Penulis: En. Razif Bin Dasiman
Pensyarah Kanan (Fisiologi) Jabatan Sains Asas,
Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Selangor, Puncak Alam
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah pendekatan yang telah diambil oleh Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Selangor dalam memupuk minat pelajar-pelajar sekolah untuk mendalami bidang sains dan teknologi, terutamanya dalam memperkenalkan cabang penyelidikan ilmu sains kesihatan. Baru-baru ini, pihak Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan UiTM dengan kerjasama pihak Pengurusan Makmal FSK dan juga pelajar- pelajar pasca siswazah FSK telah mengadakan Program “Scientific Discovery” bersama kira-kira 250 orang murid dan pelajar (sekolah rendah dan menengah) dari sekitar negeri Selangor.
Adapun, objektif utama Program Scientific Discovery ini adalah untuk mengumpulkan pelajar-pelajar dan murid-murid dari sekolah-sekolah sekitar negeri Selangor melalui satu sesi libatsama Sekolah Angkat Sains Kesihatan bersama wakil-wakil guru, dan pentadbir sekolah untuk sama-sama mebincangkan bagaimana untuk menarik minat para pelajar untuk mencintai dan mengenali cabang ilmu sains kesihatan secara lebih dekat. Selain itu, program ini juga merupakan salah satu inisiatif pihak fakulti dalam meningkatkan kefahaman generasi muda dalam bidang sains tulen yang ada dalam lapangan sains kesihatan. Antara pengisian program yang dijalankan adalah perkongsian kajian-kajian penyelidikan sains kesihatan berkaitan ilmu kaji darah hematologi, kajian kuman/mikrobiologi dan parasitologi, kajian reproduktif haiwan dan manusia, kajian toksikologi zebrafish, kajian neuro farmakologi berkaitan otak, kajian pemakanan dan diet suku-suku separuh, penerangan berkaitan dengan latihan kognitif pemulihan cara kerja, teknik menggunakan pipet yang betul, kajian histologi serta pameran struktur anatomi manusia, rangka dan otot,
Selain itu, para peserta juga turut didedahkan dengan simulasi klinik sebenar menggunakan model patung pesakit, simulasi wad hospital di Clinical Skills Lab dan juga lawatan ke Klinik Optometri bagi memahami proses perjalanan sebuah premis klinik mata. Sepanjang sesi Scientific Discovery tersebut, para peserta juga berpeluang melihat secara lebih jelas model dan sampel-sampel kajian sains yang ditunjukkan oleh para pelajar pascasiswazah penyelidikan. Para peserta juga diberi peluang untuk menggunakan alat-alat yang digunakan dalam pemprosesan sampel penyelidikan seperti penggunaan alat Dino Eye untuk menganalisis sampel embryo zebrafish, penggunaan “inverted microscope” untuk mengenalpasti kultur sel, pemprosesan sampel organ haiwan menggunakan alat mikrotom untuk menyediakan potongan organ untuk slaid histologi dan sebagainya lagi. Dalam pada itu juga, sesi kuiz sains berkaitan pameran yang disediakan turut dijalankan selepas sesi penerangan pameran dijalankan di makmal-makmal yang terlibat. Di akhir sesi, satu sesi ceramah penawaran kursus akademik berkaitan misi akademik Sains Kesihatan telah dijalankan bagi memperkenalkan program-program pengajian yang ada ditawarkan di Fakulti Sains Kesihatan UiTM.
Program Scientific Discovery ini merupakan salah satu idea kolaborasi pelbagai agensi antara pihak Pengurusan Makmal RIG, Jabatan Sains Asas dan sekolah-sekolah terlibat yang dibimbing sepenuhnya oleh Pensyarah Kanan Fisiologi (En Razif Dasiman) dari Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor. Idea pembikinan Program Scientific Discovery ini terhasil daripada perbincangan bersama barisan pentadbir- pentadbir sekolah yang pernah berkolaborasi dengan pihak fakulti dalam mana-mana program yang pernah dijalankan sebelum ini, yang mana cabaran terkini dalam bidang pendidikan sekarang ini merupakan bagaimana untuk menarik semula minat para pelajar untuk mencintai dan menceburi bidang sains dan teknologi yang kian merudum dan agak membimbangkan dalam kalangan pelajar sekolah kerana rata-ratanya takut untuk memilih bidang sains tulen dalam pengajian menengah atas.
Dalam pada itu juga, selain menyahut seruan kerajaan dalam memupuk minat generasi muda untuk mendalami bidang sains dan teknologi, program ini sebenarnya dapat membantu mentransformasikan minda murid-murid ke arah yang lebih kreatif, produktif dan inovatif, apa yang lebih penting adalah ianya juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya meningkatkan pengetahuan dalam bidang sains kesihatan (SDG 3: Good Health and Wellbeing), penyampaian pendidikan yang berkualiti (SDG 4: Quality Education), memupuk budaya berinovasi (SDG 9: Innovation), serta menggalakkan kolaborasi pelbagai agensi (SDG 17: Partnerships for the Goals). Dengan adanya matlamat dan objektif yang jelas, ternyata program berkaitan cabang ilmu sains seperti ini ternyata mampu menjadi penggerak dan pemacu dalam meningkatkan semula minat generasi muda untuk mencintai lapangan ilmu sains dan teknologi pada masa hadapan.
Foto-foto Aktiviti









