Penulis: Dr. Wan Ratmaazila Wan Makhtar
Pensyarah Kanan,
Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan,
Universiti Sains Malaysia
Ramai di kalangan kita yang mungkin pernah mengalami luka-luka kecil akibat terkena alatan tajam, tersadung batu atau mungkin akibat memakai kasut yang ketat. Bagi kebanyakan orang, luka ini akan sembuh dengan cepat tanpa sebarang masalah. Namun bagi pesakit diabetes, luka kecil seperti ini boleh bertukar menjadi masalah besar. Ia mungkin mengambil masa yang sangat lama untuk sembuh, mudah dijangkiti dan dalam kes yang lebih serius, boleh membawa kepada komplikasi seperti ulser kronik atau pemotongan anggota (amputasi). Mengapa perkara ini berlaku? Jawapannya terletak pada perubahan kompleks dalam tubuh akibat paras gula darah yang tinggi.

Bagaimana Luka Sembuh Secara Normal?
Sebelum memahami apa yang berlaku dalam luka diabetes, kita perlu tahu bagaimana luka sembuh dalam keadaan normal.
Proses penyembuhan luka berlaku dalam 4 fasa utama iaitu:
1-Hemostasis (penghentian pendarahan) – badan menghentikan pendarahan melalui pembekuan darah (koagulasi)
2-Inflamasi (keradangan) – sel imun (neutrofil dan makrofaj) datang ke kawasan luka untuk melawan bakteria dan membersihkan tisu rosak
3-Proliferasi (pembiakan sel) – sel-sel baru terbentuk, termasuk salur darah baru (angiogenesis) dan tisu kulit (epitelisasi)
4-Remodeling (penyusunan semula tisu) – tisu diperkuat melalui pembentukan semula kolagen dan kulit kembali hampir seperti asal
Bagi tubuh yang sihat, semua fasa ini berlaku secara teratur dan saling melengkapi. Namun bagi pesakit diabetes, proses ini menjadi tidak seimbang dan terganggu.
Apa yang Berbeza Pada Pesakit Diabetes?
Paras gula darah yang tinggi (hiperglisemia) memberi kesan langsung kepada hampir semua sistem dalam tubuh termasuk salur darah, saraf dan sistem imun. Gabungan faktor-faktor ini menyebabkan luka menjadi lambat sembuh termasuklah;
1- Aliran darah tidak lancar
Salah satu faktor utama ialah peredaran darah yang lemah. Paras gula yang tinggi dalam jangka masa panjang boleh merosakkan salur darah kecil, satu keadaan yang dikenali sebagai kerosakan mikrovaskular. Kesannya, oksigen tidak sampai dengan mencukupi ke kawasan luka, nutrien penting tidak dihantar dengan efisien dan sisa metabolik tidak disingkirkan dengan baik. Tanpa bekalan oksigen dan nutrien yang mencukupi, sel-sel yang bertanggungjawab untuk membaiki tisu tidak dapat berfungsi dengan optimum.
2- Sistem imun menjadi lemah
Sistem imun adalah barisan pertahanan utama tubuh terhadap jangkitan. Dalam pesakit diabetes, sel darah putih menjadi kurang efektif, keupayaan untuk melawan bakteria berkurang dan risiko jangkitan juga meningkat. Apabila luka dijangkiti, tubuh perlu bekerja lebih keras untuk melawan kuman sebelum boleh meneruskan proses penyembuhan. Ini menyebabkan luka mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.
3- Inflamasi berpanjangan
Inflamasi adalah proses semula jadi yang penting dalam penyembuhan luka. Namun bagi pesakit diabetes, inflamasi menjadi kronik dan tidak terkawal. Luka pesakit akan kekal dalam fasa inflamasi terlalu lama. Proses seperti pembentukan tisu baru terganggu menyebabkan sel-sel penyembuhan tidak dapat berfungsi dengan baik.
4- Kerosakan saraf
Keadaan diabetes juga boleh menyebabkan neuropati, iaitu kerosakan pada saraf. Kesan utama kerosakan saraf ini adalah kehilangan rasa sakit atau sensasi, luka kecil yang tidak disedari dan tekanan berulang pada kawasan luka tanpa disedari. Tanpa rawatan awal, luka ini boleh menjadi semakin besar dan sukar sembuh.
5- Gangguan pembentukan tisu baru
Proses penyembuhan luka memerlukan pembentukan tisu baru melalui penghasilan kolagen, pembiakan sel kulit dan pembentukan salur darah baru (angiogenesis). Walaubagaimanapun, dalam keadaan diabetes penghasilan kolagen adalah berkurangan, sel-sel kulit sukar membiak dan bermigrasi ke kawasan luka manakala angiogenesis menjadi tidak efektif. Akibatnya, luka kekal terbuka lebih lama dan sukar untuk ditutup sepenuhnya.
6- Tekanan oksidatif dan kerosakan sel
Paras gula yang tinggi juga meningkatkan tekanan oksidatif, iaitu keadaan di mana radikal bebas dalam tubuh meningkat. Radikal bebas ini boleh merosakkan sel-sel sihat, mengganggu fungsi protein dan DNA serta melambatkan proses penyembuhan. Dalam jangka panjang, ini menjadikan persekitaran luka tidak kondusif untuk pemulihan.
Mengapa Luka Diabetik Sangat Berbahaya?
Luka diabetes bukan sekadar lambat sembuh tetapi ia juga boleh membawa kepada komplikasi serius seperti ulser kaki yang kronik, jangkitan bakteria yang teruk, gangren (kematian tisu) yang boleh menyebabkan amputasi anggota badan. Luka kronik ini memberi kesan besar kepada kualiti hidup pesakit, termasuk kesakitan, tekanan emosi dan kos rawatan yang tinggi.
Apa Yang Boleh Dilakukan?
Walaupun mekanismenya kompleks, langkah pencegahan dan penjagaan yang betul boleh mengurangkan risiko seperti mengawal paras gula darah, memeriksa kaki setiap hari bagi mengesan luka kecil terlebih awal, menjaga kebersihan luka bagi mengelakkan jangkitan, menggunakan kasut yang sesuai yang boleh mengurangkan tekanan pada kaki dan mendapatkan rawatan awal sekiranya luka mula terbentuk. Pendekatan rawatan moden juga memainkan peranan penting, termasuk penggunaan pembalut luka khas, terapi tekanan negatif dan rawatan regeneratif.
Masa Depan Rawatan Luka Diabetik
Bidang sains perubatan kini berkembang pesat dalam mencari penyelesaian yang lebih efektif untuk luka diabetik. Antara inovasi yang sedang dikaji termasuk:
i-Biomaterial semula jadi seperti serat tumbuhan untuk balutan luka
ii-Hidrogel pintar yang boleh menghantar ubat secara terkawal
iii-Terapi sel stem untuk mempercepat pembentukan tisu
iv-Pendekatan molekul untuk mengawal inflamasi dan memperbaiki fungsi sel
Kesemua inovasi ini memberi harapan bahawa pada masa depan, luka diabetik dapat dirawat dengan lebih cepat, selamat dan berkesan.
Luka yang lambat sembuh bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Ia merupakan gabungan pelbagai gangguan dalam tubuh seperti aliran darah yang lemah, sistem imun yang terganggu hingga kepada kerosakan saraf dan tekanan oksidatif. Memahami sains di sebalik fenomena ini membantu kita lebih menghargai kepentingan penjagaan kesihatan terutama bagi mereka yang hidup dengan diabetes kerana kadang-kadang, luka yang kelihatan kecil di permukaan sebenarnya bakal membawa risiko yang lebih besar di dalam tubuh.
Kredit foto: Gambar sebenar daripada koleksi Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia.
Rujukan:
- Deng L, Du C, Song P, Chen T, Rui S, Armstrong DG, Deng W. The Role of Oxidative Stress and Antioxidants in Diabetic Wound Healing. Oxidative Medicine and Cellular Longevity. 2021;2021:8852759. doi: 10.1155/2021/8852759.
- Burgess JL, Wyant WA, Abdo Abujamra B, Kirsner RS, Jozic I. Diabetic Wound-Healing Science. Medicina (Kaunas). 2021;57(10):1072. doi: 10.3390/medicina57101072.
- Feng Y, Schlösser FJ, Sumpio BE. The Semmes Weinstein monofilament examination as a screening tool for diabetic peripheral neuropathy. Journal of Vascular Surgery. 2009;50(3):675-682. doi: 10.1016/j.jvs.2009.05.017.
- Pastar I, Stojadinovic O, Yin NC, Ramirez H, Nusbaum AG, Sawaya A, Patel SB, Khalid L, Isseroff RR, Tomic-Canic M. Epithelialization in Wound Healing: A Comprehensive Review. Advances in Wound Care. 2014;3(7):445-464. doi: 10.1089/wound.2013.0473.
- Armstrong DG, Boulton AJM, Bus SA. Diabetic Foot Ulcers and Their Recurrence. New England Journal of Medicine. 2017;376(24):2367-2375. doi: 10.1056/NEJMra1615439.




