Oleh: Dr. Amin Rukaini Mustafa
Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)
Felo Penyelidik, Centre of Excellence for Biomass Utilisation, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)
Pengenalan
Kemajuan sains dalam bioteknologi pada zaman kini telah membolehkan pelbagai jenis kaedah baru dibangunkan untuk menyelesaikan masalah yang wujud dalam masyarakat. Tahukah anda bahawa salah satu aplikasi teknologi yang telah banyak memberikan pelbagai sumbangan kepada peradaban masyarakat ialah teknologi kultur sel? Kultur sel merupakan satu kaedah makmal yang biasanya digunakan oleh para saintis untuk mengembang biak sel-sel sama ada daripada sumber tumbuhan atau haiwan dalam persekitaran fisiologi yang terkawal. Sel-sel tersebut perlu ditempatkan dalam media tertentu yang mengandungi nutrien bersesuaian dan proses pembiakan ini dilakukan secara in vitro (di luar tubuh organisma induk tersebut) tetapi keadaan persekitarannya ‘ditiru’ agar mampu menyamai keadaan seperti di dalam tubuh badan organisma induk (Echalier,1997). Hasil daripada pelaksanaan kaedah ini, sel-sel tertentu dapat dibiakkan tanpa memerlukan tubuh asal haiwan atau tumbuhan induk. Pernahkah anda terdengar akan pengunaan teknologi kultur sel dalam penghasilan baka pokok pisang? Teknologi ini sudah lama berada dalam kehidupan kita bagi membantu para petani menghasilkan baka pokok pisang secara banyak dan tidak memerlukan proses pembiakan secara konvensional yang mengambil masa yang panjang. Namun begitu, kita jarang sekali mendengar akan teknologi kultur sel yang menggunakan sumber haiwan untuk penghasilan daging kultur ataupun juga dikenali sebagai ‘daging makmal’ (Gambar Rajah 1). Teknologi penghasilan daging kultur kini mula menjadi perhatian penyelidikan memandangkan teknologi ini mampu mengatasi isu-isu berkaitan penternakan haiwan.
Maklumat berkenaan daging kultur ini masih lagi belum mendapat perhatian yang baik dalam kalangan masyarakat Malaysia walhal teknologi daging kultur ini dijangka lambat laun akan tetap memasuki pasaran Malaysia terutamanya dalam industri hab halal. Adakah Malaysia sudah bersedia dalam berhadapan dengan gelombang daging kultur ini? Negara jiran kita, iaitu Singapura sedang aktif membuat pelaburan secara besar-besaran dalam pembangunan dan penyelidikan teknologi ini, sedangkan negara kita, Malaysia masih jauh ketinggalan. Menyedari hakikat tersebut, artikel ini ditulis bertujuan memberi maklumat kepada para pembaca akan keperihalan teknologi daging kultur dalam konteks sejarah dan penerimaan global, seterusnya membahaskan persoalan-persoalan yang menjurus ke arah kebersediaan Malaysia menerima daging kultur dalam prospek sosiobudaya dan pasaran tempatan.

Gambar Rajah 1 menunjukkan langkah-lengkah penghasilan daging kultur yang menggunakan teknologi terkini. Sumber rujukan: Munteanu et al., 2021.
Rasional Di Sebalik Teknologi Daging Kultur
Pada tahun 2013, seorang Professor dalam bidang Fisiologi daripada Maastricht University di Netherlands, iaitu Professor Dr. Mark J. Post telah mengejutkan dunia apabila beliau telah tampil di sidang media bersama sekeping daging burger yang dihasilkan daripada daging kultur. Burger tersebut kemudiannya dimasak dan dimakan secara langsung dalam sebuah program kulinari yang telah diadakan di London, United Kingdom (Fountain, 2013). Sidang media tersebut telah mendapat liputan global yang meluas daripada pelbagai media massa. Walaupun daging burger tersebut kelihatan seolah-olah seperti daging burger biasa, proses penghasilan daging burger kultur tersebut hakikatnya telah melalui suatu proses yang begitu rumit dan menelan kos sebanyak 333,000 dolar Amerika Syarikat. Tujuan penampilan Professor Dr. Mark J. Post di sidang media tersebut adalah untuk membuktikan konsep serta mempromosikan idea penghasilan daging kultur sebagai alternatif kepada daging yang dihasilkan melalui penternakan haiwan.
Rasional utama mengapa teknologi daging kultur ini dibangunkan adalah untuk mengatasi pelbagai isu yang dihadapi dalam industri perternakan haiwan daging seperti isu alam sekitar dan isu kebajikan haiwan. Impak negatif yang berlaku akibat aktiviti penternakan haiwan terhadap alam sekitar bukanlah suatu cerita yang dongeng. Bahkan, begitu banyak hasil kajian dan penyelidikan berkaitan penghasilan daging secara konvensional menunjukkan bahawa aktiviti penternakan haiwan daging di seluruh dunia telah menyumbang kepada 14% perlepasan gas rumah hijau global melalui perlepasan gas karbon dioksida dan gas metana (Gerber et al., 2013; Springmann at al., 2016). Tambahan lagi, dengan meningkatnya jumlah populasi manusia yang kini mencecah 7.9 bilion, banyak kawasan yang ditumbuhi pepohon hijau terpaksa dihapuskan untuk ditukarkan kepada ladang ternakan haiwan daging pada skala yang besar sedangkan pepohon hijau berperanan sebagai agen penyerapan karbon dioksida (Petrovic et al., 2015). Akibatnya, tahap perlepasan gas rumah hijau semakin meningkat yang menyumbang kepada pemanasan suhu global dan perubahan iklim dunia yang semakin sukar diramal. Tambahan lagi, penerokaan tanah secara besar-besaran telah menghapuskan biokepelbagaian flora dan fauna. Sekiranya tiada langkah pencegahan dilakukan segera, sudah pasti kita akan melihat trend ini akan terus berkekalan dan menjadi semakin parah. Oleh itu, idea pelaksanaan daging kultur bukanlah suatu idea yang bersifat retoris dan futuristik semata-mata tetapi memiliki rasional yang kukuh untuk diketengahkan dalam masyarakat dunia bagi menyelesaikan isu-isu penting ini.
Berdasarkan hasil analisis yang ditemui oleh Tuomisto dan Mattos (2011), pelaksanaan idea daging kultur mampu menyumbang kepada pengurangan jumlah penggunaan tenaga sebanyak 45%, pengurangan pengeluaran gas rumah hijau sebanyak 78% sehingga 96%, pengurangan penggunaan tanah sebanyak 99% dan pengurangan pengurangan pengunaan sebanyak 96% berbanding kaedah penghasilan daging secara perternakan haiwan (Gambar Rajah 2). Kesemua angka-angka daripada data ini jelas menunjukkan bahawa teknologi daging kultur memiliki hala tuju yang lestari dan penyelesaian yang mampan. Namun, sejauhmanakah pelaksanaan idea daging kultur ini mampu diterima oleh masyarakat global, khususnya masyarakat Malaysia yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam? Apakah pula status halal dan haram bagi daging kultur ini? Sebelum menjawab persoalan-persoalan tersebut, marilah kita cuba memahami serba sedikit latar belakang sejarah kemunculan daging kultur.

Sejarah Pembangunan Daging Kultur
Idea penghasilan daging secara kultur ini telah lama ditulis oleh Winston Churchill dalam sebuah buku karangannya yang bertajuk ‘Thought and Adventures‘ pada tahun 1932 (Bhat et al., 2015). Churchill dalam buku tersebut telah menyarankan penghasilan daging ayam melalui suatu medium (kultur) untuk memastikan kelangsungan sumber makanan pada era yang sedang bergelut dengan kancah peperangan. Lontaran idea tersebut tidak pernah disambut serius sehinggalah pada tahun 1950-an apabila seorang ahli saintis daripada Netherlands, iaitu Willem Van Eelen telah merangka satu gagasan idea untuk menghasilkan daging secara in vitro melalui kaedah kultur sel. Gagasan idea ini akhirnya telah dipatenkan pada tahun 1999 dan kemudiannya menjadi asas penting kepada konsep kultur sel dan sel stem (Bhat et al., 2015). Maka, bermulalah pelbagai episod penyelidikan berteraskan kepada teknologi kultur sel dan sel stem yang menjadi pemangkin kepada penghasilan daging kultur. Kemudian, pada tahun 2002, agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dalam satu projek telah membiayai secara penuh kos kajian pengkulturan tisu otot ikan emas secara in vitro (Benjaminson et al., 2002). NASA telah lama mengimpikan suatu sistem yang mampu menjanjikan kelangsungan sumber makanan untuk para angkasawan mereka di angkasa lepas terutamanya bagi misi yang melibatkan perjalanan jarak jauh seperti misi ke planet Marikh. Namun begitu, NASA akhirnya terpaksa membatalkan hasrat untuk melanjutkan pembiayaan kajian rintis tersebut kerana atas faktor perubahan polisi pentadbiran Amerika Syarikat yang tidak lagi memberikan prioriti dan dana secara besar-besaran kepada penjelajahan angkasa.
Gelombang pertama ke arah pembangunan teknologi daging kultur telah banyak dipelopori oleh golongan ahli akademik dan ahli saintis yang berada dalam institusi pengajian tinggi dan penyelidikan (Stephens at al., 2019). Golongan ini telah memberi fokus utama kepada aspek penelitian ilmu pengetahuan dan kefahaman asas memandangkan teknologi daging kultur yang ada pada masa itu masih di peringkat awal dan tidak mampu menyokong proses pengkomersialan secara besar-besaran. Dalam pada itu, kebanyakan geran projek penyelidikan berkaitan daging kultur pada ketika itu kebanyakannya tidak mencukupi kerana hanya dibiayai oleh dana penyelidikan sedia ada seperti dana latihan untuk melahirkan pelajar Master dan pelajar Doktor Falsafah. Kekangan kewangan inilah yang telah menyebabkan aktiviti penyelidikan penghasilan daging kultur hanya mampu dilakukan pada skala kecil sahaja.
Namun, semua ini telah berubah secara drastik pada tahun 2011 selepas satu sesi wawancara antara Professor Mark J. Post dengan pengamal media daripada The New Yorker (Spectre, 2011). Dalam sesi wawancara tersebut, Professor Mark J. Post secara eksplisit telah menyatakan bahawa teknologi penghasilan daging melalui kaedah kultur sel sudah tersedia untuk digunakan pada skala komersial dengan syarat perlu ada pembiayaan dana kewangan. Selepas hanya beberapa minggu, Professor Mark J. Post telah menerima tawaran dana pembiayaan yang besar daripada pengasas bersama Google, iaitu Sergey Brin (Spectre, 2011). Dengan itu, Professor Mark J. Post telah dapat menjalankan aktiviti makmal secara aktif dan kemuncak bagi kronologi ini ialah beliau telah tampil di sidang media dengan mempamerkan burger daging kultur pertama di dunia pada tahun 2013 seperti mana yang telah diterangkan sebelum ini.
Tahap Penerimaan Global Terhadap Daging Kultur
Rentetan daripada penampilan Professor Mark J. Post bersama burger daging kultur pertama pada tahun 2013 tersebut, pelbagai sumbangan berbentuk dana pelaburan telah disalurkan kepada penyelidikan dan pembangunan daging kultur (Stephens at al., 2019). Oleh itu, golongan ahli saintis yang berkecimpung dalam bidang inilah yang menjadi golongan paling awal menyahut pelaksanaan idea daging kultur. Sudah tentu, penerimaan ini mungkin dipengaruhi oleh faktor minat penyelidikan dan sumber kewangan demi kelangsungan karier. Jika dilihat daripada perspektif di peringkat antarabangsa, negara-negara yang maju telah memberikan sokongan kuat terhadap pelaksanaan daging kultur memandangkan teknologi ini bakal meletakkan negara mereka terkehadapan di samping menyokong polisi kelestarian alam sekitar dan keterjaminan makanan. Sebagai contoh, Singapura telah menjadi negara pertama di dunia yang meluluskan undang-undang penjualan daging kultur pada tahun 2020 (Lucas., 2020), seterusnya diikuti oleh Amerika Syarikat baru-baru ini pada Jun 2023 (Milman, 2023).
Selain itu, kempen-kempen bertujuan menjelaskan idea penghasilan daging kultur telah dilaksanakan secara giat dan mendapat sambutan penerimaan yang berbeza-beza (Verbeke et al., 2015). Antara mereka yang menyambut baik kempen ini termasuklah kumpulan yang memperjuangkan ideologi veganisme terutamanya dalam aspek hak dan kebajikan haiwan. Teknologi ini dilihat mampu mengelak aktiviti penyembelihan haiwan ternakan hidup dan mengurangkan penyeksaan yang sering berlaku dalam sektor perternakan haiwan daging dalam skala besar walaupun pada hakikatnya seluruh proses penghasilan daging kultur ini masih tidak seratus peratus bebas daripada aspek penyeksanaan kerana masih terdapat kaedah pengambilan biopsi (iaitu pengambilan sampel sel) secara berkala yang bersifat menyakiti haiwan (Bhat et al., 2015; Chriki et al., 2022). Berdasarkan laporan-laporan kajian ilmiah yang ada, tahap penerimaan seseorang individu terhadap daging kultur bergantung kepada aspek tertentu seperti jantina, cara penyampaian maklumat, tahap keyakinan terhadap teknologi dan harga jualan (Wilks and Philips, 2017; Bekker et al., 2017; Marcu et al., 2015) . Contohnya, individu lelaki didapati lebih mudah untuk menerima daging kultur berbanding perempuan. Selain itu, maklumat produk daging kultur yang kurang menekankan aspek teknikal juga akan lebih mudah diterima berbanding produk daging kultur yang banyak menerangkan aspek teknikal.
Tidak kurang juga wujud banyak penolakan terhadap idea penghasilan daging kultur ini. Antara salah satu sebab penolakan oleh seseorang individu itu ialah wujudnya kebimbangan akan status keselamatan dan kandungan daging yang dihasilkan secara tidak semula jadi (Siegrist et al., 2018). Aspek fizikal daging kultur seperti rasa dan tekstur turut menyumbang kepada faktor penolakan seseorang individu itu. Sekiranya produk daging kultur tidak mampu menyamai standard rasa dan tekstur daging yang dihasilkan secara konvensional, sudah pasti para pembeli akan lebih memilih produk yang sedia ada dalam pasaran. Faktor-faktor lain yang menjadikan daging kultur sukar diterima ialah harga pasaran yang terlalu mahal, isu etika, isu agama, skeptisme yang tinggi terhadap kemampuan teknologi dan kurangnya aspek pengawalan standard dan undang-undang berkaitan daging alternatif (Bryant and Barnett, 2020; Chriki dan Hocquette, 2020; Chriki et al., 2022)
Status Halal Daging Kultur dan Kebersediaan Malaysia
Barangkali, mungkin juga para pembaca tertanya-tanya, apakah status halal bagi daging kultur? Untuk menjawab persoalan ini, terdapat beberapa kajian fiqah bersifat kontemporari terhadap status halal daging kultur telah dilakukan oleh beberapa penyelidik. Setakat ini, wujud tiga pendapat yang berbeza dalam aspek kehalalan daging kultur ini. Pendapat yang pertama bersifat lebih ketat dengan menolak secara total pelaksanaan daging kultur ini kerana dianggap telah mengubah proses kejadian Tuhan (Hossain, 2019). Manakala pendapat yang kedua lebih bersifat neutral, iaitu tidak menyebelahi sama ada bersetuju atau tidak bersetuju pada masa ini sehinggalah teknologi daging kultur benar-benar boleh dimplimentasikan pada kapasiti sebenar (Al-Munajjid, 2018). Pendapat yang ketiga pula lebih membenarkan yang halal dengan syarat sumber sel stem dan media penghasilan diambil daripada yang dibenarkan syarak (Hamdan et al., 2018). Secara hukumnya, penghasilan daging kultur untuk tujuan sumber makanan halal berpotensi untuk direalisasikan jika pendapat ketiga diutamakan. Sudah tentu, lambat laun, teknologi daging kultur ini akan tetap masuk ke dalam pasaran Malaysia dan faktor kejelasan hukum fiqah mampu membuka laluan yang lebih mudah.
Walaupun faktor kemasukan teknologi daging kultur di Malaysia ini mungkin tidaklah seperti faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan di negara-negara lain, contohnya seperti kewujudan kelompok masyarakat yang memperjuangkan veganisme; kemasukan teknologi daging kultur di Malaysia dijangka bakal dipengaruhi oleh faktor peningkatan harga daging konvensional, faktor permintaan besar dalam pasaran hab halal dan faktor perubahan polisi pihak kerajaan di peringkat Kementerian Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Sebagai contoh, Datuk Arthur Joseph Kurum, iaitu Timbalan Menteri Sains, telah melihat daging kultur sebagai salah satu potensi sumber baru yang mampu menyokong hasrat pihak kerajaan bagi memastikan sumber daging yang mampan. Di bawah pengurusan pihak MOSTI, dua agensi penting yang berperanan dalam merancakkan agenda pembangunan teknologi daging kultur ialah Cell AgriTech dan Malaysia Bioeconomy Development Corporation. Melalui kedua-dua agensi ini, plan pembangunan teknologi daging kultur telah dilancarkan baru-baru ini pada Jun 2023. Antara insiatif utama yang telah dijalankan termasuklah penyediaan fasiliti penghasilan daging kultur pertama di Malaysia yang melibatkan jumlah pelaburan sebanyak 20 juta Ringgit Malaysia.
Untuk memastikan teknologi daging kultur ini benar-benar bersedia untuk dipasarkan dalam Malaysia, MOSTI telah melibatkan peranan pelbagai pihak seperti Jabatan Agama Islam, universiti-universiti awam seperti Universiti Sains Malaysia (USM) serta agensi-agensi bagi mewujudkan frasarana, sumber manusia serta ketersediaan teknologi pada masa akan datang. Selain teknologi, sudah pasti antara cabaran terbesar ialah faktor penerimaan masyarakat Malaysia terhadap teknologi daging kultur. Faktor inilah yang akhirnya akan menentukan yang akan menentukan sama ada teknologi kultur ini mampu pergi jauh dalam pasaran Malaysia. Daripada perspektif ekonomi, tanpa permintaan, maka tiadalah penawaran. Begitulah juga yang akan berlaku jika masyarakat Malaysia menolak idea pelaksanaan daging kultur ini kelak. Justeru, semua kebersediaan ini perlu dilihat secara teliti sekiranya pihak kerajaan benar-benar mahu menjayakan aspirasi pelaksanaan teknologi daging kultur ini.
Prospek Pasaran Daging Kultur di Malaysia
Mengikut laporan GlobalData (2023), teknologi daging kultur dijangkakan mampu mengganggu pasaran daging dan makanan laut di Malaysia yang berjumlah sekitar 30.95 bilion Ringgit Malaysia. Untuk meraih pasaran tersebut, daging kultur perlu bersaing dengan daging konvensional dan makanan laut terlebih dahulu jika ingin mendapatkan tempat dalam pasaran ini. Hal ini sudah tentu sesuatu yang amat kompleks untuk diterjemahkan dalam kehidupan sebenar memandangkan faktor teknologi masih belum lagi memungkinkan harga daging kultur mampu bersaing rapat dengan harga daging konvesional. Kos penghasilan sekeping daging burger berasaskan kultur pada tahun 2013 ialah sekitar 330,000 dolar Amerika Syarikat tetapi dengan penghasilan secara skala besar dan teknologi yang lebih canggih, kos penghasilan ini hanya menelan sebanyak 9.80 dolar Amerika Syarikat (Bandoim, 2022). Tambahan lagi, aspek penerimaan masyarakat tempatan, khususnya dalam kalangan orang Islam juga sukar diramal. Namun, menurut pandangan Hamdan et al., (2021), andai kata daging kultur mampu mencapai suatu standard yang halal sekali pun, orang Islam masih tetap sukar untuk menerima praktis teknologi daging kultur kerana elemen proses penyembelihan dalam Islam adalah sesuatu yang tetap (‘thawabit‘ mengikut kaedah fiqah) dan tidak boleh diubah contohnya seperti penyembelihan haiwan ternakan dalam syariat pelaksanaan korban dalam konteks Aidiladha dan majlis akikah (Hamdan et al., 2021). Meskipun begitu, daging kultur mungkin masih mampu diterima jika produk ini difokuskan ke pasaran yang lebih bersasar seperti pasaran sumber daging alternatif memandangkan hanya perlu bersaing dengan produk daging berasaskan tumbuh-tumbuhan dan fungus.
Menurut laporan Research and Markets (2022), pasaran daging kultur dianggarkan berada pada nilai RM791.87 pada tahun 2022 dan dijangkakan meningkat kepada RM 1.443 bilion pada tahun 2027 dengan peningkatan kadar pertumbuhan tahunan kumulatif sebanyak 12.76 peratus. Peningkatan kadar pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan jangka masa panjang pihak kerajaan dengan penyediaan infrastuktur makmal pertama, pembangunan modal insan serta ekosistem yang terangkum. Tambahan lagi, memandangkan negara jiran Singapura kini sudah jauh terkehadapan dalam menjayakan projek penghasilan daging kultur secara besar-besaran, Malaysia sudah pasti akan terkena tempias daripada projek mega ini. Maka, kempen pengurusan persepsi, pendidikan dan kesedaran menjadi elemen kritikal sekiranya Malaysia mahu berdiri sama tinggi dan berdaya saing dengan Singapura. Singapura memiliki tekanan yang tinggi bagi menjayakan projek ini kerana Singapura memiliki sumber tanah, air dan alam semula jadi yang amat terbatas.
Sebaliknya, walaupun Malaysia memiliki sumber tanah, air dan alam semula jadi yang banyak, hakikatnya, penternakan haiwan daging dalam negara masih tidak mampu menampung permintaan daging dalam pasaran tempatan. Malaysia masih bergantung kepada import makanan dari luar negara; sebanyak 79% sumber daging telah diimport secara sejuk beku dari negara-negara seperti India dan Australia dan peratusan ini dijangka mencecah 90% pada tahun 2023 (OEC, 2013; Businesstoday, 2022). Hal ini jelas menunjukkan bahawa tahap pengurusan keterjaminan makanan di Malaysia berada dalam keadaan yang amat tenat serta kritikal. Malaysia jelas sekali tidak mampu berhadapan krisis makanan yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja terutamanya dengan berlakunya peperangan antara Rusia dan Ukrain pada masa sekarang. Justeru, kewujudan teknologi penghasilan daging kultur diharapkan mampu menjadi salah satu penyelesaian jangka panjang terhadap polemik kesejahteraan dan keterjaminan makanan.
Penutup
Kesimpulannya, kaedah penghasilan daging kultur merupakan sesuatu teknologi yang memberi impak besar dalam pelbagai lapangan terutamanya penternakan haiwan, alam sekitar dan keterjaminan makanan. Bermula hanya dengan kajian penyelidikan asas di makmal, daging kultur kini muncul sebagai teknologi yang mampu menawarkan solusi kepada permasalahan yang wujud. Walaupun harga daging kultur masih lagi tidak mampu bersaing dengan harga pasaran daging ternakan disebabkan kos penghasilan yang lebih tinggi, harga daging kultur kini sebenarnya jauh berlipat kali ganda lebih rendah pada awal-awal kemunculannya. Sudah tentu, harga terkini masih tetap mahal berbanding daging ternakan yang dijual di pasaraya. Dengan berlakunya krisis makanan, ada kemungkinan besar harga daging kultur pada suatu hari nanti bakal menandingi harga pasaran daging haiwan ternakan.
Berdasarkan perbahasan ini, dapat disimpulkan bahawa Malaysia masih belum sepenuhnya bersedia dalam menerima teknologi daging kultur tetapi langkah-langkah ke arah ketersediaan ini sedang giat dijalankan di pelbagai peringkat. Maka, Malaysia yang dipimpin oleh pihak kerajaan perlu bersedia dalam pelbagai aspek dalam berhadapan teknologi baru ini. Masyarakat Malaysia perlu diberikan pendedahan awal serta pendidikan yang mencukupi untuk memastikan teknologi daging kultur dapat diketengahkan dalam masyarakat. Kerjasama merentas disiplin terutamanya antara bidang agama dan sains perlu diharmonikan bagi memastikan aspek teknologi semasa dan keperihalan halal dan haram berkaitan daging kultur dapat disebarkan secara meluas demi kefahaman orang awam. Sebagai contoh, Jabatan Agama Islam perlu sentiasa mengadakan perbincangan dengan tenaga pakar dalam bidang sains bagi memahami selok-belok sains dan pada masa yang sama memperhalusi isu persoalan berkaitan hukum fiqah. Sinergi seperti ini dilihat mampu memacu sains dan teknologi dalam kerangka Islam seterusnya mampu meletakkan umat Islam di Malaysia jauh terkehadapan.
Masyarakat Malaysia secara umumnya juga perlu mengimbangi antara sikap skeptisme dan optimisme bagi membuka ruang kepada pelbagai peluang kemajuan dalam sains dan teknologi. Hal ini penting kerana sikap keterbukaan yang terlalu tinggi dalam penerimaan sesuatu idea juga mampu merosakkan sesebuah masyarakat jika tidak diimbangi dengan fakta dan kefahaman. Persoalan teraikhir paling kritikal – bersediakah anda dalam berhadapan dengan gelombang daging kultur ini? Tepuk dada, tanya selera.
RUJUKAN
[1]Al-Munajjid MS. (2014). Ruling on eating synthetic meat produced by using stem cells. Islam Question and Answer. https://islamqa.info/en/answers/252773/ruling-on- eating- synthetic-meat-produced-by-using-stem-cells
[2]Bandoim L (2022). Making meat affordable: Progress since the $330,000 Lab-Grown Burger. Forbes. Dirujuk pada 29/09/2023. https://www.forbes.com/sites/lanabandoim/2022/03/08/making-meat-affordable- progress-since-the-330000-lab-grown-burger/?sh=b5bd0dc46671
[3]Bekker GA, Fischer ARH, Tobi H, van Trijp HCM. Explicit and implicit attitude toward an emerging food technology: The case of cultured meat. Appetite. 2017 Jan 1;108:245- 254. doi: 10.1016/j.appet.2016.10.002. Epub 2016 Oct 4. PMID: 27717657.
[4]Benjaminson, M, Gilchriest J, and Lorenz M. (2002). In-vitro edible muscle protein production system (MPPS): stage 1 fish. Acta Astronaut. 51, 879–889. doi: 10.1016/S0094-5765(02)00033-4
[5]Bhat ZF, Kumar S, Fayaz H, (2015). In vitro meat production: Challenges and benefits over conventional meat production, Journal of Integrative Agriculture 2015, 14(2): 241– 248
[6]Businesstoday (2022). Malaysia Needs To Desperately Find New Trajectory For The Food System (2 Julai 2022), Businesstoday. Dirujuk pada 29/09/2023, https://www.businesstoday.com.my/2022/07/02/malaysia-needs-to-desperately-find- new-trajectory-for-the-food-system
[7]Chriki S, Oury MPE, Hocquette JF. (2022) Is “cultured meat” a viable alternative to slaughtering animals and a good comprise between animal welfare and human expectations?, Animal Frontiers, Volume 12, Issue 1, Pages 35– 42, https://doi.org/10.1093/af/vfac002
[8]Chriki S, Hockquette JF. (2020), The Myth of Cultured Meat: A review, Front. Nutr., Sec. Nutrition and Food Science Technology Volume 7. https://doi.org/10.3389/fnut.2020.00007
[9]Echalier, G. (1997). Drosophila cells in culture. ISBN: 9780122294600
[10]Fountain H. (2013), Building a $325,000 Burger, The New York Times. Dirujuk pada 29/09/2023. https://www.nytimes.com/2013/05/14/science/engineering-the-325000- in-vitro-burger.html
[11]Gerber PJ, Steinfeld H, Henderson B, Mottet A, Opio C, Dijkman J, Falcucci A, Tempio G,. et al. (2013). Tackling Climate Change Through Livestock: A Global Assessment of Emissions and Mitigation Opportunities. Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO).
[12]GlobalData (2013). Cultivated meat technology to disrupt $5.6 billion Malaysia meat and seafood markets, says GlobalData. GlobalData, Dirujuk pada 29 September 2023.
[13]Tuomisto HL and Mattos MJTD. (2011). Environmental Impacts of Cultured Meat Production, Environmental Science & Technology. 45, 14, 6117-6123
[14]Hamdan MN, Post MJ, Ramli MA, Mustafa AR. (2018). Cultured Meat in Islamic Perspective. J Relig Health. 57(6):2193-2206. doi: 10.1007/s10943-017-0403-3. PMID: 28456853.
[15]Hamdan MN, Ramli MA, Huri NMFZ, Rahman NNH, Abdullah A. (2021). Will Muslim consumers replace livestock slaughter with cultured meat in the market? Trends in Food Science & Technology. Volume 109, 2021, Pages 729-732, ISSN 0924- 2244,https://doi.org/10.1016/j.tifs.2021.01.034.
[16]Hossain MS. (2019), Consumption of stem cell meat: An islamic perspective, IIUM Law Journal LJ, 27 (1), pp. 233-257, 10.31436/iiumlj.v27i1.384
[17]Lucas A. (2020). Singapore issues first regulatory approval for lab-grown meat to Eat Just. CNBC. Dirujuk pada 29/09/2023. https://www.cnbc.com/2020/12/01/singapore- issues-first-regulatory-approval-for-lab-grown-meat-to-eat-just.html
[18]Marcu A, Gaspar R, Rutsaert P, Seibt B, Fletcher D, Verbeke W, Barnet J. (2015). Analogies, metaphors, and wondering about the future: Lay sense-making around synthetic meat. Public Understanding of Science, 24 (5) (2015)
[19]Milman O. (2023). USDA allows lab-grown meat to be sold to US consumers. The Guardian, Dirujuk pada 29/09/2023. https://www.theguardian.com/us-news/2023/jun/21/us-lab- grown-meat-sold-public
[20]Muneanu C, Miresan V, Raducu C, Ihut A, Uiuiu P, Pop D, Neacsu A, Cenaiu M, Groza I. (2021). Can Cultured Meat Be an Alternative to Farm Animal Production for a Sustainable and Healthier Lifestyle? Nutrition and Food Science Technology.Volume 8 202. https://doi.org/10.3389/fnut.2021.749298
[21]Petrovic Z, Djordjevic V, Milicervic D, Nastasijevic I, Parunovic N. (2015). Meat production and consumption: Environmental consequences. Procedia Food Sciences. Volume 5. Pages 235- 238. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S2211601X15001315.
[22]OEC (2023), Bovine Meat in Malaysia, The Observatary of Economic Complexity, Dirujuk pada 29/09/2023. https://oec.world/en/profile/bilateral-product/bovine- meat/reporter/mys
[23]Ritchie, H & Roser, M (2021). Environmental Impacts of Food Production. Our World in Data. Dirujuk pada 29/9/2023. https://ourworldindata.org/environmental-impacts-of- food.
[24]Siegrist M, Sütterlin B, Hartmann C, (2018), Perceived naturalness and evoked disgust influence acceptance of cultured meat. Meat Science, 139 (2018), pp. 213-219. https://doi.org/10.1016/j.meatsci.2018.02.007
[25]Spectre M (2011). Test Tube Burgers. The New Yorker 23rd May 2011. Dirujuk pada 29/09/2023. https://www.newyorker.com/magazine/2011/05/23/test-tube-burgers Springmann M, Godfray HCJ, Rayner M, Scarborough P. (2016). Analysis and valuation of the health and climate change cobenefits of dietary change, Proc. Natl. Acad. Sci., 113 , pp. 4146-4151Volume 3 – 2019. https://doi.org/10.3389/fsufs.2019.00045
[26]Stephens N, Sexton AE, and Driessen C, (2019), Making Sense of Making Meat: Key Moments in the First 20 Years of Tissue Engineering Muscle to Make Food, Front. Sustain. Food Syst., Sec. Sustainable Food Processing. 10: 3: 45. doi: 10.3389/fsufs.2019.00045
[27]Verbeke, W, Pierre S and Loo EJV. (2015). Challenges and prospects for consumer acceptance of cultured meat. Journal of Integrative Agriculture, vol. 14 (no 2). pp. 285- 294. ISSN 2095-3119
[28]Wilks M, Phillips CJ. (2017), Attitudes to in vitro meat: A survey of potential consumers in the United States, PLoS One, 12 (2) , Article e0171904