Penulis: Dr Nadiah Sulaiman1,2
1Pensyarah Universiti, Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif, Fakulti Perubatan UKM
²Kumpulan Penyelidikan Kardiovaskular dan Pernafasan (CardioResp), Universiti Kebangsaan Malaysia
Penyakit jantung merupakan antara punca utama kematian di dunia, termasuk di Malaysia. Salah satu rawatan utama bagi penyakit jantung koronari ialah pembedahan pintasan jantung, iaitu prosedur yang mengalihkan aliran darah menggunakan salur darah lain untuk memintas salur jantung yang tersumbat. Walau bagaimanapun, pembedahan ini bukan penyelesaian kekal, kerana salur darah yang digunakan sebagai pintasan juga berisiko gagal selepas beberapa tahun.

Baru-baru ini, dunia perubatan mencatat satu perkembangan penting apabila seorang pesakit di United Kingdom menjadi pesakit pertama di dunia yang menerima terapi gen yang digabungkan secara langsung dalam prosedur pembedahan pintasan jantung. Pendekatan inovatif ini membuka lembaran baharu dalam usaha menjadikan rawatan jantung lebih tahan lama dan berkesan.
Mengapa Salur Darah Pintasan boleh Gagal?
Dalam pembedahan pintasan jantung, doktor lazimnya menggunakan salur darah daripada kaki pesakit. Namun, salur darah ini asalnya direka untuk membawa darah pada tekanan yang lebih rendah. Apabila dipasang ke jantung, salur darah tersebut terpaksa menyesuaikan diri secara mendadak dengan tekanan aliran darah yang jauh lebih tinggi.
Penyesuaian yang tidak ideal ini boleh menyebabkan dinding salur darah menebal dan akhirnya tersumbat semula. Kajian menunjukkan bahawa sebahagian salur darah pintasan boleh gagal berfungsi dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun selepas pembedahan, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi dan keperluan rawatan lanjut.
Rahsia di sebalik Terapi Gen
Dalam pendekatan baharu ini, salur darah yang akan digunakan sebagai pintasan dirawat terlebih dahulu dengan terapi gen sebelum dipasang ke jantung. Terapi ini melibatkan kemasukan gen tertentu yang berperanan melindungi dinding salur darah daripada proses kerosakan dan penyumbatan.
Secara ringkasnya, terapi gen ini bertindak seperti “perisai biologi”, membantu salur darah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di jantung dan mengekalkan fungsinya untuk tempoh yang lebih lama.
Mengapa penemuan ini penting?
Sekiranya kaedah ini terbukti berkesan dan selamat melalui kajian lanjutan, beberapa manfaat besar dapat dicapai, antaranya:
i- Pesakit berkemungkinan tidak perlu menjalani pembedahan pintasan berulang
ii- Risiko komplikasi jangka panjang dapat dikurangkan
iii- Kualiti hidup pesakit jantung dapat ditingkatkan
Lebih penting, pendekatan ini menunjukkan bagaimana bioteknologi dan sains genetik kini digunakan untuk menambah baik rawatan perubatan sedia ada, bukan sekadar menggantikannya.
Masa Depan Rawatan Pintasan Jantung di Malaysia
Malaysia berdepan kadar penyakit jantung yang tinggi, yang sering dikaitkan dengan diabetes, tekanan darah tinggi dan gaya hidup moden. Inovasi seperti terapi gen ini memberi gambaran bahawa rawatan jantung pada masa hadapan berpotensi menjadi lebih tepat, lebih tahan lama dan lebih berkesan.
Perkembangan ini juga menekankan kepentingan:
i- Pelaburan berterusan dalam penyelidikan sains dan perubatan
ii- Kerjasama erat antara penyelidik, doktor dan industri
iii- Peningkatan kesedaran masyarakat tentang peranan kajian klinikal

Era Baharu Rawatan Jantung Bermula
Walaupun terapi gen ini masih berada pada peringkat awal kajian dan belum digunakan secara meluas, kejayaan pesakit pertama ini memberi isyarat jelas bahawa rawatan jantung sedang memasuki era baharu yang lebih bersifat pencegahan dan berteraskan sains molekul.
Daripada sekadar membaiki kerosakan selepas ia berlaku, sains perubatan kini berusaha mencegah kegagalan sebelum ia bermula, satu perubahan besar dalam pendekatan rawatan penyakit jantung.
Kredit foto utama-Harvard health
Rujukan:
- Musolino PL, Rosser SJ, Brittan M, et al. Gene therapy in cardiac and vascular diseases: a review of approaches to treat genetic and common cardiovascular diseases with novel gene-based therapeutics. Cardiovasc Res. 2025;121(12):1843-1855. doi:10.1093/cvr/cvaf109
- Gene therapy trial heart bypass grafts – BHF. British Heart Foundation news release. Rujukan umum kepada percubaan klinikal pertama menggunakan gen TIMP-3 untuk mencegah kegagalan pintasan jantung.
- Haron NA, Ishak MF, Yazid MD, Vijakumaran U, Ibrahim R, Raja Sabudin RZ, Alauddin H, Md Ali NA, Haron H, Ismail MI, Abdul Rahman MR. Exploring the Potential of Saphenous Vein Grafts Ex Vivo: A Model for Intimal Hyperplasia and Re-Endothelialization. Journal of Clinical Medicine. 2024 Aug 14;13(16):4774. doi.org/10.3390/jcm13164774
- Azman SS, Yazid MD, Abdul Ghani NA, Raja Sabudin RZA, Abdul Rahman MR, Sulaiman N. Generation of a novel ex-vivomodel to study re-endothelialization. Artif Cells Nanomed Biotechnol. 2023;51(1):408-416. doi:10.1080/21691401.2023.2245456
- Joseph J, Domenico Bruno V, Sulaiman N, et al. A novel small diameter nanotextile arterial graft is associated with surgical feasibility and safety and increased transmural endothelial ingrowth in pig. J Nanobiotechnology. 2022;20(1):71. Published 2022 Feb 8. doi:10.1186/s12951-022-01268-1
- Korpela H, Järveläinen N, Siimes S, et al. Gene therapy for ischaemic heart disease and heart failure. J Intern Med. 2021;290(3):567-582. doi:10.1111/joim.13308
- Heng JW, Yazid MD, Abdul Rahman MR, Sulaiman N. Coatings in decellularized vascular scaffolds for the establishment of a functional endothelium: A scoping review of vascular graft refinement. Frontiers in cardiovascular medicine. 2021 Jul 29; 8:677588. org/10.3389/fcvm.2021.677588
- Sulaiman NS, Bond AR, Bruno VD, et al. Effective decellularisation of human saphenous veins for biocompatible arterial tissue engineering applications: Bench optimisation and feasibility in vivo testing. J Tissue Eng. 2021; 12:2041731420987529. Published 2021 Mar 29. doi:10.1177/2041731420987529
- Wan S, George SJ, Berry C, Baker AH. Vein graft failure: current clinical practice and potential for gene therapeutics. Gene Ther. 2012;19(6):630-636. doi:10.1038/gt.2012.29
- Andrew H. Baker; Gene therapy for bypass graft failure and restenosis. Pathophysiology of Haemostasis and Thrombosis.1 December 2002; 32 (5-6): 389–391. org/10.1159/000073606
Biodata Penulis
Dr. Nadiah Sulaiman merupakan seorang penyelidik dan pensyarah universiti di Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau memiliki PhD dari University of Bristol, UK, Sarjana Sains Perubatan (Fisiologi) dari UKM, dan Ijazah Sarjana Muda Biologi Industri dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Minat penyelidikannya merangkumi biologi sel, kejuruteraan tisu vaskular, dan terapi genetik, dengan fokus kepada pemulihan sel dan salur darah untuk meningkatkan keberkesanan rawatan penyakit jantung. Dr. Nadiah amat berminat memahami bagaimana jantung dan salur darah boleh diperbaiki melalui ilmu asas biologi, dari gen, protein, sel, tisu hingga ke organ. Beliau juga aktif dalam projek penyelidikan antarabangsa, termasuk kajian translasi antara makmal dan klinikal, serta projek terkini mengenai endotelisasi graft arteri koronari menggunakan sel pesakit jantung berbanding penderma sihat. Semua usaha beliau bertujuan membawa harapan baharu bagi pesakit jantung melalui inovasi sains perubatan.





