Penulis: Dr. Siti Suhaila A. Rahman¹, Dr Nurnadiah Roslan¹ & Pn Nazirah Abdullah¹
¹Makmal Kultur Tisu dan Biousahawan (MKTB),
Program Teknologi Bahan Tanaman, Bahagian Bioteknologi Perhutanan,
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
Bayangkan sebatang tumbuhan hutan yang sukar ditemui. Hanya beberapa individu masih hidup di habitat semula jadinya dan pembiakan secara konvensional pula tidak memberikan anak pokok yang mencukupi. Jika tumbuhan ini mempunyai nilai penting kepada ekosistem atau berpotensi untuk dimanfaatkan manusia, bagaimana kita boleh memperbanyaknya tanpa mengorbankan tumbuhan daripada hutan? Di sinilah teknologi kultur tisu tumbuhan memainkan peranan. Bidang ini mempunyai potensi besar untuk menyokong pemuliharaan biodiversiti hutan Malaysia.
Apakah maksud Kultur Tisu Tumbuhan?
Kultur tisu atau mikropropagasi ialah teknik pembiakan tumbuhan menggunakan bahagian kecil tumbuhan seperti pucuk, tunas, nod atau tisu tertentu yang dikultur secara aseptik dalam keadaan terkawal. Dengan kombinasi nutrien, hormon tumbuhan, cahaya, suhu dan keadaan kultur yang sesuai, tisu tersebut boleh dirangsang untuk membentuk pucuk baharu, akar dan akhirnya tumbuhan lengkap. Keistimewaan utama teknik ini ialah keupayaannya untuk memperbanyak bahan tanaman dalam jumlah yang besar daripada sumber asal yang terhad.
Dalam pembiakan biasa, kita mungkin bergantung kepada biji benih, keratan atau anak pokok yang tersedia di alam semula jadi. Namun, tidak semua tumbuhan mudah dibiakkan dengan cara tersebut. Ada spesies yang menghasilkan biji benih dalam kuantiti terhad, mempunyai percambahan yang rendah, sukar disimpan atau menunjukkan variasi pertumbuhan yang tinggi. Kultur tisu menawarkan satu lagi pilihan. Daripada satu sumber tanaman terpilih, pucuk boleh digandakan berulang kali melalui beberapa peringkat kultur. Pucuk yang dihasilkan kemudiannya boleh melalui proses pengakaran untuk mendapatkan satu sistem pokok yang sempurna.
Namun, proses ini bukanlah suatu yang mudah. Setiap spesies mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap komposisi nutrisi medium, jenis dan kepekatan hormon, sumber eksplan, umur tumbuhan serta faktor genetik boleh mempengaruhi kejayaan kultur. Selain itu, proses pengikliman selama 4-6 minggu di mana anak pokok kultur tisu dari makmal perlu mengadaptasi kepada persekitaran luar yang sukar dijangka.

Cabaran dan sumbangan kultur tisu dalam usaha konservasi
Cabaran-cabaran dalam bidang kultur tisu bukan hanya dalam usaha menghasilkan satu anak pokok, tetapi menghasilkan anak pokok yang mencukupi, sihat, seragam dan berkualiti. Bagi kerja konservasi, nilai kultur tisu terletak pada kemampuannya untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber populasi liar di hutan asli.
Sebagai contoh, sekiranya terdapat pokok induk yang mempunyai ciri tertentu dan jumlahnya sangat terhad di hutan, semestinya kajian konservasi perlu dilaksanakan bagi mengekalkan biodiversiti hutan. Selain melihat penghasilan biji benih dan melakukan keratin bagi tujuan pembiakan, teknik kultur tisu boleh dilakukan dengan mengambil sebahagian kecil daripada pokok tersebut untuk digunakan sebagai sumber bagi pembiakan vegetative. Anak pokok yang terhasil bukan sahaja untuk konservasi, malah boleh digunakan untuk penanaman dan program pemulihan habitat. Dengan ini, hutan semula jadi akan kekal sebagai tempat utama bagi spesies dan komuniti tumbuhan berkembang dalam ekosistem asalnya. Pada masa yang sama, pembiakan melalui kultur tisu berfungsi sebagai sokongan tambahan untuk menyimpan dan memperbanyak sumber genetik yang bernilai. Sebagai contoh, pokok kacip Fatimah merupakan tumbuhan herba yang mempunyai nilai penting sebagai tumbuhan ubatan dan mempunyai sejarah penggunaan dalam masyarakat tempatan. Daripada sumber asli di hutan, terdapat beberapa pokok induk yang mempunyai khasiat yang lebih tinggi daripada pokok-pokok di sekitarnya. Namun, jumlahnya amat sedikit dan jika ianya terus diambil dan digunakan, kemungkinan ianya akan pupus. Oleh itu, hanya sebahagian sahaja pokok yang diambil untuk dibangunkan teknik penghasilan secara pukal dan mempunyai kualiti yang serupa seperti pokok asalnya.
Dalam usaha menghasilkan bahan tanaman yang lebih terpilih dan seragam, teknologi kultur tisu boleh digunakan untuk memperbanyak sumber tanaman yang telah dikenal pasti kualitinya di samping pemeliharaan sumber genetik di hutan asli. Apabila bahan tanaman terpilih berjaya diperbanyakkan secara terkawal, ia sebenarnya telah membantu mengurangkan kebergantungan kepada pengumpulan tumbuhan daripada sumber semula jadi. Pada masa yang sama, bahan tersebut boleh digunakan untuk penyelidikan lanjut, penanaman dan pembangunan sumber tanaman secara lebih sistematik. Walaupun kelihatan mudah dari luar, setiap teknik pembiakan kultur tisu mempunyai cerita tersendiri. Oleh kerana setiap anak pokok dalam kultur tisu adalah bebas daripada patogen, pencemaran oleh bakteria dan kulat merupakan antara cabaran utama. Sampel pokok yang diambil daripada tumbuhan matang atau tumbuhan lapangan juga boleh membawa mikroorganisma dalaman yang sukar dikesan pada peringkat awal.
Selain itu, sesetengah spesies sukar menghasilkan pucuk, mempunyai kadar penggandaan yang rendah atau menghadapi masalah ketika pengakaran dan perkembangan selanjutnya di luar makmal. Inilah sebabnya pembangunan teknik pembiakan melalui kultur tisu sering mengambil masa. Penyelidik perlu menguji pelbagai kombinasi medium, hormon dan keadaan kultur sebelum mendapatkan tindak balas yang konsisten. Malah, dua pokok daripada spesies yang sama juga tidak semestinya memberikan respons yang sama kerana faktor genetik atau keadaan fisiologi tumbuhan.
Sumbangan dan harapan
Teknologi kultur tisu tumbuhan hanyalah sebahagian daripada penyelesaian terhadap usaha konservasi spesies hutan. Kejayaan konservasi juga bergantung kepada perlindungan habitat, pemahaman tentang ekologi spesies, kepelbagaian genetik dan pengurusan populasi semula jadi. Gabungan pemahaman secara holistik amat penting dan relevan dalam usaha konservasi kerana berhadapan dengan spesies yang mempunyai sumber bahan tanaman yang terhad atau menghadapi kesukaran pembiakan secara konvensional.
Secara keseluruhan, teknologi kultur tisu tumbuhan bukanlah menggantikan teknologi pembiakan konvensional (biji benih dan keratan) dalam usaha konservasi spesies hutan yang kritikal. Sebaliknya, ia melengkapi teknik pembiakan sebagai salah satu alternatif dalam membantu memperbanyakkan bahan tanaman untuk menjaga hutan. Bermula dengan hanya sepotong kecil tisu, ia berpotensi untuk menghasilkan ratusan atau ribuan anak pokok. Daripada satu pokok induk terpilih, kita mungkin dapat membina koleksi bahan tanaman untuk dinikmati dan dihargai oleh generasi akan datang. Di situlah nilai sebenar teknologi kultur tisu tumbuhan. Ia bukan sekadar teknologi untuk memperbanyak pokok, ia adalah teknologi yang membantu kita memperbanyak peluang untuk memastikan tumbuhan hutan terus hidup, berkembang dan diwarisi oleh generasi akan datang.




