Oleh: Dr. Nurhayu Ab Rahman
Pensyarah Pergigian di Unit Pergigian Perubatan Mulut dan Patologi Mulut,
Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM)
Sakit gigi adalah antara aduan kesihatan yang paling biasa dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tahap kesakitan yang tinggi, gangguan kepada aktiviti harian, gangguan tidur malam, serta penurunan kualiti hidup sering mendorong pesakit segera mendapatkan rawatan di klinik pergigian berdekatan. Kebanyakan kes memang berpunca daripada karies gigi atau gigi berlubang.
Namun, tahukah anda bahawa tidak semua kesakitan yang dirasai pada gigi atau gusi sebenarnya berpunca daripada kerosakan gigi? Sebahagian kes kesakitan yang melibatkan tisu keras seperti gigi dan tisu lembut seperti gusi sebenarnya berpunca daripada masalah lain sama sekali dan inilah yang dikenali sebagai sakit orofasial.
Bila Bukan Berpunca Daripada Gigi
Terdapat pelbagai punca lain yang boleh menyebabkan kesakitan menyerupai sakit gigi yang teruk, antaranya gangguan saraf trigeminal, sakit rujukan (referred pain) daripada sinusitis maksila atau resdung, dan masalah sendi rahang atau sendi temporomandibular. Kesakitan jenis ini selalunya menyerupai sakit gigi yang kuat sehingga menyebabkan pesakit meminta doktor gigi mencabut gigi yang disyaki menjadi punca termasuklah gigi yang sebenarnya masih elok tanpa sebarang lubang atau tampalan.
Oleh kerana sakit gigi akibat karies adalah lazim berlaku, ramai menyangka cabutan gigi akan menyelesaikan masalah. Namun, rawatan ini bukanlah penyelesaian yang tepat sekiranya kesakitan yang dialami sebenarnya bukan berpunca daripada gigi itu sendiri.
Ciri-ciri Sakit Gigi Sebenar
Sakit yang benar-benar berpunca daripada gigi biasanya bermula dengan rasa ngilu ketika minum air sejuk atau ais, dan lama-kelamaan berkembang menjadi denyutan berterusan sehingga mengganggu tidur malam. Apabila pemeriksaan dijalankan di klinik, biasanya terdapat gigi yang mengalami karies, dan gigi tersebut akan berasa sakit apabila diketuk. Pemeriksaan lanjut seperti sinar-X dan ujian pulpa elektrik dapat membantu mengenal pasti gigi yang terlibat dengan tepat.
Apabila Puncanya Saraf, Sinus atau Sendi Rahang
Gangguan Saraf (Neuralgia Trigeminal)
Bagi sakit yang bukan berpunca daripada gigi, ia sering bermula seperti sakit gigi biasa tetapi lama-kelamaan bertukar menjadi rasa menyucuk seperti dicucuk jarum, atau seperti kejutan elektrik yang merupakan ciri khas bagi kes yang melibatkan neuralgia trigeminal. Sakit ini berterusan tanpa mengira waktu, tidak berubah semasa makan atau minum, tetapi uniknya pesakit masih boleh tidur seperti biasa. Sakit jenis ini sering dicetuskan oleh perbuatan membasuh muka, menggosok gigi atau berkumur, dan biasanya kekal pada satu bahagian wajah sahaja (unilateral) tanpa pernah merentasi garis tengah muka (midline). Ubat tahan sakit biasa pula selalunya kurang berkesan untuk meredakan kesakitan ini.
Sinusitis atau Resdung
Bagi sakit yang berpunca daripada sinusitis atau resdung, pesakit biasanya tidak dapat menundukkan kepala termasuk ketika rukuk atau sujud semasa solat bagi umat Islam, kerana pergerakan ini akan mencetuskan rasa sakit yang teruk. Perubahan tahap kesakitan mengikut kedudukan kepala ini menjadi petunjuk penting untuk mengesyaki punca sinusitis. Kes seperti ini memerlukan rujukan kepada pakar otolaringologi untuk pengurusan lanjut.
Gangguan Sendi Rahang (Temporomandibular)
Sakit yang melibatkan sendi rahang pula lebih bersifat sakit tumpul, dirasai semasa membuka dan menutup mulut, dan kadangkala turut disertai rasa lenguh pada bahagian tersebut, namun jarang mengganggu tidur. Kesakitan biasanya lebih teruk pada waktu pagi sebaik bangun tidur, terutamanya jika pesakit mempunyai tabiat bruksisme (menggertak gigi) semasa tidur. Tabiat tidak sihat seperti kerap mengetap gigi atau mengunyah air batu turut menyumbang kepada masalah ini. Keadaan ini juga boleh dicetuskan oleh keradangan otot muka atau sakit miofasial, dan berpotensi meningkatkan kekerapan sakit kepala. Otot-otot di sekitar sendi rahang dan muka akan terasa sakit apabila ditekan semasa pemeriksaan. Tahap tekanan (stres) yang kronik dalam kehidupan pesakit turut menjadi salah satu penyumbang utama dan membantu proses diagnosis malah kadangkala memerlukan rujukan kepada pakar kaunseling. Kebanyakan pesakit yang mengalami masalah ini terdiri daripada golongan profesional seperti peguam, pengurus, guru dan akauntan.
Pengurusan Mengikut Punca
Rawatan bagi sakit orofasial berbeza mengikut puncanya. Sakit gigi akibat karies biasanya dirawat melalui tampalan gigi, rawatan saluran akar atau cabutan mengikut tahap kerosakan yang dialami, manakala kes yang melibatkan neuralgia trigeminal selalunya memerlukan ubat khusus yang ditetapkan oleh pakar neurologi atau pakar pergigian berkaitan, bukan sekadar ubat tahan sakit biasa. Bagi kes yang berpunca daripada sinusitis, rawatan tertumpu kepada punca jangkitan atau keradangan sinus itu sendiri, selalunya di bawah pengawasan pakar otolaringologi. Sementara itu, gangguan sendi rahang boleh diuruskan melalui gabungan pendekatan seperti alat gigit (splint), fisioterapi, latihan regangan otot rahang, serta pengurusan tekanan yang lebih baik. Oleh itu, diagnosis yang tepat amat penting kerana ia menentukan hala tuju rawatan yang betul dan berkesan.
Selain daripada masalah-masalah kesihatan yang disebutkan diatas, terdapat lagi punca-punca lain yang lebih jarang berlaku. Walaubagaimanpun, apa jua jenis sakit gigi yang dialami, pemeriksaan lanjut di klinik pergigian amat penting bagi mendapatkan diagnosis yang tepat termasuk melalui sinar-X dan ujian klinikal yang bersesuaian. Diagnosis yang betul membawa kepada rawatan yang betul, dan seterusnya dapat menyelamatkan gigi yang sebenarnya masih elok daripada dicabut tanpa sebab yang tepat. Bagi kes sakit yang bukan berpunca daripada gigi, doktor gigi yang merawat akan merujuk pesakit kepada pakar pergigian atau perubatan yang berkaitan bagi memastikan rawatan yang sewajarnya diberikan.
Rujukan
1-de Leeuw, R., & Klasser, G. D. (Eds.). (2013). Orofacial pain: Guidelines for assessment, diagnosis, and management (5th ed.). Quintessence Publishing.
2-Zakrzewska, J. M. (Ed.). (2009). Orofacial pain. Oxford University Press.
3-Gemini Notebook. (2026). Ilustrasi perubatan: Sakit orofasial di luar masalah gigi (Versi v3) [Imej dijana AI]. Google.
Biodata Ringkas Penulis
Dr. Nurhayu Ab Rahman merupakan Pensyarah Pergigian di Unit Pergigian Perubatan Mulut dan Patologi Mulut, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM), yang turut berkhidmat sebagai Pakar Pergigian (Perubatan Mulut dan Patologi Mulut) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HPUSM). Beliau memperoleh Doktor Pembedahan Pergigian (DDS) daripada USM pada tahun 2004, dan Doktor Perubatan Klinikal Pergigian (Perubatan Mulut & Patologi Mulut) dari The University of Western Australia pada tahun 2012.




