Penulis: Dr. Aida Syahira Mohamad & Dr. Ng Kwang Sheng¹
¹Pensyarah kanan dan Pakar Oftalmologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM),
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM)
“Saya ingat cuma habuk masuk mata, doktor.”
Ungkapan ini sering kedengaran di klinik oftalmologi. Pada peringkat awal, mata mungkin hanya terasa pedih, berair dan seolah-olah terdapat sesuatu yang mengganggu. Oleh sebab simptomnya kelihatan ringan, tidak sedikit yang memilih untuk menunggu beberapa hari atau mencuba ubat titis mata sendiri dengan harapan keadaan akan pulih.Namun, tanggapan bahawa masalah ini akan sembuh dengan sendiri boleh mengundang padah. Kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kecederaan yang pada mulanya kecil berkembang menjadi komplikasi yang mengancam penglihatan.
Sebagai contoh, seorang lelaki yang bekerja di bengkel datang mendapatkan rawatan selepas mengalami sakit mata selama dua hari. Beliau sebelum itu mengisar besi tanpa memakai cermin mata keselamatan dan menyangka hanya habuk memasuki matanya. Apabila mata menjadi semakin merah, berair dan penglihatan mulai kabur, pemeriksaan mendapati terdapat serpihan besi yang tertanam pada kornea serta membentuk gelang karat (rust ring). Keadaan ini memerlukan rawatan segera bagi mengelakkan jangkitan, pembentukan parut pada kornea dan risiko kehilangan penglihatan.
Kecederaan mata akibat benda asing bukanlah sesuatu yang jarang berlaku. Trauma mata merupakan antara penyebab utama kehilangan penglihatan pada sebelah mata yang sebenarnya boleh dicegah. Di Malaysia, kecederaan seperti ini sering berlaku dalam kalangan individu usia bekerja, khususnya mereka yang terlibat dalam sektor perindustrian, pembinaan, pertanian dan kerja-kerja mekanikal. Kajian multicentre terkini yang dijalankan di fasiliti oftalmologi Kementerian Kesihatan Malaysia melibatkan 2,347 kes trauma mata dari enam wilayah di Malaysia. Kajian tersebut mendapati bahawa lebih 80% pesakit adalah lelaki dengan purata umur sekitar 35 tahun. Kecederaan berkaitan pekerjaan merupakan kategori utama bagi kes trauma ringan, manakala penggunaan pelindung mata didapati rendah, iaitu hanya 13.1% dalam kes trauma ringan dan 5.5% dalam kes trauma teruk. Benda asing pada kornea turut dikenal pasti sebagai antara persembahan yang lazim dalam kes trauma ringan.
Dapatan ini menunjukkan bahawa kecederaan mata masih berkait rapat dengan aktiviti pekerjaan dan penggunaan pelindung mata yang tidak mencukupi. Kajian tersebut turut mendapati bahawa kecederaan sering melibatkan objek logam atau objek tajam. Walaupun kajian ini memberikan gambaran terkini mengenai trauma mata dalam perkhidmatan oftalmologi KKM, ia tidak merangkumi kes dari hospital swasta. Oleh itu, dapatan tersebut perlu ditafsirkan sebagai gambaran kes trauma mata yang dirawat di fasiliti KKM dan bukan sebagai anggaran keseluruhan populasi Malaysia.
Benda asing di mata (ocular foreign body) merujuk kepada sebarang objek dari luar yang memasuki atau melekat pada mata. Objek ini boleh terdiri daripada habuk, pasir, serpihan besi, kaca, kayu, serpihan batu atau bahan organik lain. Kebanyakan benda asing hanya melibatkan permukaan mata seperti kornea dan konjunktiva. Walau bagaimanapun, objek yang bergerak pada kelajuan tinggi, seperti serpihan logam daripada mesin pengisar besi (metal grinder), berupaya menembusi bola mata dan menyebabkan kecederaan yang jauh lebih serius sehingga mengancam penglihatan.

Siapakah yang Berisiko?
Risiko kecederaan akibat benda asing di mata lebih tinggi dalam kalangan individu yang melakukan pekerjaan atau aktiviti yang melibatkan mesin, alatan berkuasa tinggi atau bahan yang boleh menghasilkan serpihan halus. Antara kumpulan yang paling berisiko ialah pekerja bengkel, pengimpal, mekanik, tukang besi, pekerja pembinaan, tukang kayu, petani dan individu yang mengendalikan mesin pemotong rumput. Selain itu, kecederaan ini juga boleh berlaku ketika melakukan kerja-kerja DIY (buat sendiri) di rumah, memotong atau menggerudi logam dan kayu, menggunakan mesin pengisar, serta mengendalikan peralatan elektrik berkelajuan tinggi tanpa pelindung mata. Serpihan logam, kayu, batu, pasir atau kaca yang terhasil daripada aktiviti tersebut boleh melayang pada kelajuan tinggi dan mengenai mata dalam sekelip mata. Walaupun kebanyakan kes berlaku di tempat kerja, kecederaan akibat benda asing di mata juga boleh berlaku di rumah, ketika berkebun, memotong rumput atau melakukan kerja penyelenggaraan.
Tahukah anda?
Serpihan logam yang hanya berukuran beberapa milimeter mampu menembusi mata kerana bergerak pada kelajuan yang sangat tinggi. Oleh itu, saiz benda asing tidak semestinya menentukan tahap kecederaan.
Langkah-langkah pencegahan
Ramai pesakit menyangka benda asing di mata akan keluar sendiri selepas membilas mata dengan air atau selepas berehat semalaman. Hakikatnya, tanggapan ini tidak semestinya benar. Serpihan logam yang tertanam pada kornea boleh mula mengalami proses pengoksidaan dan membentuk gelang karat (rust ring) dalam tempoh beberapa jam. Jika tidak dikeluarkan, keadaan ini boleh mencetuskan keradangan, meningkatkan risiko jangkitan serta meninggalkan parut pada kornea yang akhirnya menjejaskan penglihatan.
Lebih membimbangkan, tidak semua benda asing dapat dilihat dengan mata kasar. Di klinik, doktor akan memeriksa mata menggunakan mikroskop khas yang dikenali sebagai slit lamp. Alat ini membolehkan struktur mata dilihat dengan pembesaran tinggi dan pencahayaan yang jelas, sekali gus membantu mengesan serpihan yang sangat kecil atau tertanam pada kornea yang mungkin terlepas pandang semasa pemeriksaan biasa. Pemeriksaan ini juga membolehkan doktor menilai sama ada terdapat luka pada kornea, pembentukan gelang karat atau tanda-tanda jangkitan.
Sekiranya mata masih terasa pedih, merah, berair atau seperti terdapat sesuatu yang melekat selepas melakukan aktiviti berisiko, pemeriksaan perubatan disarankan walaupun simptom kelihatan ringan. Jangan tunggu sehingga sakit menjadi semakin teruk atau penglihatan mula kabur kerana kelewatan mendapatkan rawatan boleh meningkatkan risiko komplikasi dan menjejaskan proses penyembuhan.
Apakah Komplikasi Jika Tidak Dirawat?
Sekiranya rawatan ditangguhkan, benda asing yang tertanam pada kornea boleh menyebabkan keradangan dan meningkatkan risiko jangkitan. Serpihan logam pula boleh membentuk gelang karat (rust ring) yang berpotensi menyebabkan kerosakan pada kornea jika tidak dirawat dengan sewajarnya. Keadaan ini boleh berkembang menjadi ulser kornea, pembentukan parut kornea dan seterusnya menyebabkan penglihatan menjadi kabur atau berkurangan.
Dalam kecederaan yang lebih serius, khususnya apabila serpihan bergerak pada kelajuan tinggi dan menembusi bebola mata (open globe injury), kerosakan bukan sahaja boleh berlaku pada kornea tetapi juga melibatkan struktur dalaman mata. Kecederaan pada bahagian belakang mata boleh menyebabkan pendarahan dalam mata, kecederaan atau koyakan pada retina, retinal detachment (retina tertanggal) serta chorioretinal rupture, iaitu koyakan yang melibatkan lapisan koroid dan retina akibat trauma.
Pesakit dengan kecederaan yang menembusi bebola mata juga berisiko mengalami endophthalmitis, iaitu jangkitan serius di dalam mata. Keadaan ini merupakan kecemasan oftalmologi dan memerlukan rawatan segera kerana kerosakan pada struktur dalaman mata boleh menyebabkan kehilangan penglihatan yang kekal.
Pencegahan Adalah Langkah Terbaik
Sebahagian besar kecederaan akibat benda asing di mata boleh dicegah dengan penggunaan pelindung mata yang sesuai. Cermin mata keselamatan (protective goggles) hendaklah digunakan ketika melakukan aktiviti yang berisiko menghasilkan serpihan atau objek berkelajuan tinggi, termasuk menggunakan mesin pengisar besi, mesin pemotong rumput, memotong atau menggerudi logam dan kayu, mengimpal serta melakukan kerja pembinaan atau kerja-kerja DIY (buat sendiri) di rumah.
Sekiranya berlaku kecederaan ketika melakukan aktiviti tersebut, jangan menggosok mata atau cuba mengeluarkan benda asing menggunakan jari, pin atau alat tajam. Jika hanya disyaki habuk ringan, mata boleh dibilas dengan air bersih. Namun, sekiranya rasa tidak selesa berterusan, terdapat benda asing yang tertanam atau kecederaan berlaku akibat serpihan yang bergerak pada kelajuan tinggi, dapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera.
Mata merupakan organ yang sangat berharga dan penglihatan yang baik perlu dipelihara sepanjang hayat. Walaupun benda asing yang memasuki mata kelihatan kecil, kecederaan yang dihasilkan boleh membawa kesan besar sekiranya dipandang ringan. Penggunaan pelindung mata ketika melakukan aktiviti berisiko dan mendapatkan pemeriksaan yang sewajarnya selepas kecederaan merupakan langkah penting dalam melindungi penglihatan.
Jangan anggap “cuma habuk”. Jika mata mengalami kecederaan selepas aktiviti berisiko, dapatkan pemeriksaan dan lindungi penglihatan anda.
Rujukan:
https://www.em-consulte.com/article/1797192/clinical-characterization-of-ocular-trauma-a-six-m




