dan hakisan serta jumlah hujan yang berterusan pada setiap tahun. Namun, ia adalah bergantung kepada masa bagi membolehkan kegagalan cerun terjadi seterusnya menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Menurut kajian oleh Batterson et al. (1999), mereka menyatakan pergerakan tanah runtuh sering berlaku apabila perlapisan batuan, tanah atau salji bergerak ke bawah akibat daripada tarikan graviti dan potensi ketidakstabilan cerun pula sering dikaitkan dengan tindakan manusia yang membangunkan sesuatu kawasan khususnya di kawasan kaki cerun. Selain itu, pergerakan tanah cerun merupakan proses yang normal tetapi boleh juga berlaku gangguan proses. Aktiviti pergerakan cerun adalah disebabkan oleh daya tarikan gravity, yang mana semua objek akan jatuh ke bawah akibat daripada tarikan daya graviti. Kenyataan ini disokong oleh Gerhenson dan Greenberg (1963) yang menyatakan bahawa terdapat pengaruh graviti terhadap objek berat. Berdasarkan pada kenyataan ini maka pergerakan batuan dan tanah–tanih di kawasan cerun adalah berdasarkan hukum graviti dan tidak mutahil boleh berlaku runtuhan cerun yang mana proses ini adalah merupakan proses semula jadi.
Proses luluhawa ke atas tanih atau batuan pada cerun akan menyebabkan ia menjadi lebih lemah, yang mana proses luluhawa tertumpu pada bahagian sepanjang satah batuan (Khairuddin Abd. Karim, 1998). Pergerakan jisim tertumpu pada proses luluhawa dalam zon bahan tidak koheren yang tebal dan rendah kekuatan ricihannya, tinggi pula nisbah liangnya serta kandungan lempungannya di kawasan tropika lembap (Ismail Ahmad, 1987). Kesimpulannya, kesan luluhawa permukaan tanih dan batuan di kawasan cerun boleh melemahkan batuan terutamanya pada bahagian garisan lemah seterusnya mengakibatkan runtuhan cerun berlaku.
Proses hakisan yang berlaku akibat daripada titisan air hujan dan larian air permukaan juga boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh. (Jamaluddin Md. Jahi, 1989) menegaskan bahawa hakisan air di cerun melibatkan dua kejadian yang berturutan iaitu pemisahan partikel dan pengangkutan ke tempat lain. Proses ini akan membawa kepada kejadian runtuhan cerun terutama sekali cerun yang terletak di kawasan tanah tinggi yang lemah.
Kejadian hujan lebat dan berterusan juga boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh khususnya kawasan tanah tinggi yang sensitif. Hal ini berlaku akibat daripada proses hakisan yang pesat disamping proses pemisahan partikel yang tinggi seperti yang dinyatakan oleh kajian Jamaluddin tadi. Menurut (National Disaster Education Coalition, 1999, runtuhan cerun juga dikaitkan dengan kejadian hujan lebat dan juga pencairan salji dalam jangka waktu yang lama. Sebagai kesimpulan, jelas bahawa kejadian hujan lebat dan juga pencairan salji juga boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh.
Faktor bentuk muka bumi dan geologi sangat signifikan dengan proses kejadian tanah runtuh. Lobeck (1981) menyatakan bahawa dalam proses kejadian tanah runtuh yang berlaku dengan serta–merta dikaitkan dengan bentuk rupa bumi kawasan tersebut serta struktur geologi yang membentuk rupa bumi kawasan berkenaan. Bentuk rupa bumi adalah merujuk pada cerun kerana tanah runtuh boleh dikaitkan dengan ketinggian serta sudut kecerunan tertentu yang membolehkan terjadinya tanah runtuh dan memang tidak dapat dinafikan tentang struktur batu–batan di kawasan berkenaan yang sememangnya signifikan pada kestabilan cerun atau sebaliknya.
Aktiviti manusia adalah faktor utama penyebab berlakunya tanah runtuh yang umum sedia maklum. Di antara aktiviti manusia adalah melibatkan pembangunan infrastruktur seperti lebuhraya dan kawasan penempatan baru yang semakin pesat. Selain itu, kesan pencerobohan tanah bagi kegunaan pertanian di atas cerun juga akan menyebabkan kestabilan cerun semakin rendah. Menurut (Lowenthal, 1965), tindakan manusia ke atas alam sekitar sangat jelas, yang mana beliau menyatakan bahawa cara manusia melihat dan menggunakan permukaan bumi mempunyai kesan hebat terhadap permukaan bumi. Manakala di kawasan padat penduduk, perkembangan penempatan di kawasan cerun–curam tidak dapat dielakkan (Selby, 1988). Dalam pada itu, proses pembangunan di kawasan ini membawa pada kegagalan cerun akibat daripada kerja–kerja pembinaan yang melibatkan pembuangan tanah di bahagian bawah cerun yang mengurangkan sokongan bagi tanih di bahagian atas cerun ditambah dengan kemasukan air tambahan yang boleh mencetuskan kejadian tanah runtuh.
Faktor masa merupakan perkara terpenting dalam penentuan proses kejadian tanah runtuh. Faktor yang saling berhubung kait ini ditentukan oleh faktor masa. Bagaimana masa memainkan peranan ini diterangkan oleh (Terzaghi, 1950). Beliau telah membahagikan penyebab tanah runtuh kepada dua bahagian iaitu sebab luaran dan juga sebab dalaman. Penyebab luaran yang dimaksudkan ialah faktor penyebab yang menghasilkan peningkatan aktiviti kikisan seperti perubahan geomatrik, pengeluaran bahan bahagian kaki cerun, penambahan kecerunan puncak, kejutan dan gegaran dan perubahan sistem pengairan. Manakala sebab dalaman pula ialah aktiviti yang menghasilkan pengurangan daya tahan kikisan.
Masyarakat kita perlu sedar bahawa kejadian tanah runtuh ini akan memberi kesan negatif dalam kehidupan mereka. Antara kesan negatif terhadap manusia adalah kematian serta kerugian harta benda. Selain daripada itu, kemusnahan sistem pengangkutan juga akan menyebabkan gangguan kepada pergerakan masyarakat sebagai contoh apabila berlakunya kegagalan cerun dan bongkah batu atau tanah yang runtuh dan menghalang laluan kenderaan untuk meneruskan kehidupan seharian. Hal ini juga boleh menyebabkan ekonomi kawasan terlibat terjejas.
Tanah runtuh boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu yang berskala kecil dan berskala besar. Negara kita digemparkan dengan kejadian tebing sungai runtuh di Kampung Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas Kelantan pada 16 Februari 2021 baru-baru ini. Hal ini telah menyebabkan beberapa rumah penduduk di sekitar kawasan runtuhan turut sama roboh. Fenomena tanah runtuh ini sudah menjadi kebiasaan berlaku di negara kita lebih-lebih lagi selepas musim tengkujuh. Terdapat beberapa faktor penyumbang utama kejadian tanah atau tebing runtuh ini termasuklah lereng bukit yang curam, pembangunan infrastruktur di atas cerun, pembukaan tanah atau penebangan hutan serta saliran yang tidak mencukupi.

Kejadian tanah runtuh juga turut berlaku di Taman Gambang Damai, Gambang Pahang pada 5 Januari 2021. Kejadian ini telah memusnahkan dua buah rumah dan mengakibatkan sejumlah 59 orang penduduk di taman tersebut untuk mengosongkan kediaman mereka. Hal ini adalah disebabkan oleh pergerakan tanah di kawasan cerun akibat daripada aliran air hujan yang berterusan selama beberapa hari berturut-turut.

Rujukan
https://www.sinarharian.com.my/article/124248
https://www.malay.news/dua-rumah-runtuh-disebabkan-pergerakan-tanah
https://www.scribd.com/doc/255743650
American Heritage. (2000). Dictionary of the English Language, Fourth Edition. Boston, Massachueatts : Houghton Mifflin Company.
Batterson M., Liverman D.G.E., Ryan J. dan Taylor D. (1999). The Assessment of Geological Hazards and Disasters in Newfoundland. Government of Newfoundland and Labrador, Department of Mines and Energy, Geological Survey, Newfoundland.
Gerhenson D.E. dan Greenberg D. A, (1963). The Natural Philosopher. Jil. 2.New York: Blaisdell.
Ismail Ahmad. (1987). Geomorfologi Tropika : Kajian mengenai luluhawa dan perkembangan bentuk bumi di kawasan iklim panas. Kuala Lumpur: DBP.
Jamaluddin Md. Jahi. (1989). Pengantar Geomorfologi. Kuala Lumpur & Kementerian Pendidikan Malaysia, pp 144.
Khairuddin Hj. Abd. Karim. (1998). Geologi Untuk Jurutera Awam. Universiti Teknologi Malaysia.
Lobeck A.K. 1981. Geomorfologi Pengenalan Kepada Pandangan Darat. Kuala Lumpur: pp 117.
Lowenthal, D. (Ed.).(1965). Man And Nature By George Perkins Marsh. Harvard University Press.
National Disaster Education Coalition. (1999). Landslide and Debris Flow (Mudslide): What Are Landslides and Debris Flows, and What Causes Them? Diakses dari http://www.disastercenter.com/guide/landslide.html
Rundell, M. (Ed.). (2002). Macmillan English Dictionary For Advanced Learners.Oxford : Macmillan Publisher Limited.
Selby M. J. (1988). “ Cerun dan luluhawa.”. Manusia Dan Proses Persekitaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia.pp 133.
Terzaghi, K. (1950). Mechanisms Of Landslides. Geological Society of America, Berkley, 83-123.
Kredit Foto : thestar